Oleh: Ust Abu Umair
Bagaimana dapat dipastikan satu-satu amalan itu dilakukan sempurna dan betul, andai pelakunya tidak mempunyai ilmu tentang amalan yang mahu dilakukan.
Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam pernah menegur sahabat yang berwudhuk dengan tidak menyempurnakan basuhan air ke kaki. Baginda bersabda, “Azab seksaan dan kebinasaan bagi tumit-tumit kaki tersebut”.
Riwayat Bukhari (no: 60), dan Muslim (no: 241).
Amalan yang dilakukan jika tidak menepati sunnah, tidak berlandaskan ilmu, ia tidak diterima oleh Allah Taala. Lebih dahsyat, bukan pahala yang diperoleh, dibimbangi azab seksaan yang menanti di sana.
Justeru, menuntut ilmu sebelum membuat amalan adalah kewajipan setiap muslim, tanpa pengecualian. Amat wajar guru sekalian ulama hadits, Imam Bukhari di dalam kitab Sahihnya, membikin sebuah bab bertajuk ‘Ilmu Sebelum Pertuturan dan Perbuatan’.
Dalilnya, kerana Allah Taala dalam Al-Quran, menyebut:
Maksudnya: “Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat)” (Muhammad: 19)
Perhatikan susunan pada ayat tersebut, bagaimana Allah Taala mendahulukan arahan supaya mengetahui, sebelum menyebut arahan supaya beristighfar kepadaNya. Sifir mudahnya, ilmu mesti didahulukan sebelum perkataan dan perbuatan.
Demikian dalil al-Quran tentang perlunya ilmu sebelum amal. Apakah alasan logiknya pula? Rasionalnya, kerana setiap amalan tidak diterima Allah kecuali jika ia menepati syariat yang diturunkan. Dan tidak mungkin seseorang muslim dapat mengetahui syariat Allah, kecuali dengan menuntut ilmu. Natijahnya, wajib menuntut ilmu sebelum membuat amalan.
Akibat amalan ibadah tanpa ilmu, tersesatnya golongan Nasrani. Ibadah mereka kuat, perasaan kasih sayang mereka mendalam, dan dihiasi pula dengan rahbaniyyah yang mereka ada-adakan. Tetapi sayang, mereka tiada cakna terhadap ilmu. Lantas menjadi golongan yang menyeleweng dan sesat.
Kerana ibadah tanpa sandaran ilmu jualah, terpesongnya sebahagian pentaksub amalan tarekat batiniyyah. Lain yang disabda, lain pula yang dibuat. Yang disabda ditinggalkan, konon ia amalan orang awam. Tidak sesuai diamalkan oleh golongan khawass. Yang diamalkan pula, ada pula tokok tambahnya. Puncanya, amalan tanpa pengetahuan.
Oleh yang demikian, tuntutlah ilmu supaya amalan yang dilakukan diterima Tuhan. Jangan terikut-ikut resam orang Nasrani, amal ibadatnya banyak, tetapi ilmunya sedikit.
Sumber http://abuumair1.wordpress.com/2010/05/19/sebelum-beramal-dan-berucap-tuntutlah-ilmu%e2%80%a6/