Ulasan Artikel Bicara Agama Yang Terbaru (Bah. 1)

Primary tabs

Setelah kami memberikan ulasan terhadap artikel berkaitan 'Umur Aisyah r.a. ketika berkahwin' yang disiarkan dalam Bicara Agama, Utusan Malaysia bertarikh 17 Nov 2010, terdapat satu lagi artikel berbentuk soal jawab berkaitan tajuk yang sama disiarkan pada hari ini iaitu 19 Nov 2010. Jawapan kepada persoalan 'Bilakah Nabi Menikahi Aisyah' dilihat sama sahaja kesimpulannya dengan artikel bertarikh 17 Nov.


Untuk makluman pembaca, Ust. Adlan Abd. Aziz daripada Pemuda Iman akan mengadakan satu majlis ilmu untuk membicarakan isu ini secara terperinci dan ia akan diadakan seperti berikut:

Tajuk: UMUR AISYAH SEMASA BERKAHWIN - MEMPERTAHANKAN HADITH SAHIH

Oleh : Adlan Abd. Aziz

Tarikh: Rabu, 24 Nov 2010

Masa: 8.30 mlm

Tempat: IS Hall, No. 1-5-2, Wisma Prima Peninsula, Jln Setiawangsa 11, Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur(Atas Saba Islamic Media)

Namun begitu, sebagai menunjukkan sedikit respon terhadap tulisan terbaru bertarikh 19 Nov ini, Pemuda Iman ingin memberikan beberapa komen (keseluruhannya akan diterangkan dalam majlis ilmu seperti di atas) seperti berikut:

Penulis memberikan 4 hujah untuk menyokong pandangan beliau bahawa hadith yang menyatakan Aisyah berkahwin di usia muda adalah tidak sahih dan tidak tepat. Hujah-hujah beliau sebenarnya amat sedikit dibandingkan dengan hujah-hujah yang pernah dibawa oleh pihak lain - ada sebahagiannya di negara India dan Pakistan, manakala ada sebahagiannya dari negara Arab - yang mana hujah-hujah itu dilihat dapat menyokong pernyataan bahawa hadith ini tidak benar dan Aisyah berkahwin pada usia remaja dan bukan usia semuda enam atau tujuh tahun. 4 Hujah penulis boleh diringkaskan seperti berikut:

1- Periwayatan hadith-hadith berkaitan umu Aisyah ketika berkahwin adalah melalui jalan Hisyam Bin Urwah sahaja.

2- Kelemahan dan kesilapan yang dilakukan oleh Hisyam Bin Urwah ketika sudah tua dan ketika berada di Iraq.

3- Perkahwinan Rasulullah s.a.w. dengan Aisyah dan Hafsah (anak Umar Bin al-Khattab) adalah kerana mengukuhkan ikatan persaudaraan dan bukan kerana keinginan.

4- Hujah dalam bentuk riwayat sejarah berkenaan bila Aisyah dilahirkan dan pengiraan umurnya.

Pemuda Iman memilih untuk memberikan ulasan ringkas terhadap satu daripada 4 hujah yang dikemukakan sekadar memberikan gambaran bagaimana jawapan penulis tidak menggambarkan perbincangan ilmiah yang sebenar - iaitu meletakkan semua fakta secara jelas dan menghuraikannya satu persatu. Hujah ketiga pada hakikatnya bukanlah satu hujah yang patut dijadikan isu dalam perbincangan. Manakala hujah kedua pula ialah rentetan daripada hujah yang pertama. Mari kita pergi kepada satu hujah iaitu hujah pertama yang dikemukakan. Semoga pembaca dapat membuka minda untuk satu perbincangan ilmiah:

Penulis menyatakan dalam permulaan jawapannya:

"Sebahagian besar riwayat yang menceritakan hal ini terdapat dalam hadis di mana keseluruhannya hanya diriwayatkan oleh Hisham bin Urwah".

Ulasan:
Jawapan sebegini jika dibaca oleh mereka yang tidak mengetahui berkaitan periwayatan hadith sudah pasti membawa natijah bahawa 'semua' hadith berkaitan umur Aisyah ketika berkahwin 'hanyalah' dari riwayat periwayat bernama Hisham Bin Urwah yang meriwayatkannya dari ayahnya Urwah Bin al-Zubair. Urwah pula meriwayatkannya dari Aisyah. Sedangkan pada hakikatnya ia tidak begitu.

Hadith ini juga sebenarnya telah diriwayatkan melalui periwayat lain seperti yang jelas ada dalam buku hadith utama seperti Sahih Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan al-Nasaai dan lain-lain lagi. Ada di antara periwayat ini meriwayatkannya daripada Urwah seperti Ibn Syihab al-Zuhri manakala ada pula yang terus meriwayatkannya daripada Aisyah sendiri seperti Amrah Binti Abd. Rahman, Abd. Rahman Bin al-Qasim, Abd. Rahman Bin Muhammad Bin Abi Bakr, al-Aswad Bin Yazid, Yahya Bin Abd. Rahman Bin Hatib, Abu Salamah Bin Abd. Rahman dan lain-lain lagi.

Mungkin ada pembaca yang tidak memahami semuanya ini sepintas lalu namun perkara pokok yang ingin dinyatakan di sini ialah hadith ini bukanlah seperti dakwaan penulis iaitu 'keseluruhannya hanya diriwayatkan oleh Hisham Bin Urwah'.

Itu sebagai permulaan jawapan. Insya Allah Pemuda Iman akan memberikan ulasan lanjut dalam bentuk majlis ilmu seperti yang diberitahu di atas. Penulisan tentangnya juga akan diberikan dalam masa ke semasa insya Allah.

wallahu a'lam

sumber : http://pemudaiman.blogspot.com/2010/11/ulasan-artikel-bicara-agama-yang.html