Oleh zain-ys
Dakwaan mengatakan bahawa hadis Nabi s.a.w. ditulis selepas beberapa ratus tahun selepas zaman Baginda s.a.w. adalah dakwaan yang tidak benar. Abdullah bin Amru bin al-Ash r.a telah dibenarkan oleh Baginda s.a.w. untuk mencatat hadis ketika Baginda masih hidup. Dan catatannya diberi nama as-Sahifah as-Sadiqah.
Manakala Abu Hurairah r.a. juga mencatat hadis dari Rasulullah s.a.w. dan catatannya diberi nama as-Sahifah as-Sahihah.
As-Sahifah as-Sadiqah Abdullah bin Amru bin al-Ash kemudiannya telah diriwayatkan oleh anak cucunya. Periwatatan ini dapat diperolehi bertebaran di dalam kitab-kitab induk hadis. Contohnya riwayat: Dari Amr bin Syuib, dari ayahnya, dari datuknya.. Ia bermaksud ia diambil dari catatan berkenaan.
Hadis dari catatan as-Sahifah as-Sahihah Abu Hurairah r.a. ialah riwayat dari muridnya iaitu Hammam bin Munabbih, antaranya terdapat banyak di dalam Sahih Muslim. Contohnya bila Hammam bin Munabbih mengatakan: "Ini antara Hadis yang Abu Hurairah riwayatkan kepada kami.." Hammam bin Munabbih memaksudkan, hadis berkenaan beliau perolehinya bukan sekadar dari as-Sahifah as-Sahihah sahaja, bahkan beliau dengar sendiri dari mulut Abu Hurairah r.a. [Nota dari Kuliah SM260111]