Pendapatku Tentang Sanad

Primary tabs

Oleh alitantawi

Tajuk yang saya pilih bukanlah satu perbincangan ilmiah yang teliti dalam menceritakan tentang peranan sanad dalam ilmu kajian hadith. Tulisan ini hanya ingin mengajak para pembaca membezakan antara keperluan sanad di zaman silam (di kalangan ulama hadith) dan keperluan terhadap sanad di zaman ini (di kalangan ulama hadith, fiqh, tasauf dan sebagainya).

Saya memilih tajuk ‘pendapatku’ untuk memberikan gambaran bahawa artikel ini adalah berdasarkan pembacaan,pembelajaran dan pengalaman yang serba kekurangan. Penambahan dan pembetulan daripada para pembaca amat dialu-alukan. Ia hanyalah pendapat, bukan kajian ilmiah atau tulisan akademik.

Bagi melihat dengan lebih mendalam tentang kepentingan sanad pada ulama hadith silam, bolehlah dirujuk kepada buku-buku dalam bidang mustolah hadith sama ada dalam Bahasa Arab atau terjemahan dalam Bahasa lain. Bagi pembaca yang inginkan synopsis tentang pentingnya sanad terutama di kalangan ulama hadith silam, bolehlah merujuk buku saya ’20 Persoalan Asas Tentang Hadith’ cetakan Jahabersa.

Pertama, tentang sanad di sisi ulama silam terutama ulama hadith. Memang sanad menjadi keperluan kerana di zaman itu hadith-hadith belum dibukukan secara rasmi terutama di kurun awal (2 dan 3 Hijrah). Maka setiap hadith perlu disebut bersama sanadnya bagi membuktikan kebenarannya. Sanad itu pula akan dikaji lagi dan dibuktikan kesahihannya. Di sinilah letaknya kepentingan sanad sehingga ada ulama silam (antaranya Ibn al Mubarak) menyatakan bahawa ‘sanad itu adalah urusan agama, tanpa sanad, semua orang boleh berkata apa sahaja yang disukainya’.

Sehinggalah tiba zaman buku-buku hadith dibukukan secara rasmi dan tersusun sehingga muncul buku-buku yang popular seperti Sahih al Bukhari, Sahih Muslim dan sebagainya, maka pengkajian sanad adalah lebih mudah kerana sanad-sanad telah dibukukan bersama hadith-hadith tersebut.

(Al Manhaj al Sahih Fi al Hukm ‘Ala al Hadith al Nabawi al Syarif – Adil Mursyid – cetakan Muassasah al Risalah)

Maka sanad yang ingin dikaji kini telah terhenti kepada sanad yang disebut oleh penulis atau pengumpul hadith. Maksud terhenti di sini ialah kita tidak perlu lagi mengkaji sanad selepas pengumpul tersebut untuk mengetahui kesahihan hadith. Contohnya, sanad yang telah disebut oleh al Bukhari akan terhenti kepada beliau. Maka kita telah pun mengetahui bahawa al Bukhari merupakan seorang imam hadith yang diterima riwayatnya. Maka kajian kita bermula daripada al Bukhari sehinggalah kepada tabiin untuk mempastikan kesahihan sanadnya. Ini bagi mereka yang ingin mengkaji Sahih al Bukhari.

Buku-buku hadith lain sememangnya perlu dikaji melebihi Sahih al Bukhari kerana Sahih al Bukhari mempunyai kedudukan yang tinggi disebabkan ketelitian al Bukhari menapis hadith-hadith yang dikumpulkannya. Maka sekiranya kita ingin mengkaji hadith yang disebut oleh al Tirmizi dalam Sunan al Tirmizi, maka kita mulakan kajian sanad yang disebut oleh al Tirmizi sehinggalah kepada tabiin (sahabat tidak perlu dikaji). Maka maksud terhenti sanad di sini ialah sanad telah terhenti pengkajiannya dan hanya terhad kepada sanad yang telah dibukukan oleh ulama hadith seperti al Bukhari, Muslim, al Tirmizi dan lain-lain lagi.

Kedua, tentang sanad di sisi ulama moden atau ulama zaman selepas zaman awal Islam. Terdapat banyak tujuan sanad di kalangan ulama masa kini. Apabila kita mendengar sesetengah ulama mempunyai sanad, maka kegunaan sanad itu (menurut pendapat saya, wallahu a’lam) tidak lagi penting sebagaimana pentingnya sanad di zaman awal Islam iaitu untuk memastikan kesahihan hadith. Berbeza dengan kegunaan sanad di zaman-zaman selepas itu sehinggalah zaman kita pada masa ini. Pada masa ini sanad menjadi kegemaran sesetengah penuntut ilmu untuk tujuan mendapat keberkatan. Contohnya mereka yang belajar Sahih al Bukhari atau Sunan Abu Daud, mereka akan diberikan sanad oleh guru mereka dan sanad itu bersambung bermula dari guru mereka sehinggalah sampai kepada Abu Daud. Begitu juga dengan buku-buku lain selain buku hadith, ada juga yang mempunyai sanad seperti buku-buku fiqh, tafsir, tasauf dan sebagainya. Kesemuanya adalah untuk mendapat keberkatan, semoga mereka diberkati oleh Allah SWT di atas kesungguhan mereka menuntut ilmu.

(Kesimpulan daripada kata-kata Syuaib al Arnaouth)

Tetapi harus diingat bahawa sanad itu tidak lagi penting daripada sudut kajian hadith atau kajian kesahihan asal usul buku atau kitab tersebut. Contohnya, saya di Jordan pernah belajar buku yang berunsurkan pembersihan jiwa atau tasawuf ditulis oleh seorang alim terkenal bernama al Harith al Muhasibi yang sezaman dengan Imam Ahmad Ibn Hanbal. Muhaddith yang telah menyemak (tahqiq) buku tersebut ialah Syeikh Abd. Fattah Abu Ghuddah. Saya mempelajari buku tersebut daripada murid Syeikh Abd. Fattah iaitu Dr. Abd. Sami’ al Anis (semoga Allah memelihara beliau yang sekarang menjadi pensyarah di Oman). Selesai sahaja beliau mengajar buku tersebut (dalam masa beberapa minggu seingat saya), beliau terus memberikan ijazah sanad yang beliau dapat daripada Syeikh Abd. Fattah sehingga sampai kepada penulis asal buku itu iaitu al Harith al Muhasibi. Ini adalah untuk menggambarkan tentang amanah ilmu dan juga mencari keberkatan di sisi Allah SWT.

Tetapi, ini tidak bermakna bahawa anda perlu mengkaji kembali sanad yang telah saya dapat untuk membuktikan adakah buku Risalatu al Mustarsyidin adalah benar-benar datang daripada al Harith. Tidak sama sekali kerana buku itu telah pun dikaji dan dicetak serta tidak syak lagi bahawa ia adalah hasil penulisan al Harith al Muhasibi. Sesiapa sahaja boleh membelinya di kedai dan membacanya. Tidak perlu mendapat sanad untuk membacanya atau mengajarnya. Seluruh dunia Islam tahu bahawa al Harith al Muhasibi adalah penulis buku itu. Inilah yang saya maksudkan bahawa sanad tidak perlu lagi di zaman ini sebagai bukti kesahihan kerana ia telah terhenti pada zaman awal Islam.

Begitulah juga dengan buku-buku hadith terkenal (Kutub Sittah dan sebagainya). Memang kita akan bertemu dengan mereka yang memiliki sanad buku-buku tersebut, tetapi ia bukanlah untuk mengkaji kesahihan hadith kerana sememangnya ulama hadith zaman moden mengkaji sanad yang disebutkan di dalam buku-buku tersebut sahaja. Sanad yang kita ada langsung tidak mengubah kedudukan hadith setelah dikaji sanad yang ditulis di dalam buku-buku itu.

Maka di sini saya ingin menasihatkan diri saya dan para sahabat sekelian atau ingin mengingatkan kita semua tentang beberapa perkara:

 

1- Sanad yang ada di zaman ini tidak lebih daripada sekadar ingin mendapat keberkatan.

 

2- Sanad yang kita ada tidak memberi kesan kepada kajian terhadap kesahihan hadith atau kesahihan buku-buku lain yang sudah sememangnya dikaji sejak dahulu lagi.

 

3- Ulama hadith moden mengkaji hadith-hadith berpandukan sanad yang ditulis oleh pengumpul hadith. Sanad-sanad yang diambil daripada penulis sehinggalah ke zaman ini tidak digunakan melainkan sekadar catatan.

 

4- Sesetengah orang yang mempunyai sanad tidak boleh mendakwa dirinya lebih baik daripada mereka yang tidak mempunyai sanad. Apa gunanya sanad bagi buku Sahih al Bukhari atau Sahih Muslim kalau anda tidak membacanya dan memahaminya? Lebih baik anda membacanya dan memahaminya walaupun tidak mempunyai sanad.

 

5- Sanad pada zaman ini tidak boleh menjadi syarat bahawa ilmu itu tepat atau tidak. Pernyataan yang dibuat oleh Ibn al Mubarak dan ulama hadith lain tentang kepentingan sanad adalah berkaitan dengan keadaan pada zaman itu dan berbeza dengan zaman ini. Oleh kerana itu, Syuaib al Arnaouth dan Muhammad Nasiruddin al Albani tidak memberikan sanad kepada para pelajarnya.

(Pengalaman penulis belajar dengan Syuaib al Arnaouth dan juga pengalaman Prof. Madya Dr. Radzi Othman – pensyarah USM – belajar dengan al Albani)

 

6- Adalah lebih baik menumpukan kepada pembacaan dan pemahaman maksud hadith daripada menumpukan kepada pengumpulan sanad. Menghafaz dan mengetahui maksud hadith lebih utama daripada menghafaz sanad.

(Fiqh al Awlawiyyat – Dr. Yusuf al Qaradawi – cetakan Muassasah al Risalah)

 

7- Tidak dinafikan bahawa kita juga memerlukan mereka yang menghafaz sanad untuk menjadi rujukan dan sebagai bukti bahawa kita benar-benar menjaga ketulenan hadith. Namun ia hanyalah perkara yang digalakkan dan bukanlah perkara yang dituntut. Saya sendiri pernah bertemu dengan seorang remaja berasal dari negara Afrika yang menghafal beratus hadith daripada Sahih al Bukhari berserta sanad! Semoga Allah SWT menguatkan semangat beliau untuk menyebarkan sunnah dan membela Islam.

 

 

Saya berharap semoga tulisan ini (pendapat yang serba kekurangan) dapat difahami dengan baik. Suka saya mengingatkan para sahabat yang terlalu berkira tentang sanad dengan apa yang telah dilakukan oleh imam hadith terkemuka, Yahya Ibn Syaraf al Nawawi. Imam al Nawawi telah membukukan 42 hadith dalam bukunya ‘Hadith 40’ dan hampir dua ribu hadith dalam ‘Riyadhussolihin’ tanpa sanad…diulangi…tanpa sanad. Kenapa? Kerana beliau sendiri yang menyebut bahawa beliau ingin memudahkan pembaca buku-buku itu untuk menghafaz hadith-hadith di dalamnya. Ini menunjukkan bahawa keutamaan diberikan kepada lafaz/matan hadith melebihi sanad hadith. Imam al Nawawi meninggal pada tahun 676 Hijrah.

Semoga kita diberikan kekuatan dan semangat untuk terus membaca, memahami dan beramal dengan hadith-hadith Rasulullah SAW yang sahih, kerana hadith adalah huraian kepada Al Quran.

 

Wallahu a’lam.