Oleh Asifa Anuar
Sering kita lihat si jahil yang mengkritik dan membetulkan pendapatnya, tapi yang kelihatan hanya kejahilannya.
Malam ini aku sempat mendengar satu perbincangan yang kelihatan canggung di mata ahli akademik dan susah diterima realiti. Walaupun perbincangan tak rasmi di kedai kopi, tapi aku anggap ini satu dari beribu manusia di luar sana yang masih gagal mentafsir Islam dari kaca mata ilmu dan hakikat. Perbincangan antara seorang ustaz yang aku kenal dengan kefahaman akademiknya dengan seorang ahli jemaah di sebuah surau di pinggir bandar Shah Alam sebentar tadi, betul-betul menarik minat aku. Banyak tajuk yang di ketengahkan, dan salah satunya berkisar kepada sistem kewangan dan perbankan Islam di Malaysia.
“Saya anggap sistem perbankan Islam ni sama je lah ustaz dengan sistem kewangan konvensional. Cuba kita lihat secara mudah, bila kita meminjam dengan sistem Islam, kita terpaksa bayar balik melebihi jumlah pinjaman. Macam sistem konvensional jugak, malah lebih mahal”
Asas Sama tapi Prinsip Berbeza
Ya, itulah satu keluhan yang bersifat dakwaan bagi aku yg duduk di sebelah ustaz. Jerit hati mengatakan dia tidak tahu. Dan aku juga bukan dari orang yang pakar dalam bidang ini. Tapi bagi aku, sebagai orang awam, kita kena yakin dan percaya bahawa sistem perbankan yang sedia ada, adalah yang terbaik untuk diamalkan pada hari ini. Pakar–pakar kewangan Islam dari sehari ke sehari berusaha untuk meletakkan status halal dan harus pada sistem perbankan Islam itu pada tempat yang selayaknya untuk Islam. Bukan mudah untuk menggubal dan merubah satu sistem yang kita warisi dari Yahudi dan Nasrani ini. Bahkan mereka terpaksa menggunakan sistem asas, flat money atau wang kertas yang diketahui menguasai keseluruhan urat nadi perbankan di dunia dengan jarum halus, interest atau ribanya. Dan sistem itu jugalah yang digunakan oleh ulama’ yang pakar dalam soal teknikal dan hukum hakam kewangan, berijtihad bagi membentuk satu sistem baru yang lebih dekat dengan redha Allah.
Untuk bincangkan isu perbankan bukan lah boleh dihuraikan dalam perjumpaan kedai kopi, menghirup tomyam panas dalam cuaca yang sejuk, disaksikan asap panas cangkir kopi yang naik melenggang. Tapi cubalah kita fikir dengan akal yang terbuka, mereka yang fakeh dalam bidang tersebut telah berijtihad dengan asas yang banyak seperti; (1) Penggunaan dalil nas Al-Quran,Hadith dan Qiyas dengan menyeluruh (2) Kepakaran dalam bidang perbankan, kewangan, ekonomi dan strategik pentadbiran negara; (3) Akses kepada dokumentasi rahsia kerajaan, data – data, dan statistik dalam dan luar negara; (4) Menggunakan asas fiqh yang realistik sebelum mengeluarkan satu – satu hukum yang akan dipakai oleh semua tanpa penindasan yang melampau. Dalam usaha dan kesungguhan ulama’ peringkat nasional dan antarabangsa ini, tidak wajar malah zalim kalau kita yang hanya habuk di sepatu mereka, menghukum perbankan yang sedia ada ini sebagai sama dengan konvensional. Kenyataan semberono seperti ini lah yang boleh merosakkan sistem dan mampu menghasut orang lain untuk meninggalkan sistem kewangan Islam. Saya yakin pendapat seperti ini adalah banyak di ceruk – ceruk sana, tapi tidak terkumpul.
Daging dan Lemak
Jika kita teliti dari sisi yang lain, sistem perbankan Islam kelihatan mahal dan menindas, hakikatnya tidak! Dalam sistem Islam, setiap kontrak akan ditentukan jumlah pembayaran balik melalui sistem aqad dan jumlah bayaran balik ditentukan dalam kontrak. Walau apa yang terjadi, peminjam akan membayar jumlah yang tetap. Sekiranya peminjam gagal menjelaskan amaun yang ditetapkan untuk bulan tersebut, ia akan dibawa ke bulan berikutnya dan tidak dicaj atas kelambatan pembayaran tersebut. Berbeza dengan sistem perbankan konvesional, sekiranya peminjam gagal menjelaskan bayaran untuk satu bulan, amaun itu akan dibawa kehadapan, dan interest akan dicaj atas amaun yang gagal dibayar, dan ditambah ke dalam principal. Kegagalan bulan berikutnya pula lebih buruk kerana principal yang ditambah interest tersebut sekali lagi dicaj dengan bunga ribanya. Agak teknikal, tapi dari segi analoginya seperti lemak bertukar jadi daging, dan tumbuh lemak yang baru dari daging baru tersebut. Inilah rahsia kejayaan sistem kapitalis dalam menjadikan si kaya untuk lebih kaya, manakala si miskin akan mewarisi kemiskinan bapanya dan akan mewasiatkan najis itu kepada anak cucu mereka.
Sebagai perbandingan kasar, dana sistem perbankan Islam di Malaysia ini adalah sangat kecil berbanding dengan sistem kewangan konvensional. Secara umumnya, dana konvensional terbesar di Malaysia disumbangkan oleh Maibank dan CINB. Manakala dana bank Islam terbesar di dunia, Al-Rajhy jauh lebih kecil dibandingkan dengan dana konvensional. Saya difahamkan dana perbankan Islam di Malaysia hanya 10%-20% sahaja dari total dana secara keseluruhan. Fakta saya mungkin sudah lapuk dan mungkin tidak tepat, namun sebagai rujukan untuk muhasabah, itu sudah memadai. Inilah juga jawapan kepada sebab sistem perbankan Islam lebih mahal dari sistem konvensional.
Ayam Sembelih
Suka saya bawa satu ideologi Ustaz Zaharuddin (tidak terlepas nama beliau bila membincangkan isu sebegini) mengenai sistem perbankan ini, seperti kita beli ayam di pasar di kelompok masyarakat bukan Islam. Ada ayam yang disembelih mengikut syarak dan ada yang tidak disembelih. Memang ayam yang disembelih itu lebih mahal kerana kos pengurusannya yang mungkin sedikit tinggi berbanding yang tidak disembelih; mungkin seperti upah tukang sembelih atau usaha yang lebih untuk sembelih. Berbanding yang tak sembelih, diberi renjatan elektrik yang tinggi atau dilemaskan. Tapi itu lah nilaian halal yang kita perlu bayar untuk keberkatan makanan yang akan kita makan, dan tidak sama sekali kita makan bangkai walaupun harganya jauh lebih murah. Begitulah kisahnya dengan sistem perbankan Islam. Zahirnya memang kelihatan ia menindas, tapi ia adalah halal, dan berkat. Mujahadah kita dengan rasa sedikit tertekan dengan sistem perbankan Islam ini seoalah – olah perjuangan orang zaman dahulu yang berkorban untuk mendapatkan kemerdekaan. Hakikatnya kemerdekaan itu dikecapi oleh anak cucu mereka, dan itulah mahar kita perlu bayar untuk perkembangan sistem ini untuk anak cucu kita kelak.
Dinar Emas, Dirham Perak
Di Tanya pula, mengapa Malaysia yang dikatakan Negara Islam tak mahu menggunakan matawang dinar emas dan dirham perak. Kalau kita guna, sudah tentu tak terlibat interest, selamat dari inflasi, berkat, mengikut sunnah dan sebagainya. Saya katakan (dalam hati pada masa itu), saya setuju 120% kalau sistem dinar dirham dapat dilaksanakan secara jayanya. Itulah jalan terbaik untuk manusia. Tapi cuba kita bayangkan dengan imaginasi yang paling mudah. Sekiranya hari ini Malaysia menggantikan Ringgit Malaysia (RM) kepada Dinar Malaysia (DM) dalam urusan transaksi harian, kita merupakan satu – satunya negara contoh di dunia yang menggunakan sistem ini di abad ini. Negara – negara lain juga memiliki dinar dan dirham, tetapi tidak digunakan dalam transaksi. Pada suatu hari, negara – negara dunia pertama melihat DM yg digunakan di Malaysia. Mereka sangat – sangat berminat dengan emas yang digunakan untuk membentuk DM. Maka terbukalah mata US, Britain, Australia, Hong Kong, Jepun dan mereka mula membuat pelaburan secara besar – besaran di Malaysia. Transaksi matawang akan menjadi rancak, kerana DM mula dibeli oleh mereka untuk memulakan pelaburan. Lama – kelamaan, pelaburan mereka bertambah untung, dan mereka memiliki DM dengan banyak. Apa yang perlu mereka buat ialah, menutup semua pelaburan mereka di Malaysia, dan hantar semua DM yang mereka milik ke negara mereka untuk dileburkan menjadi jongkong emas. Apa yang akan jadi kepada Malaysia di kala itu. Satu jawapan yang paling tepat ialah… MUFLIS. Ya, muflis seperti Zimbabwe yang 3 biji telur ayam bernilai lebih sejuta Zimababwe dollar.
Kita harus lihat kenapa zaman Rasulullah, dinar dan dirham boleh dipraktikkan. Jelas sekali kerana pada zaman tersebut, dunia secara keseluruhan, Rom, Parsi dan Arab membuat hubungan perdangangan menggunakan matawang yang sama, dinar dan dirham. Dan sistem itu digunapakai secara paraktikal pada zaman tersebut. Penggunaan dinar dan dirham BOLEH dilaksanakan semula apabila dunia secara keseluruhannya mula mengguna pakai sistem dinar dan dirham.
Sejuk malam yang mengigit tulang, tapi hati aku panas, panas dengan omongan kosong yang aku anggap tuduhan melampau ke atas ijtihad ulama’. Yang tidak berperinsip dan tidak boleh dipertanggung jwabakan atas hujjahnya. Secara konklusinya, tidak wajarlah kita meletakkan salah kita kepada sistem dan ulama’ yang masyarakat umum menerima kefakehan mereka. Bukanlah niat saya untuk menghukum orang yang bercakap di pinggir kedai kopi itu, biarkanlah dia. Tapi idelogi ini saya yakin masih ada dalam minda segelintir umat Islam di Malaysia. Bimbang suatu hari nanti akan timbul idea – idea menentang dan menyamakan sistem Islam dan sistem konvensional. Sedarlah yang penentuan sistem kewangan ini tidak tertulis dengan jelas tentang kaedah dan perlaksanaannya di dalam Al-Quran dan Hadith, tetapi yang ada hanyalah prinsip asas. Buka la Al-Quran, galilah hadith – hadith nabi, ia tidak seperti mana nabi mengajar solat dan puasa. Bukanlah saya seorang ustaz atau pakar kewangan Islam. Saya Cuma terpanggil untuk meletakkan keilmuan dan pratikal pada tempat yang sesuai. Wallahu a’lam