Berjalan Semasa Tidur di Siang Hari

Primary tabs

Oleh: Abong

(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah (matlamat dan pandangan) dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. - Ar Ruum, 30

Adakah kita mempunyai pandangan yang jelas mengenai kehidupan kita? Apa matlamat jangka masa panjang atau impian yang kita ada dalam kehidupan, kerjaya, kesihatan, perhubungan, kekayaan atau rohani? Adakah kita benar-benar mengejar dan mencari matlamat-matlamat ini? Atau kita hanya membiarkan matlamat-matlamat ini bersarang di dalam fikiran kita sahaja?

Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada hari kiamat) dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan. -Al Baqarah, 86

Orang yang berjalan didalam mimpi (OBDM) - Adalah mereka yang menjalani kehidupan mereka dalam keadaan mereka tidak sedar. Menjalani kehidupan secara sedar bukan semata-mata dari aspek sedar secara fizikal (mata yang terbuka) - Ramai orang disekeliling kita yang sedar secara fizikal, tapi masih lagi hidup dalam keadaan 'tidak sedar' (tak faham? pening?) Maksud saya adalah mereka masih lagi tidak menyedari siapa diri mereka, apakah peranan mereka dalam hidup ini (dalam konteks yang lebih besar) dan apakah matlamat sebenar mereka didalam kehidupan ini.

Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal? - Al Baqarah, 44

OBDM kelihatan sama seperti kita semua, tapi hanya dari aspek luaran dan fizikal sahaja. Pernahkah kita melihat orang yang tidak mempunyai pandangan yang jelas dalam kehidupan mereka? Ramai bukan? Orang yang hanya hidup berdasarkan rutin dari sehari ke sehari, tidak pernah memikirkan tentang masa depan mereka dan tidak pernah memikirkan apa sebenarnya yang mereka impikan dalam kehidupan ini. Mereka ini tidak mampu menyatakan apakah kehidupan yang mereka lalui. Setiap hari mereka hanya meneruskan kehidupan melakukan aktiviti-aktiviti seperti pergi bekerja, bermain, bersosial, tidur, tapi masih gagal memanfaatkan setiap aktiviti itu dengan makna kehidupan yang lebih besar. Hanya itu yang mereka faham tentang kehidupan.

Ciri-ciri dibawah adalah ciri-ciri OBDM
1. Kurangnya kesedaran tentang makna kehidupan yang lebih besar.

Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya. - Al Baqarah, 9

Apakah makna kehidupan kepada anda? Adakah ia berlegar di sekitar pergi ke sekolah/ kerja, balik rumah, makan, tidur, dan berseronok? Tidak seperti apa yang sesetengah diantara kita fikirkan ialah ruang lingkup kehidupan adalah berlegar di sekeliling kita dan orang-orang disekeliling kita sahaja. Pada hakikatnya, dunia kehidupan ini adalah lebih besar dari ruang lingkup itu, diluar persekitan kerjaya kita, keluarga kita, kawan-kawan, dan agama. OBDM tidak menyedari bahawa kehidupan mereka adalah sebahgian daripada kehiduapan dunia yang lebih besar. Mereka tidak menyedari bahawa mereka juga mempunyai peranan dalam dunia ini, peranan dalam sejarah manusia dan sebahagian dari sesuatu yang lebih besar dari apa yang mereka lihat sehari-hari. Apa yang bermain di minda kita bila kita sebut tentang kehidupan?

2. Tidak menjalani kehidupan selari dengan matlamat sebenar.

Dan kepada Allah jualah tertentunya urusan memberi panduan yang menerangkan jalan yang lurus dan di antara jalan-jalan yang dituju ada yang terpesong dari kebenaran dan jika Dia kehendaki, tentulah Dia memberi petunjuk kepada kamu semua (yang menyampaikan ke jalan yang lurus itu). An Nahl, 9

Adakah anda tahu matlamat anda dalam kehidupan ini? Adakah anda jelas tentang apa yang anda mahu capai dalam kehidupan 5 tahun dari sekarang, 15 tahun, dan 30 tahun? Atau adakah ianya masih kabur dan masih belum ditetapkan? OBDM tidak menyedari tentang matlamat hidup mereka. Mereka mempunyai matlamat yang kabur, masih lagi tercari-cari semasa dalam proses menjalani kehidupan - dan mereka sendiri tidak yakin dengan apa yang dicari itu. Ada yang telah mempunyai idea dan gambaran tentang impian dan objektif, tapi mereka meletakkan semua itu keutamaan nombor 2, dan meletakkan matlamat dan harapan orang lain terhadap mereka sebagai keutamaan nombor 1.

3. Membiarkan kehidupan ini berlalu secara sendiri (auto-pilot).

Dan (pada masa yang mengecewakan itu) berkatalah orang-orang yang menjadi pengikut: Alangkah eloknya kalau kami dikembalikan semula ke dunia, maka (dengan itu dapat) kami berlepas diri daripada mereka sebagaimana mereka berlepas diri daripada kami (pada saat ini)! Demikianlah Allah perlihatkan kepada mereka amal-amal mereka (dengan rupa yang mendatangkan) penyesalan yang amat sangat kepada mereka dan mereka pula tidak akan dapat keluar dari Neraka. - Al Baqarah, 167

Adakah anda diantara mereka yang terperangkap didalam arus kehidupan yang telah ditentukan oleh orang lain atau anda diantara merka yang sama-sama terlibat dalam perlumbaan materealistik? OBDM hidup dalam keadaan automatik, membuat aktiviti yang sama berualang-kali tanpa kesedaran yang jelas dalam mengawal aktiviti tersebut. Setiap hari yang berlalu, mereka menanti hujung minggu Jumaat, Sabtu dan Ahad, kemudian mereka cas semula tenaga untuk mengharungi hari-hari tidak bernyawa untuk minggu seterusnya. Kitaran ini berlalu dan berlangsung dari minggu ke minggu, tanpa ada penghujung. Mereka begitu selesa dengan kitaran ini dan tidak perlu lakukan apa-apa perubahan terhadapnya.

Sekali-sekala sesuatu mungkin berlaku yang mungkin merencatkan sedikit kitaran selesa itu, seperti perubahan dari fasa kehidupan yang berbeza (dari bujang ke alam perkahwinan), pertukaran kerjaya, hilang kerja dan sebagainya. Ini dikatakan sebagai krisis sementara dalam kehidupan. Apabila ini berlaku, mereka seperti mendapat panggilan untuk bangkit dari mimpi. Mereka mula sedar yang mereka masih belum mencapai apa yang diingini dalam kehidupan. Pada saat ini, ada yang mula mengambil langkah aktif dalam mengatur kehidupan mereka. Lebih malang, ada yang memilih untuk kembali kepada keadaan kehidupan asal mereka, dengan cuba meyakinkan diri mereka bahwa itulah kehidupan mereka yang terbaik.

4. Terlibat dalam aktiviti-aktivit yang tidak menambah nilai dalam kehidupan

Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat (atau sia-sia) pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami? - Al Mu'minuun, 115

Apabila OBDM tidak merasakan mereka sibuk dalam arus kehidupan yang dilalui, mereka mengisi ruang-ruang kosong yang ada dalam kehidupan dengan aktiviti-aktivit yang pelbagai. Ini termasuk ketagihan terhadap bermain permainan video, bersosial, makan, menonton TV, melayari internet tanpa ada apa-apa tujuan, bergosip sana-sini, membuat komplen dan sebagainya. Mereka ini tidak mampu menyekat diri sendiri dari berhenti melakukan semua ini sehingga muncul faktor dan stimulus luar yang terus memisahkan diri mereka dari aktiviti-aktiviti ini semua (contoh mudah; masa untuk tidur terpaksa dicuri, dan tiada masa untuk makan tengahari). Mereka tidak mampu menyatakan tujuan atau sebab kenapa mereka terpaksa melakukan semua aktiviti-aktiviti itu melainkan hanya mampu mengatakan, " Kerana ia menyeronokkan", "Saya suka berbuat begitu", atau "Saya tiada apa-apa yanghendak dibuat, maka saya buat la aktiviti itu".

5. Pasif atau mengelak dalam kehidupan

Oleh itu, berperanglah (wahai Muhammad) pada jalan Allah (untuk membela Islam dari pencerobohan musuh); engkau tidak diberati selain daripada kewajipanmu sendiri dan berilah perangsang kepada orang-orang yang beriman (supaya turut berjuang dengan gagah berani). Mudah-mudahan Allah menahan bahaya serangan orang-orang yang kafir itu dan (ingatlah) Allah Amatlah besar kekuatanNya dan Amatlah berat azab seksaNya. - An Nissa', 84

Ini adalah motif yang biasa dalam mentaliti "Mengharungi hidup dari hari ke sehari", "Hidup dan biarkan sahaja kehidupan". Mereka mengharungi sahaja kehiupan ini dengan "sabar". Kawalan terhadap apa yang terjadi dalam kehidupan diletakkan pada orang-orang disekeliling mereka. Untuk diri mereka sendiri bertanya "Kenapa hidup aku begini?", mempersoalakan kemajuan atau bertanggungjawab atas segala yang berlaku adalah kelihatan seperti bukan sifat semula jadi mereka.

Kadangakala mereka mendapati diri terperangkap dan tidak mendapat kebahagiaan yang dicari, seperti dalam perhubungan atau dalam kerjaya. Walaubagaimanapun, mereka tetap pasif mengenai itu semua kerana mereka berasakan tiada jalan keluar dari semua itu. Jika ditanya apa reaksi mereka, mereka kan menjawab, "Saya mahu berubah/ Saya dah cuba, tapi ...(meletakkan 1001 alasan)". Mereka beranggapan bahwa apa yang mereka hadapi ini adalah pengorbanan yang perlu dibayar untuk sesuatu yang lebih baik menanti di masa depan.

Mereka tidak suka konflik dan cuba mengelak dari menimbulkan isu atau konfrontasi seboleh mungkin. Setelah beberapa kali mengelak, isu yang tidak cuba diselesaikan itu akan sampai ke tahap yang tidak boleh disembunyikan lagi. OBDM akan bertindak secara automatik dengan cuba mengelak atau tidak mengaku bahwa mereka mempunyai isu atau masalah, lalu mereka cuba alih perhatian dengan melakukan aktiviti-aktiviti lain. Malangnya tindakan ini tidak membantu mereka menyelesaikan masalah yang timbul, dan masalah yang disangka akan berlalu dengan masa, akan kembali lagi dalam konteks dan wajah yang berbeza. Ia ibarat seperti burung unta yang menyembunyikan kepalanya didalam tanah. Hanya kerana anda mengelak dan tidak mengaku masalah itu wujud, tidak bermakna masalah itu tidak pernah wujud!

6. Tidak mempunyai masa untuk melakukan apa yang mahu dicapai

Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam Kitab (Al-Quran), iaitu: Apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang munafik dan orang kafir di dalam Neraka Jahanam. - An Nissa', 140

OBDM memang sibuk sepanjang masa - mereka jarang merungut atau mengadu mengenai tidak cukup masa, tidak sempat buat apa yang ingin dicapai dan sebagainya. Tapi mereka tidak menyedari bahwa mereka yang meletakkan diri mereka ditempat tersebut. Apabila ditanya oleh orang lain, mereka tidak dapat menjawab ke mana hilangnya masa 24 jam dalam sehari dihabiskan. OBDM sentiasa menunggu kepada masa depan yang masih tidak pasti (lain kali aku akan buat, minggu depan aku mula berubah dan sebagainya). Setiap apa yang diinginkan dalam kehidupan disandarkan pada masa depan yang belum pasti, dan merka tidak sedar bahwa "lain kali", "minggu depan" dan sebagainya tidak pernah hadir dalm hidup mereka. Ia hanya hadir di mulut semata-mata. Apabila sampai masa mereka benar-benar ingin melakukan apa yang dihajati, sudah banyak masa dibuang untuk memulakannya, dan mereka mula berfikir yang sudah terlambat untuk memulakannya.

7. Tidak menyedari apa yang bermain dalam minda dan emosi

Kemudian sesudah (kamu mengalami kejadian) yang mendukacitakan itu Allah menurunkan kepada kamu perasaan aman tenteram, iaitu rasa mengantuk yang meliputi segolongan dari kamu (yang teguh imannya lagi ikhlas), sedang segolongan yang lain yang hanya mementingkan diri sendiri, menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang tidak benar, seperti sangkaan orang-orang jahiliah. Mereka berkata: Adakah bagi kita sesuatu bahagian dari pertolongan kemenangan yang dijanjikan itu? Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya perkara (yang telah dijanjikan) itu semuanya tertentu bagi Allah, (Dialah sahaja yang berkuasa melakukannya menurut peraturan yang ditetapkanNya). Mereka sembunyikan dalam hati mereka apa yang mereka tidak nyatakan kepadamu. Mereka berkata (sesama sendiri): Kalaulah ada sedikit bahagian kita dari pertolongan yang dijanjikan itu tentulah (orang-orang) kita tidak terbunuh di tempat ini? Katakanlah (wahai Muhammad): Kalau kamu berada di rumah kamu sekalipun nescaya keluarlah juga orang-orang yang telah ditakdirkan (oleh Allah) akan terbunuh itu ke tempat mati masing-masing dan (apa yang berlaku di medan perang Uhud itu) dijadikan oleh Allah untuk menguji apa yang ada dalam dada kamu dan untuk membersihkan apa yang ada dalam hati kamu dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada. - Al Imran, 154

Adakah anda tahu bahwa 60,000 fikiran yang tercetus dalam minda kita setiap hari? Apakah fikiran yang sentiasa ada dan mendominasi otak anda sepanjang hari? Apa yang anda fikir sebelum anda memulakan bacaan anda tentang artikel ini? OBDM sentia biarkan fikiran mereka tidak tersusun. Dan hakikatnya mereka mempunyai kesedaran yang rendah mengenai fikiran-fikiran yang menguasai minda mereka.

8. Kurangnya motivasi dan impian.

(Ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang-orang yang beriman (untuk menguatkan semangat mereka): Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu kamu dengan tiga ribu tentera dari malaikat yang diturunkan?. (124) Bahkan (mencukupi. Dalam pada itu) jika kamu bersabar dan bertakwa dan mereka (musuh) datang menyerang kamu dengan serta-merta, nescaya Allah membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang bertanda masing-masing. (125) Dan Allah tidak menjadikan bantuan tentera malaikat itu melainkan kerana memberi khabar gembira kepada kamu dan supaya hati kamu tenteram dengan bantuan itu dan (ingatlah bahawa) pertolongan yang membawa kemenangan itu hanya dari Allah Yang Maha kuasa, lagi Maha Bijaksana. (126) - Al Imran, 124-126

OBDM tidak bersemangat atau bermotivasi dalam kehidupan mereka. Mereka hanya hidup kerana mereka ada disini (didunia ini). Mereka menjalani kehidupan dengan memenuhi permintaan dan harapan orang lain. Mungkin ada yang mempunyai objektif tertentu, tapi mereka meletakkan itu semua sebagai keutamaan kedua setelah mencapai permintaan dan harapan orang lain yang telah diletakkan keatas mereka.

Adakah antara ciri-ciri diatas wujud dalam diri anda? Atau orang-orang disekeliling anda?
Mungkin ada diantara kita baru sedar bahwa kita juga adalah OBDM didalam kehidupan kita. Bila kita mula-mula bangkit dan sedar dari mimpi itu, kita mungkin terkejut kerana kita mula menghargai betapa kehidupan yang sebenar telah banyak disia-siakan sepanjang kita bermimpi itu. Kita mungkin berasa marah, sedih dan tertekan. Tapi itulah perasaan yang sepatutnya kita rasa!

Apa yang penting sekarang ini adalah apa tindakan yang kita pilih untuk bangkit dari mimpi yang lama ini. Adakah kita akan ambil pil tidur dan kembali menyambung mimpi-mimpi tersebut, dan menanggap semua ini tidak benar? Atau adakah kita berani berdepan dengan realiti dan mula mengambil tindakan aktfi untuk mengatur gerak langkah kehidupan kita?

Mengiktiraf diri sendiri berupaya mengatur segala tindakan dan anda sebenarnya boleh melakukannya sekarang. Dengan kesedaran yang tinggi, tindakan yang dipilih sendiri, anda sebenarnya boleh merencana halatuju dan memilih kehidupan anda sendiri. Kita semua sepatutnya mengatur dan memilih sendiri pilihan-pilihan dalam kehidupan yang akan mendekatkan diri kita terhadap matlamat dan tujuan yang kita sendiri cipta. Tidak kira dimana kita berada sekarang, tidak kira siap pun kita sekarang, tidak kira berapa usia kita - percayalah bahwa perubahan kearah mencapai matlamat dan tujuan hidup masih belum terlambat.

Adalah sangat mudah jika kita memilih untuk kembali tidur dan bermimpi - kembali kepada rutin biasa kehidupan tanpa kawalan sendiri. Tetapi, adakah itu yang kita mahukan? Adakah ini sahaja peranan kita dipilih Allah untuk hidup dan menjadi seorang Muslim? Adakah kita sudah menjadi diri yang terbaik sebagai seorang hamba Allah? Adakah kita sudah mempunyai kehidupa yang terbaik sebagai khalifah Allah di muka bumi?

Apa yang perlu dilakukan selepas berjaya bangkit dari mimpi?

Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya dia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian dia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. - An Nissa', 100

Saya akan akhiri artikel ini dengan petikan kata-kata Socrates dalam filem Peaceful Warrior: "Kematian itu tidak menyedihkan. Apa yang paling menyedihkan ialah: kebanyakan dari kita tidak pernah 'hidup' (masih bermimpi di siang hari) sepanjang hidup mereka".


Sila layari blog penulis: http://www.islamsolusi.com/