Saya berasa terpanggil untuk membuat pendedahan mengenai aktiviti gerakan ajaran sesat yang kini melanda negara kita. Untuk pengetahuan, anak saya yang sedang menuntut di Universiti Malaya dan tinggal di Kolej Kediaman Raja DR. Nazrin Shah telah menceritakan kepada saya tentang pengalamannya yang hampir terlibat dengan ajaran kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai Pemuda Kahfi setelah dipujuk rayu oleh rakan-rakannya.
Saya amat terkejut dengan pengakuannya kerana setahu saya anak saya merupakan seorang anak yang taat dan patuh dengan ajaran Islam. Saya juga sama sekali tidak percaya bagaimana sebuah IPTA terkemuka sebegini amat terdedah dengan risiko ajaran sesat yang tidak sepatutnya berlaku seolah-olah sebagai gedung ajaran sesat. Lebih-lebih lagi isu ini melibatkan mahasiswa yang sepatutnya pada usia sebegini mereka lebih didedahkan dengan ilmu agama yang sebenarnya.
Anak saya memberitahu bahawa kumpulan ini pada peringkat awalnya melibatkan kelas pengajaran dan pemahaman Al-Quran yang dilakukan secara tersusun dan rahsia. Ramai di kalangan ahli terdiri daripada profesional seperti doktor, jurutera, peguam, pensyarah dan pengatur cara. Sasaran yang berpotensi untuk didekati ialah kawan rapat secara individu yang menyebabkan ianya berkembang tanpa diketahui umum seperti mana yang terjadi kepada anak saya ini.
Selain itu, kerahsiaan atau dalam bahasa arab dipanggil sebagai "sir" yang begitu tinggi dapat dilihat melalui tempat belajar yang berubah-ubah, transit kereta, menutup mata dalam perjalanan, eksploitasi kewangan atas nama pembelajaran Al-Quran. Kerahsiaan nama penyampai pengajian dan tidak membenarkan pengajian ini diketahui umum. Keahlian sesama ahli dalam gerakan juga dirahsiakan, malah mempunyai beberapa lapisan kepimpinan yang tidak dapat dikenal pasti. Mereka bergerak melalui sel-sel kecil di mana anggota antara sel ini tidak mengenali anggota sel yang lain dan tidak mengetahui nama dan maklumat penyampai dan pimpinan atasan.
Sebelum memasuki kelas tilawah, mereka dikehendaki membayar wang `taubat dengan nilai minimum RM 300. Ini adalah tambahan kepada RM 1000 yang telah dibayar untuk menyertai kelas ini sebagai pendaftaran awal, RM 60 bulanan, RM 70 untuk pembelian barang keperluan dan RM 3500 untuk bayaran melawat "Negara Islam". Cara pengajaran dilakukan secara tidak normal seperti menutup mata, masa yang tidak menentu berdasarkan panggilan telefon, pertanyaan bertubi-tubi dan proses memerangkap peserta dengan idea ajaran dengan justifikasi ayat alQuran yang ditafsir secara literal mengikut tujuan dan kepentingan gerakan ini. Bentuk nama, bayaran dan modus operandi juga boleh berubah-ubah mengikut keadaan tetapi bentuk asasnya sebagaimana yang sebutkan di atas.
Gerakan ini juga telah dipastikan bahawa mereka memberi maksud yang menyeleweng terhadap AI-Quran dan juga Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Antara contoh pemahaman yang dibawa bahawa baginda Rasulullah s.a.w diertikan tidak lebih dan penyampai risalah Allah dan melaksanakan arahan-Nya, malah orang lain juga adalah rasul. Memberi pemahaman yang menyeleweng dalam melaksanakan ibadah, seperti tidak perlu solat jika berada pada zaman Jahiliyyah atau zaman Makkah, solat hanya di tempat yang aman. Mengeksploitasi kemampuan kewangan para ahli dengan mengenakan bayaran-bayaran tertentu termasuk yang berkala atas nama Daulah Islamiyyah.
Menurut anak saya, kawan-kawannya yang sudah terpedaya dengan ajaran ini amat payah untuk melepaskan diri disebabkan sudah terikat dengan pembayaran tadi. Gerakan ini bukan sahaja berlangsung di kolej anak saya sahaja malah telah tersebar di kolej kediaman kedua, ketiga dan kesebelas. Difahamkan bahawa terdapat individu daripada pentadbiran kolej sendiri yang menjadi dalang terhadap ajaran ini. Cukup merisaukan saya kerana ibu bapa telah menghantar anak-anak ke universiti dengan harapan pihak pentadbiran universiti dapat menjaga dan membentuk jati diri yang mantap tetapi sebaliknya.
Maka, saya ingin membuat penegasan agar pihak pentadbiran universiti, kolej-kolej kediaman dan persatuan pelajar agar tidak memandang remeh perkara ini kerana ia umpama menggadaikan agama tercinta. Minta pihak bertanggungjawab dari jabatan agama Islam menyiasat perkara ini segera kerana ia sudah lama berleluasa!
Saya juga selaku bapa yang kecewa dengan kejadian yang menimpa ini menyeru agar seluruh masyarakat Islam mengambil sikap berhati-hati memantau ahli keluarga di dalam mengikuti pembelajaran agama terutama sekali berkait rapat dengan modusoperandi sebegini. Pemuda sepatutnya dapat membezakan kebenaran dan kebatilan dengan waras di samping mereka ini perlu diberikan pedoman agama yang tidak memesongkan [sumber: majalah i & terjah.com].
BAPA KECEWA Sekinchan,
Selangor Darul Ehsan.
Sumber : Majalah i (disember)