Penjelasan Kepada Pelayar al-ahkam.net tentang “Akta Jenayah Agama”

Primary tabs

Berdasarkan kenyataan Islamic Renaissance Front (IRF) melalui Dr Ahmad Farouk Musa, Pengerusi dan Pengarahnya, yang di siarkan di al-ahkam.net [LINK] berkaitan akta jenayah agama, terdapat reaksi dari pengunjung al-ahkam.net dan warga grup maya Islam lainnya.

Kenyataan IRF ini dibuat ekoran dari pemeriksaan oleh pihak JAIS ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC). Serbuan berkenaan dibuat berdsarkan aduan bahawa terdapat umat Islam di dalam gereja ini yang didakwa akan dimurtadkan.

Dr Ahmad Farouk Musa, antara lain menyatakan "Agama adalah keyakinan peribadi. Negara tidak punyai kuasa untuk mencampuri urusan agama yang dipilih seseorang. Seseorang bertanggungjawab kepada Tuhan atas keputusan yang diambil dalam hidupnya. Kerana itu adalah sangat menjengkelkan bahawa penggubal undang-undang mencadangkan penubuhan Akta Jenayah Agama untuk diwartakan oleh Kerajaan."

Para pengunjung sebahagiannya berpendapat bahawa isi kenyataan berkenaan adalah dari orang yang berpemikiran Islam liberal.

Berikut ini adalah jawapan dari pihak IRF terhadap tanggapan berkenaan. Versi Bahasa Inggeris boleh dibaca di sini [LINK]:

 



 

Penjelasan Kepada Pelayar al-ahkam.net tentang “Akta Jenayah Agama”

14-08-2011

Pertama sekali, terima kasih kepada semua komen. Rumusan keseluruhan memperlihatkan bahawa pelayar internet tersisih pohon kerana rantingnya.

Esensi kenyataan itu adalah untuk menyatakan bahawa negara TIDAK punya sebarang urusan sama sekali dalam perkara berkait agama. Kepercayaan adalah isu peribadi dan negara patut menghindar daripada cuba menzahirkan kuasanya dalam hal tersebut. Al-Qur’an tidak menjelaskan tentang hukum duniawi terhadap perbuatan murtad. Oleh itu sebarang bentuk hukuman adalah dianggap bertentangan dengan semangat al-Qur’an sepertimana prinsip utamanya adalah “TIDAK harus ada paksaan dalam agama” [2:256].

Seseorang tidak mungkin menemui dalam al-Qur’an sebarang pernyataan tentang hukuman murtad (riddah). Menurut sebuah hadith sahih, Rasulullah (saw) TIDAK mengambil sebarang tindakan terhadap Muslim yang melakukan riddah [Ibn Hisham, as-Seerah an-Nabawiyah (saw)].

Dr Jamal BadawiSebagaimana dijelaskan oleh kebanyakan ilmuwan Islam semasa termasuk Syaikh Taha Jabir al-Alwani, Dr Jamal Badawi dan Dr Louay Safi bahawa hukuman hanya boleh dilaksanakan apabila terdapat bukti pengkhianatan dan hasutan. Sekali lagi, pengkhianatan dan hasutan adalah isu negara, bukan berdasar tindakan peribadi. Negara hanya boleh campur tangan apabila melibatkan urusan negara.

Syaikh Taha Jabir al-Alwani menerangkan dengan terperinci tentang isu ini dalam bukunya “La Ikraha fid-Deen” yang telah diterjemahkan oleh Institut Kajian Dasar (IKD) sebagai “Tiada Paksaan dalam Agama” [ISBN: 9838440875]. IRF dan IKD telah menganjurkan sesi bedah  buku di Hotel JW Marriott pada Ramadan lepas bersama mahasiswa lulusan al-Azhar yang menterjemahkan buku tersebut. Isu kebebasan agama telah dibincangkan dan diperdebat dengan ekstensif dan teliti dalam majlis tersebut.

Pendirian kami dalam hal ini sentiasa jelas dan konsisten. Demikian ini adalah pendirian yang diambil oleh kebanyakan ulama Islam kontemporer dan ia memperlihatkan bahawa Islam adalah agama yang sangat pengasih yang menyeru manusia supaya berfikir dan bukan bertaklid buta.

Menyentuh tentang komentar kami tentang kekasaran pihak polis dan JAIS, kami tidak ragu untuk mengulangi bahawa sebarang tindakan menceroboh majlis tertutup tanpa sebarang waran yang sah adalah perbuatan yang tidak beradab. Majlis Peguam, NGO hak kemanusiaan SUARAM dan Persatuan Bekas Pesuruhjaya  Suhakam, Proham, juga menegaskan bahawa ketiadaan waran ketika serbuan dilancarkan di Gereja Methodist Damansara Utama adalah tindakan yang tidak dapat diterima.

Malaysiakini telah melaporkan bahawa Proham juga melahirkan kebimbangannya terhadap peranan polis dalam serbuan tersebut. Menurut Proham, sementara polis telah menegaskan bahawa mereka hanya menemani pegawai-pegawai JAIS, kehadiran polis dan keberadaannya menjadikan mereka sebahagian daripada pasukan serbuan, dengan itu membiarkan komuniti Kristian tanpa unit kuasa yang bebas untuk disuarakan rayuan.

Proham malah menyeru Ketua Polis Negara untuk menilai semula peranan polis dalam tindakan tersebut kerana ia menimbulkan pandangan negatif terhadap PDRM. Mana-mana pertubuhan yang mempunyai pengiktirafan yang tinggi terhadap kesopanan dan hak kemanusiaan akan bangkit membantah tindakan tidak beradab sedemikian. Adakah kritikan sedemikian membuatkan semua pertubuhan diatas menjadi ahli PR (Pakatan Rakyat)?

IRF sentiasa konsisten dalam pendiriannya berhubung apa jua isu yang memperlihatkan keangkuhan dan sikap autoritarian. Pada Nov 2009, saya secara peribadi merangka kenyataan media mewakili lembaga pengarah IRF dan MPF tentang drama penahanan Ustaz Mohd Asri Zainul Abidin oleh JAIS. Banyak media portal atas talian yang menyiarkan kenyataan tersebut.

Di bawah ini adalah kenyataan media sebagai membuktikan sikap konsisten kami. Kami mengutarakan secara langsung bantahan kepada ketidakadilan biar siapapun ia dan dimana pun ia berlaku tanpa mengira akidah dan kepercayaan.

 

Dr Ahmad Farouk Musa

* Diterjemahkan oleh Ahmad Nabil Amir (PhD Usuluddin)


 

 

Kenyataan Bersama IRF/MPF tentang Episod Penahanan Doktor Asri

2009-11-05

 

Penahanan bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin oleh para pegawai daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah majlis tertutup dalam kawasan perumahan pada 1 November membangkitkan semula pertanyaan tentang kebebasan intelek di Malaysia, khususnya mengenai Islam.

Alasan yang diberikan oleh JAIS bahawa Dr Asri tidak mempunyai tauliah agama daripada JAIS untuk mengajar Islam menyalahi semangat kebebasan intelek dalam sejarah Islam. Ia juga memberikan peluru kepada penghujah dan pengkritik JAIS selama ini bahawa Jabatan itu tidak lain hanyalah perkakas kepada kumpulan kecil ilmuwan agama yang sentiasa cuba memaksakan pandangan mereka kepada yang lain.

Dengan menyerbu ceramah agama yang disampaikan oleh seseorang yang pernah menjawat Mufti kerajaan, dan paling tidak, telah mempunyai kelayakan akademik untuk menjelaskan akidah Islam, JAIS telah menunjukkan bahawa ia tidak bersedia untuk menjawab kritikan terhadapnya di atas platform akademik, dan terpaksa menggunakan cara dan taktik yang angkuh.

Kami juga kesal bahawa sesetengah pihak bersikap terlalu liberal dalam melabel dan mengecap ulama’ Islam berdasarkan pandangannya sahaja, dengan maksud untuk merendahkan shaksiyah ulama tersebut daripada menjawab pandangannya dengan dalil dan hujah berlandaskan al-Qur’an dan as-Sunnah. Dengan menggunakan hujah usang untuk melindungi masyarakat Islam di Malaysia daripada kekeliruan, kumpulan ini telah mempamerkan ketidakupayaan mereka untuk menggarap semangat Islam dan hanya menggali lubang untuk mereka bersembunyi setiap kali dicabar secara intelek.

Sekiranya seseorang menyingkap semula sejarah, punca perkembangan dunia Islam pada era terawal adalah penekanan terhadap “kebebasan bersuara”, sebagaimana dirumuskan oleh al-Hashimi (sepupu kepada Khalifah al-Ma’mun) dalam warkahnya kepada salah seorang musuh agama yang cuba diajak kepada Islam berlandaskan hujah akal:

“Bawa kehadapan semua hujah yang engkau ingin dan kemukakan apa sahaja yang engkau mahu dan luahkan pandanganmu dengan bebas. Sekarang kamu selamat dan bebas memperkatakan apa yang kamu senangi, lantiklah pengadil yang akan mengadili dengan objektif antara kita dan cenderung hanya pada kebenaran dan lepaskanlah diri daripada kedangkalan nafsu, dan pengadil itu adalah Akal, dari mana Tuhan meletakkan pada pundak kita tanggungjawab untuk menerima balasan pahala dan azab.

Di sini daku telah bermusyawarah bersamamu dengan adil dan telah memberikanmu keselamatan yang sempurna dan bersedia menerima apa jua keputusan yang Akal akan tetapkan untukku atau ke atasku. Kerana “Tidak harus ada paksaan dalam agama” [2:256] dan daku hanya mengajakmu untuk menerima kepercayaan kami dengan penuh kesedaran dan dengan kehendakmu sendiri dan telah menunjukkan kepincangan agama yang kamu anuti sekarang. Kesejahteraan ke atasmu dan moga dilimpahi rahmat Tuhan!”

Setiap manusia mempunyai hak, yang dijamin oleh al-Qur’an, untuk bebas mengikut dan melahirkan keyakinannya, tanpa mengira sama ada ianya benar atau salah. Dengan menekankan hak manusia untuk mengikut keyakinannya, al-Qur’an mengulangi pendirian yang tuntas dipertahankan, yang diungkapkan oleh salah seorang Nabi (as) yang terawal, Nuh (as): “Berkata [Nuh]: Wahai kaumku! Apa pendapatmu? Sekiranya [benar] aku berpijak di atas landasan bukti yang jelas daripada Tuhanku, yang telah menganugerahkan rahmatnya kepadaku – [wahyu] yang kamu tidak meyakininya – [sekiranya ini benar] dapatkah kami memaksamu walaupun kamu tidak menyukainya? [11:28].

Forum Profesional Muslim [MPF] dan Fron Kebangkitan Islam [IRF] menyeru JAIS supaya ikhlas menyempurnakan tugas mereka sebagai pembela agama. Jika tidak, JAIS hanya akan menjadi seperti senarai panjang institusi lain yang perlu dirombak seluruhnya supaya Islam dapat menuntut semula kedudukan dan statusnya yang sebenar sebagai agama yang berteraskan akal dan pengetahuan. Kami juga menyeru kumpulan dan pertubuhan Islam lain untuk menghormati hak berbeza pendapat dan mempertahankan kebebasan bersuara, dan berhujah berlandaskan hikmah dan bukan berdasarkan khabar angin atau serangan peribadi, kerana inilah satu-satunya kaedah Islam dalam menangani isu yang memberi implikasi pada ummah.

 

Dr Ahmad Farouk Musa

Dr Sheik Johari Bux

Manan Razali

Dr Mazeni Alwi

Dr Musa Nordin

Dr Jeffrey Hassan

Ali Ghazali

Lembaga Pengarah

Islamic Renaissance Front [IRF]

Muslim Professionals Forum [MPF]


* Diterjemahkan oleh Ahmad Nabil Amir (PhD Usuluddin)