Oleh: alitantawi
عَنْ عَائِشَةَ - رضى الله عنها - قَالَتْ كَانَ النَّبِىُّ - صلى الله عليه وسلم - إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ ، وَأَحْيَا لَيْلَهُ ، وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ
Maksudnya:
Aisyah berkata: Sesungguhnya Nabi SAW apabila masuknya sepuluh malam akhir Ramadhan, mengikat kainnya, menghidupkan malamnya dan mengejutkan keluarganya.
(Hadith riwayat al-Bukhari no.2024, Muslim no.2844)
Huraian:
Hadith ini menunjukkan betapa Rasulullah SAW memberikan penekanan dan tumpuan yang lebih pada malam-malam akhir Ramadhan khusus untuk ibadah. Ini selaras dengan beberapa hadith lain yang memberitahu tentang kelebihan malam-malam akhir Ramadhan termasuklah kelebihan malam Lailatul Qadr.
MENGIKAT KAINNYA
Ibn Hajar dalam huraiannya terhadap Sahih al-Bukhari telah menyatakan bahawa para ulama mempunyai beberapa pendapat terhadap istilah mengikat kainnya. Di antara pendapat yang paling kuat ialah ia membawa dua maksud iaitu tidak menghampiri isterinya (melakuka hubungan suami isteri) dan ini digambarkan dengan istilah mengikat kainnya. Manakala satu lagi maksud ialah bersungguh-sungguh dalam ibadah. Namun begitu kedua-duanya adalah tepat jika dilihat dari perbuatan Nabi SAW apabila tiba malam-malam akhir Ramadhan.
MENGHIDUPKAN MALAMNYA
Perkataan yang digunakan oleh Aisyah iaitu menghidupkan amat bermakna. Seolah malam yang tidak digunakan untuk beribadah adalah malam yang mati dan tidak hidup. Rasulullah SAW telah memberikan pedoman terbaik untuk kita agar mengubah malam yang kelihatan mati itu dengan menghidupkannya dengan ibadah di kala manusia nyenyak tidur.
MENGEJUTKAN KELUARGANYA
Dalam beribadah, Rasulullah SAW tidak melupakan keluarganya. Mungkin seorang suami lebih selesa untuk beribadah tanpa memperdulikan keluarganya kerana cenderung untuk bersendirian tanpa menyusahkan diri mengejutkan anak dan isteri. Tapi Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh terbaik dan teladan ikutan kepada seluruh umatnya terutama ketua keluarga agar tidak mengabaikan keluarga walaupun dalam ibadah yang sunat sebegini.
Marilah kita sama-sama mengambil peluang malam-malam akhir Ramadhan ini untuk melakukan sesuatu agar diri kita berjaya di akhirat sebagaimana kita bersungguh untuk berjaya di dunia. Semoga Allah SWT mengampunkan dosa-dosa kita dan menerima taubat daripada hati-hati kita.
Selamat beribadah