Isu hangat yang menenggelamkan isu harga ayam naik dan PRK Kuala Besut ialah isu air minuman yang diramu dengan sarang anai-anai yang memakan beberapa juz al-Quran. Dan, isu anai-anai pula tenggelam dengan isu dakwaan memperdagangkan air celupan rambut yang didakwa rambut Nabi s.a.w.
Kumpulan penyebar air yang dicelup dengan rambut yang mereka dakwa sebagai rambut Rasulullah s.a.w. telah bertindak menyebarkan gambar yang dikatakan sebagai sanad rambut berkenaan. Mereka berbuat demikian setelah diasak dengan pelbagai persoalan tentang keaslian rambut itu. Sebahagian warga maya ada yang menuduh mereka memperdagangkan agama untuk mencari wang.
Selain itu terjadi perang 'mulut' di facebook dan blog tentang tindakan memperdagangkan air celupan tinggalan Rasullullah s.a.w. Kumpulan pendokong air celupan rambut ini mengemukakan dalil-dalil dari Hadis yang sahih tentang bolehnya mengambil berkat atau bertabaruk dengan rambut Nabi s.a.w. dan kesan-kesan Nabi s.a.w. yang lain. Mereka menyebarkan artikel berkaitan.
Mereka juga bertindak melabel siapa sahaja yang membangkang hal air celupan rambut sebagai "Wahabi" atau "Wahabi Mujassimah". Sebahagian mereka pula dilabel sebagai telah menghina Rasulullah s.a.w.
Manakala kumpulan penentang air celupan rambut yang diperdagangkan ini pula terpinga-pinga dalam beberapa hal: Apa kaitannya dengan Wahabi? Siapa yang mempertikaikan tentang keberkatan tubuh Nabi s.a.w. dan kesan peninggalan baginda?
"Kami bukan mempertikaikan keberkatan kesan tinggalan Nabi s.a.w., tapi kami mempertikaikan kesahihan rambut berkenaan..!' Kata salah seorang penentang. Sambungnya lagi: "Apa buktinya rambut itu milik Rasulullah s.a.w.?"
Bila ditunjukkan sanad rambut Rasulullah s.a.w. yang disebar oleh kumpulan pendokong air celupan rambut kepada beberapa orang penentang, mereka berkata: "Kita boleh terima sanad berkenaan, tapi ia mestilah disaring terlebih dahulu.."
Sambung yang lain: "Mana boleh satu-satu sanad itu diterima secara membabi-buta begitu sahaja.. Ia mesti melalui proses Jarah wat Ta'dil."
Ada yang berkata: "Sedangkan Hadis Palsu pun ada sanad! Apa nak dihairankan.."
"Ada sanad tak semestinya original!"
"Sanad yang beredar hari ini yang ada di dalamnya orang-orang selepas selesai zaman pembukuan Hadis, sudah tidak ada nilainya dari sudut Jarah wat Ta'dil.. Sanad hari ini hanya sebagai tradisi pengajian dan keberkatan sahaja. Ia tidak lagi menjadi penentu kuat atau lemahnya satu-satu hadis"