Oleh abu_ismail
MELETAKKAN TANGAN DI ATAS DADA KETIKA SOLAT: SUNNAH ATAU TIDAK
قال الإمام الترمذي في الجامع الكبير: عقيب حديث (252) :" والعمل على هذا عند أهل العلم من أصحاب النبي صلى الله عليه وسلم والتابعين ومن بعدهم : يرون أن يضع الرجل يمينه على شماله في الصلاة . ورأي بعضهم أن يضعهما فوق السرة ، ورأي بعضهم أن يضعهما تحت السرة ، وكل ذلك واسع عندهم "
. Menurut Imam at-Tirmizi dalam al-Jami al-Kabir (Sunan at-Tirmizi) selepas hadith no: 252 : Amalan ini dilakukan oleh para ilmuwan dari kalangan sahabat Nabi SAW, para tabiin dan golongan selepas mereka. Mereka berpendapat seseorang itu hendaklah meletakkan tangan kanannya di atas tangan kirinya ketika solat. Sebahagian daripada mereka berpendapat meletakkan kedua-dua tangan di bahagian atas pusat. Manakala sebahagian yang lain berpendapat meletakkannya di bawah pusat. Semua itu luas pada mereka.
HADITH MELETAKKAN TANGAN DI ATAS DADA KETIKA SOLAT TIDAK THABIT DARIPADA NABI SAW Oleh Dr. Maher Yasin al-Fahl (sumber: Forum Multaqa Ahlil Hadith dan ringkasan terjemahan oleh Muhammad Anwaruddin Abdul Wahab)
Rumusan tentang bab ini: Terdapat tiga jalur hadith meletakkan tangan di atas dada, iaitu:
1- Hadith yang diriwayatkan oleh Muammal bin Ismail daripada Sufyan al-Thauri daripada Asim bin Kulayb daripada bapanya daripada Wa-il bin Hujr RA. Hanya Muammal seorang sahaja yang meriwayatkan potongan hadith atas dada. Ia merupakan potongan hadith yang SYAZ (ganjil) kerana Muammal tidak konsisten dalam meriwayatkan potongan hadith ini. Dalam Sahih Ibn Khuzaimah (hadith no: 479) dan kitab Tabaqat al-Muhaddithin Fi Asbahan oleh Abu al- Syaikh (2:268), Muammal menyebutkan atas dada baginda . Namun di dalam kitab Syarh Ma-ani al-Athar oleh al-Tahawi, Muammal tidak pula menyebutkan atas dada. Ini dapat dibuktikan dengan percanggahan yang ketara dengan apa yang diriwayatkan oleh periwayat-periwayat daripada Sufyan, periwayat-periwayat daripada Asim, periwayat-periwayat daripada Wa-il RA kerana kesemua mereka meriwayatkan hadith meletakan tangan kanan pada tangan kiri ini tanpa potongan atas dada.
2- Hadith MURSAL yang diriwayatkan oleh Towus dalam Sunan Abu Dawud (hadith no: 759) dan Marasil Abu Dawud (hadith no: 33). Hadith ini DAIF kerana ia (a) mursal (periwayatan tabi-in secara terus daripada Nabi SAW tanpa perantaraan sahabat baginda) dan (b) seorang periwayatnya: Sulaiman bin Musa yang telah diperkatakan oleh al-Bukhari dan al-Nasa-ie.
3- Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam al-Musnad (hadith no: 21967) (36:299) [Telah menceritakan kepada kami Yahya bin Sa-id (al-Qattan) daripada Sufyan, telah menceritakan kepadaku Simak daripada Qabisoh bin [Hulb RA] daripada bapanya]. Sanad ini DAIF kerana Qabisoh ini majhul (tidak diketahui). Hanya Simak sahaja yang meriwayatkan ini daripada beliau. Periwayatan potongan hadith atas dada adalah bersumber daripada Simak. Tiada seorang pun yang meriwayatkannya daripada Simak seperti Syubah, Za-idah, Syarik dan Abu al-Ahwas menyebut potongan di atas dada. Sufyan al-Thauri juga tidak menyebutkan potongan tersebut ketika meriwayatnya daripada Simak. Abdul Razzaq dalam al-Musannaf (hadith no: 3207) juga meriwayatkannya tanpa potongan atas dada daripada Simak. Abdul Rahman bin Mahdi juga meriwayatkanya tanpa atas dada daripada Simak seperti dalam Sunan al-Daraqutni (1:285). Waqi bin al-Jarrah juga tidak meriwayatkan potongan hadith atas dada daripada Simak seperti dalam Musnad Imam Ahmad (hadith no: 21981) (36:306) . Hanya Yahya al-Qattan sahaja yag meriwayatkan atas dada seperti dalam Musnad Imam Ahmad (hadith no: 21967) (36:299).
RUMUSAN: Hadith ini tidak boleh dibuat hujjah/dijadikan dalil kerana :
1- Kemajhulan Qabisoh ia merupakan kecacatan sanad hadith tersebut.
2 - Potongan di atas dada yang tidak thabit (kerana ia diriwayatkan secara muttorib - tidak konsisten iaitu kadangkala disebutkan dan kadangkala tidak disebutkan) seperti yang diriwayatkan oleh para periwayat daripada Sufyan dan juga para periwayat daripada Simak. Selesai diterjemah daripada artikel Dr. Maher al-Fahl.
Antara ulama yang menyatakan ke-DAIF-an potongan hadith ini ialah :
1- Syuaib al-Arnaouth ( dalam takhrij Musnad Imam Ahmad (hadith no: 21967)
2- Salman al-Audah (dalam forum Multaqa Ahli Hadith)
3- Abdul Rahman bin Umar al-Faqih al-Ghamidi Makkah (dalam forum Multaqa Ahlil Hadith)
4- Khalid Abdullah al-Sya-yi dalam kitabnya (al-Ilam Bitakhyir al-Musolli Bimakan Wad-il Yadain Bada Takbiratul Ihram) - yang diberi kata2 aluan oleh Syaikh Muqbil al-Wadi-ie.
5- Dr. Maher Yasin al-Fahl Universiti al-Anbar, Iraq (dalam forum Multaqa Ahlil hadith).
Beberapa Kritikan Terhadap Kitab Sifatu Solatin Nabi (SSN) oleh Muhammad Nasiruddin al-Albani
1- قال الشيخ عبدالرحمن بن عمر الفقيه الغامدي (عضو متميز في منتدى ملتقى أهل الحديث وهو مقيم في مكة) : "وأما ما فهمه بعض أهل العلم من تصرف إسحاق بن راهويه أنه كان يرى وضع اليدين على الصدر كما في حاشية كتاب صفة صلاة النبي صلى الله عليه وسلم ففيه نظر. فالمقصود من هذا أن إسحاق بن راهويه كان يقنت بهم ويرفع يديه في دعاء القنوت إلى ثدييه
Menurut Abdul Rahman Bin Umar al-Faqeeh al-Ghamidi - Makkah (panel Forum Multaqa Ahlil Hadith) bahawasanya sebahagian ulama yang mengatakan bahawa Imam Ishaq bin Rahuyah berpendapat meletakkan tangan pada dada seperti yang tedapat pada komentar SSN (hlm 88) (Menurut al-Marwazi dalam kitab al-Masail (hlm 222) Ishaq bersolat witir bersama kami beliau mengangkat tangannya ketika membaca doa Qunut dan beliau membaca doa Qunut sebelum rukuk dan meletakkan tangan di atas dadanya atau di bawah dadanya). Ini perlu dilihat, kerana maksud daripada konteks ayat tersebut adalah Ishaq membaca Qunut ketika mengimami mereka dan beliau mengangkat dua tangannya ketika membaca doa Qunut hingga ke paras dada (bukan meletakkan tangannya atas dada-pent).
2- Syaikh al-Albani menyatakan dalam SSN - (versi Arab, hlm 88, nota kaki no: 4) bahawa potongan hadith di atas dada juga terdapat dalam Sahih al-Bukhari dan Sunan al-Tirmizi dengan salah satu sanadnya dinilai HASAN oleh al-Tirmizi. Namun setelah disemak kembali maka didapati hadith yang ada pada kedua kitab tersebut adalah perbuatan Nabi SAW memegang tangan kiri dengan tangan kanan baginda ketika menjadi imam solat (al-Tirmizi no: 252) dan Sahl bin Saad RA berkata orang ramai diperintahkan meletakkan tangan kanan ke atas tangan kiri ketika solat (al-Bukhari no: 403 ringkasan al-Zubaidi yang ditahqiq oleh Dr Mustafa al-Bugho). Kedua-dua hadith di atas tidak terdapat potongan di atas dada.
PENDAPAT IMAM AHMAD TENTANG TEMPAT MELETAKKAN DUA TANGAN KETIKA SOLAT
Menurut Abdullah bin Ahmad bin Hanbal dalam kitab al-Masa-il (hlm 62) : Aku melihat bapaku (Imam Ahmad bin Hanbal) ketika bersolat, beliau meletakkan salah satu tangannya ke atas tangannya yang lain di bahagian atas pusat. (lihat SSN:88-nota kaki no:4) Manakala menurut Ibn Qayyim al-Jauziah dalam kitabnya Bada-i al-Fawa-id (2:91) : Telah perselisihan tentang tempat meletakkan tangan, diriwayatkan dari Imam Ahmad bahawa ia diletakkan di atas pusat, juga diriwayatkan dari beliau bahawa tempatnya di bawah pusat. Menurut Abu Talib (seorang murid Imam Ahmad): Aku telah bertanya Ahmad bin Hanbal tentang di manakah tempat beliau meletakkan tangan ketika bersolat? Beliau berkata: Pada pusat atau di bawahnya. Semuanya itu luas baginya sama ada meletakkan tangan pada pusat atau di bahagian atasnya atau di bawahnya. (lihat komentar Syuaib al-Arnaouth terhadap Musnad Imam Ahmad: Hadith no: 21967).