Oleh: Ustaz Ali Muda
Bagi pembaca yang mahir tentang perundangan Islam sudah tentu akan dapat mengesan titik-titik yang menyerlahkan pendustaan Astora Jabat atas nama Islam. Namun bagi pembaca biasa yang tidak berkecimpung dalam pengajian syariah Islamiyyah secara talaqqi sudah tentu terpegun dengan kehebatan Astora mengulas pandangannya dengan sebegitu detail, terpaku dengan kealiman Astora yang dapat mengalahkan tokoh-tokoh lain yang dikenali sebagai ulama selama ini- dalam membicarakan isu-isu agama masa kini disertakan rujukan-rujukan yang muktabar dan tak boleh dicabar oleh ulama kecilan yang lain.
Penulis merasakan elok kiranya kolum Astora itu ditukar nama sedikit daripada Bicara Agama kepada Dusta Agama. Di bawah ini disenaraikan antara contoh-contoh pendustaan atas nama agama (Islam tentunya):
1) Mengada-adakan ayat al-Quran.
Astora telah menterjemahkan ayat 10 Surah al-Nur sebagai, Oleh yang demikian Rasulullah s.a.w. pun hilanglah keresahan selepas mendapati al-Quran diturunkan khusus untuk menyelesaikan musibah yang menimpa sahabat yang dipercayai oleh baginda merupakan orang yang baik lagi bercakap benar itu (Zina: Saksi boleh bersumpah, Mingguan Malaysia, 29 Ogos, 1999)
Ayat yang membawa terjemahan sedemikian sebenarnya tidak wujud dalam al-Quran bahkan direka-reka oleh Astora sendiri dan mengadakan apa yang tidak ada dalam al-Quran. Terjemahan sebenar ayat 10 tersebut ialah, Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, dan juga (kalaulah tidak kerana) bahawa Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Bijaksana, (tentulah kamu akan mengalami kesusahan yang sukar diatasi), (lihat Tafsir Pimpinan Ar-Rahman) iaitu yang diletakkan oleh Astora sebagai terjemahan bagi ayat 9.
Penulis cuba untuk berbaik sangka dengan Astora, dengan mengandaikan ianya adalah kesalahan yang tidak disengajakan. Tetapi sesuatu andaian perlu juga kepada satu sandaran kukuh, kerana hal ini bukannya mainan. Tiada sandaran kukuh di sini bagi andaian untuk berbaik sangka tadi. Bahkan penulis dapat mengesan sebab mengapa Astora mengadakan terjemahan ayat 10 itu sedemikian, iaitu kerana dalam kolum sama minggu yang sebelumnya (Mingguan Malaysia, 22 Ogos 1999) Astora telah mereka cerita kononnya Rasulullah amat tidak senang dengan kejadian itu (Hilal menuduh isterinya berzina) dan baginda sangat marah, pada hal yang membawa berita adalah seorang saksi sahaja Dari mana riwayat ini dibawa Astora? Riwayat yang masyhur ialah apabila Hilal mengadu kepada Nabi s.a.w. bahawa isterinya berzina dengan seorang lelaki bernama Sharik bin Sahma (bukannya Samha seperti ditulis Astora secara tidak teliti), Nabi s.a.w. mengarahkan Hilal membawa bukti (empat saksi), kalau tidak hukum had (80 sebatan) atas belakangnya. Ini kerana ketika itu ayat lian (6 10 Surah al-Nur) belum diwahyukan kepada Nabi s.a.w., maka hukumnya adalah berdasarkan ayat qazaf (al-Nur: 4 dan 5). Atas munajat Hilal kepada Allah kerana kebenarannya, maka turunlah ayat lian dan selamatlah Hilal daripada hukum had al-qazaf 80 sebatan dengan melaksanakan perintah ayat lian yang baru diturunkan itu. Lihat Sahih Muslim (Imam Muslim), Naylul Awtor (al-Shawkani, Babul Lian).
Maka tidak disebut pun tentang keresahan dan kemarahan Nabi s.a.w. dalam riwayat yang masyhur itu. Astora telah mereka-reka cerita dan di atas cerita rekaan itu beliau binakan pula terjemahan palsu ayat 10 Surah al-Nur itu. Sebenarnya perbuatan menokok tambah ayat yang tidak wujud dalam al-Quran pun boleh mengeluarkan seseorang dari batas iman, jika dilakukan dengan sengaja. Jika demikian, perbuatan Astora ini juga boleh dimasukkan sebagai tambahan bukti dakwaan penulis dalam artikel yang bertajuk Astora Melakukan Perkara Merosakkan Aqidah.
2) Mengatakan rakaman gambar dan video boleh dijadikan qarinah atau baiyyinah.
Qarinah atau baiyyinah ialah seperti seorang wanita yang hamil sedangkan dia tidak ada suami. Pada zaman moden ini pula qarinah atau baiyyinah ialah rakaman gambar dan rakaman video, boleh dijadikan bukti. Bagaimanapun, sesetengah ulama menolak qarinah atau baiyyinah ini boleh dijadikan bukti sabit perzinaan, tulis Astora Jabat dalam Bicara Agama bertajuk Hukuman zina zaman Rasulullah (Mingguan Malaysia, 22 Ogos 1999).
Ulama mana yang mengatakan rakaman gambar dan video diterima dalam kehakiman Islam sebagai bukti? Ini adalah satu lagi pendustaan Astora atas nama Islam, mungkin kerana jahil.
Sebenarnya qarinah berbeza dengan bayyinah. Bayyinah ialah bukti, dan bukti itu adalah saksi (orang Islam yang adil) pada pendapat jumhur (majoriti) ulama. Manakala pada pendapat Ibn Taimiyyah dan Ibnul Qayyim, ia dikatakan lebih umum daripada saksi, iaitu segala apa yang menerangkan kebenaran dan menyerlahkannya. (al-Turuq al-Hukmiyyah, Ibn Qayyim al-Jawziyyah, m/s: 14; al-Nizam al-Qadhai fi al-Fiqh al-Islami kitab pengajian Fakulti Syariah Tahun 4 Univ. al-Azhar, Dr. Muhd. Rafat Uthman, m/s: 306)
Manakala qarinah pula ialah amarah (isyarat) dan alamah (tanda) yang zahir lagi jelas mengiringi sesuatu yang kabur, lalu menyerlahkannya, seperti ditakrifkan oleh Syaikh Mustafa al-Zarqa dan Dr. Wahbah al-Zuhayli. Dalam kitab Majallah al-Ahkam al-Adliyyah (kanun rujukan perundangan Islam Kerajaan Turki Uthmaniyyah) pula ia disebut sebagai tanda yang sampai ke tahap yakin (ibid, Dr. Muhd. Rafat Uthman).
Perlu diberi perhatian bahawa dalam perundang Islam terdapat sepuluh cara pensabitan hukuman secara teratur. Rujuklah kitab-kitab yang tersebut di atas untuk maklumat lanjut. Bayyinah ialah persaksian orang Islam yang adil dengan syarat-syaratnya yang ketat, manakala qarinah (tanda dan isyarat) pula ialah yang qatiah (sampai ke tahap yakin) sahaja yang boleh diterima pakai.. Adakah rakaman gambar atau video termasuk dalam qarinah qatiah? Jawabnya tidak, kerana dalam rakaman gambar dan video terdapat banyak syubhah (keraguan munasabah) di mana gambar foto dan visual boleh dibuat-buat melalui teknik super impose (tindihan atau sambungan gambar) seperti yang pernah berlaku kepada beberapa artis di negara kita telah digambarkan sebagai melakonkan aksi lucah yang sebenarnya menurut kata mereka- tidak mereka lakukan Tidak perlu dihairankan tentang hal ini di zaman teknologi ini. Filem-filem di Amerika dibikin tanpa para pelakonnya melakonkan semua aksi, cukup dengan teknik animasi digital dan perkomputeran canggih seperti pembikinan filem Twister, Titanic, Jurassic Park, Men In Black dan lain-lain lagi. Apabila terdapat sesuatu syubhah, maka tuduhan tidak boleh disabitkan, apatah lagi yang melibatkan hukum hudud. Namun, untuk mengenakan hukuman lebih rendah daripada hudud (iaitu tazir), terpulanglah kepada kebijaksanaan hakim jika ada sebarang qarinah lain atau prima facie yang sekunder.
Kita mengatakan ini (boleh dikenakan tazir) kerana kita lihat pada hari ini ramai pula artis (99 peratus daripadanya adalah wanita) terutama yang tidak berapa laris di pasaran seni tanah air, beraksi lucah dan bergambar bogel tanpa seurat benang pun dalam laman-laman internet. Ini terjadi mungkin kerana, apabila terdapat seorang pakar komputer telah menunjukkan bagaimana membuat video dan photo berdasarkan teknik super impose, maka perkara ini dikhuatiri dijadikan batu loncatan sebagai alasan mereka bergambar bogel. Mereka tidak bimbangkan tindakan undang-undang kerana mereka boleh berkata yang mereka dikhianati oleh orang yang dengki dengan mereka dengan mencipta gambar melalui super impose. Cuma alasan itu boleh dipersoalkan; kenapa mereka sebilangan itu sahaja yang dikhianati, sedangkan artis-artis yang lebih popular tidak disabotaj pun? Kenapa kebanyakannya (99%) adalah artis wanita, tidak artis lelaki? Kenapa artis wanita sahaja yang dikhianati, didengki dan disabotaj? Pihak berkuasa mesti menyiasat sedalam-dalamnya tentang penglibatan artis kita dalam industri gambar bogel ini, kerana ada andaian atau qarinah yang agak kuat bahawa mereka ini benar-benar melakukannya, bukannya gambar orang lain yang disuper imposekan.
Berbalik kepada persoalan tadi, apakah sama antara qarinah qatiah wanita mengandung tanpa suami yang merupakan isyarat pasti dan yakin bahawa dia telah berzina, dengan mengetepikan dulu soal dia rela atau dipaksa- dengan qarinah gambar dan rakaman video? Apakah boleh disamakan untuk proses pensabitan hukum hudud? Sudah pasti tidak sama, dan dakwaan mengatakannya sama adalah satu percubaan untuk mendustakan agama Allah.
3) Mengatakan Nabi s.a.w. menyebat Khawlah dan pasangannya sehingga terjelir lidah.
Ini adalah satu lagi pendustaan Astora ke atas Nabi s.a.w. Ingatlah hadis sahih mutawatir yang masyhur itu wahai Astora, yang membawa maksud, Sesiapa yang berdusta atas nama aku secara sengaja maka tersedialah tempat duduknya di dalam neraka(muttafaqun alayhi).
Tuduhan Nabi s.a.w. menghukum sebat 80 kali ke atas Khawlah dan pasangannya telah disebutkan oleh Astora dalam Bicara Agama 22 Ogos 1999. Riwayat sahih yang sebenarnya berlaku telah disentuh dalam bukti pendustaan Astora yang pertama di atas, maka tidak perlulah diulangi lagi di sini.
4) Membuat kesimpulan pendapat bahawa seorang saksi boleh mensabitkan hukuman hudud zina.
Kaedah persaksian seorang saksi ini juga dapat dilaksanakan dalam semua kes seperti persaksian seorang saksi dengan angkat sumpah, kata Astora Jabat dalam Bicara Agama 29 Ogos 1999, berdasarkan fahaman serongnya daripada kitab Ilaam al-Muwaqqiin oleh Ibnul Qayyim (bukan Alam al-Muwaqqiin, seperti yang Astora selalu sebut secara salah di setiap tempat akan dibahaskan dalam artikel bertajuk Astora Dangkal Dalam B. Arab nanti).
Sebelum membuat fatwa, seseorang yang berkeahlian hendaklah memastikan dahulu, adakah wujud atau tidak nas (al-Quran atau hadis sahih) dalam perkara yang akan difatwakan. Jika sudah ada nas yang terang lagi jelas, maka haram memberi fatwa yang lain daripada kehendak nas tadi, kerana ia bermakna melanggar titah perintah Allah. Tapi Astora tidak pastikan dahulu, sebab itu dia silap dan salah besar. Bila bertemu satu kitab yang pada sangkaannya menjadi hujah untuknya, maka dia naik syok dan seronok habis kerana dengan kitab itu disangkanya dia dapat menjunamkan para ulama (politik pada anggapannya) seperti Syaikh Dr. Yusuf al-Qaradawi, Dato Nik Aziz, Dato Fadzil Noor, Ustaz Hadi Awang dan Dato Dr. Harun Din yang tetap mengatakan pertuduhan zina hanya sabit dengan empat saksi yang adil.
Astora silap, salah dan bohong besar bila mengatakan tuduhan zina boleh disabitkan walau dengan satu saksi jika saksi itu bersumpah. Kerana Astora telah mengetepikan ayat qazaf (Surah al-Nur: 4) yang bermaksud, Dan orang-orang yang melemparkan (tuduhan zina) terhadap orang-orang yang baik-baik, kemudian gagal membawa empat saksi (adil), maka sebatlah mereka (yang menuduh) sebanyak 80 sebatan, dan janganlah kamu terima lagi persaksiannya untuk selama-lamanya, dan mereka itu adalah orang-orang yang fasiq Apakah maksud ayat ini tidak jelas lagi bagi Astora? Atau dia seorang ilmuan picisan yang cuai? Atau memang perangainya suka menyembunyikan fakta dan kebenaran dari Allah?
Kenapa dicampur adukkan makna ayat qazaf (tuduhan zina seseorang ke atas orang lain) dengan maksud ayat lian (tuduhan zina dari suami ke atas isteri) iaitu ayat 6 hingga 9 Surah al-Nur? Persaksian seorang saksi dalam kes zina hanya boleh diterima pakai apabila saksi itu adalah suami kepada isteri yang dituduh sahaja. Itu pun bukan untuk mensabitkan hukum hudud zina ke atas isteri, dan bukan bermakna saksi itu sudah dikira benar, tetapi hanyalah untuk membebaskan si suami yang menuduh daripada hukum qazaf (80 sebatan) dengan syarat sanggup bersumpah empat kali mengesahkan tuduhannya dan disertakan dengan sumpah kelima menyatakan kesediaan menerima laknat Allah jika dia berbohong. Si isteri juga, untuk membebaskannya daripada hukuman rejam, dia hendaklah sanggup bersumpah empat kali mengatakan suaminya bohong dan disertakan yang kelima menyatakan kesediaan menerima kemurkaan Allah jika suaminya benar. Kes itu pun selesai, dan mereka berdua dipisahkan untuk selama-lamanya, tiada hukuman lagi selepas itu.
Tapi Astora faham cara lain berdasarkan rujukan kepada kitab Ibnul Qayyim itu. Sebenarnya Ibnul Qayyim pun tidak berkata seperti yang Astora kata. Astora seorang yang tidak faham. Memang persaksian seorang saksi diterima dalam kes bunuh, melihat anak bulan dan yang seumpamanya selagi tidak ditetapkan bilangannya oleh nas. Tetapi bila nas telah menetapkannya, seperti kes tuduhan zina ini yang mewajibkan empat saksi dan kes hutang yang memerlukan paling kurang dua saksi lelaki (al-Baqarah: 282), maka tidak bolehlah dicampur adukkan sekali dengan kes yang hanya perlu satu saksi. Kalau betul Ibnul Qayyim mengatakan persaksian zina sah dengan seorang saksi (bukan suami) beserta sumpah, sila Astora tunjukkan di muka surat berapa daripada kitab itu. Yang pasti Ibnul Qayyim tidak kata dan tidak sekali-kali menyalahi kehendak ayat qazaf itu, hanya Astora yang pakai serkap jarang! Insaflah Astora sebelum terlambat
Wassalam.