Antara masalah yang wujud dikalangan pengemar ilmu agama adalah sikap ghuluw didalam mengamalkan atau menolak sesuatu amalan. Ada dikalangan pihak yang mengamalkannya tidak meneliti tentang kesahihan dalil-dalil amalan tersebut dan dikalangan pihak yang menafikan pula menolak terus amalan tersebut. Walaupun tidak wujudnya fadhilat khas mengenai amalan berpuasa dan melakukan amal soleh didalam bulan Rejab, namun demikian, Allah swt telah menjelaskan di dalam al-Quran tentang kemuliaan empat bulan-builan Islam ini, dan ancaman kepada mereka yang menzalimi diri mereka (melakukan dosa) pada bulan tersebut. Bulan Rejab adalah diantara 4 bulan yang mempunyai kemuliaan ini di samping Ramadhan. WA.
Seringkali apabila berbincang mengenai topik ini, maka timbullah dua kumpulan yang bertentangan pendapatnya mengeluarkan hujah masing-masing mengenai apakah bulan Rejab ini mempunyai kelebihan didalamnya. Dimasa ini dengan berluasanya media social,terutama Facebook, banyak betul status-status yang membicarakan bulan ini. Namun demikian, kehangatan pilihanraya ke 13 telah menyebabkan status mengenai bulan Rejab ini mulai pudar.
Kumpulan pertama akan memaparkan beberada hadith yang menjelaskan bahawa Rejab ini bulan Allah, terdapatnya fadhilat-fadhilat khas berkenaan dengan ganjaran orang yang berpuasa pada bulan ini. Fadhilat-fadhilat ini menjelaskan dengan terperinci seperti amalan berpuasa satu hari pada Rejab ganjaran pahalanya menyamai puasa 40 tahun dan diberikan syurga paling tinggi. Manakala jika berpuasa dua hari, pahalanya dilipat gandakan. Dikatakan juga barangsiapa yang berpuasa pada 27 Rejab pahalanya menyamai 40 bulan.
Kumpulan kedua pula menjelaskan bahawa tidak ada fadhilat khas ganjaran berpuasa pada bulan Rejab, berdasarkan hadith-hadith kelebihan bulan Rejab statusnya ada yang lemah, lemah sangat dan palsu, yang jelas tidak boleh dijadikan hukum. Berdasarkan kepada sandaran ini, kumpulan ini menjelaskan bahawa bulan Rejab ini sama seperti bulan-bulan Islam yang lain.
Kesilapan yang dilakukan oleh kumpulan pertama ialah kerana melakukan amalan puasa pada bulan Rejab menyandarkan kepada hadith-hadith palsu bagi mengharapkan ganjaran tersebut. Sebagaimana yang disebut oleh Shiekh al-Torifi yang merupakan pakar Hadith, tidak ada hadith sahih berkenaan dengan fadhilat-fadhilat berpuasa didalam bulan Rejab. Seseorang Islam itu hendaklah menjauhkan diri dari beramal dengan hadith-hadith palsu. Berpuasa merupakan amalan yang digalakkan, akan tetapi jangan menyandarkan puasa tersebut dengan fadhilat palsu semata-mata. Disana tidak ada larangan untuk berpuasa didalam bulan Rejab, malah ada ganjarannya (akan dijelaskan dibawah).
Kesilapan kumpulan kedua pula, mereka mengatakan bahawa disebabkan hadith-hadith mengenai kelebihan berpuasa pada bulan Rejab ini terdiri dari hadith-hadith yang lemah sangat dan palsu, maka kesimpulannya adalah bulan Rejab tidak mempunyai sebarang kelebihan. Menafikan keistimewaan bulan Rejab ini juga merupakan satu kesilapan yang fatal.
Firman Allah swt :
إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ
“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati.” [surah al-Taubah : 36].
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa terdapat 4 bulan yang Allah muliakan, yang digelar sebagai bulan-bulan haram. Bulan-bulan ini adalah sebagaimana yang dijelaskan dari hadith Nabi :saw :-
ثَلَاثَةٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُو الْقَعْدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمُ وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَان
“Tiga bulan yang berturutan, iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram, dan Rejab adalah (kumpulan Bani) Mudhar, yang terletak diantara Jumada al-Thani dan Sha’ban”.
Seterusnya (sambungan) ayat 36 surah al-Taubah itu menjelaskan :
فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ
“janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya)” [aurah al-Taubah : 36].
Ibn Kathir rh didalam Tafsirnya menjelaskan bahawa :
وَقَالَ عَلِيّ بْن أَبِي طَلْحَة عَنْ اِبْن عَبَّاس قَوْله " إِنَّ عِدَّة الشُّهُور عِنْد اللَّه " الْآيَة فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسكُمْ فِي كُلّهنَّ ثُمَّ اِخْتَصَّ مِنْ ذَلِكَ أَرْبَعَة أَشْهُر فَجَعَلَهُنَّ حَرَامًا وَعَظَّمَ حُرُمَاتهنَّ وَجَعَلَ الذَّنْب فِيهِنَّ أَعْظَم وَالْعَمَل الصَّالِح وَالْأَجْر أَعْظَم
“Telah berkata Ali bin Abu Talhah meriwayatkan bahawa Ibn Abbas ra. telah berkata : firman Allah “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan” ada hubungannya dengan ayat “janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya)”, pada semua (12) bulan-bulan. Selebihnya Allah memilih 4 bulan ini menjadikan ianya mulia, memberi penekanan kepada kemuliaannya, melakukan dosa didalamnya adalah sangat besar dosanya, dan melakukan amal soleh padanya ganjarannya juga amat besar”
Tafsiran Ibn Kathir rh ini menjelaskan bahawa dosa jika dilakukan pada bulan-bulan haram ini akan dilipat gandakan, begitu juga dengan amal soleh yang dilakukan pada bulan-bulan ini akan digandakan ganjarannya. Ini semua adalah takdir dan pilihan Allah. Allah memuliakan 4 bulan ini dari bulan-bulan yang lain sebagaimana Ibn Kathir memetik kata-kata Ibn Qatadah :
إِنَّ اللَّه اِصْطَفَى صَفَايَا مِنْ خَلْقه اِصْطَفَى مِنْ الْمَلَائِكَة رُسُلًا وَمِنْ النَّاس رُسُلًا وَاصْطَفَى مِنْ الْكَلَام ذِكْره وَاصْطَفَى مِنْ الْأَرْض الْمَسَاجِد وَاصْطَفَى مِنْ الشُّهُور رَمَضَان وَالْأَشْهُر الْحُرُم وَاصْطَفَى مِنْ الْأَيَّام يَوْم الْجُمُعَة وَاصْطَفَى مِنْ اللَّيَالِي لَيْلَة الْقَدْر فَعَظِّمُوا مَا عَظَّمَ اللَّه . فَإِنَّمَا تَعْظِيم الْأُمُور بِمَا عَظَّمَهَا اللَّه بِهِ عِنْد أَهْل الْفَهْم وَأَهْل الْعَقْل
“Allah telah memilih beberapa dari kalangan kejadiannya melebihi yang lain. Allah memilih pembawa risalah dari kalangan Malaikat dan Manusia, Allah juga memilih kalamnya melebihi segala kalam, Masjid melebih segala kawasan didalam dunia, bulan Ramadhan dan bulan-bulan haram melebihi bulan yang lain, hari Jumaat melebihi hari-hari yang lain dan Lailatul Qadar melebihi semua malam. Maka itu, muliakan apa yang telah Allah muliakan. Kerana sesungguhnya berbuat demikian adalah amalan orang-orang yang faham dan berakal''
Kesimpulannya jelas disini, bulan Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram merupakan bulan-bulan yang mulia disisi Allah. Segala amalan baik atau buruk digandakan ganjaran atau azabnya. Maka oleh itu, melakukan amalan soleh seperti puasa, sedekah, dan sebagainya pada bulan ini adalah sangat digalakkan dan digandakan ganjarannya. Sebagai umat Islam, kita hendaklah berhati-hati dalam menerima dan menafikan sesuatu amalan. Kita kata orang lain melakukan bi’dah, akan tetapi kita pula melibatkan bid’ah yang lebih dasyat lagi, iaitu menafikan perkara yang Allah muliakan. WA.
Sekian, wassalam
Kamin, Dubai 16 Mei 2013