Pengalaman Dr Danial Dalam Bidang Penulisan

Primary tabs

Buku pertama Dr. Danial terbitan 1988 oleh Pustaka NahnuSaya mula mengasah bakat dalam bidang penulisan pada tahun 1988. Ketika itu saya baru keluar dari perkhidmatan kerajaan sebagai doktor untuk membuka klinik sendiri bersama isteri. Disiplin perubatan yang saya ceburi (iaitu perubatan moden atau allopathy) banyak bergantung kepada kajian-kajian semasa. Apabila kajian-kajian dan penemuan-penemuan ini saya kaitkan dengan Quran dan Hadis, saya mendapati betapa saintifiknya ajaran Islam. Kesedaran ini ingin saya kongsikan dengan masyarakat maka terhasillah buku saya yang pertama bertajuk 'Konsep Perubatan Islam' terbitan Pustaka Nahnu (11 Medan Suri, Sungai Nibong, Pulau Pinang),  pada tahun 1988. Buku yang mengandungi lima bab dan mempunyai 141 halaman ini  dicetak oleh Academe Art & Printing Services Sdn Bhd, Kuala Lumpur. Bagi saya, buku ini mempunyai banyak kelemahan teknikal terutamanya di sudut bahasa dan susunan bab. Namun saya mendapati ia menjadi bahan rujukan di universiti-universiti di Malaysia, termasuk di kalangan para pensyarahnya, dan saya bersyukur kepada Allah yang mengizinkan penerbitannya...

Selepas berlaku tragedi 11 September 2001, pelbagai persoalan dan tohmahan terhadap Islam timbul sehingga memberi kesan yang amat negatif terhadap ajaran Islam. Ketika itu hati saya menjerit melihat keadaan umat yang kucar kacir persis buih yang hanyut. Namun jeritan hati itu hanyalah merupakan jeritan hati seorang penonton yang melihat dari jauh. Saya menyedari saya tidak boleh sekadar menjadi penonton. Saya perlu terjun ke dalam arena untuk mempengaruhi 'permainan' dalam bidang yang sesuai.

Menulis Kerana Keperluan

Allah mewajibkan umat Islam mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran. Salah satu cara yang digalakkan agama ialah melalui wahana penulisan. Tidakkah al-Quran terpelihara mesejnya hingga ke hari, antaranya, melalui penulisan? Tidakkah hadis-hadis nabi dan tafsirannya dapat kita manfaatkan pada hari ini melalui kitab-kitab hadis yang pelbagai? Demikian juga dengan pelbagai khazanah ilmu Islam sebelum ini. Ia sampai kepada kita melalui penulisan kitab-kitab.. Tambahan daripada itu saya juga teruja apabila mendapat tahu ramai orang di barat memeluk Islam selepas membaca buku 'Islam and the Destiny of Men' karangan Gai Eaton. Begitulah kekuatan buku dan penulisan. Ia merupakan salah satu agen yang penting ke arah perubahan. Akhirnya saya bertekad untuk menulis. Tekad ini terhasil kerana dua keperlun. Ya, saya menulis kerana KEPERLUAN. Keperluan pertama ialah untuk menjawab tohmahan terhadap Islam dan yang kedua untuk menonjolkan kehebatan ajaran Islam berbanding yang lain.

Allah Maha Penolong

Apabila tekad untuk menulis sudah diikat, tiba-tiba ilham datang tanpa henti. Benarlah seperti yang Allah firmankan dalam surah Ali Imran ayat 159, "Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad maka bertawakkallah kepada Allah. Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya". Memang benar, apabila kita sudah berazam dan kemudiannya berserah kepada-Nya, Buku kedua Dr Danial dan buku pertama beliau dalam bahasa InggerisDia akan membantu kita... Maka ilham datang mencurah-curah kepada saya. Allah juga mempermudahkan bagi saya untuk menemui sumber-sumber yang autentik untuk dimuatkan dalam buku saya.

Pada tahun 2001, terhasillah buku dalam bahasa Inggeris bertajuk 'The Misunderstood Religion' yang menjawab pelbagai tohmahan terhadap Islam. Ia diedarkan secara percuma kepada yang bukan Muslim. Syukur, buku ini dihadiahkan kepada Ms Yvonne Ridley, wartawan terkenal dari UK yang memeluk Islam, ketika beliau datang berceramah di Pulau Pinang. Beliau mencadangkan agar buku ini dihadiahkan kepada pemimpin-pemimpin barat dengan harapan tanggapan negatif mereka terhadap Islam akan berubah...

Buku-Buku Terhasil

Tahun 2002 merupakan tahun yang paling prolifik bagi saya. Pada tahun itu terhasil empat buah buku, iaitu, 'Bahan Berdakwah Untuk Remaja Moden', 'Kit Kombat Islam', 'Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden' dan 'Bukti Sains dan Sejarah Kerasulan Muhammad SAW'. Pada tahun 2003 pula terhasillah buku 'Empayar Minda Muslim', tahun 2004 buku '7 Formula Individu Cemerlang', tahun 2005 buku 'Tip-tip Cemerlang Daripada Quran' dan'Islam The Misunderstood Religion', tahun 2007 buku 'Quran Saintifk' dan 2008 buku'Minda Muslim Super'. Alhamdulillah, buku-buku 'Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden', 'Bukti Sains dan Sejarah Kerasulan Muhammad SAW', '7 Formula Individu Cemerlang', 'Tip-tip Cemerlang Daripada Quran' dan 'Quran Saintifk' mencapai status bestseller. Tambahan daripada itu, buku 'Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden' terpilih sebagai finalis dalam Anugerah Media Islam Nasional (AMIN) bagi tahun 2006.

Saya bersyukur kepada Allah kerana pihak penerbit di Indonesia juga berminat untuk menerbitkan buku-buku saya. Buat sementara buku-buku 'Empayar Minda Muslim', 'Perubatan Islam Buku Dr Danial yang pertama versi Indonesia terbitan 2007dan Bukti Sains Moden', '7 Formula Individu Cemerlang' dan 'Tip-tip Cemerlang Daripada Quran' telah pun dilesenkan untuk pasaran Indonesia.

Apakah Rahsia Dr. Danial?

Inilah antara soalan yang kerap diajukan kepada saya. Sebenarnya kaedah yang saya gunakan bukanlah suatu yang luarbiasa. Yang paling asas ialah:

  • Seronok Beribadah: Saya seronok menulis sebab ia merupakan ibadah dan jariah.
  • Disiplin & Konsisten: Semangat dan minat saja tidak mencukupi. Allah membantu saya untuk menulis satu muka surat setiap hari. Sebulan bermaksud 30 muka surat. 5 bulan bermaksud 150 muka surat dan dengan 150 muka surat sebuah buku sudah dapat dihasilkan!
  • Zikir & Fikir: Dalam surah Ali Imran ayat 190 Allah menceritakan tentang Ulul Albab yang banyak berzikir dan berfikir. Warnakan diri dengan sifat-sifat ini. Dengannya akan lahirlah ketulusan hati dan ketajaman minda. ia aset dalam penulisan.
  • Tinggalkan Yang Tidak Penting: Kita sebenarnya golongan yang tidak malas. Cuma yang menjadi masalah ialah ramai dari kalangan kita suka menyibukkan diri dalam perkara yang tidak penting. Maka yang terhasil ialah perkara yang tidak penting. Jika masa yang terbuang ini dilaburkan untuk membaca dan menulis, sudah hampir pasti sesuatu yang hebat akan terhasil.
  • Dekati Allah: Setiap kali terhasil sesebuah buku, saya akan bertanya, "Siapakah yang menulis buku ini?" Saya sedar kudrah yang ada pada diri saya tidak memampukan saya untuk menghasilkan buku-buku ini. Saya perlukan Allah.

Sumber http://mindasuper.com/v2/index.php?option=com_content&task=view&id=72&Itemid=56