SUDAHKAH ANDA BERSEDIA UNTUK KETIBAAN 1 SYAWAL?

Primary tabs

(oleh al-Hasyimi)

Umat Islam pada hari ini sedang menjalani detik-detik terakhir bersama Ramadhan Al-Mubarak. Di ambang Aidil Fitri ini, pelbagai perasaan yang bercampur baur bermain di hati muslimin. Rata-rata tidak sabar untuk menyambutnya dengan sambutan yang meriah dan penuh bermakna. Ada di kalangan mereka yang bakal melangsungkan perkahwinan sempena kedatangan Syawal. Alhamdulillah semangat cintakan Islam kembali menebal di hati mereka. 

Senario sebegini sedikit sebanyak menjejaskan maksud sebenar difardhukan puasa pada bulan Ramadhan untuk sekalian umat Islam. Apabila kita memerhatikan dunia umat Islam di bumi Malaysia yang tercinta ini, kita akan mendengar di corong radio lagu-lagu bertemakan Aidil Fitri yang semakin hari semakin meningkat kekerapannya. Kad-kad ucapan hari raya juga sangat laris di pasaran sehinggakan boleh mendatangkan keuntungan yang lumayan. Buku masakan yang menghidangkan resepi biskut dan kek hari raya juga mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Tidak kurang juga dengan tempahan baju raya yang berkemungkinan besar  terpaksa ditolak ekoran kekangan masa dan ketidaksanggupan tukang-tukang jahit menyiapkannya sebelum menjelang hari raya. Apabila kita bertanyakan kepada para peniaga, tukang jahit, tukang masak, tukang gunting bahkan jurujual kenderaan tentang ketibaan Ramadhan, masing-masing menggambarkan keuntungan yang tidak mungkin mereka kecapi melainkan pada bulan Ramadhan ini sahaja. Demikian hebatnya aura Ramadhan dan Aidil Fitri yang mempengaruhi perbelanjaan kita semua. 


Begitu juga kanak-kanak sehingga  dewasa rata-rata membicarakan topik yang sangat hangat diperbualkan iaitu "hari raya". Ada di kalangan mereka sedang giat menjalankan persiapan dengan pakaian, kuih muih, langsir, perabot, kereta dan rumah bersempena hari raya. Tidak kurang juga kanak-kanak yang dijanjikan wang raya sekiranya dapat menjalani ibadat puasa mengikut kiraan hari. Para bapa mungkin sedang menunggu  tempahan kenderaan masing-masing untuk digunakan pada hari raya nanti. Si ibu pula sibuk meminta resepi biskut, kek dan juadah-juadah yang lain dari majalah, televisyen dan rakan sekerja untuk dihidangkan pada hari yang dinantikan. Keadaan mungkin lebih meriah apabila konsep DeepaRaya diperkenalkan untuk menambahkan kemeriahannya. Rumah-rumah terbuka sudah menjadi satu kemestian untuk diadakan tanpa mengira bangsa dan kaum dengan juadah yang begitu istimewa, secara tidak langsung mengeratkan tautan di kalangan mereka.

Saya tidak berhasrat untuk mengulas lebih lanjut tentang pandangan para ulama tentang "perkongsian hari raya" ini kerana ada perkara yang lebih penting untuk dikongsi kali ini. Apa yang ingin kita semua kongsi bersama kali ini ialah kemeriahan sambutan hari raya ini pada hakikatnya menghakis satu topik yang sepatutnya menjadi perbualan hangat pada pandangan Islam iaitu malam Al-Qadr. Kita sangat jarang bahkan tidak pernah membincangkan isu ini melainkan sangat sedikit masa diperuntukkan ke arahnya. Sebenarnya inilah perkara yang mesti dibincangkan oleh segenap lapisan masyarakat Islam yang bermula 1  Ramadhan lagi kerana ganjaran pahala yang begitu lumayan telah disediakan oleh Allah yang Maha Kaya dan Maha Agung. Pencipta yang paling layak memberi balasan yang setimpal untuk kita semua. Kita begitu jarang bertanyakan "dah berapa juzu baca Al-Quran?" atau "dah berapa kali khatam Al-Quran?" sebagaimana dilakukan segelintir kita. Masjid-masjid yang pada awalnya dipenuhi dengan jemaah untuk bersolat terawih nampaknya semakin lengang. Alasan yang biasa diberikan oleh kaum ibu "sibuk nak buat biskut raya ustaz…", ada yang secara spontan menjawab "dah khatam pun Al-Quran ustaz, dekat-dekat raya ni saya nak cuba resepi baru untuk raya nanti". Itu antara jawapan yang paling biasa kita dengar apabila bertanyakan mereka. Kalau kita bertanyakan pihak lelaki pula mungkin alasan yang sedikit berbeza hampir sama iaitu demi sambutan hari raya Aidil Fitri.

Saat-saat bersama Ramadhan 1427H nampaknya hampir melabuhkan sauhnya  yang tidak mungkin kembali lagi. Kedatangan bulan yang sangat dinanti-nantikan oleh junjungan mulia Rasulullah S.A.W. dan para sahabatnya serta pengikutnya yang setia untuk mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda dari Allah S.W.T. Hakikatnya peluang ini tidak dilepaskan oleh mereka semua kerana meyakini kelebihan dan keistimewaan yang dikurniakan.

Antara perkara yang sangat-sangat dinantikan oleh mereka ialah ketibaan satu malam yang sangat mulia di antara sekelian malam dalam setahun iaitu malam Al-Qadr yang disifatkan lebih baik dari seribu bulan. Promosi besar-besaran ini telah disebut di dalam Al-Quran yang bermaksud :

"sesungguhnya kami (Allah) telah menurunkan Al-Quran pada malam Al-Qadr, adakah engkau tahu (wahai Muhammad) apakah itu malam Al-Qadr? Malam Al-Qadr itu lebih baik dari seribu bulan, turun malaikat dan ruh (Jibril A.S.) padanya dengan izin dari tuhan mereka kerana membawa segala perkara ( yang ditakdirkan berlaku pada tahun berikutnya), sejahteralah semua sehingga terbitnya fajar!". (Al-Qadr:1-5)

Contoh yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah dan para sahabatnya menjelaskan kesungguhan mereka bermati-matian beribadat pada sepuluh malam yang terakhir sebagaimana sabda baginda yang bermaksud :

" carilah malam Al-Qadr pada sepuluh malam yang terakhir pada sembilan malam terakhir tujuh malam terakhir lima malam terakhir dan tiga malam terakhir".
(Al-Albani di dalam Sahih Al-Jami :1028 )

Di dalam hadis yang lain baginda pernah bersabda :

"selidiklah malam Al-Qadr pada tujuh malam yang terakhir".

(riwayat Muslim, kitab Ash-Shiyam, bab kelebihan malam Al-Qadr : 2762, Sunan Abu Daud: 1385,)

Manakala di dalam hadis yang lain pula Rasulullah telah bersabda :

"tuntutlah pada sepuluh malam terakhir ( iaitu malam Al-Qadr ) maka sekiranya  ada di antara kamu yang tidak mampu, maka janganlah dilemahkan pada tujuh malam yang terakhir".
( Sahih Muslim :  2765 )

Di sana masih lagi terdapat hadis-hadis yang sahih menceritakan kesungguhan Rasulullah dan galakannya ke atas para sahabat untuk meningkatkan kesungguhan mereka dalam ibadat. Bahkan ada satu hadis yang meriwayatkan utusan Allah ini mengejutkan ahli keluarganya untuk mendirikan malam di sepuluh malam yang terakhir. Ada juga hadis yang meriwayatkan baginda beritikaf di dalam masjid sepanjang bulan Ramadhan khususnya sepuluh yang terakhir sebagaimana diriwayatkan oleh imam Muslim di dalam "Sahih Muslim", kitab Itikaf. Terlalu banyak nas-nas yang mengingatkan kita tentang keistimewaan malam tersebut. Ia merupakan ujian sebenar untuk umat Islam sama ada berjaya atau sebaliknya.

Tulisan ini bukan bermaksud untuk menafikan keinginan menyambut ketibaan 1 Syawal yang menandakan kemenangan kita mengekang hawa nafsu dan hasutan syaitan. Cuma ingin mengingatkan kita semua supaya konsentrasi kita mencari malam Al-Qadr tidak sepatutnya terganggu. Biarlah tumpuan kita tidak sedikit pun terjejas dengan perkara sampingan sebegini. Semestinya saat-saat yang berharga sejuta pahala itu kita cetuskan persoalan dalam minda kita: "agak-agaknya sudah berlalu malam Al-Qadr?" atau "sudah berapa kali saya memakmurkan malam Ramadhan tahun ini?". Ini menggambarkan kerisauan dan kesungguhan kita mencari dan mengambil peluang keemasan ini. Cuba kita renung dan teladani  kesungguhan Rasulullah mencari malam Al Qadr walaupun baginda sudah dijamin Allah masuk mana-mana pintu syurga. Justeru, sebagai umat yang cintakan Rasulullah, mari kita layarkan bahtera ramadhan dengan menyingkap  1 Syawal ini dengan  berjaga malam dengan solat tahajjud, taubah dan witr. Kemudian disulami dengan bacaan Al-Quran dengan tadabburnya mengharapkan keampunan Allah. Inilah balasan yang berbaloi kerana ganjaran syurga bakal menjengah. Ketibaan Ramadhan sebenarnya bertujuan membentuk sahsiah yang unggul, kedatangannya membawa rahmat dan keampunan yang Maha Esa. Sepatutnya kita merasa sayu dan pilu dengan pemergian Ramadhan, penuh kegusaran seandai inilah Ramadhan yang terakhir. Marilah kita rebut peluang ini dengan sepenuh hati agar berlabuhnya tirai Ramadhan meninggalkan kesan yang sangat mendalam serta dapat melahirkan keperibadian sempurna, penampilan yang menarik dan khusyu dalam ibadat, seterusnya membentuk masyarakat yang terbaik. Insya Allah.

Sambutan terbaik ialah sambutan yang penuh kesederhanaan serta dipenuhi dengan kesyukuran, rasa keberuntungan kita dipilih untuk berada dalam agama yang suci. Sambutan Idul Fitri bermakna kembali kepada fitrah kita tanpa dosa sebagaimana kelahiran bayi dalam keadaan fitrah, telah bersabda Rasulullah S.A.W. :

"setiap bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka ibu bapanya yang menjadikannya yahudi atau nasrani…"
( sunan Abu Daud : 4714, At-Tirmizi : 2237. sahih menurut Al-Albani. Lafaz oleh Abu Daud )

Marilah kita bersama menyambutnya dengan hati yang dilimpahi keikhlasan. Sebelum melangkah ke suasana hari raya, sewajarnya kita bertanyakan diri masing-masing : "Adakah saya sudah bersedia untuk menyambut kedatangan Idul Fitri?".

Kategori Berita: 

Artikel Berkaitan