RINGKASAN HUKUM BERSIWAK: Hakikat dan hukum-hakamnya
Oleh zain y.s
(Diringkaskan dari Ahkam al-Siwak oleh Dr Abdullah al-Mu’tiq al-Sahli)
Tulisan asal boleh dimuat turun di sini: http://al-ahkam.net/home/index.php?option=com_docman&task=cat_view&Itemi...
Isi Kandungan
1. Takrif
2. Pensyariatan siwak dan fadhilatnya
3. Siwak sebahagian dari fitrah
4. Hukum siwak
5. Waktu yang digesa bersiwak
6. Hukum siwak bagi orang berpuasa
7. Hukum bersiwak di khalayak orang
8. Alat siwak
9. Cara bersiwak
10. Faedah bersiwak
Takrif, pensyariatan, fadhilat dan merupakan fitrah
1. Takrif
Hanafiah: Nama bagi kayu tertentu untuk bersiwak.
Malikiyah: Menggunakan kayu atau seumpamanya pada gigi untuk menghilangkan kuning dan bau.
Syafi’yah & Hanabilah: Menggunakan kayu atau seumpamanya pada gigi untuk menghilangkan perubahan atau seumpamanya pada gigi.
Tarjih: Takrif Syafi’iyah dan Hanabilah lebih lengkap.
2. Pensyariatan siwak dan fadhilatnya
1- Hadis Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Kalaulah tidak menyusahkan umatku nescaya aku akan perintahkan mereka bersiwak pada setiap sembahyang. (HR al-Bukhari)
2- Hadis Aisyah r.a., katanya: “Bahawa Nabi s.a.w. apabila masuk ke rumahnya ia memulakan dengan bersiwak.” (HR Muslim)
3. Hadis Huzaifah r.a., “adalah Nabi s.a.w. apabila bangun malam, Baginda s.a.w. menggosok giginya dengan siwak.” (HR al-Bukhari & Muslim)
4. Hadis Aisyah r.a., dari Nabi s.a.w.: “Siwak dapat membersihkan mulut dan diredhai Allah.” (HR al-Bukhari, Ahmad, Al-Nasa’I & Ibnu Hibban)
3. Siwak sebahagian dari fitrah
Dari Aisyah r.ahn, katanya: Rasul s.a.w bersabda: “ sepuluh perkara dari (peraturan-peraturan kebersihan) yang dituntut oleh agama, iaitu: menggunting misai, membiarkan janggut(tumbuh panjang serta mengemaskannya), bersugi(membersihkan gigi), menyedut air-membersihkan hidung, memotong kuku, membasuh buku-buku jari, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, dan beristinjak”. Kata Mas`ab (salah seorang rawi hadis ini): “dan aku lupa akan perkara yang kesepuluh, aku fikir perkara itu) tidak lain dari berkumur-kumur..” (HR Muslim)
Daripada Abu Hurairah r.a katanya:”Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:”Terdapat lima
perkara ftrah iaitu berkhatan, mencukur bulu ari-ari, mencukur misai, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak.” (HR Muslim)
4. Hukum siwak
Pendapat 1: Kebanyakan ahli ilmu- Sunnah bukan wajib.
Pendapat 2: Daud- Wajib tetapi tidak membatalkan sembahyang jika ditinggalkan.
Pendapat 3: Ishak bin Rahawiyah: Wajib dan jika meninggalkannya dengan sengaja membatalkan sembahyang.
Perbincangan dalil:
Hujah pendapat 1
Dalil 1:
Hadis Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Kalaulah tidak menyusahkan umatku nescaya aku akan perintahkan mereka bersiwak pada setiap sembahyang. (HR al-Bukhari)
Petunjuk dari hadis:
a. Al-Imam al-Syafi’i: Kalaulah ia wajib sudah tentu ia diperintahkan, samada sukar ataupun tidak.
b. Perkataan “nescaya aku akan perintahkan mereka” menunjukkan bahawa siwak tidak diperintahkan/diwajibkan.
Dalil 2:
Dari Aisyah r.ahn, katanya: Rasul s.a.w bersabda: “ sepuluh perkara dari (peraturan-peraturan kebersihan) yang dituntut oleh agama, iaitu: menggunting misai, membiarkan janggut(tumbuh panjang serta mengemaskannya), bersugi(membersihkan gigi), menyedut air-membersihkan hidung, memotong kuku, membasuh buku-buku jari, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, dan beristinjak”. Kata Mas`ab (salah seorang rawi hadis ini): “dan aku lupa akan perkara yang kesepuluh, aku fikir perkara itu) tidak lain dari berkumur-kumur..” (HR Muslim)
Petunjuk dari hadis:
Rasul s.a.w. menyifatkan siwak adalah sebahagian dari sunnah fitrah. Sunnah fitrah menurut sebahagian dari pengertiannya adalah sunnah bukan wajib. Oleh itu, siwak adalah sunnah bukan wajib.
Dalil 3:
Siwak adalah sebahagian dari kebersihan dan ia hukumnya sunnah bukan wajib.
Hujah pendapat 2
Dalil 1:
Hadis Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Kalaulah tidak menyusahkan umatku nescaya aku akan perintahkan mereka bersiwak pada setiap sembahyang. (HR al-Bukhari)
Petunjuk dari hadis:
Bahawa perintah (amar) menurut hakikatnya membawa maksud wajib.
Sanggahan:
a. Perintah pada hadis di atas bukanlah perintah (amar) menurut hakikatnya kerana memberi petunjuk hukum sunnah sahaja.
b. Al-Syafi’i: Ia bukan wajib. Kerana jika wajib nescaya ia akan diperintahkan samada menyukarkan ataupun tidak.
Dalil 2:
Hadis Abu Umamah, bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Bersiwaklah kamu sekelian, sesungguhnya bersiwak itu dapat membersihkan mulut dan diredhai Allah.” (HR Ibnu Majah)
Petunjuk dari hadis:
Perintah (amar) yang terdapat pada hadis (perintah bersiwak) membawa maksud wajib.
Sanggahan:
Hadis di atas dihukum dha’if oleh al-Hafiz Ibnu Hajar.
Dalil 3:
Hadis Aisyah r.a., dari Nabi s.a.w.: “Siwak dapat membersihkan mulut dan diredhai Allah.” (HR al-Bukhari, Ahmad, Al-Nasa’I & Ibnu Hibban)
Petunjuk dari hadis:
Mafhum mukhalafah dari hadis di atas: Bila bersiwak diredhai Allah, maka meninggalkannya dimurkai Allah.
Sanggahan:
Pemahaman bahawa meninggalkan siwak dimurkai Allah dari hadis di atas adalah pemahaman berdasarkan mafhum. Sedangkan pemahaman bersiwak adalah sunah dari hadis: “Kalaulah tidak menyusahkan umatku nescaya aku akan perintahkan mereka bersiwak pada setiap sembahyang.” (HR al-Bukhari), adalah berdasarkan mantuq.
Menurut kaedah usul, bahawa pemahaman berdasarkan mantuq hendaklah didahulukan dari pemahaman berdasarkan mafhum.
Nota: Mantuq = Hukum yang ditunjukkan oleh lafaz. Mafhum = Hukum yang tidak ditunjukkan oleh lafaz tetapi berdasarkan pemahaman terhadap lafaz berkenaan.
Dalil 4:
Hadis Aisyah r.a. bahawa Nabi s.a.w. tidak tidur pada waktu malam ataupun siang, dan apabila terjaga melainkan Baginda bersiwak.(Abu Daud)
Petunjuk dari hadis:
Hadis menunjukkan Baginda s.a.w. tidak meninggalkan siwak serta amat menekankannya. Ini menunjukkan ia adalah wajib.
Sanggahan:
Hadis ini telah didha’ifkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar.
Tarjih:
Bersiwak hukumnya adalah sunnah mu’akkadah, iaitu sangat-sangat dituntut.
5. Waktu yang digesa bersiwak
Hanafiah
Ketika wudhu’, mendirikan sembahyang, membaca al-Quran, bangun tidur, masuk ke rumah, berkumpul dengan orang lain, berubah mulut dan gigi berwarna kuning.
Malikiah
Ketika wudhu’, sembahyang, membaca al-Quran, bangun tidur, berubah mulut, diam yang lama, banyak bercakap dan memakan makanan yang berbau.
Syafi’iah
Ketika wudhu’, mendirikan sembahyang, membaca al-Quran atau al-hadis atau ilmu syarak atau berzikir, bangun tidur, berubah bau mulut, berubah dengan sebab tidur atau makan atau lapar atau diam yang lama atau banyak bercakap, pada waktu sahur, ketika makan dan selepas witir.
Hanabilah
Ketika wudhu’, sembahyang, masuk masjid, membaca al-Quran, bangun tidur, mandi, masuk rumah, diam yang lama, gigi berwarna kuning dan perut kosong.
Fuqaha’ bersepakat bahawa bersugi sangat-sangat disunnahkan ketika:
a. Ketika wudhu’.
b. Ketika mendirikan sembahyang.
c. Ketika bangun dari tidur.
d. Ketika masuk rumah.
e. Ketika bau mulut berubah dan gigi berwarna kuning
6. Hukum siwak bagi orang berpuasa
Para fuqaha’ bersepakat: Harus/dibolehkan bersiwak bagi orang yang berpuasa sebelum tergelincir matahari.
Mereka berselisih pendapat: Hukum bersugi bagi orang yang berpuasa selepas tergelincir matahari:
Pendapat pertama: Dibolehkan tanpa syarat.
Pendapat siapa?
Umar, Ibnu Abbas, Aisyah r.a., al-Nakha’I, Ibnu Sirin, Urwah, salah satu pendapat Abu Hanifah dan Malik, satu riwayat dari Ahmad, pilihan al-Nawawi, Ibnu Taimiyah, Ibnu al-Qaiyim dan al-Syaukani.
Pendapat kedua: Makruh
Pendapat siapa?
Atha’, Mujahid, Ishaq, Abu Tsaur, pendapat al-Syafi’I dan yang masyhur dalam mazhab Ahmad bin Hanbal.
Perbincangan Dalil
Hujah pendapat pertama:
Dalil 1:
Hadis Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Kalaulah tidak menyusahkan umatku nescaya aku akan perintahkan mereka bersiwak pada setiap sembahyang. (HR al-Bukhari)
Petunjuk dari hadis:
Sunnahnya bersiwak berdasarkan hadis di atas umum untuk semua sembahyang termasuk Zohor, Asar dan Maghrib. Samada untuk orang yang berpuasa ataupun tidak.
Dalil 2:
Hadis Aisyah r.a., katanya: “Bahawa Nabi s.a.w. apabila masuk ke rumahnya ia memulakan dengan bersiwak.” (HR Muslim)
Petunjuk dari hadis:
Hadis di atas umum untuk semua waktu ketika masuk rumah, samada untuk yang berpuasa ataupun tidak; samada sebelum tergelincir ataupun selepasnya.
Dalil 3:
Hadis Aisyah r.a., dari Nabi s.a.w.: “Siwak dapat membersihkan mulut dan diredhai Allah.” (HR al-Bukhari, Ahmad, Al-Nasa’I & Ibnu Hibban)
Petunjuk dari hadis:
Hadis di atas menggalakkan agar bersiwak. Ia berbentuk umum tanpa dikaitkan dengan waktu tertentu.
Hujah pendapat kedua:
Dalil 1:
Hadis Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w.: Demi diriku di dalam genggamanNya bahawa bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi. (HR al-Bukhari)
Petunjuk dalil:
Bau dari mulut orang yang berpuasa seperti yang disebutkan di dalam hadis akan hilang disebabkan bersiwak. Oleh itu jelaslah hukumnya adalah makruh.
Sanggahan:
Ibnu al-Qaiyim menolak petunjuk dalil di atas dengan:
a. Berkumur-kumur (ketika berwudhu’) itu lebih dapat menghilangkan bau mulut berbanding bersiwak. Sedangkan berkumur-kumur itu secara ijmak disyariatkan termasuk bagi orang yang sedang berpuasa.
b. Keredhaan Allah (kerana bersiwak) itu lebih besar berbanding mencari keharuman bau mulut orang berpuasa.
c. Kecintaan Allah terhadap bersiwak lebih besar berbanding kecintaannya terhadap bau mulut orang yang berpuasa.
d. Bersiwak tidak menghalang keharuman bau mulut orang yang berpuasa di sisi Allah pada hari kiamat.
e. Bersiwak tidak menghilangkan bau mulut orang yang berpuasa. Kerana punca bau itu masih tetap ada (sekalipun bersiwak), iaitu perut yang kosong.
f. Nabi s.a.w. mengajar umatnya apa yang disunnahkan dan apa yang dimakruhkan semasa berpuasa. Dan, siwak tidak dinyatakan sabagai perkara yang dimakruhkan.
Dalil 2:
Hadis Khubab bin al-Art r.a., bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda: Apabila engkau berpuasa, bersiwaklah pada waktu pagi, jangan bersiwak pada waktu petang. Sesungguhnya tidak ada orang yang berpuasa yang kering dua bibirnya pada waktu petang melainkan terdapat cahaya antara dua matanya pada hari kiamat. (HR al-Baihaqi – Dha’if)
Sanggahan:
Hadis Khubab di atas adalah hadis dha’if, tidak boleh digunakan sebagai hujah.
Dalil 3:
Kesan ibadah yang menjadi saksi yang baik makruh dihilangkan seperti menghilangkan darah orang mati syahid.
Sanggahan:
Larangan menghilangkan darah orang yang mati syahid ada nash yang melarangnya. Sedangkan tidak terdapat nash yang melarang menghilangkan bau mulut orang yang berpuasa.
Tarjih:
Dibenarkan dan tidak makruh bersiwak bagi orang yang berpuasa pada setiap waktu termasuk selepas gelincir matahari. Kerana nash-nash yang ada adalah berbentuk umum tanpa mengkhususkan waktu-waktu tertentu.
Ibnu al-Qaiyim berkata: Tiada nash yang sah dari Rasulullah s.a.w. yang melarang orang yang berpuasa bersiwak dari awal siang hingga akhirnya. Malah nash yang ada menunjukkan sebaliknya.
7. Hukum bersiwak di khalayak orang
Terdapat dua pendapat:
Pendapat pertama: Jumhur ulama; Bersiwak disunnahkan dalam setiap keadaan sekalipun di hadapan khalayak orang ramai.
Pendapat kedua: Malikiah; tidak boleh bersiwak di dalam masjid dan di khalayak orang ramai.
Hujah pendapat pertama
Dalil 1:
Hadis Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Kalaulah tidak menyusahkan umatku nescaya aku akan perintahkan mereka bersiwak pada setiap sembahyang. (HR al-Bukhari)
Dalil 2:
Hadis Abu Burdah dari bapanya, aku datang kepada Rasulullah s.a.w, ku dapati Baginda s.a.w. sedang menggosok giginya dengan kayu siwak di tangannya dan berbunyi ugh! Ugh! Seolah-olah akan muntah.(kerana menggosok lidah) (HR al-Bukhari)
Petunjuk dalil:
Menunjukkan kuatnya gesaan bersiwak dan ia tidak dikhususkan untuk gigi sahaja. Dari itu ia termasuk di bawah bab kebersihan dan perhiasan, bukan di bawah bab menghilangkan kotoran. Kerana itu Baginda s.a.w. tidak bersembunyi ketika bersiwak.
Hujah pendapat kedua
Dalil:
Bersiwak adalah menghilangkan kotoran, oleh itu orang yang bermaruah tidak patut melakukannya di hadapan khalayak.
Sanggahan:
Hadis Abu Burdah dari bapanya menunjukkan bahawa bersiwak tidak patut disembunyikan dari khalayak ramai.
Tarjih
Bersiwak itu sunnah pada setiap keadaan khasnya ketika hendak mendirikan sembahyang. Sebagaimana kita tahu bahawa sembahyang fardu yang lima dikerjakan secara berjamaah di masjid. Dengan itu bersiwak di khalayak ramai adalah sunnah, kerana Nabi s.a.w. memerintahkannya, melakukannya sendiri dan tidak menyembunyikannya.
8. Alat siwak
Disukai bersiwak dengan kayu yang lembut serta dapat membersihkan mulut, tidak melukakan dan tidak memudaratkan, seperti kayu arak, pelepah kurma dan zaitun.
Paling afdhal ialah kayu arak kerana sifat-sifatnya yang dapat membesihkan mulut dan kerana Nabi s.a.w suka kepada kayu ini berdasarkan Hadis Hasan riwayat Ahmad dan lain-lain dari Abdullah bin Mas’ud.
Kayu arak juga ternyata mengandungi bahan yang baik untuk gigi berdasarkan penyelidikan dan pengakuan pakar-pakar dalam bidang ini.
Terdapat beberapa syarikat perniagaan yang telah mengeluarkan produk ubat gigi berasaskan kayu arak tanpa campuran sebarang bahan kimia.
Penggunaan berus dan ubat gigi: Ia mempunyai keistimewaannya, di mana berus gigi dapat memudahkan manusia membersihkan celah-celah gigi. Manakala ubat gigi pula mengandungi bahan yang dapat membersihkan gigi.
Bersiwak dengan jari:
Para fuqaha telah sepakat mengatakan bahawa jari jika lembut digunakan untuk bersiwak tidak dapat dikatakan sebagai bersiwak.
Jika jari itu kesat, apakah dapat dikatakan sebagai bersiwak?
Pendapat pertama:
Dapat dikatakan sebagai bersiwak. Ini adalah pendapat Ahnaf, Malikiah, Hanabilah dalam satu riwayatnya, al-Nawawi dan Ibnu Qudamah.
Pendapat kedua:
Tidak dapat dikatakan sebagai bersiwak. Ini adalah pendapat al-Syafi’iyah dan mazhab masyhur di kalangan Hanabilah.
Tarjih
Dapat dikatakan sebagai bersiwak dengan jari jika ketika itu tidak ada sesuatu yang lain yang dapat digunakan untuk bersiwak. Kerana firman Allah Taala: Bertaqwalah semampu kamu.(At-Taghabun: 16)
Dan sabda Rasulullah s.a.w.: Apabila aku memerintahkan kamu dengan suatu perkara, lakukannyalah semampu kamu. (HR al-Bukhari)
9. Cara bersiwak
- Disukai bersiwak dari arah kanan mulut berdasarkan kias dengan wudhuk.
- Jumhur fuqaha’ menyatakan disukai bersugi secara melintang berdasarkan beberapa hadis dha’if.
- Disukai juga membersihkan lidah dengan siwak berdasarkan hadis Abu Burdah r.a.
- Ibnu Abidin menyatakan disukai bersiwak dengan tangan kanan, kerana ia adalah perbuatan bersuci (tathahhur) hendaklah dengan tangan kanan, manakala perbuatan menghilangkan kotoran hendaklah dengan tangan kiri.
- Al-Hafiz al-Iraqi juga berpendapat demikian.
- Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah menyatakan, lebih afdhal dengan tangan kiri kerana bersiwak termasuk dalam bab menghilangkan kotoran.
- Disukai membasuh siwak sebelum dan selepas menggunakannya.
- Dibolehkan berkongsi siwak.
- Bagi yang menggunakan gigi palsu hendaklah bersiwak juga untuk mendapatkan amalan sunnah. Tidak mengapa ia dicabut dan dibersihkan.
10. Faedah bersiwak
- Faedah dari segi agama, iaitu diredhai Allah
- Dalam kehidupan, dapat membina keperibadian yang bersih dan sihat.
Sekian
zain y.s
Pekan Nanas, Johor - Wednesday, April 27, 2005