Oleh: al-Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Wednesday, 08 August 2007
KELEBIHAN REJAB YANG DIADA-ADAKAN
Sebahagian para penceramah agama yang kurang berhati-hati selalu mengaitkan kelebihan bulan rejab dengan peristiwa mu`jizat Isra dan mi`raj. Apa yang perlu difahami ialah tarikh sebenar berlakunya peristiwa hebat itu masih lagi menjadi perselisihan di kalangan ulama.
Ada yang berpendapat ia berlaku sebelum menjadi Nabi. Ia merupakan pendapat yang janggal. Majoriti ulama berpendapat ianya selepas menjadi Nabi. Ia diperkuatkan oleh banyak hadis yang sahih. Seterusnya mereka berbeza pendapat lagi tentang tahun kejadian selepas kebangkitan Nabi sebagai Nabi samada tahun ke 13, 12, 10 atau ke 8 Kenabian. Begitu juga bulan samada bulan Safar, Rabi`ul Awal, Rabi`ul Akhir, Rejab, Sya`ban, Ramadhan, Syawal atau Zulhijjah.
1. Menurut Ibn Sa`ad dan Nawawi serta Ibn Hazim ia berlaku setahun sebelum hijrah. Hijrah berlaku pada akhir Safar dan Awal Rabi`ul Awal. Ini bererti peristiwa ini berlaku pada bulan Safar atau Rabi`ul Awal.
2. Menurut Ibn Jauzi, 8 bulan sebelum hijrah. Ia bererti pada bulan Rejab.
3. Menurut Abu al-Rabi` bin Sali, 6 bulan sebelum Hijrah. Ia bererti pada bulan Ramadhan
4. Menurut Ibrahim al-Harbi, dan ditarjihkan oleh Ibn al-Munir dalam Syrah al-Sirah oleh Ibn `Abd al-Barr, ia berlaku 11 bulan sebelum hijrah iaitu pada bulan Rabi`ul Akhir
5. Menurut Ibn `Abd al-Barr, Ia berlaku 13 bulan sebelum hijrah. Ia bererti pada bulan Safar.
6. Menurut Ibn Faris, ia berlaku 15 bulan sebelum hijrah. Ia bererti pada bulan Zulhijjah.
7. Menurut al-Sudiy sebagaimana diriwayatkan oleh Tabari dan Baihaqi dan di pegang oleh al-Waqidi, 17 bulan sebelum Hijrah. Ia bererti ia berlaku pada bulan Syawal
8. Menurut Ibn Qutaibah dan dihikayatkan oleh Ibn `Abd al-Barr serta disebut oleh Ibn Sa`ad daripada Ibn Abi Sirah, ia berlaku 18 bulan sebelum hijrah iaitu pada bulan Ramadhan
9. Menurut riwayat Ibn `Abd al-Barr dan dipegang oleh Nawawi dalam al-Raudah, ia berlaku pada bulan Rejab
10. Menurut riwayat Ibn al-Athir, ia berlaku 3 tahun sebelum hijrah.
11. Menurut riwayat `Iyad dan dituruti oleh Qurtubi dan Nawawi daripada al-Zuhri, ia berlaku 5 tahun sebelum hijrah. `Iyad berhujah bahawa tiada perselisihan lagi bahawa Khadijah pernah solat bersama baginda saw selepas kefarduan Solat diturunkan. Juga tiada yang berselisih bahawa Khadjah mati sebelum hijrah samada 3 tahun atau 5 tahun sebelum hijrah. Tiada perselisihan juga bahawa kefarduan solat berlaku pada malam Isra. Namun, hujahnya boleh diteliti kembali kerana menurut al-`Askari Khadijah mati 7 tahun sebelum hijrah. Ada pendapat menyatakan 4 tahun sebelum hijrah. Ibn al-A`rabi menyatakan beliau mati tahun berlakunya hijrah.
Benar, kita memang selalu membicarakan peristiwa ini bila tibanya bulan Rejab, namun ia tidak menjadi alasan mewajarkan kita mengaitkannya dengan kelebihan bulan Rejab. Menjelaskan kelebihan sesebuah bulan mestilah berasaskan ketentuan yang jelas daripada al-Quran atau Hadis. Kelebihan Rejab tidak dapat dinafikan kerana ia merupakan sebahagian daripada bulan-bulan haram yang dimuliakan sepertimana firman Allah :
Bermaksud: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. (al-Taubah 9: 36)
Ulama sepakat bahawa bulan haram yang dimaksudkan oleh al-Quran ini ialah bulan zulkaedah, zulhijjah, muharram dan rejab sebagaimana sabit penjelasannya dalam hadis Sahih Bukhari. (Rujuk juga Tafsri Tabari, Qurtubi dan Ibn Kathir)
Cukuplah kita menyatakan: Rejab adalah bulan yang dimuliakan dalam islam, dan janganlah kita kaitakan pula dengan peristiwa Isra dan mi`raj.
Sumber : www.darulfuqaha.com