Kurang penghayatan sunnah dalam berakhlak punca huru hara dalam dunia keilmuan

Primary tabs

Oleh: Lukhman Abdul Taib

Penyakit sesat-menyesatkan kian menular dalam diri penuntut ilmu. Dengan kemudahan informasi di hujung jari, penyakit ini semakin parah dan terus menerus merebak dalam diri setiap pelajar.

Sudah pasti, yang menjadi mangsa ialah orang awam dan pelajar itu sendiri. Penyakit yang ditulari menyebabkan mereka sukar dalam berkomunikasi dengan dunia, kerana kurang selidik dalam menilai seseorang.

Lebih malang lagi, bidang agama bukannya bidang pengkhususan buat pelajar itu. Maka, semakin bingung pelajar itu dengan dunia yang dilihatnya. Itu sesat, ini sesat, semuanya sesat, hanya kerana sekelumit ciri yang ada pada seseorang! Siapa lagi yang tidak sesat menurut kaca matanya?

Maka, akan kedengaranlah suara-suara sumbang yang bercakap dalam “bidang yang bukan ahlinya”. Tanpa segan silu mengaibkan, memalukan, menjatuhkan, dan (lebih parah) membunuh saudara yang bercanggah dengannya dalam perkara yang remeh.

Bertopengkan slogan “kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah”, mereka memperjuangkan sunnah dalam suara yang begitu sumbang untuk didengari, dengan gaya, manhaj, pendekatan dan akhlak yang jauh daripada Al-Quran dan As-Sunnah.

Orang awam sudah muak dengan “pertelingkahan biadab” golongan penuntut ilmu ini. Orang ini dikatakan tidak mengikut sunnah, orang itu dikatakan bid’ah, orang sekian dikatakan menyimpang. Walhal merekalah yang berusaha membawa orang awam ke arah memahami dan membudayakan Islam.

Mungkin, inilah akibat yang perlu ditanggung jika seseorang penuntut ilmu enggan meluaskan visi fikirannya dengan berguru daripada pelbagai guru.

Padahal, siapa tahu, dalam bidang ilmu yang dibencinya dan dianggap sesat, itulah jalan untuknya membersihkan Islam daripada segala penyimpangan, dan mengeluarkan orang awam daripada kegelapan?

Al-Hafiz Abu Bakar Al-Isma’ili, seorang ulama yang dahulunya membenci ilmu kalam, berkata: “Sejak saat itu (perdebatan dengan pendukung ilmu kalam), aku termotivasi untuk mengkaji ilmu kalam. Dan aku yakin bahawa ilmu ini adalah salah satu tiang daripada tiang-tiang (untuk membela) agama Islam.”

Ya, kita mungkin tidak bersetuju dan tidak sependapat dengan sesiapa sahaja dalam banyak perkara. Namun, dalam menilai seseorang itu sesat atau tidak, cubalah kita tanyakan kepada diri kita: “Atas kayu ukur apa aku menilainya sedemikian? Adakah itu bidangku? Adakah aku punya ilmu dalam hal itu?”

Adakah wajar kita mengkritik seseorang yang ahli bahasa Arab silap dalam ilmunya, sedangkan kita adalah ahli perubatan? Logikkah kita mengatakan ulama itu sesat, sedangkan kita adalah seorang ahli psikologi? Adakah patut kita mengatakan dia tersilap, padahal ilmu kita tidaklah sejauh mana?

Seharusnya, para penuntut ilmu perlu meluaskan skop pemikirannya, dengan mempelajari daripada berbagai-bagai guru dan para ulama, kerana “jauh perjalanan, luas pemandangan”. Kita akan dapat menemui titik-titik kesatuan dan keunikan dalam kepelbagaian pendapat dan fikiran, dengan syarat perlu berada dalam kerangka yang betul.

Juga, kita haruslah berpada-pada dalam menilai dan mengkritik seseorang. Nilailah berdasarkan apa yang zahir dan setakat yang kita ketahui. Itu lebih baik dan adil buat dirinya, jika kita ingin dirinya dan orang lain menilai diri kita secara adil.

Inilah yang diamalkan oleh para ulama silam. Langsung tidak wujud pertelingkahan yang tidak sihat antara imam-imam mazhab. Hatta mereka tidak pernah mengizinkan pengikut-pengikut mereka taksub dengan pandangan mereka, kerana mereka sudah dapat menjangka kesan yang buruk buat umat Islam.

Seharusnya, golongan yang menyeru ke arah membudayakan As-Sunnah bukan sekadar berbicara mengenai sunnah dalam perkara ibadah, namun mereka perlulah juga menonjolkan sunnah dan berakhlak.

Barulah manusia akan melihat Islam tidak hanya sahaja indah dari segi ibadat dan fiqh, tetapi juga indah dalam sudut berakhlak. Sekaligus, menjadi wadah dakwah kepada golongan bukan Islam untuk tertarik kepada Islam.

Hari ini kita melihat ramai yang mengaku memperjuangkan sunnah bercakap tentang soal Yasin malam Jumaat, tahlil, talkin, kenduri arwah dan sebagainya. Namun, sayangnya, dalam perbicaraan mereka tiada langsung contoh sunnah berakhlak.

Demikian juga, golongan yang tidak sependapat dengan mereka, turut memperlihatkan akhlak yang buruk dalam membetulkan pendapat mereka. Yang keluar di lidah mereka adalah kata-kata cacian, sumpah seranah dan laknat, seolah-olah mereka adalah syaitan yang patut dilaknat!

Padahal, Rasulullah SAW masih memperlihatkan akhlak yang baik dalam berbicara dan menegur kesilapan seseorang, menyebabkan ramai manusia, baik kawan mahupun lawan, tertarik dan tertawan dengan akhlak Baginda, lantas mendengar nasihat Baginda.

Mu’awiyah bin Al-Hakam As-Sulami pernah meriwayatkan:
Pada suatu hari aku (Mu’awiyah) bersembahyang bersama Rasulullah SAW. Tiba-tiba salah seorang daripada jemaah bersih, maka aku mengatakan, “Yarhamukallah.” Kaum itu melemparkan pandangan ke arahku. Lalu aku berkata, “Aduhai celaka ibumu, kenapa kamu semua memandangku?” Mereka selalu memukulkan tangan mereka pada paha mereka. Aku mengerti bahawa mereka mengisyaratkan kepadaku supaya diam, maka aku diam.

Setelah selesai Rasulullah SAW menunaikan solat, maka demi ayah dan ibuku, belum pernah aku melihat seorang guru sebelumnya dan selepasnya yang lebih baik daripadanya. Demi Allah, baginda tidak membentak-bentak kepadaku, tidak pula memukulku, dan tidak pula mencaciku.

Baginda bersabda: “Sesungguhnya solat ini tidak patut ada di dalamnya sesuatu ucapan manusia. Sesungguhnya solat itu terdiri daripada tasbih, takbir dan bacaan Al-Quran.” Atau seperti itu yang disabdakan Rasulullah SAW. (Hadis riwayat Muslim)

Sedarlah, wahai penuntut ilmu! Kita semua sama-sama menuntut ilmu. Adakah kita ingin menjadikan kejahilan kita punca umat semakin berpecah-belah? Bukankah kita buah harapan umat yang diharapkan dapat menyatukan? [daiesiber.blogspot.com]


[Artikel ini dikirim oleh penulis melalui e-mail. Blog beliau boleh dilayari di http://daiesiber.blogspot.com]