Dua Buku Tulisan Wardina Dianggap Berkualiti

Primary tabs

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Dua buku tulisan pelakon dan pengacara televisyen Wardina Safiyyah Fadullah Wilmot yang dianggap sangat berkualiti untuk dibaca oleh keluarga dilancarkan pada Jumaat.

Buku berjudul "Mama, saya lapar" dan "Siapa Aliens" yang masing-masing berharga RM19.90 dan RM19 kini berada di pasaran di seluruh Malaysia.

Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Datuk Raslin Abu Bakar, berkata buku-buku itu sangat berkualiti terutamanya dalam bidang keibubapaan kerana ia sarat dengan teladan dan pengajaran.

"Ia akan memberikan pendedahan kepada masyarakat dengan lebih mendalam serta menyemai rasa kecintaan terhadap ilmu pengetahuan," katanya pada majlis pelancaran kedua-dua buku itu di Perpustakaan Negara Malaysia di sini.

Raslin berkata Wardina kini tergolong antara 5,000 penulis buku di negara ini.

Wardina pula berkata beliau terdorong menulis buku-buku itu kerana bilangan buku dalam Bahasa Melayu terutamanya untuk kanak-kanak sekarang adalah terhad.

"Kebanyakan buku di pasaran berbahasa Inggeris dan agak sukar untuk saya mendapatkan buku berbahasa Melayu yang ringkas dan berkualiti tinggi untuk anak-anak saya," katanya.

Turut hadir pada majlis itu selebriti TV, Datin Nor Juma Habib Mohamed, yang juga sahabat karib Wardina.

-- BERNAMA

Link asal: http://bernama.com.my/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=503537