Tahukah Anda Apa itu Berkat? Ambil Berkat Dibenarkankah?

Primary tabs

Oleh zain-ys

Ramai yang bercakap tentang berkat. Kita juga sering mendengar 'ambil berkat' 'untuk memperoleh keberkatan' atau seumpamanya.

Tahukah kita apa sebenarnya maksud berkat atau barakah itu? Dan tahukah kita apa hukumnya mengambil berkat dikuburan atau bekas tinggalan tok wali atau sebagainya?

Untuk menjawab persoalan di atas, saya selongkar arkib soaljawab al-ahkam.net.. Dan teruskan pembacaan anda..



Masalah 1: Apa makna berkat?

Tuan Hj Kamin telah menjawabnya di SJ-13-0474 seperti berikut:

Didalam kamus al-Mawrid, barakah (البركة ) bermaksud - "blessing, benediction; good fortune; prosperity; continual good, abundant good; felicity". Didalam kamus Sakhr perkataan barakah bermaksud (النَّماءُ والخَيْر ) - perkembangan dan kebaikan; atau "blessing' didalam Bahasa Inggerisnya. Kamus Sakhr memberi maksud "blessing" sebagai "ask God's favour for; wish happiness or favour to; consecrate; make sacred or holy; call (God) holy". Merriam online dictionary pula mendefinasikan "blessing" sebagai "a thing conducive to happiness or welfare".

Secara umumnya kita oleh menyatakan maksud barakah disini adalah memohon RESTU dari Allah swt agar dikurniakan kebaikkan yang berkembang. Barakah ini tidak syak lagi adalah dengan keizinan Allah swt. Jika seseorang itu memohon Allah agar memberkati resekinya, maka jika Allah kehendaki, dia akan memberi barakah kepada seseorang itu, sebagaimana berkata Nabi Isa as., firman Allah swt : -
وَجَعَلَنِي مُبَارَكًا أَيْنَ مَا كُنْتُ

"Dan Dia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada" [surah al-Maryam : 31].

Allah swt adalah al-Mubaarik (pemberi restu / barakah) dan hambanya adalah al-Mubaarak; seseorang yang diberkati sebagaimana yang dinyatakan didalam ayat diatas. Sifat memberi barakah ini hanyalah milik Allah swt, sebagai dia mensifatkan dirinya :-
تَبَارَكَ اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ

"Maha Suci Allah Yang Mencipta dan Mentadbirkan sekalian alam." [Surahal-A’raaf : 54].

Barakah Allah adalah dimana sahaja dia letakkan, firmannya :-
وَنَزَّلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً مُبَارَكًا

"Dan juga Kami telah menurunkan dari langit air (hujan) yang banyak faedahnya (keberkatannya)" [Surah Qaaf :9]

Sumber: http://al-ahkam.net/forum09/viewtopic.php?f=103&t=36873

Untuk membaca jawapan lain yang lebih panjang tentang apa itu berkat boleh baca jawapan dari ustaz Pendekar di sini:
http://al-ahkam.net/forum09/viewtopic.php?f=92&t=7699&p=7713



Masalah 2: Ambil berkat dari air tok guru

Ustaz al-Jawhar menjelaskan di SJ-13-0485. Menurut beliau:
Secara ringkasnya , amalan tersebut tidak terdapat sandarannya dalam Islam.Lebih-lebih lagi bila dikatakan bahawa keberkatan akan dapat diperolehi dengan hanya meminum air basuhan tangan mana-mana individu yang dianggap sebagai guru , wali dan sebagainya.

Bukankah perbuatan tersebut boleh mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan individu yang meminumnya??

Kebiasaannya masyarakat akan cuba berebut-rebut untuk bersalam-salaman dengan tuan-tuan guru , para ustaz dan alim ulama dengan tujuan untuk mengambil berkat @ barakah dari individu tersebut.Walaubagaimana pun , keberkatan yang dimaksudkan itu ialah bermaksud hanya untuk melahirkan ukhuwwah dan merapatkan lagi hubungan sesama muslimin.Ini kerana , seseorang itu tidak boleh memberikan keberkatan kepada orang lain malahan kita juga disuruh untuk memohon keberkatan dalam kehidupan seharian kita hanyalah kepada Allah swt.

Para Ulama juga telah sepakat mengatakan bahawa hanya batang tubuh Rasulullah saw sahaja yang dibolehkan untuk diambil berkat @ barakah daripadanya seperti melalui sentuhannya, air wudhuknya, rambutnya, peluhnya, pakaiannya, dan lain-lain. Kerana perbuatan ini diamalkan oleh para sahabat pada zaman baginda, dan sabit dalam hadis-hadis yang mutawatir.

WA

Sumber: http://al-ahkam.net/forum09/viewtopic.php?f=103&t=37178&p=141911



Masalah 3: Ambil Berkat daripada Barang Tinggalan Nabi s.a.w.

Syeikh Abu Umair ditanya soalan berikut:
1) Benarkah pada batang tubuh Nabi SAW terdapat seribu kerahmatan??
2) Benarkah apa yang ada pada Nabi SAW termasuk harta dan pakaian juga terdapat kerahmatan dari baginda SAW??
3) Benarkah dengan menyimpan helaian rambut / janggut / cebisan pakaian / pedang / tongkat / cop mohor dan sebagainya dari Nabi SAW akan mendapat kerahmatan dan syafaat dari baginda SAW??
4) Sebagaimana tersimpannya khazanah Nabi SAW dipelbagai muzium di luar negeri dan pelbagai tayangan gambar cth 'Jejak Rasul' yang memaparkan khazanah tersebut...adakah adab2 atau doa2 tertentu utk diri & ummat mendapat kebaikan dari penglihatan itu???

Jawapan dari beliau adalah seperti berikut:
- Tidak syak bahawa kedatangan Rasulullah SAW adalah rahmat kepada sekalian alam. Dan Tuhan menjadikan batang tubuh baginda mempunyai keberkatan, dan boleh diambil berkat daripadanya.

- Ulama bersepakat bahawa harus mengambil berkat daripada batang tubuh Rasulullah SAW, seperti melalui sentuhannya, air wudhuknya, rambutnya, peluhnya, pakaiannya, dan lain-lain. Kerana perbuatan ini diamalkan oleh para sahabat pada zaman baginda, dan sabit dalam hadis-hadis yang mutawatir.

- Untuk mengambil berkat daripada kesan-kesan baginda, WAJIB disahkan dahulu benarkah barang-barang itu sabit kepada Rasulullah SAW atau tidak. Menisbahkan ia kepada baginda hendaklah melalui sanad yang sah sama seperti kes menisbahkan kata-kata kepada hadis baginda.

- Adakah kesan tinggalan baginda yang ada di muzium-muzium sekarang, diwarisi secara turun temurun dengan sanad yang bersambungan dan semua sanadnya adalah dhabit dan amanah?

- Para ulama telah meragui akan kewujudan kesan-kesan Nabi pada zaman terkemudian. Malahan ada yang secara pasti menegaskan bahawa kesemua yang dinisbahkan kepada baginda tidak sabit.

Sumber: http://al-ahkam.net/forum09/viewtopic.php?f=103&t=36471



Masalah 4: Mengambil berkat di kubur orang soleh

Syeikh Abu Umair menjawab di SJ-13-0440. Menururtnya:
Mengambil berkat dengan tubuh badan manusia hanya khas bagi Rasulullah SAW. Banyak hadis-hadis sahih menceritakan sahabat-sahabat Nabi SAW mengambil berkat dengan air wudhu' Nabi SAW, rambut baginda, darah baginda dan lain-lain.

Tetapi, ia hanya khas pada Rasulullah SAW. Kerana, selepas baginda wafat tidak ada riwayat menceritakan para sahabat mengambil berkat dengan Abu Bakar, Uthman, Umar dan Ali r.a. Dan tidak ada riwayat para tabieen mengambil berkat dengan para sahabat.

Ijmak seluruh sahabat dan tabieen dalam meninggalkan amalan mengambil berkat menunjukkan ia bukan suatu yang masyruk kecuali pada Rasulullah SAW. Kerana, jika ia satu kebaikan, maka merekalah orang pertama yang melakukannya.

Begitu juga mengambil berkat di kuburan, ia satu perkara yang diada-adakan dan tidak ada asalnya dalam syarak.

Sumber: http://al-ahkam.net/forum09/viewtopic.php?f=103&t=36158