Mengapa Tak Reti Berdoa?

Primary tabs

{ 1 } YANG BIASA DITEMUI
“ Bukan saya tak mahu berdoa , tapi saya ini jahil agama. Bahasa Arab pun tak tahu. Jadi, bagaimana saya hendak berdoa ? “
“ Anak saya nak masuk akan menduduki peperiksaan tidak lama lagi. Minta tolonglah ustaz / imam / pak lebai tu doakan anak saya ya “ .
“ Bagaimana saya hendak berdoa jika awak yang tahu pun tak pernah ajar saya bagaimana caranya “ .


Kata-kata di atas adalah di antara respon dan reaksi yang biasa kita temui di kalangan umat Islam apabila diajukan persoalan : MENGAPA ANDA SENDIRI TIDAK BERDOA KEPADA ALLAH ? .

Insya-ALLAH , kali ini saya akan cuba mengupas persoalan yang berkaitan dengan hal ini . Tanpa cuba memanjangkannya seperti sebuah disertasi ataupun perbahasan ilmiah di “ Menara Gading “ atau pendek sangat tanpa sebarang dalil-dalil syar’ie .

Lagipun , tujuan saya menulis di blog ini adalah untuk mempersembahkan sesuatu “ lontaran idea ataupun pandangan “ secara RINGKAS DAN SANTAI , tanpa perlu berkerut-kerut dahi memikirkan laksana seorang profesor di sesebuah universiti .

{ 2 } BERDOA ITU APA ?
“ DOA “ itu asalnya daripada perkataan Arab yang membawa maksud : “ Panggilan “ – “ Seruan “ – “ Ajakan “ . Daripada perkataan “ DOA “ itu jugalah , lahirlah perkataan : “ DAKWAH “ yang membawa maksud : SERUAN ataupun PANGGILAN .

Di dalam Istilah Syarak , DOA artinya : Sesuatu permohonan / permintaan hajat daripada seseorang hamba kepada TUHANnya .

Pendek kata : Ber “ DOA “ = Meminta / Memohon Sesuatu Hajat Diterima oleh TUHAN .

{ 3 }  MENGAPA TAK RETI BERDOA ?
Apabila DOA dan BERDOA itu sendiri membawa maksud : MEMINTA DAN MEMOHON SESUATU HAJAT / PERMINTAAN KEPADA TUHAN . Maka , amat menghairankan apabila ada seseorang manusia itu tiba-tiba beralasan : “ Saya tak tahu berdoa sebab saya tak hafal doanya ataupun sebab saya ini jahil agama ( Islam ) dan Bahasa Arab “ .

Yang sebenarnya “ BUKAN TAK TAHU BERDOA  “ , Cuma tak reti nak berdoa di dalam Bahasa Arab . Ataupun disebabkan tidak menghafal doa-doa di dalam Bahasa Arab .

Sedangkan ALLAH itu TUHAN YANG MAHA KAYA LAGI MAHA MEMAHAMI . Semua bahasa difahami olehNYA . Bahkan , setiap niat yang bersarang di dalam hati pun diketahui olehNYA .

Jadi BERDOA iaitu MINTA / MOHON sahajalah mengikut keinginan dan hajat masing-masing ! .

Jika anak kita mahu menduduki peperiksaaan dan kita tak menemui mana-mana ustaz – usatazah atau imam mahupun pak lebai untuk tolong mendoakan anak kita , maka kita sendiri berdoalah iaitu meminta dan memohon kepada ALLAH dengan isi doa (permintaan ) itu seperti berikut ( sebagai sebuah contoh doa ) :

“ Ya ALLAH , Hai TUHAN kami . Anak kami ini akan menduduki peperiksaan tidak lama lagi. KAU permudahkanlah segala urusan untuknya . Ketika belajar dan ketika menjawab soalan-soalan itu nanti . Dan jadikanlah segala ilmu pengetahuan yang ENGKAU kurniakan kepadanya itu sebagai satu sebab untuk dia menjadi manusia yang lebih dekat denganMU Ya Tuhan Kami . Dan jadikanlah segala ilmu pengetahuan dan bakat serta segala kebolehannya , yang ENGKAU kurniakan itu , menjadi berguna untuk dirinya dan orang lain , di dunia dan di akhirat . Amin …. “ .

Jika mahu bisnes untung besar dan pelanggan ramai , berdoalah seperti berikut ( sebagai sebuah contoh sahaja ) :

“ Ya ALLAH , Ya TUHAN kami . TUHAN Yang Maha Kaya Lagi Maha Berkuasa . TUHAN yang kekayaan dan kekuasaanNYA itu tiada sebarang tandingan . Yang Maha Membuka segala pintu rezeki dan juga Yang Maha Berkuasa menyempitkan rezeki seseorang . Aku bermohon – merayu – merintih lagi meminta-minta kepadaMU Wahai TUHANku , Tolonglah lapangkan rezekiku . Banyakkanlah hartaku. Dan pimpinlah aku agar tidak lupa bersyukur apabila mendapati segala rezeki dan harta yang melimpah-ruah itu . Jadikan diriku bersyukur apabila mendapat nikmat-nikmatMU . Dan jadikanlah aku ini bersabar dan redha dengan segala ujian-ujian daripadaMU. ENGKAU sahajalah yang maha berkuasa melunakkan dan melembutkan jiwa-jiwa yang keras itu . Maka, lembutkanlah hati-hati manusia untuk berurusan denganku . Permudahkanlah kerjaku untuk mencari rezeki ini . Dan jadikanlah rezeki yang ENGKAU berikan itu diberkati dan diredhai olehMU sentiasa . Amin…. “ .

Jika berasa bimbang atau takut kepada sesuatu , maka mintalah ( berdoalah ) kepada ALLAH ‘AZZA WA JALLA seperti contoh doa berikut :

“ Ya ALLAH , Ya TUHAN kami . TUHAN YANG MAHA GAGAH LAGI MAHA PERKASA . TUHAN yang tidak ada sesiapa dan apa pun dapat mengalahkanNYA . TUHAN yang menguasai segala sesuatu . TUHAN yang tunduk kepadaNYA segala kerajaan dan makhluk di langit-langit dan bumi ini . Ya TUHAN kami , kami jadikan DIKAU sebagai WAKIL dan PELINDUNG kami . ENGKAU jugalah BENTENG pertahanan kami .

Ya TUHAN kami . Tolonglah LINDUNGI kami dan KUATKANLAH jiwa-raga dan tubuh-badan kami ini . Tolonglah dijauhkan segala yang kami khuatiri dan bimbangi ini .

Sekiranya ENGKAU sudah menjadi PELINDUNG dan BENTENG kami . Maka , tiada apa pun yang dapat menakutkan kami . Tidak ada apa pun yang dapat menyakiti jiwa-raga dan tubuh-badan kami ini .

Kami ini adalah HAK MILIK MUTLAKMU semata-mata Ya ALLAH . KepadaMU kami mengabdikan diri dan kepadaMU jua kami meminta pertolongan .

Lindungilah kami dan jauhkanlah kami daripada setiap bahaya , kecil ataupun besar , yang kelihatan ataupun yang tidak kelihatan . Terimalah doa dan hajat kami ini , Ya ALLAH . Amin …. “ .

Mudahnya berdoa dan meminta kepada ALLAH .

Senangnya menyeru dan memohon kepada ALLAH .

Itu hanyalah beberapa CONTOH doa / permohonan yang kita boleh panjatkan kepada ALLAH TA’ALA tanpa perlu bersusah-payah menghafal doa itu dan ini dan tanpa perlu pandai di dalam Bahasa Arab .

{ 4 }  HAKIKAT DOA ?
Di dalam beberapa hadist Baginda RasululLoh ( SollalLohu ‘alayhi Wa Sallam ) ada dinyatakan perihal hakikat DOA itu , iaitu :

الدُّعَاءُ هُوَ الْعِبَادَةُ
“ Doa ( itu sendiri ) adalah ibadah “
– Hadits Sahih sebagaimana dilaporkan oleh Al-Imam Ahmad RH dan Al-Imam Abu Daud RH

Ya , memang benar . DOA itu sendiri adalah IBADAH . Lantaran itu apabila diajukan pertanyaan apakah artinya SOLAT ( Sembahyang ) itu , maka definasi (takrif) nya adalah :

“ Solat adalah suatu doa puja-pujian yang disertai oleh gerak-geri anggota tubuh-badan yang dimulai dengan Takbiratul Ihram dan diakhiri dengan memberi salam  “ .

Lantaran itulah , di dalam SOLAT itu sendiri kita temui ada bermacam-macam doa permohonan yang diajar kepada kita untuk dipohonkan kepada ALLAH TA’ALA .

{ 5 }  MENGAPA BERDOA ?
Kita berdoa ( meminta dan memohon ) kepada ALLAH TA’ALA kerana kita adalah serba lemah dan sentiasa berhajat kepada pertolongan . Sedangkan DIA ( ALLAH ) adalah TUHAN kita yang Maha Gagah-Perkasa , Maha Kaya-Raya , Maha Cukup Lagi Mencukupkan , Maha Agung Lagi Maha Mulia dan yang tidak perlu kepada kita ( bahkan kita yang senantiasa perlu kepadaNYA ) .

Kita meminta-minta dan merayu-rayu kepadanya adalah tanda kita ini HAMBA dan tak punya apa-apa pun melainkan semuanya adalah PINJAMAN SEMENTARA .

Harta / Benda – Ilmu Pengetahuan – Bakat – Kebolehan – Kemahiran – Kuasa – Pangkat – Jawatan – Anak / Cucu / Keturunan dan semua yang dimiliki sekarang , bila-bila masa sahaja boleh DIAMBIL SEMULA oleh ALLAH TA’ALA kerana itu semua adalah PINJAMAN .

Seseorang yang “ SEDAR DIRI “ dan “ KENAL DIRI “ nya , pasti akan sentiasa berdoa serta merayu-rayu merintih meminta tolong kepada TUHANnya .

Sedangkan orang yang EGO ( Bongkak / Takbur ) , pasti akan malas ataupun tak mahu berdoa ( meminta ) kepada ALLAH TA’ALA .

Orang seperti itu merasa dirinya sudah cukup dengan apa yang dimilikinya . Samada harta-benda , pangkat mahupun pengetahuannya sudah mencukupi .

Atau , orang seperti itu merasa TIDAK PERLU LAGI kepada apa-apa bantuan dan pertolongan , maka tiadalah artinya MAHU MEMINTA-MINTA kepada ALLAH .

Tiba-tiba datanglah mala-petaka ke atas dirinya atau harta-bendanya atau apa sahaja yang dimilikinya . Apakah dia dapat menahan atau menghalang bala-bencana itu datang ? .

Tentu Tidak !!! …… Dan tentu di saat itu dia akan tunduk sujud dan duduk berteleku menadah tangan meminta-minta sambil menangis-nangis agar TUHAN kembalikan semula segala kesenangan yang dikecapinya itu .

Barulah dia “ KENAL DIRINYA “ itu serba lemah dan sentiasa mesti minta tolong kepada TUHAN .

Barulah dia kenal apakah artinya “ PINJAMAN “ yang pada bila-bila masa , boleh sahaja ditarik “ pinjaman “ itu .

Dan barulah dia sedar akan maksud kata-kata Imam Yahya bin Mu’adz Ar-Radzi yang berkata : “

مَنْ عَرَفَ نَفْسَهُ فَقَدْ عَرَفَ رَبَّهُ
Siapa yang kenal akan dirinya ( yang serba lemah dan serba berhajat ) , maka kenallah dia akan TUHANnya ( Yang Maha Kaya Lagi Maha Sempurna Lagi Maha Menolong ) “
– Sebagaimana dinyatakan oleh Al-Imam Jalaluddin as-Suyuthi RH di dalam kitabnya : “"Al-Qaul Al-Asybah fi Hadith Man 'Arafa Nafsahu Faqad Arafa Rabbah "

{ 6 }  DOA : ‘POWER’ KAH IA ?
Ini juga respon dan reaksi yang biasa aku terima daripada sebahagian orang di kelilingku apabila ku tunjukkan kepada mereka beberapa bentuk doa .

Bagiku , doa memang terlalu “ power “ kerana :  

الدُّعَاءُ سِلَاحُ الْمُؤْمِنِ

“ Doa itu adalah SENJATA orang beriman “  
- Komentar Penulis : Kata-kata ini sebenarnya bukanlah hadist yang diucapkan oleh Baginda RosululLoh ( SollalLohu ‘alayhi Wa Alihi Wa Sohbihi Wa Sallam ) sebagaimana dinyatakan di dalam kebanyakan Ensiklopedia Hadist . Namun begitu kata-kata ini ada kebenaran pada isi dan hakikatnya. WalLohu A’alam bis Sowab .

لَا يَرُدُّ الْقَضَاءَ إِلَّا الدُّعَاءُ وَلَا يَزِيدُ فِي الْعُمْرِ إِلَّا الْبِرُّ

“ Tidak akan berubah sesuatu ketentuan takdir itu melainkan dengan doa dan tidak ada yang menambahkan lagi usia melainkan dengan berbuat kebajikan  “  
- Hadist Hasan Sebagaimana Direkodkan Oleh Al-Imam at-Tirmidzie RH

Ada sebuah kisah yang berlaku di Afghanistan ketika berlakunya peperangan di antara Tentera Mujahidin Afghanistan menentang penjajahan Soviet Union ( USSR )  sekitar pertengahan tahun 80’an dahulu .

Ada seseorang anak kecil berusia 10 tahun dilihat di dalam keadaan mencurigakan oleh pihak tentera USSR . Lalu beberapa orang tentera pun turun daripada kereta perisai ( tank ) mendapatkan anak itu . Lalu dibawanya anak itu menaiki kereta “ tank “ itu sambil diajukan persoalan-persoalan . Ketika “ tank “ itu bergerak , anak kecil itu perasan bahawa “ tank “ itu akan melanggar “ periuk api “ yang ditanam olehnya sebentar tadi , maka berteriaklah anak kecil itu : “ ALLAHU AKBAR !!! “ ….. lalu meletuplah “ tank “ itu apabila merempuh “ periuk api “ yang dipasangnya dan tercampaklah keluar segala isi “ tank “ itu bersama-sama anak kecil itu dan beberapa orang tentera USSR tadi . Anak itu tetap selamat tanpa sebarang cedera , sedangkan tentera-tentera musuh ( USSR ) mampus hancur-lebur dan teburai isi perut , mata dan otak mereka disebabkan letupan itu .

Sebuah kisah yang menarik lagi mengenai Mujahidin Afghanistan ketika menentang tentera-tentera Soviet Union ( USSR ) – Lak’natulLohi ‘alayhim ajmai’en :

“ Seorang mujahid berkejar-kejar ke atas satu puncak bukit demi mendapatkan posisi terbaik untuk melancarkan peluru roketnya ( Bazooka ) ke arah helikopter musuh ( USSR ) . Ketika helikopter itu semakin mendekatinya , tiba-tiba “ Bazooka “ itu tidak dapat berfungsi dengan lancar . Si Mujahid itu terus bangun dan berdiri , lalu ditunjukkan dengan jarinya seperti menembak dengan pistol ke arah helikopter itu sambil berteriak “ ALLAHU AKBAR “ . Lalu helikopter itu pun meletup seperti ditembak oleh peluru beroket “ Bazooka “ itu jadinya “ .

Itulah 2 kisah “ KEAJAIBAN DOA “ dan “ POWERNYA DOA “ – dengan izin dan rahmat ALLAH jua – sebagaimana di dalam buku “ ‘IBAR WA BASOIR LIL JIHAD FIL ‘ASR AL-HADIR  “ ( TENTERA ALLAH MENGGEMPUR KOMUNIS : JIHAD AFGHANISTAN – BUKTI-BUKTI TERANG DAN PENGAJARAN DUNIA MODEN )  yang pernah disusun oleh Asy-Syahid ( insya-ALLAH ) Dr. Abdullah ‘Azzam .

Sengaja saya paparkan 2 kisah mengenai doa ini daripada manusia biasa yang bukan Nabi ataupun Rasul agar semua kita semakin memahami bahawa DOA itu bukanlah kerja Para Nabi dan Para Rasul utusan ALLAH TA’ALA semata-mata . Dan agar semakin jelas bahawa KEAJAIBAN DOA itu ( dengan izin dan rahmat ALLAH ) bukan berlaku ke atas Para Utusan ALLAH TA’ALA sahaja .

{ 7 }  SAMPAI BILAKAH MESTI BERDOA ?
Telah disebut tadi bahawa BERDOA ( MEMINTA DAN MEMOHON ) KEPADA ALLAH itu adalah sebagai satu tanda bahawa kita ini adalah HAMBA YANG SERBA LEMAH lagi SERBA MEMERLUKAN PERTOLONGAN TUHAN SENTIASA , maka sudah pastilah selagi kita hidup , selagi itulah kita tetap BERHAJAT kepada pertolongan ALLAH TA’ALA .

Apakah ada satu saat atau detik kita tak perlu kepada DIA ( ALLAH ) ??? .

Bayangkan , di antara TARIKAN dan HEMBUSAN NAFAS kita , sebenarnya MATI menunggu-nunggu kita ! .

Apakah ada satu saat kita dapat MELEPASKAN DIRI daripada PENGETAHUAN DAN PENGAWASAN ALLAH TA’ALA ? .

Tidak !!! .

Maka , selagi kita hidup , kita tetap berhajat kepada ALLAH TA’ALA dalam apa sahaja tindak-tanduk dan niat kita .

Bahkan di dalam kubur nanti dan di padang mahsyar kelak , kita tetap inginkan PERTOLONGAN ALLAH TA’ALA berupa RAHMATNYA dan SYAFAATNYA yang dikurniakan melalui Baginda RasululLoh ( SollalLohu ‘alayhi Wa Sallam ) dan mereka yang diberikan izin untuk memberikan syafaat .

Di dalam bahasa yang lebih mudah difahami , insya-ALLAH : “ Kita tetap dan senantiasa meminta-minta kepadaNYA selagi kita ini adalah MAKHLUKNYA dan DIA adalah TUHAN kita “ .

{ 8 }  DOA : MANAKAH LEBIH AFDHAL DI ANTARA PANJANG ATAU PENDEK ?
Pada pandanganku ( sila perbetulkan sekiranya saya TERsalah atau TERsilap ) , doa yang AFDHAL ( terbaik lagi terutama ) adalah doa-doa yang terdapat di dalam Al-Quranul Karim kerana ia adalah KALAMULLAH ( Firman ALLAH ) .

Membacanya apatah lagi menghafalnya , bermakna kita juga membaca dan menghafal Firman-Firman TUHAN Yang Maha Agung Lagi Maha Suci .  Bukan sahaja mendapat pahala kerana membacanya , bahkan dapat juga pahala meniliti dan memerhatikan setiap huruf , abjad ,lafaz ,  kalimah dan kalam yang terkandung di dalam Firman ALLAH TA’ALA itu .

Bertambah-tambah lagi pahala dan barokah ( keberkatan ) kerana dijadikan ayat-ayat itu sebagai DOA ( PERMOHONAN / PERMINTAAN ) kepada ALLAH YANG MAHA MENDENGAR LAGI MAHA MENGETAHUI .

Membacanya dengan betul tuntutan “ tajwid “ , “ tartil “  lagi beserta “ tarannum “ nya adalah tanda kita berusaha setiap masa lebih menyayangi KALAM ILAHI itu .

Menghafalnya pula lalu berusaha sebaik mungkin mengamalkannya bermakna kita berusaha menjaga dengan jiwa-raga dan jasmani-rohani kita akan CAHAYA ALLAH yang dikurniakan buat menerangi seluruh isi alam maya ini .

Begitulah pula dengan mereka yang BERDOA ( belajar – memahami – menghafal – melakukannya ) dengan panduan doa-doa yang dipetik daripada hadist-hadits Baginda RosululLoh ( SollalLohu ‘alayhi Wa Sallam ) .

Berdoa dengan rangkap-rangkap perkataan yang terdapat di dalam Al-Quranul Karim dan juga Sunnah ( Hadits-Hadits ) Baginda RosululLoh ( SollalLohu ‘alayhi Wa Sallam ) bermakna kita juga meminta dan memohon kepada ALLAH “ sebiji “  100 % sama lagi serupa dengan apa yang dibaca dan dimohon oleh Baginda RosululLoh ( SollalLohu ‘alayhi Wa Sallam ) itu sendiri dan juga oleh Para Kekasih ALLAH TA’ALA . Bukankah mereka itu kesemuanya tidak lekang daripada membaca bahkan menghafal serta mengamalkan setiap ayat-ayat serta doa-doa yang terdapat di dalam Al-Quranul Karim dan Hadits-Hadits Baginda RosululLoh ( SollalLohu ‘alayhi Wa Sallam ) ? .

Begitulah juga dengan doa-doa serta munajat ( rintihan dan rayuan ) daripada mana-mana Wali ALLAH TA’ALA yang soleh . Semuanya berasal daripada ILHAM LADUNNI yang datangnya daripada ALLAH TA’ALA juga . Mana mungkin syaitan-syaitan “ tumpang semangkuk “ dengan mana-mana Wali atau Kekasih ALLAH TA’ALA itu apabila segala jiwa-raga mereka tunduk pasrah dan khusyuk tawadhuk di dalam meminta dan bermunajat kepada ALLAH SUBHANAHU WA TA’ALA  ! .

Maka apabila DOA-DOA termasuklah juga ZIKIR-ZIKIR ini dijadikan rutin kebiasaan , jadilah ia WIRID . Dan akhirnya ia membentuk NUR = CAHAYA .

Di zaman kini orang menggelarnya sebagai AURA . Dan peduli apa sama gelaran dan panggilan . Yang pasti , apabila CAHAYA ALLAH meliputi jiwa-raga dan jasmani-rohani seseorang itu , mana mungkin bisikan-bisikan syaitan terkutuk dapat menembusinya ! .

Dan apabila PERTOLONGAN ALLAH sudah tiba dan terpacul di hadapan mata lalu “ menyelubungi “ seseorang itu  , bahaya dan musibah apakah lagi yang dapat membahayakan diri dan nyawanya ? .

Namun bagi mereka yang masih belum menghafal mana-mana ayat Al-Quranul Karim  ataupun sabda Baginda RosululLoh ( SollalLohu ‘alayhi Wa Sallam ) ataupun doa-doa yang biasa diamalkan oleh Para Kekasih ALLAH TA’ALA , maka usahlah bimbang .

Perhatikan “ Pujukan “ ALLAH TA’ALA dan  Pesanan Baginda RosululLoh ( SollalLohu ‘alayhi Wa Sallam ) berikut ini :

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
“ Mintalah kepadaKU , pasti AKU akan memenuhinya “

Sabda  Pesanan Baginda RosululLoh ( SollalLohu ‘alayhi Wa Alihi Wa Sohbihi Wasallam ) berikut ini :

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ إِلَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنْ السُّوءِ مِثْلَهَا قَالُوا إِذًا نُكْثِرُ قَالَ اللَّهُ أَكْثَرُ

“ Tidak ada satu pun doa ( permintaan ) orang yang beragama Islam itu – selagi bukan doa untuk untuk berbuat dosa atau memutuskan silatur rahmi - melainkan ALLAH akan memperkenankannya ( memenuhinya ) di dalam 3 keadaan : ( 1 ) – ( Samada ) doa itu dipenuhinya dengan segera , atau ( 2 ) – Doa itu akan disimpan dan dipenuhi di akhirat kelak ( dengan gantian yang lebih baik ) , atau ( 3 ) – Doa itu akan dipenuhi dengan cara ALLAH menjauhkan seseorang itu daripada mara-bahaya yang seumpamanya “  - ( Para Sahabat RadhiyalLohu ‘Anhum pun memberikan respon mereka : “ Kalau sudah begitu, kami akan memperbanyakkan lagi doa ( permohonan ) kami ? “ . Jawab Baginda RosululLoh ( SollalLohu ‘Alayhi Wa Alihi Wa Sohbihi wa Sallam ) : “ Ya , maka ALLAH akan lebih banyak lagi menerimanya “
- Hadist Hasan Sohih Sebagaimana Direkodkan Oleh Al-Imam Ahmad RH dan Al-Imam al-Bazzar RH

Mustahil ALLAH YANG MAHA MENEPATI JANJI itu akan melanggar janji-janjiNYA . Dan mana mungkin ALLAH yang suruh kita meminta-minta kepadaNYA , tetapi DIA pula tidak akan memenuhinya ? .

ALLAH TA’ALA ; Tuhan Yang Memahami Segala Bahasa dan Kehendak , maka sentiasalah kita berminta kepadaNYA selagi permintaan itu bukan bertujuan untuk membuat dosa atau maksiat .

Yang Terlebih Afdhal adalah SELALU DAN SENTIASA MEMINTA KEPADANYA walaupun tanpa menghafal “ sebiji 100 % “ doa-doa yang terdapat di dalam Al-Quranul Karim , Hadits-Hadits Baginda RosululLoh ( SollalLohu ‘alayhi Wa Sallam ) ataupun doa-doa yang biasa diamalkan oleh Para Kekasih ALLAH TA’ALA itu .

Jika menghafal kesemua itu sekalipun , namun MALAS BERDOA DAN MEMINTA-MINTA KEPADANYA , maka tiadalah jua AFDHALnya itu ! .

{ 9 }  DOA JUGA ADALAH USAHA & IKHTIAR SESEORANG MANUSIA
Pernah aku bertanya kepada Tuan Guru Haji Ahmad Junaiddin ( Ustaz Mat Janggut ) ; Yang DiPertua Silat ABJAD (Asli)  : “ Ustaz , apa pandangan ustaz mengenai golongan yang berlatih Silat hanya dengan DOA semata-mata tanpa sebarang usaha belajar Silat Fizikal ( Zahir ) ? “ .

Beliau pun menjawab : “ Doa itu sebenarnya juga adalah satu usaha dan ikhtiar . Orang yang berdoa itu adalah orang yang berusaha meminta-minta kepada ALLAH TA’ALA . Cuba enta ( kamu ) kaji Sirah  Baginda RosululLoh ( SollalLohu ‘alayhi Wa Sallam ) , pernahkah Baginda RosululLoh ( SollalLohu ‘alayhi Wa Sallam ) itu mempunyai GURU yang mengajarkannya BERPEDANG ( Ilmu Perang ) ? . Di dalam Hadits mahupun Sirah tercatat semua perkara mengenai Baginda RosululLoh ( SollalLohu ‘alayhi Wa Sallam ) , namun tiada catatan mengenai siapakah yang mengajarkan Baginda RosululLoh ( SollalLohu ‘alayhi Wa Sallam ) “ berpedang “ . Para Sahabat ( RadhiyalLohu ‘anhum ) memanglah masing-masing ada guru mereka di dalam “ berpedang “ dan “ berperang “ , namun tidak bagi Baginda RosululLoh ( SollalLohu ‘alayhi Wa Sallam ) kerana ALLAH TA’ALA menjadi guru baginya secara langsung dengan wahyu dan gerak-gerinya yang dipimpin oleh ALLAH TA’ALA “ .

Lama aku memikirkan kenyataan ini dan akhirnya aku membuat mendapat jawapannya :

“ Ya , memang benar sangat bahawa BERDOA itu sebenarnya juga adalah BERUSAHA DAN BERIKHTIAR . Sebab ia adalah USAHA , maka tak ramai manusia rajin melakukannya . Samalah sebagaimana tak ramai juga manusia yang berusaha bersungguh-sungguh di dalam melakukan itu dan ini  “ .

“ Jika DOA perlindungan dan keselamatan yang diminta oleh seseorang itu dengan sungguh-sungguh . Disertai pula dengan YAKIN , TAWAKKAL , BERSANGKA BAIK serta PENGHARAPAN BULAT-BULAT kepada ALLAH TA’ALA . Dan tanpa sebarang pengaruh nafsu-nafsu buruk dan keji seseorang manusia itu . Maka, pasti di saat itu akan datang NASRUN MINALLAHI WA FATHUN QORIB : Pertolongan daripada ALLAH dan kemenangan yang hampir . Maka menjadi hak ALLAH TA’ALA untuk menyelamatkan hamba itu daripada sebarang bahaya dan musibah yang pada adatnya biasa terjadi “ .

SubhanalLohil ‘Azhim ….. Syukur kerana ALLAH TA’ALA menemukan aku dengan Ustaz Mat Janggut sehingga aku semakin mengenali ALLAH TA’ALA dan semakin bersemangat untuk sentiasa berdoa dan meminta-minta kepadaNYA .

{ 10 }  MINTA TOLONG ORANG MENDOAKAN
Tidak menjadi satu kesalahan untuk meminta tolong orang lain ( sesama muslimin ) turut sama berdoa dan meminta-minta kepada ALLAH TA’ALA agar ditunaikan dan dipenuhi kehendak dan hajat kita . Bahkan , perbuatan itu sebenarnya merupakan satu tuntutan daripada ALLAH TA’ALA sendiri .

Firman ALLAH TA’ALA di dalam Surah Al-Maidah , Ayat ke-2 :

.....وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
“ …… Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNYA (bagi sesiapa yang melanggar perintahNYA).  “ –

Ketika Baginda RosululLoh ( SollalLohu ‘alayhi Wa Alihi Wa Sohbihi Sallam ) mengucapkan selamat jalan kepada Saydina ‘Umar bin al-Khattab ( RadhiyalLohu ‘anhu ) yang berangkat ke Mekkah untuk menunaikan umrah , Baginda RosululLoh (SollalLohu ‘alayhi Wa Alihi Wa Sohbihi Sallam) sempat berpesan kepadanya :

عَنْ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ:  إِسْتَأْذَنْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْعُمْرَةِ فَأَذِنَ لِي وَقَالَ لَا تَنْسَنَا يَا أُخَيَّ مِنْ دُعَائِكَ , فَقَالَ كَلِمَةً مَا يَسُرُّنِي أَنَّ لِي بِهَا الدُّنْيَا

Artinya : Daripada Saiyidina ‘Umar al-Khattab ( RadhiyalLohu ‘Anhu ) , katanya : “ Aku pernah meminta izin daripada Baginda RosululLoh ( SollalLohu ‘Alayhi Wa Sallam ) untuk menunaikan umrah . Lalu Baginda( SollalLohu ‘Alayhi Wa Sallam ) pun mengizinkan seraya berpesan : “ JANGANLAH ENGKAU MELUPAI KAMI INI HAI SAUDARAKU DI DALAM DOAMU “ . Komen Saiyidina ‘Umar al-Khattab ( RadhiyalLohu ‘Anhu ) : Itulah dia perkataan yang lebih aku sukai berbanding seluruh isi dunia ini     “
- Hadist Hasan Sohih Sebagaimana Direkodkan Oleh Al-Imam Abu Daud RH

Dan doa yang TERBAIK buat saudara-saudari kita seagama adalah MENDOAKAN KEBAIKAN buat dirinya tanpa kita tidak memberitahunya .

Sabda Baginda RosululLoh ( SollalLohu ‘alayhi Wa Sallam ) :

مَنْ دَعَا لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ: آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ
“ Sesiapa yang mendoakan ( kebaikan ) untuk saudaranya ( seagama ) secara ghaib ( tanpa diketahui oleh saudara seagamanya itu , (maka) Malaikat akan mengatakan : AMINNN , DAN JUGA UNTUKMU ( pahala dan isi doa itu dapat kepada orang yang mendoakan itu ) “
- Hadist Sohih Sebagaimana Direkodkan Oleh Al-Imam Muslim dan juga oleh Al-Imam Abu Daud RH

Dikatakan begitu oleh Baginda RosululLoh ( SollalLohu ‘alayhi Wa Sallam ) kerana CARA SENYAP-SENYAP itu lebih aman dan lebih jauh daripada Sifat Riya’ ataupun kerana inginkan sesuatu ( personal interest ) daripada dia yang didoakan itu .

{ 11 }  PESANAN ‘ALIM-ULAMA’ MENGENAI BERDOA
“ Bersangka buruk sesama orang-orang beriman adalah HARAM . Apatah lagi jika bersangka buruk terhadap ALLAH TA’ALA . Di antara bentuk buruk sangka terhadap ALLAH itu apabila kamu berdoa tetapi tidak yakin bahawa ALLAH itu mendengarinya dan akan menerimanya “ .

“ Mohonlah sentiasa kepada ALLAH seperti seorang budak kecil yang menangis-nangis meminta-minta daripada ibu-bapanya untuk dibelikan sebuah permainan di pasar “ .

“ Perbezaan di antara MAKHLUK dengan AL-KHALIQ ( Tuhan Yang Maha Mencipta ) adalah , makhluk itu semakin diminta semakin marah dan menyampah ia . Sedangkan AL-KHALIQ , semakin diminta kepadaNYA , semakin cinta dan redha DIA kepada kita “ .

{ 12 }  KISAH PAK YAHYA SAID “ MENJAMPI “ ORANG YANG DEMAM PANAS
Nama Pak Guru Yahya Said ( Pak Ya ) memang sudah cukup tersohor di kalangan penduduk Semenanjung Malaysia di era 60’an dan lebih-lebih lagi di era 70’an sebagai seorang TABIB TRADISIONAL , Penjual Ubat Tradisional dan Guru Silat Kalimah .

Suatu hari , ketika Pak Ya sampai di rumah Cikgu Azmi Long ( di antara murid Pak Ya ) di Sungai Petani, Kedah Darul Aman,  keluarga “ Lah Pekak “ memintanya untuk merawat Lah Pekak yang sedang demam panas . Pak Ya pun meminta disediakan semangkuk air . Lalu dibacakan sesuatu dan dihembuskan kepada air itu . Pak Ya pun berpesan agar sebahagian daripada air itu dijadikan air mandian dan sebahagiannya lagi sebagai air minuman .

Seorang murid kepada Pak Ya ( iaitu Pak Jauhari @ Pak Jo ) yang sememangnya melihat kejadian itu bertanya : “ Apa yang Pak Ya jampikan tadi ? “ .

Jawab Pak Ya spontan tetapi jujur : “ Dah tadi depa ( mereka ) kata Lah tu panas, aku jampilah dia supaya sejuk “ .

Murid itu tercengang lalu bertanya lagi : “ Aik ? , takkan macam tu saja . Boleh baikkah ? “ .

“ Mana aku tau , tu kerja ALLAH . Kerja aku minta dan doa sahaja “ ; jawab Pak Ya .

Itulah kisahnya . Dan daripada kisah itu ada berbagai pelajaran dapat diambil daripadanya ; iaitu :

( 1 ) – Hajat seseorang itu , lebih-lebih lagi sesama muslimin hendaklah dipenuhi selagi ia tidak menyebabkan dosa dan kesusahan yang amat sangat kepada diri kita sendiri .

( 2 ) – BerDOA tidaklah semestinya dengan Ayat-Ayat Al-Quranul Karim , ataupun hadist-hadits ataupun di dalam Bahasa Arab . Kerana yang lebih penting adalah ISI DOA itu dan IKHLAS di dalam berdoa kepada ALLAH TA’ALA .

( 3 ) – Tanggung-Jawab kita sebagai MAKHLUK adalah berdoa dan meminta-minta kepada ALLAH TA’ALA . Dan siapalah kita yang mahu “ memaksa “ ALLAH agar DIA mesti terima segera permintaan doa kita itu .

( 4 ) – BerDOA tidak semestinya panjang-panjang berjela-jela . Yang lebih penting IKHLAS di dalam berdoa dan tidak pula menjadikan orang lain jemu dan malas untuk berdoa .

Sekian sahaja buat paparan kali ini . Agar semakin jelas betapa luasnya RAHMAT ( Belas-Kasihan ALLAH ) . Dan agar semakin rindu hati kita semua untuk selalu meminta-minta kepada ALLAH TA’ALA .

WalLohu A’alam Bis Sowab .

CINDAI PELANGI ® I S N I N 19 / Sya’aban / 1433 Hijrah = 9 / Julai / 2012 Masihi
KUALA LUMPUR
http://penacindaipelangi.blogspot.com/2012/07/mengapa-tak-reti-berdoa.html