Kebiasaannya, apabila munculnya Ramadhan, anak-anak yatim dan penuntut-penuntut ilmu (khususnya penghafaz al-Quran) akan diberikan perhatian oleh masyarakat untuk berbuat kebajikan kepada mereka. Alhamdulillah, itulah sebaik-baiknya. Sewajarnya kita semua berlumba-lumba berbuat kebajikan demi mendapatkan keredhaan ALLAH setiap masa, apatah lagi pada bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan.
Apa yang mahu disentuh dalam tulisan ini ialah mengenai cara masyarakat berbuat kebajikan kepada golongan yang kita sama-sama kasihi ini. Tindakan membawa anak-anak yatim dan penuntut-penuntut ilmu agama ke majlis-majlis besar seperti di hotel-hotel atau restoran-restoran besar mempunyai implikasi negatif terhadap mereka yang selama ini telah ditarbiyah dengan baik oleh guru-guru masing-masing.
Apakah implikasi negatif itu?
Sebagai seorang yang pernah merasa menjadi anak yatim dan belajar di sekolah berasrama penuh aliran agama, ingin saya kongsikan beberapa implikasi negatif yang mungkin boleh timbul dari tindakan masyarakat yang menjemput dan menjamu anak-anak yatim dan penuntut-penuntut ilmu agama di hotel-hotel atau restoran-restoran besar.
Antaranya ialah:
- Pertama, perbuatan menjamu anak-anak yatim dan penuntut-penuntut ilmu agama ini boleh mencemarkan hati mereka yang sedang ditarbiyah cintakan akhirat. Kecintaan kepada dunia dan isinya akan mula tersemai apabila mereka didedahkan dengan makanan yang mewah, sedap, malah membazir pula.
- Kedua, sifat redha dan qanaah yang mula menyubur di dalam hati mereka sepanjang proses tarbiyah, bakal terbantut di tengah jalan akibat didedahkan kemewahan premis dan keindahan pakaian tetamu dalam majlis tersebut. Selama mereka hidup dalam kalangan mereka, sifat redha dan qanaah bisa ditanamkan di dalam hati. Namun, akibat didedahkan dengan pemandangan baru yang disebut di atas, lalu timbul pula keinginan baru dalam hati mereka seperti makanan yang sedap-sedap, pakaian yang berwarna-warni, tempat tinggal yang mewah, gajet yang canggih dan pengangkutan yang selesa. Angan-angan dan keinginan ini mungkin menyinggah di dalam hati mereka akibat pancaindera mereka yang melihat dan merasa sesuatu yang selama ini tidak biasa kepada mereka.
- Ketiga, hati mereka yang tidak bermaksiat mula tertanam bibit hitam yang kecil akan maksiat apabila ada sebahagian majlis-majlis yang meraikan mereka dihiburkan dengan artis hiburan. Nyanyian dan hiburan sahaja sudah bisa mencemarkan sedikit hati suci mereka, inikan pula kadang-kadang tanpa segan silu, artis-artis ini datang mendampingi mereka dengan tujuan untuk menggembirakan mereka.
Saya pernah melalui sebahagian dari hal di atas. Dan sungguh, ia mendatangkan perasaan yang sangat tidak selesa kepada hati kerana sangat bertentangan dengan kehidupan biasa-biasa dan ala-kadar serta tarbiyah yang selama ini dijalani.
Sebagaimana saya tidak redha dengan cara sebegini, saya rasa yang lain-lain juga tidak redha. Lebih-lebih lagi kepada pelajar-pelajar penghafaz al-Quran yang rutin dan disiplin kepada agama lebih berat. Tentunya upacara meraikan mereka dengan cara di atas sedikit sebanyak mencemarkan hati dan jiwa agama mereka.
Cadangan
Buat para dermawan dan hartawan yang bermurah hati ingin meraikan anak-anak yatim dan penuntut-penuntut ilmu agama pada bulan Ramadhan, ingin saya membuat beberapa cadangan seperti berikut:
- Menyalurkan kewangan supaya pihak yang bertanggungjawab ke atas mereka dapat menggunakan dana tersebut untuk menampung kos operasi dan pembangunan infrastruktur rumah anak yatim atau sekolah mereka.
- Mewaqafkan kemudahan atau peralatan-peralatan yang diperlukan oleh pihak rumah anak yatim atau sekolah mereka.
-
Jika mahu menjamu anak-anak yatim atau penuntut-penuntut sekolah agama, maka eloklah dilakukan di premis mereka sendiri iaitu di rumah anak-anak yatim itu sendiri atau sekolah penuntut-penuntut agama yang terbabit. Antara kebaikan yang boleh terbit melalui cara begini ialah:
- Rutin harian mereka yang sedang dalam proses tarbiyah tidak terganggu.
- Anak-anak yatim dan penuntut-penuntut ilmu agama tidak dicemarkan dengan kehidupan manusia yang hidup dengan cara bermewah-mewahan dan pembaziran dalam makanan, minuman dan cara berpakaian. Syukur, redha dan qanaah mereka akan terjaga.
- Dapat mencegah anak-anak yang suci hati mereka ini dari terlibat dengan dosa pembaziran, dosa pancaindera dan lain-lain yang boleh melemahkan agama dan maruah mereka.
- Dapat menjimatkan kos-kos secara langsung atau tidak langsung seperti pengangkutan, jamuan hotel yang mahal, pakej hiburan dan sebagainya.
- Dapat mendedahkan para dermawan, hartawan dan orang ramai akan kehidupan sebenar anak-anak yatim atau penuntut-penuntut ilmu agama yang mana sebahagian besarnya perlu dibantu lantaran kedhaifan nasib mereka.
- Jika media terlibat membuat liputan mengenai program tersebut, maka yang mendapat promosi ialah rumah anak yatim atau sekolah agama tersebut, bukannya hotel-hotel atau restoran-restoran besar. Tentulah ini akan lebih membuka mata dan hati orang ramai untuk tahu seterusnya terlibat sama membantu pada masa yang lain.
- Penduduk rumah anak yatim atau penuntut ilmu agama akan berasa bahagia atas kesudian para dermawan, hartawan dan masyarakat untuk menjenguk mereka di premis mereka yang serba dhaif itu.
- Jika mahu juga dibawa anak-anak yatim atau penuntut-penuntut ilmu agama keluar bagi meraikan mereka sempena Ramadhan, maka lebih elok jika diraikan mereka di masjid atau surau. Program-program sampingan seperti tadzkirah boleh diadakan dengan ahli qariah turut sama terlibat meraikan anak-anak yatim dan penuntut-penuntut ilmu agama ini. Suasana juga terkawal.
- Selain masjid atau surau, tempat-tempat yang mulia dan baik darjatnya seperti universiti atau kolej boleh juga dipertimbangkan untuk dibawa mereka keluar ke sana bagi menaikkan motivasi mereka kepada usaha menaikkan taraf diri mereka melalui ilmu. Bukan di hotel-hotel atau di restoran-restoran besar!
Seorang anak yatim melukis gambar ibunya di atas lantai, lalu di tidur di sampingnya...
Itulah antara yang mahu saya sampaikan dalam tulisan ini. Sebenarnya telah lama ia berlegar di dalam kepala saya apabila saya melihat penjamuan anak-anak yatim dan penuntut-penuntut ilmu agama di hotel-hotel dan restoran-restoran besar semakin menjadi kebiasaan masyarakat. Malah sudah jadi satu fenomena setiap kali Ramadhan tiba. Ada baiknya jika nasihat diberi.
Selagi tidak membazir, tidak bercampur lelaki-perempuan dan tiada unsur-unsur hiburan yang dilarang agama, ia bukanlah suatu yang salah 100%. Tetapi memandangkan ada cara yang lebih baik dan lebih sejahtera kepada anak-anak yatim dan penuntut-penuntut ilmu yang sama-sama kita kasihi ini, maka sangat eloklah para dermawan, hartawan dan masyarakat memberikan perhatian dan kerjasama dalam menambahbaikkannya. InsyaALLAH, beberapa cadangan di atas lebih memberikan manfaat yang banyak jika kita laksanakan.
Semoga ALLAH Ta`ala memelihara anak-anak yatim, penuntut-penuntut ilmu agama dan kita semua dengan hidayah dan taufiqNYA. Serta diberikan keberkatan hidup dan penerimaan amal buat para dermawan, hartawan dan masyarakat yang sangat bermurah hati melakukan sumbangan dan berlumba-lumba mengejar kebaikan pada bulan yang penuh barakah ini, amin.
Sekadar berkongsi pendapat,
Allahu A`lam.
muzir.wordpress.com 9 Julai 2012*Sumber: http://muzir.wordpress.com/2012/07/09/jangan-cemarkan-hati-anak-anak-yatim-penuntut-ilmu-agama/