HADIS MUKHTALIF TENTANG BERDIRI APABILA JENAZAH LALU
Oleh: Ustaz Muhammad Hanief Awang Yahaya
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا رَأَيْتُمْ الْجَنَازَةَ فَقُومُوا فَمَنْ تَبِعَهَا فَلَا يَقْعُدْ حَتَّى تُوضَعَ
Daripada Abu Sa’id al-Khudri daripada Rasulullah s.a.w. sabdanya: “Apabila kamu melihat jenazah maka bangunlah. Sesiapa yang mengiringinya maka janganlah dia duduk sehingga jenazah diletakkan[1]. (al-Bukhari, no: 1310, Muslim, no: 959)
عَنْ عَامِرِ بْنِ رَبِيعَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا رَأَيْتُمْ الْجَنَازَةَ فَقُومُوا حَتَّى تُخَلِّفَكُمْ
Daripada ‘Amir bin Rabi’ah daripada Rasulullah s.a.w. sabdanya: “Apabila kamu melihat jenazah maka bangunlah sehingga ia melintasi kamu.” (al-Bukhari, no: 1307)
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ مَرَّ بِنَا جَنَازَةٌ فَقَامَ لَهَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقُمْنَا بِهِ فَقُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّهَا جِنَازَةُ يَهُودِيٍّ قَالَ إِذَا رَأَيْتُمْ الْجِنَازَةَ فَقُومُوا
Daripada Jabir bin ‘Abdullah katanya, “Jenazah melintasi dekat kami lalu Rasulullah s.a.w. bangun dan kami juga bangun. Kami berkata, “Wahai Rasulullah itu jenazah yahudi.” Baginda bersabda: “Apabila kamu melihat jenazah maka bangunlah.” (al-Bukhari, no: 1311)
Hadis-hadis di atas menjadi dalil kepada golongan ulama yang berpendapat seseorang itu hendaklah berdiri apabila jenazah lalu di hadapannya sama ada jenazah itu muslim atau tidak. Mereka mengatakan orang yang mengiringi jenazah tidak boleh duduk sehingga diletakkan dari bahu orang yang mengusung. Inilah pendapat al-Hasan bin ‘Ali, Abu Hurayrah, Ibn ‘Umar, Ibn al-Zubayr, Abu Sa’id al-Khudri dan Abu Musa al-Ash’ari. Ini juga pendapat Ahmad, al-Awza’I, Ishaq, Muhammad bin al-Hasan dan al-Tahawi.[2]
عَنْ أَبِي مَعْمَرٍ قَالَ كُنَّا عِنْدَ عَلِيٍّ فَمَرَّتْ بِهِ جَنَازَةٌ فَقَامُوا لَهَا فَقَالَ عَلِيٌّ مَا هَذَا قَالُوا أَمْرُ أَبِي مُوسَى فَقَالَ إِنَّمَا قَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِجَنَازَةِ يَهُودِيَّةٍ وَلَمْ يَعُدْ بَعْدَ ذَلِكَ
Daripada Abu Ma’mar katanya, “Kami berada bersama dengan ‘Ali tiba-tiba lalu satu jenazah maka mereka bangun berdiri. ‘Ali berkata: “Berdiri apakah ini?” Mereka menjawab: “Perintah Abu Musa (al-Ash’ari).” ‘Ali menjawab: “Sebenarnya Rasulullah s.a.w. berdiri kerana jenazah yahudi perempuan tetapi baginda tidak lagi mengulanginya.” (al-Nasa`i, no: 1925)
Hadis ini menjadi hujah bagi ulama yang berpendapat perintah supaya berdiri telah mansukh.
عَنْ عَلِيٍّ بْن أَبِي طَالِبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَنَا بِالْقِيَامِ فِي الْجِنَازَةِ ثُمَّ جَلَسَ بَعْدَ ذَلِكَ وَأَمَرَنَا بِالْجُلُوسِ
Daripada ‘Ali bin Abi Talib katanya, “Rasulullah s.a.w. ada memerintahkan kami supaya berdiri kerana jenazah lalu kemudian selepas itu baginda duduk dan memerintahkan kami supaya duduk.” (Ahmad, no: 623)[3]
Al-Shafi’I berkata:
ورووا شبيها بما يوافقه وهذا لا يعدو أن يكون منسوخا وأن يكون النبي قام لها لعلة قد رواها بعض المحدثين من أن جنازة يهودي مر بها على النبي فقام لها كراهية أن تطوله وأيهما كان فقد جاء عن النبي تركه بعد فعله والحجة في الآخر من أمره إن كان الأول واجبا فالآخر من أمره ناسخ وإن كان استحبابا فالآخر هو الاستحباب وإن كان مباحا فلا بأس بالقيام والقعود أحب إلي لأنه الآخر من فعل رسول الله
Ulama hadis meriwayatkan serupa dengannya (hadis ‘Amir bin Rabi’ah) dan ini tidak jauh untuk dikatakan mansukh dan Rasulullah s.a.w. bangun kerana ada ‘illah atau sebab. Sebahagian ulama hadis meriwayatkan ‘illah tersebut iaitu jenazah yahudi dibawa di hadapan Rasulullah s.a.w. lalu baginda berdiri kerana tidak suka ia lama berada di situ. Walau bagaimanapun ada diriwayatkan daripada baginda bahawa tidak lagi melakukan demikian dan yang menjadi hujah ialah perkara terakhir. Sekiranya berdiri itu wajib maka perintah yang terakhir daripada baginda adalah yang memansukhkannya. Sekiranya ianya sunnat maka yang terakhir adalah sunnat. Jika ianya harus maka tidak mengapa berdiri tetapi duduk lebih saya sukai kerana itu perbuatan baginda yang terakhir.[4]
Antara ulama yang mentarjihkan mansukh ialah Ibn ‘Abd al-Barr. Beliau menulis: “Sebetulnya dalam masalah ini hendaklah merujuk kepada pendapat ‘Ali dan Ibn ‘Abbas dan mereka berdua memberitahu kepada orang ramai bahawa perbuatan duduk itu dari Rasulullah s.a.w. setelah daripada berdiri. Oleh sebab itu, wajib mengikutnya sebagai sebahagian daripada sunnahnya. Perbuatan terakhir adalah yang menasakhkan dan ini adalah perkara yang jelas. Inilah pendapat Sa’id bin al-Musayyab, ‘Urwah bin al-Zubayr, Malik, al-Shafi’i dan beliau berkata, berdiri untuk jenazah sudah dimansukhkan.”[5]
Golongan ulama yang mengatakan tidak mansukh berhujah bahawa;
قال البيضاوي يحتمل قول على ثم قعد أي بعد أن جاوزته وبعدت عنه ويحتمل أن يريد كان يقوم في وقت ثم ترك القيام أصلا وعلى هذا يكون فعله الأخير قرينة في أن المراد بالأمر الوارد في ذلك الندب ويحتمل أن يكون نسخا للوجوب المستفاد من ظاهر الأمر والأول أرجح لأن احتمال المجاز يعني في الأمر أولي من دعوى النسخ انتهى
Al-Baydawi berkata: “Kemungkinan kata-kata ‘Ali iaitu kemudian baginda duduk ya’ni setelah melintasi atau jauh darinya dan ada kemungkinan beliau memaksudkan baginda berdiri pada suatu ketika kemudian terus meninggalkan berdiri untuk jenazah. Berdasarkan kepada ini, perbuatan baginda yang terakhir merupakan qarinah atau tanda bahawa yang dimaksudkan dengan perintah yang tersebut ialah sunnat dan kemungkinan ia memansukhkan hukum wajib yang difahami dari zahir perintah tersebut. Kemungkinan yang pertama itu lebih rajih kerana andaian majaz pada ayat perintah lebih utama dari dakwaan sebagai mansukh.”[6]
-------------------------------------
Nota kaki:
[1] Al-Qurtubi berkata: “ Perintah ini sebenarnya ditujukan kepada orang yang tidak mengiringi jenazah berdasar kepada hadis Abu Sa’id. (al-Mufhim, jil.2, hal. 619)
[2] Al-Kandahlawi, Awjaz al-Masalik, jil. 4, hal. 256
[3] Lafaz perintah supaya duduk hanya diriyawatkan oleh Muhammad bin ‘Amr bin ‘Alqamah. Hafiz Ibn Hajar mengatakan dia seorang yang saduq tetapi banyak waham. Di sini beliau telah menyalahi perawi yang lebih kuat iaitu Yahya bin Sa’id al-Ansari yang hanya menyatakan baginda duduk tanpa menyebut perintah tersebut.
[4] Ikhtilaf al-Hadith, hal. 157
[5] Fath al-Barr fi Tartib al-Tamhid, jil. 6, hal. 495
[6] Fath al-Bari Bi Sharh al-Bukhari, jil. 3, hal. 535
Sumber: http://www.darulkautsar.net/article.php?ArticleID=3361