Olahan Dr Ahmad Farouk Musa
“(Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya yang telah mengajarkan Al-Quran (kepada manusia). Dialah yang telah menciptakan manusia. Dialah yang telah memberikan keupayaan kepada manusia untuk berfikir dan bertutur.” [55:1-4]
Keseluruhan pendekatan hermeneutika Muhammad Asad terletak pada penegasan beliau bahawa setiap kenyataan al-Qur’an adalah ditujukan kepada akal manusia. Oleh itu ia mestilah mampu difahami baik secara literal atau secara alegori. Al-Qur’an hanya boleh difahami sekiranya ia dibaca dengan pertimbangan yang teliti, secara keseluruhan, dan bukannya sekadar sebuah himpunan maksim moral, cerita atau undang-undang yang tidak saling terikat.
Tuhanlah yang telah mewahyukan al-Qur’an dan Dialah yang menganugerahkan ke atas manusia kemampuan untuk memahaminya. Asad menegaskan al-Qur’an mestilah dibaca seperti mana ‘ia sepatutnya dibaca’, yang mana al-Qur’an itu sendiri adalah ‘huraian yang terbaik bagi dirinya sendiri ’.
“Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya, maka bacalah serta perhatikanlah akan pengertian bacaannya itu (dengan segala kemampuan akal fikiranmu); Kemudian, sesungguhnya kepada Kamilah terserah urusan menjelaskan kandungannya” [75:18-19]
Dalam mentafsirkan al-Qur’an, Asad turut menegaskan yang selain daripada pertimbangan linguistik, beliau cuba memerhatikan dua peraturan asas dalam pentafsiran. Pendekatan beliau dalam pentafsiran adalah berasaskan kepercayaan bahawa semua peringatan dan petunjuk arahan (mesej tentang etika) sepatutnya dilihat secara bersama sebagai penjelasan kepada sebuah doktrin etika. Yang mana setiap ayat mempunyai kaitan yang rapat dengan ayat lain, kesemuanya saling menjelaskan dan menghuraikan satu dengan yang lain.
Dengan itu, makna sebenar boleh dicapai hanya jika kita menghubungkaitkan setiap kenyataan-kenyataan bersama apa yang dinyatakan di mukasurat lain, dan cuba menjelaskan ideanya dengan kerap melakukan rujukan silang. Sentiasa meletakkan apa yang umum mengatasi perincian, begitu juga yang intrinsik mengatasi butiran sampingan. Apabila peraturan ini benar-benar dipatuhi, kita akan mendapati al-Qur’an – seperti yang dikatakan oleh Imam Muhammad Abduh - “pengulas bagi dirinya yang terbaik.”
Kedua, mana-mana bahagian al-Qur’an tidak seharusnya dipandang daripada sudut sejarah semata-semata. Al-Qur’an meberikan prinsip-prinsip umum yang dipersembahkan bagi tujuan pengajaran dan didaktik. Hal ini bererti, sejarah yang dihuraikan tidak boleh diambil secara literal apabila al-Qur’an merujuk kepada suatu keadaan sejarah dan kejadian sebagai sebuah catatan fakta, tetapi sebagai gambaran perincian akan keadaan manusia.
Tambahan pula, seperti yang dinyatakan Asad, tumpuan pentafsir klasik terhadap peristiwa sejarah sewaktu ayat tertentu diwahyukan tidak seharusnya dibiar mengkaburi tujuan yang mendasari sesuatu ayat dan keberkaitannya dengan mesej keseluruhan al-Qur’an. Hal ini adalah sesuatu yang beliau fikirkan telah hilang daripada pandangan mereka di dalam penjelasan dan perincian yang tidak wajar dalam menyusun naratif al-Qur’an.
Seseorang perlu jelas tentang perspektif al-Qur’an atau pendekatan karakteristik yang diperlukan terhadap subjeknya, dan keberkaitan yang mendalam kepada ajaran etika yang dikemukakan al-Qur’an.
Beliau berpandangan bahawa di dalam pentafsiran kitab, terutamanya yang mempunyai naratif seperti tentang penciptaan, seseorang itu perlulah dimaklumkan oleh tinjauan-tinjauan dari disiplin moden. Hal ini merupakan asas untuk membuatkan naratif tersebut mampu difahami oleh masyarakat zaman moden.
Beliau menekankan kerasionalan Islam yang seiringan dengan pendekatan intelektual beliau terhadap agama. Demikian itu selari dengan pendekatan Muhammad Abduh yang membangunkan sebuah sistem keyakinan berdasarkan akal budi. Ujar Abduh: “Agama mestilah dianggap sebagai teman sains, menggalakkan manusia untuk menyiasat rahsia kewujudan, menyerunya untuk menghormati kebenaran dan bergantung kepada semua itu dalam perlakuan dan kehidupan bermoral.”
Pencarian hermeneutikal Muhammad Asad untuk mendedahkan makna kepada teks al-Qur’an terletak pada pendapatnya bahawa al-Qur’an mengandungi unsur-unsur mitos yang tidak seharusnya diambil secara literal sebagai peristiwa sebenar dalam sejarah. Apa yang perlu dilakukan oleh umat Islam adalah untuk melangkah kebelakang dan merenung bahan-bahan itu dengan mesej yang mendasari al-Qur’an seperti mana ia diwahyukan berserta etika dan ajaran sosialnya.
Tugas ini menjadi lebih mudah memandangkan al-Qur’an sangat memberikan penekanan terhadap akal, sebagai kunci untuk memahami makna teks al-Qur’an. Hal ini bererti setiap ayat al-Qur’an ditujukan kepada akal budi dan dengan itu mestilah dapat dicapai oleh “kaum yang berfikir” [li qaumin yatafakkarun].
Demikian inilah yang dimaksudkan disebalik penekanan bahawa al-Qur’an mempunyai dua bentuk ayat: (ayat muhkamat) yang maknanya jelas dan mudah difahami secara literal (kebanyakkan ayat terdiri dari jenis ini), dan (mutasyabihat) yang maknanya alegori atau simbolik [3:7]
Asad adalah yang pertama mengakui bahawa manakala kategori yang pertama (ayat muhkamat) membentuk intipati al-Qur’an, kategori yang berikutnya (mutasyabihat), adalah melalui keumuman metafora dan subjek metafizik, iaitu mewakili bahagian realiti yang melangkaui penglaman manusia.
Menyentuh idea metafizikal agama berkaitan al-ghayb [alam yang melangkaui jangkauan pencerapan manusia], satu-satunya cara untuk memastikan ia dapat disampaikan kepada manusia adalah melalui pinjaman – imej daripada fizikal-sebenar atau pengalaman-mental; atau menggunakan apa yang disebut Zamakhshari di dalam tafsirnya terhadap surah ke-13 ayat ke-35, “ Melalui sebuah gambaran parabolik, dalam erti kata sesuatu yang kita tahu daripada pengalaman, tentang sesuatu yang melangkaui daya tanggapan kita” [tamthilan li-ma ghaba anna bi-ma nushahid]. Dan ini adalah maksud paling dalam tentang terma dan konsep al-mutasyabihat yang digunakan di dalam al-Qur’an.
Keterhadan bahasa manusia untuk mencapai, misalnya, Sifat Wujud Tuhan, memerlukan kepada representasi atau ‘terjemahan’ kepada aktiviti atau kekreatifan Tuhan menjadi ketegori pemikiran [seperti ‘kemurkaan’ Tuhan, ‘ Kecaman’, ‘Cinta’, dan lain-lain] yang mana manusia boleh memahaminya.
Pencarian tafsiran Asad bagaimanapun tidak begitu menumpukan pada mentafsirkan al-ghayb, iaitu subjek metafizikal seperti Sifat Tuhan dan Hari Penghakiman, sebagaimana cubaan beliau memahami ayat-ayat al-Qur’an yang dilahirkan dalam bahasa alegori berkenaan keadaan manusia.
Al-Qur’an memberitahu kita secara jelas bahawa kebanyakkan ayat-ayatnya dan ungkapan-ungkapannya mesti difahami melalui cara alegorikal kerana ia bertujuan untuk pemahaman manusia dan ayat—ayat tersebut tidak dapat disampaikan kepada kita melalui cara yang lain.
Oleh yang demikian, sekiranya kita mengambil setiap rangkap daripada kenyataan dan ungkapan al-Qur’an dalam bentuk luarannya, secara literal dan mengabaikan kemungkinan ia sebagai sebuah alegori, metafora atau kisah perumpamaan, maka kita sebenarnya membelakangi semangat atau ruh al-Qur’an itu sendiri.