Semua Orang Boleh 'Ijtihad' Dalam Hadith?

Primary tabs

Terdapat satu kaedah yang disebut selalu oleh mereka yang berminat dalam kajian hadith tak kira sama ada yang mengambil pengkhususan dalam bidang hadith atau mereka yang berminat dari jauh sahaja. Kaedah itu berlegar di sekitar perkataan 'ijtihad'. Terdapat sebahagian peminat ilmu hadith bertanggapan bahawa kajian tentang hadith - sama ada kajian tentang kesahihan atau tentang penetapan kaedah kajian dan pengumpulannya - adalah berasaskan kepada ijtihad iaitu usaha yang bersungguh-sungguh untuk mendapat kebenaran dan mendapat hasil kajian. Ijtihad semata-mata?

Maka digambarkanlah bahawa kajian hadith sepanjang zaman sebenarnya adalah himpunan ijtihad-ijtihad daripada ulama hadith dan ia sama sahaja seperti ijtihad dalam bidang lain seperti fiqh dan tafsir. Tetapi, terdapat beberapa kekeliruan yang telah timbul hasil daripada salah faham terhadap maksud ijtihad dalam kajian hadith:

1- Kekeliruan yang timbul antaranya ialah tanggapan bahawa sesiapa sahaja boleh melakukan ijtihad dalam kajian hadith. Sebahagian peminat ilmu hadith begitu 'longgar' dalam meletakkan syarat untuk berijtihad dalam hadith sehinggakan seorang penuntut universiti tahun pertama dalam bidang yang bukan berkaitan kajian hadith juga boleh melakukan ijtihad dalam kajian hadith?  Sehinggakan seorang yang tidak tahu Bahasa Arab pun boleh melakukan kajian dan menggunakan ijtihad dalam ilmu-ilmu hadith? Terdapat sebahagian penuntut yang dianggap sebagai ilmuan hadith yang tidak tahu tentang sejarah perkembangan kajian secara tepat dan tidak ada apa-apa pengiktirafan ilmiah dalam hadith secara formal atau tidak, tetapi dia boleh melakukan ijtihad dalam kajian hadith? Adakah ini yang kita maksudkan dengan istilah 'ijtihad' dalam kajian hadith?
Mereka ada yang berkata - bukankah buku sudah diterjemahkan? Saya berulang kali menegaskan dan saya tidak akan sekali-kali jemu menegaskan bahawa tidak semua buku utama yang diperlukan dalam kajian hadith sudah diterjemahkan. Saya juga berulangkali menegaskan bahawa sebahagian buku yang diterjemahkan juga tidak tepat dan tidak sama seperti buku asal. Saya juga berulangkali bertanya - bagaimanakah anda yang mengkaji hadith tanpa mengetahui Bahasa Arab boleh memastikan ketepatan terjemahan dengan buku asal?
Adakah anda yang mempelajari ilmu perubatan sebagai contoh boleh tiba-tiba menjadi ahli hadith dalam waktu yang singkat? Sedangkan anda pasti tidak akan bersetuju dengan pelajar bidang ilmu Islam menjadi pengamal perubatan dalam masa yang singkat.
Yakinlah, bahawa setiap kali anda merasakan ilmu kajian hadith amat mudah bagi anda - tanpa Bahasa Arab, tanpa asas ilmu hadith bersistem, tanpa kajian dan pengalaman - maka yakinlah anda sedang melakukan kesilapan demi kesilapan walaupun ramai memuji anda sebagai ahli hadith.
Saya tuturkan dengan mudah di sini - adakah anda bersetuju bahawa semua ustaz yang belajar Bahasa Arab boleh jadi ahli dalam hadith? Sudah pasti jawapannya tidak. Maka bagaimana yang bukan ustaz dan tidak tahu Bahasa Arab boleh jadi pakar dalam hadith? Bukankah ia lebih sukar?

2- Kekeliruan makin tebal apabila ada yang mengagungkan ahli hadith moden melebihi ahli hadith silam kerana apa? Kerana yang moden dan yang silam keduanya berijtihad. Maka mengapa pula kita perlu lebihkan ahli hadith silam kerana mereka hanya berijtihad? Ahli hadith moden pun berijtihad. Malah ahli hadith moden lebih hebat kerana mereka mempunyai akses kepada buku-buku hadith yang telah dicetak dengan lengkap. Mereka juga mempunyai kekuatan dari sudut kecanggihan teknologi seperti komputer yang memudahkan dan mempercepatkan kajian - kononnya begitu! Ada yang menyatakan kepada saya bahawa tidak mustahil imam terdahulu salah dan ahli hadith moden betul. Saya bersoal kembali, dengan neraca dan pertimbangan apakah kita mengukur 'betul' dan 'salah'? Bukankah dengan kaedah yang disimpulkan daripada kajian hadith imam terdahulu? Maka timbul satu persoalan: Kita menggunakan kaedah yang disimpul dan digarap daripada kajian imam terdahulu untuk menyatakan bahawa mereka salah membuat kajian?

3- Kekeliruan sudah mencapai tahap maksimum apabila ada yang bertanggapan bahawa ijtihad tidak perlu kepada masa yang panjang...sekelip mata sahaja sudah menjadi mujtahid dalam hadith? Kalau begitu apa gunanya dan apa faedahnya para ahli hadith silam belajar berpuluh tahun sebelum memberikan hasil kajian dalam hadith? Cukup dengan satu buku tentang hadith-hadith solat sudah pandai mengajar 'Sifat Solat Nabi s.a.w.'? Cukup dengan satu dua buku terjemahan hadith sudah boleh membid'ahkan orang lain? Contohnya ...amat menghairankan orang yang taksub dengan Ibnu Taimiyyah boleh membid'ahkan penggunaan biji tasbih sedangkan Ibnu Taimiyyah mengatakan boleh. Mengapa jadi begitu? Disebabkan baca hanya satu buku. Contoh lain...cukup dengan satu buku, ada orang boleh menyatakan bahawa Imam al-Bukhari meriwayatkan hadith yang bertentangan dengan akal?  Cukup dengan membaca satu dua buku sudah boleh bertukar mazhab? Sudah boleh mengkritik - mazhab ni rajih, mazhab ni marjuh? Sudah boleh mengenal pasti sahih dhaif semua hadith dengan hanya setahun dua 'berkenalan' dengan buku nipis dan ringkas?

Semuanya ini kerana tidak memahami apakah yang dimaksudkan dengan ijtihad. Oleh itu kita perlu sedari bahawa selain daripada ijtihad, kita perlu fahami apakah kelayakan untuk menjadi mujtahid. Begitu juga perlu difahami di manakah ijtihad itu perlu dilakukan. Dan yang penting juga ialah memahami bahawa ijtihad perlukan kesabaran dan kegigihan di samping masa yang lama. Semuanya ini amat berlainan dengan apa yang diangankan oleh peminat, penuntut atau 'syaikhuna' dalam hadith yang tidak ada kelayakan tapi boleh berijtihad dalam bidang hadith.

Tidak menghairankan apabila mereka yang tidak mampu ini 'berselindung' dan melakukan 'tadlis' dalam menyampaikan hasil kajian orang lain yang dihiaskannya menjadi kajian dirinya sendiri.

teguran untuk saya dan anda...

alitantawi