Prakata Wacana Pemikiran Reformis (Dr Dzulkefly Ahmad)

Primary tabs

Dr Dzulkefly Ahmad | Ahli Parlimen Malaysia | Pengarah Eksekutif, Pusat Penyelidikan PAS Pusat


Menulis Kata Pengantar kepada antologi esei dalam buku Wacana Pemikiran Reformis ini oleh sekumpulan pemikir muda Islamic Renaissance Front (IRF) mengingatkan cita-cita saya yang tidak kesampaian. Hal ini mengembalikan era sebelum saya terlibat dalam politik kepartaian secara langsung atau partisan, sejurus meninggalkan menara gading dan keterlibatan dalam organisasi bukan-kerajaan (NGO). Keinginan untuk terlibat dalam kegiatan berteraskan Intellectual Islam adalah pilihan yang juga menarik minat saya satu ketika dahulu sebelum terjun dalam dunia Political Islam.


Buku ini akan dilancarkan oleh Dr Mujahid Yusuf Rawa pada Ahad 10 Jun di Renaissance Hotel, KLRuang ini mengizinkan saya untuk melontarkan ide-ide tertangguh sekaligus merakamkan betapa saya amat senang dengan aktivisme keintelektualan seperti ini. Tidak semestinya saya persetujui segala  gagasan ide IRF, namun ia wajar dihormati dalam menggalakan penjanaan ide-ide dan pencerahan fikrah ummat berdepan dengan cabaran getir serba rencam termasuk yang menjumudkan atau membekukan pemikiran di hujung zaman ini.

 

Wajar juga disebutkan betapa kegiatan intelektualisme seumpama ini punya cabarannya yang tersendiri dan bebannya terkadangkali bukan kepalang. Tuduhan dan kecaman seperti “Ini kelompok muktazilah” atau “Ini kelompok liberal”  mudah dan lumrah di lemparkan ke arah anda.

Kesemua itu adalah sebahagian daripada risiko keberanian yang terpaksa menyoal tradisi dan mendobrak doktrin yang acapnya dianggap kudus atau sacred secara turun temurun oleh ummat bahkan dalam sesetengah hal oleh Gerakan Islam itu sendiri. Ummat jelas tidak berlaku adil sebab kegiatan inilah yang sentiasa menghidupkan dinamisme berfikir dan pencarian penyelesaian.

Islam merupakan agama langit dan syari’at yang terakhir untuk kemaslahatan ummat manusia. Islam juga semestinya berkeupayaan untuk memberikan bimbingan untuk kesejahteraan hidup bermasyarakat dan bernegara. Demikian itulah penegasan keyakinan yang tidak dipertikaikan lagi.

Sementara I’tiqad atau conviction itu tidak disangsikan oleh sesiapa pun yang mendakwa beriman pada Allah dan RasulNya serta faham akan tuntutannya, namun dalam menterjemahkan kefahaman dan penghayatan tuntutan itu, Ummat terbelah kepada beberapa madaaris atau schools atau sekolah pemikiran dan amalan.

Fokas esei-esei dalam buku ini tidak lagi mempertikaikan debat atau kadangkalan polemik perkara-perkara yang bersabitan dengan pertikaian dan pertentangan khilaf mazaahib atau antara I’tikad Jabariah, Qadariah dan yang lain.  Ia juga tidak menumpu kepada era pertentangan kaum muda dan kaum tua atau pertikaian mazhab Sunni atau Shi’iy, atau wacana yang menjurus kepada kefahaman ahlus-sunnah wal-jama’ah.

Tumpuan himpunan esi-esei dalam buku ini adalah sangat menarik. Maudhu’ atau tajuk utamanya adalah segala yang mencakup hal agenda Kebangunan Semula Ummat atau Islamic Revivalism atau An-Nahdah Islami. Ia bersangkutan bicara trajektori dan diskusi kelangsungan survival Ummat dalam persaingan global dan geo-politik yang semakin sengit.

Sesungguhnya sejak kejatuhan Kerajaan Uthmaniyyah pada awal abad ke-20, umat Islam semacam hilang arah dan kompas kelangsungan cita-citanya. Sememangnya kejatuhan Khilafah dianggap sebagai sangat menekan dan bermasalah sekalipun umat Islam sudah bermasalah beratus-ratus tahun yang lampau dalam keadaan mereka di bawah naungan Khilafah Islamiyah.

Respon kejatuhan Uthmaiyyah, Rasyid Redha menyerukan Dawlah Islamiyyah atau Islamic StateRespons kejatuhan itu disambut oleh seorang tokoh ulung Syeikh Rasyid Redha. Beliau lantas mengajak umat Islam untuk mendirikan Dawlah Islamiyyah atau Islamic State dan Khilafah bagi mengembalikan Kesatuan Ummat yang terburai. Umumnya, para pengkaji menyifatkan istilah Dawlah Islamiyyah mula disebut dan dipopularkan hasil cetusan pemikiran Rashid Redha.

Rasyid Redha adalah murid Imam Muhammad Abduh, dan Abduh merupakan penggerak Pan-Islamisme bersama-sama Jamaluddin al-Afghani sejak lewat abad ke-19. Jelas bahawa mengembalikan kesatuan ummat  satu penekanan dan penubuhan Dawlah Islamiyyah atau Islamic State itu seolah segala-galanya daripada cita-cita ummat yang telah diperkotakkan-katikkan dalam era penjajahan Barat.

Rantaian peribadi mujaddid dan organisasi mereka silih-berganti tampil di gelanggang atau arena dakwah dan siasah. Warisan dan legasi pemikiran Rasyid Redha mencorak kerangka pemikiran ulama’ dan ideolog Islam yang terkemuka seperti pengasas Ikhwan, Hasan al-Banna, dan pendiri Jama‘at Islami, Abu’l A‘la al-Mawdudi, pengasas Muhammadiyyah Ahmad Dahlan dan mantan Presiden Parti Islam se-Malaysia – PAS - Dr Burhanuddin al-Helmy.

Selagi cita-citanya adalah membangunkan Negara Islam yang dihancurkan Barat, maka mereka dilabel Islamists dan mempelopori Islamism atau pergerakan Politik Islamisme. Pelbagai kategori atau shades Islamisme ini tampil masing-masing membawa trend atau ittijah tersendiri. Pokoknya daripada kacamata Barat – semuanya Islamis – samada kelompok Jihadis atau Demokrat. Satu masa dahulu semua adalah musuh Barat. Kini hanya Jihadis yang tinggal seteru tegar.

Mutakhir ini, agenda utama dan pokok maudhu’ wacana Political Islam ini berkisar disekitar maudhu’ unjuran atau trajectory kesinambungan keterlibatan Gerakan Islam dalam proses democratisation sesebuah negara-bangsa. Komitmen Gerakan Islam kepada proses demokrasi dan sistem pilihanraya sebagai cara yang absah dan legitimate untuk ke tampok kekuasaan, menjadikan Islamis dan organisasi melakukan pelbagai political reallignment yang didahulukan dengan satu intellectual renewal atau Ijtihad bersabitan dengan ‘tawaran politik’ dan ‘strategi pilihanraya’.

Hal inilah, pada pengamatan saya, dorongan mewujudkan Wacana Pemikiran Reformis ini.

Dalam mendepani era peralihan penglibatan Gerakan Islam kepada proses demokrasi, khasnya era pasca-Arab Spring atau Thaurah Sya’bi’ah di negara-negara Timur Tengah, semacam satu ‘anjakan generasi’ – generational shift -  sedang dilalui oleh Islamis hampir di seluruh dunia Islam. Ia semacam merupakan satu wacana baru atau A New Muslim Scholarship yang berteraskan penggarapan realiti baru Gerakan Islam yang mahu dtanggapi sebagai kelompok yang hanya mahu kuasa dengan sokongan mandat rakyat dan melalui peti-undi atau ballot-box.

Matlamat Negara Islam secara sedar telah dipunggarkan dan kini ditampilkan perjuangan memperkukuhkan masyarakat dan negara Madani atau Civil State di atas tawaran prinsip-prinisp Islam dan sejagat sebagai asas-asas good governance dan kedaulatan undang-undang sebagai paksi kenegaraan.

Istilah Post-Islamism dimaknakan dengan pelbagai erti dan konsekuensi yang wajar diwacanakan supaya tidak disilap-faham umum. Sementara Negara Agama atau Theocratic State tetap ditolak, Islamis dituntut untuk lebih tegas, jelas dan konsisten lagi menghuraikan wacana Political Islam dan Negara Madani - Civil State - mereka dalam fasa atau fatrah Pasca-Arab Srping ini yang juga boleh diungkapan  sebagai Trans-Islamism yang sedang dilalui kini.

Selain AK Party yang lebih awal mempelopori pendekatan Political Islam yang cukup berbeza, kemunculan en-Nahdah di Tunisia, Parti Al-Adl wa Ihsan di Morocco  dan Freedom and Justice Party (FJP) – Hizb al-Hurriyah wal ‘Adalah - di Mesir adalah antara yang mewakili respon terhadap penilaian semula beberapa ide dan doktrin politik Islam sejak awal abad ke-20 yang lepas.

Mewakili respon terhadap penilaian semula beberapa ide dan doktrin politik Islam sejak awal abad ke-20 yang lepasDalam penggarapan wacana Political Islam yang dipelopori parti en-Nahdah pimpinan Rachid Ghannouchi, kejelasan kebijakan mereka secara nyata membuat komitmen kepada proses demokrasi dan mahukan legitimasi en-Nahdah diperolehi daripada mandat rakyat dan bukan kerana paksaan keatas rakyat sebab mereka adalah pendukung Islam.

Konsistensi komitmen dan kesejajaran pemikiran Ghannouchi dalam A Democrat Within Islamism karangan Dr Azzam Tamimi terhadap proses demokrasi menyerlah dalam pengakuan yang beliau tegaskan seperti berikut:

En-Nahdah telah senantiasa menekankan fakta bahawa ia tidak menganjurkan sebuah Negara Teokrasi dan menolak sebarang pemaksaan keyakinan beragama ataupun gaya hidup kepada rakyat, samada atas nama pembebasan maupun Islam. Ia senantiasa berjuang ke arah mewujudkan masyarakat yang mana kebebasan kepercayaan, kebebasan pemikiran dan kebebasan pilihan adalah terjamin dan terpelihara”.

Berkebetulan, Muhammad Asad dalam bukunya The Principles of State and Government in Islam seawal tahun 1961 lagi menegaskan bahawa : “The legislative assembly - majlis ash-shura - must be truly representative of the entire community, both men and women. Such a representative character can be achieved only through free and general election, therefore the members of the majlis must be elected by means of the widest possible suffrage, including both men and women.”

 [Majlis Perwakilan – majlis ash-shura – mestilah mewakili kesemua masyarakat dan komuniti, pria dan wanita. Karakter perwakilan yang sedemikian hanya boleh diraih melalui pilihanraya yang bebas. Lantaran itu ahli majlis mestilah dipilih melalui hak-memilih yang seluas-luasnya, termasuklah sekelian pria dan wanita].

Parti Islam Se-Malaysia PAS, turut mengalami satu perubahan besar dalam menangani cabaran persaingan politik di Negara yang serba majmuk dan pluralis ini. Adalah dirakamkan bahawa perubahan yang dilalui PAS mendahului fenomena generational shift yang di lalui oleh Gerakan Ikhwanul Muslimin di Timur Tengah justeru kerana penglibatan mereka adalah pasca-Arab Spring sementara anjakan yang dilalui PAS di Malaysia dan PKS di Indonesia mesti diakui berlaku lebih awal semasa kedua-dua berhadapan dalam Pemilu yang lalu.

Kesegaran menyaksikan Gerakan Islam bijak memposisikan perjuangan mereka di atas trajectori yang berpotensi untuk membuat lonjakan lebih besar lagi di masa depan adalah menggalakkan.  Penekanan kepada aspek Good Governance dan Negara Berkebajikan adalah menyerlah. Para pemimpin Islamis kini mengadaptasikan Gerakan mereka supaya segera memahami tuntutan konsep al-Mutaghayyirat dari sudut perkara-perkara urus-tadbir pemerintahan, strategi dan taktik perjuangan yang boleh sahaja berubah.

Rachid Ghannouchi memperkenalkan konsep faraghat atau space atau ruang yang sentiasa diizinkan Syara’ untuk pimpinan berijtihad mencari jalan sebaik mengatur kemaslahatan rakyat dan negara serta menangani pelbagai kebobrokan pengurusan serta menjauhi kebejatan urus-tadbir yang tempang dan curang.

Adapun dari segi tuntutan untuk mengekalkan kemantapan aqidah dan moral serta amanah yang tinggi, ia adalah lingkungan perkara at-Thawabit - tetap, yang mesti dipelihara dengan baik seperti yang di tegaskan oleh Syari’at.

Buku Wacana Pemikiran Reformis ini, saya yakin akan mencetuskan pelbagai debat dan juga kadangkali polemik. Selama mana ia diambil dengan pendekatan dan cita-cita untuk terus mencari penambahbaikan dan pemunggaran ilmu khasnya Siyasatud Dakwah maka segala percambahan ide akan membawa kepada yang suatu yang lebih baik untuk seluruh ummat dan negara.