Perumusan Semula Demokrasi Islam oleh Ghannouchi

Primary tabs

Dr Ahmad Farouk Musa [Diterjemahkan oleh Ahmad Nabil Amir, Abduh Study Group, Islamic Renaissance Front]

Perkembangan dunia Islam sejak revolusi Iran pada 1979 telah memperlihatkan dengan jelas bahawa perhubungan antara demokratisasi dan kebangkitan Islam adalah fenomena yang kompleks; dan merupakan satu elemen yang sangat penting dalam dinamika politik yang melingkari dunia Islam kontemporer. Bagi kebanyakan manusia di Barat, konsep “Demokrasi Islam” mungkin, merupakan suatu fahaman yang jengkel.

Memandangkan demokrasi secara esensinya, adalah konsep yang dapat dicabar, makanya adalah mustahak untuk memahami persepsi tentang demokrasi dalam konteks gerakan dan gelombang kebangkitan Islam mutakhir. Dalam dunia Islam, pertembungan ini mencetuskan cabaran untuk memaknai demokrasi Islam dengan cara yang mengharmonikan diantara tuntutan yang meningkat terhadap partisipasi politik dan desakan untuk menubuhkan kerajaan yang mempunyai nilai Islam yang tuntas dan autentik.

Dalam sejarah Islam, terdapat beberapa konsep dan imejan yang penting yang telah mencorakkan visi kontemporer tentang pengertian sebuah masyarakat manusia yang adil. Tanpa mengira pandangan yang berbeza dalam mendefinisi demokrasi Islam, konsep teras yang utama yang diterima oleh hampir kesemua tradisi dalam Islam adalah konsep tawhīd, yang diertikan sebagai “keyakinan dan penyaksian bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah, dan daripada asas pengalaman beragama dalam Islam, dengan itu, berdirinya Tuhan yang bersifat tersendiri dan kehendaknya adalah imperatif dan menjadi petunjuk untuk kehidupan manusia seluruhnya.”

Dalam kerangka ini, ia dapat diperhujah bahawa kekuasaan Tuhan yang mutlak telah membungkam mana-mana hirarki manusia sebagai mustahil kerana di hadapan Tuhan, semua manusia adalah sama. Lantaran itu, tawhīd membekalkan asas konsepsi dan teologi yang memberi penekanan yang aktif tentang persamaan hak dalam sistem politik. Seawal zaman Muawiyah, pimpinan yang menerajui pemerintahan setelah berakhirnya era Khalifah al-Rasyidah, yang menegakkan dasar hirarki dan sistem diktator telah dibidas sepanjang sejarah sebagai tidak-Islamik.

Kerana itu, tawhīd telah melandaskan basis untuk melangkaui penegasan tentang persamaan kepada gerakan revolusi bagi menumbangkan penindasan diktator. Di Iran, Ali Syari'ati dalam karya pentingnya “On the Sociology of Islam” (Tentang Sosiologi Islam) menulis bahawa dalam “pandangan dunia tawhīd, manusia hanya gerun pada satu kuasa, dan bertanggungjawab di hadapan hanya satu hakim…, Tawhīd membekalkan kepada manusia kebebasan jiwa dan kemerdekaan dan karamah insan. Penyerahan padaNya sahaja – yang tertinggi daripada segala yang wujud – mendesak manusia untuk memberontak terhadap segenap kuasa yang palsu”.

 

Dalam konteks ini, revolusi Iran boleh diungkapkan sebagai “revolusi tawhīd”. Walaupun tawhīd, mungkin digunakan sebagai pemangkin ke arah penciptaan negara yang tidak demokratik, seperti yang diperlihatkan sepanjang sejarah Islam; ia juga melandaskan ideologi tentang persamaan dan penentangan radikal terhadap kewenangan dan penyalahgunaan kuasa.

 

Formulasi Demokrasi Islam

Ghannouchi adalah pemimpin Hizb an-Nahdah, Parti RenaisansDalam lapangan teori politik, khususnya yang berkait dengan demokrasi, cendekiawan dan aktivis Islam sedang berada dalam era transisi yang penting. Ramai percaya bahawa proses sejagat daripada kebangkitan agama dan demokratisasi dapat saling melengkapi. Seorang pemikir yang unik dan terkehadapan di kalangan yang lain dalam mencanangkan demokrasi Islam adalah Rashid Ghannouchi, aktivis dan politikus Muslim asal Tunis yang kini hidup dalam buangan di England.*

Ghannouchi adalah pemimpin Hizb an-Nahdah, Parti Renaisans. An-Nahdah diasaskan pada 1988 setelah Ghannouchi dibebaskan daripada penjara kerana aktivisme politiknya dengan Harakah al-Ittijah al-Islami, Gerakan Pelopor Islam, yang diasaskan pada awal 1981. Ketika mendekam di penjaralah Ghannouchi meraih kesempatan yang luas untuk bertafakur dan menyingkap ide-ide Muhammad Abduh – yang telah melawat Tunis sebanyak dua kali dan mengikat jaringan perhubungan di sana – dan dengan banyak ulama Islam yang lain termasuk Ibnu Asyur dan Malik Bennabi.

 

Malik Bennabi, pemikir Algeria; yang diraikan Ghannouchi sebagai pasak pemikiran Islam dan pemicu gagasan rasionalisme Ibn Khaldun, mempunyai pengaruh yang besar terhadapnya. Ghannouchi melihat rasionalisme Islam sebagai penduaan akal dan wahyu yang melantarkan sumber pengetahuan. Hubungan wahyu dengan akal adalah seperti penglihatan dengan cahaya; salah satu tidak dapat wujud tanpa yang lainnya.

 

Ketika di penjara, Ghannouchi menterjemahkan syarahan Bennabi dalam bahasa Perancis ke bahasa Arab dengan judul Ad-Dimuqratiyah fil-Islam (Demokrasi dalam Islam). Dalam tretis inilah Ghannouchi menemui jawapan kepada satu persoalan yang musykil “Adakah wujud demokrasi dalam Islam?”

 

Bennabi, menurut Ghannouchi, menekankan bahawa jawapan terhadap persoalan tersebut tidak semestinya diambil dari hukum fiqh (jurispruden) yang dirumuskan daripada al-Qur’an atau Sunnah; tetapi dapat digarap daripada kefahaman yang komprehensif terhadap intipati Islam.

Model demokrasi Islam tidak hanya setakat mengurniakan manusia dengan mandat dan hak politik atau sosial, tetapi akan memberkahinya dengan nilai yang mengatasi setiap nilai politik atau sosial, nilai yang diisytiharkan dalam al-Qur’ān ayat 70, surah 17: “Kini, sesungguhnya, Kami telah meninggikan darjat anak-anak Adam.” Ayat ini diturunkan seakan menggariskan asas bagi sebuah model demokratik yang mengalahkan setiap model yang lain, di mana elemen suci di dalam diri manusia diangkat sebagai pertimbangan dan tidak hanya aspek manusiawi atau sosial seperti dalam model yang lain. Dengan itu, satu bentuk kesucian dikurniakan kepada manusia; yang mengangkat martabatnya atas apa jua nilai yang dikalungkan oleh model yang lain.

 

Al-Hurriyah al-‘Ammah – Kebebasan Umum

Setelah berhasil menterjemah karya Bennabi Ad-Dimuqratiyah fil-Islam (Demokrasi dalam Islam), Ghannouchi memutuskan untuk menulis sebuah buku tentang kebebasan. Diterbitkan pada 1993, Al-Hurriyah al-‘Ammah fid-Dawlah al-Islamiyyah (Kebebasan Umum dalam Negara Islam), dianggap sebagai salah satu karya terpenting dalam wacana pemikiran politik Islam semasa.

Dalam buku ini, Ghannouchi melihat demokrasi sebagai kesan daripada evolusi sejarah yang panjang. Beliau berhujah bahawa kaum Eropah mengambil faedah daripada peradaban Islam dengan merangka konsepsi pencerahan yang segar mengenai nilai sosial yang hasilnya adalah kebangkitan demokrasi liberal.

Dengan perkataan lain, demokrasi adalah versi Barat daripada syūra Islam (konsensus bersama). Pemimpin Islam selepas era Khalifah Rasyidun telah menggantung amalan syūra dalam upaya pemilihan pemimpin. Penggantungan ini terus berlangsung sehingga ke abad moden ketika bangsa lain mengatasi umat Islam dalam mengiktiraf kebebasan bersuara dan mempertahankan kebebasan politik. Secara metaforik, ketika pohon syūra layu di tanah Islam kerana kurang dibaja, benihnya mekar, yakni ketika zaman Renaisans, di tanah Eropah di mana pohon demokrasi berakar dan berkembang.

 

Konsep Faraghat (Ruang untuk Ijtihad – Kemerdekaan Berfikir)

Tema utama dalam pemikiran Ghannouchi adalah demokrasi sejajar dengan Islam, dan umat Islam harus menggabungkannya dalam pemikiran politik mereka bagi menginstitusikan konsep syūra. Ghannouchi menekankan bahawa yang lebih penting, nilai-nilai asas demokrasi yang dizahirkan di zaman Nabi dan al-Khilāfah ar-Rāsyidah dilaksanakan berlandaskan pada prinsip, dan bukan pada model.

Beliau berhujah bahawa permusuhan sebahagian daripada puak Islamis terhadap demokrasi adalah disebabkan kefahaman yang dangkal tentang karakter Islam dan juga mengenai sejarah  perkembangan pendekatan umat Islam menangani persoalan tentang kerajaan. Beliau mengetengahkan ide bahawa Islam meliputi faraghat (ruang) atau lapangan yang dibiarkan kepada manusia memenuhinya mengikut keperluan dan tuntutan waktu dan tempat.

Untuk memperkukuhkan idenya, Ghannouchi menyingkap sejarah ketika peperangan Badr, pertempuran pertama dalam sejarah Islam. Nabi mengarahkan tenteranya untuk merebut posisi yang dapat meninggalkan kedudukan perigi antara mereka dan pasukan musuh. Seorang Sahabat bernama al-Habbab ibnul-Munzir bertanya sama ada percaturan ini adalah ketentuan wahyu daripada Tuhan atau masih dalam lingkungan ar-rā’iy wal-harb wal-makīdah (pendapat dan strategi perang). Nabi menjawab ia hanya bersandarkan ijtihad.  Sahabat tersebut, yang merupakan komander perang yang berpengalaman, mencadangkan bahawa kebijakan mengambil lokasi ini bukan langkah yang terbaik dan strategik, dan adalah lebih baik untuk menempatkan pasukan militer di hadapan perigi supaya pihak musuh tidak dapat tembusi laluan ke punca air. Nabi bersetuju dan rencana Sahabat tersebut dilaksanakan.

Kenyataan yang Ghannouchi ingin ketengahkan adalah struktur binaan Islam, yang ditinggalkan oleh Nabi, telah sempurna pada garis asas dan struktur komponen yang berkait dengan ad-deeni (agama). Selain daripada itu, para sahabat tidak teragak-agak untuk menanggapi bidang kedua daripada faragh (ruang), di mana mereka juga dapat mengemukakan ijtihād jika dan bilamana perlu, sama ada ketika bersama Nabi atau setelah kewafatan Baginda Nabi. Yang bermakna, struktur komponen yang menyentuh tentang as-siyāsi (politik) ditinggalkan untuk generasi kemudian merangka dan memperbaikinya.

 

Langkah ke Arah Demokrasi Islam

Kepentingan utama Ghannouchi adalah untuk menekankan keperluan mewujudkan demokrasi, untuk membuktikan kesejajarannya dengan Islam dan untuk menganalisis halangan yang menghambat kejayaannya di dunia Islam. Bagaimanapun, demokrasi mempunyai musuhnya, baik daripada arah setempat maupun sejagat; dan banyak halangan yang akan menyekat kemajuannya. Ghannouchi ingin menekankan bahawa perjuangan menentang halangan eksternal terhadap demokrasi di dunia Islam, adalah sama penting dengan perjuangan membanteras halangan dalaman melalui pendidikan, pembacaan semula sejarah Islam, dan pemugaran ijtihād.

Persekitaran politik yang dominan di dunia Islam hari ini tidak menjadikan tugas Ghannouchi suatu yang mudah. Ghannouchi sendiri adalah mangsa kekejaman sebuah regim yang tidak berkompromi terhadap ide yang paling moderat sekalipun seandainya dikhuatiri menggugat monopoli kuasanya. Gerakannya, Hizb an-Nahdah (Parti Renaisans) telah diharamkan dan ahlinya diganyang atau dibuang negeri tidak lain kerana jenayah mendakyahkan demokratisasi. Perjuangan Ghannouchi masih berkesinambungan; beliau mungkin belum mencapai puncak sumbangannya lagi. Pembuangannya ke England, sungguhpun membawa derita yang mengesankannya, diharapkan dapat membekalkan waktu untuknya mengorak perubahan dan menjana kematangan dalam pemikiran dan idealisme politiknya; untuk faedah segenap umat dalam era kesejagatan ini.

 

___________________________________________________

* Artikel ini telah dihasilkan pada Julai 2010 dan diterbitkan oleh Harakahdaily dengan judul Reformulating Islamic Democracy (Merumuskan Semula Demokrasi Islam). Ketika itu Rashid Ghannoushi masih dalam buangan di London.  Beliau disingkirkan pada 1989 dan setelah 22 tahun, pulang ke tanahairnya Tunisia pada Januari 2011 dan dijulang sebagai wira. Parti Ghannoushi Hizb an-Nahdah – Parti Renaisans – memenangi pilihanraya pertama yang bebas di Tunisia baru-baru ini, sepuluh bulan setelah tercetusnya kebangkitan yang menjatuhkan pemimpin, Zine al-Abidine Ben Ali, yang telah mengharamkan pertubuhan tersebut dan memenjarakan Ghannoushi sebelum beliau memutuskan untuk hidup dalam buangan di London. Hizb an-Nahdah berikrar untuk meneruskan demokrasi setelah undian pertama yang terhasil daripada “Kebangkitan  Dunia Arab” (Arab Spring) ataupun Musim Semi Arab menzahirkan dampaknya ke Timur Tengah dan Afrika Utara.