Sebelum Membaca Buku Hadith...Bahagian 1

Primary tabs

Di samping membaca buku-buku yang dikarang dalam bidang ilmu hadith – sama ada buku berkaitan teks hadith, huraiannya, ilmu kajian hadith dan sebagainya – kita sebenarnya amat perlu mengetahui beberapa perkara asas sebelum kita membaca buku tersebut. Semoga maklumat ringkas yang ingin dikongsi di sini menjadi panduan berguna untuk diri saya dan anda semua yang meminati bidang yang mulia ini.

 Pertama – mengetahui siapa penulisnya.

Mengetahui di sini bukanlah sekadar tahu namanya sahaja. Mungkin sebahagian pembaca sudah biasa mendengar nama ahli hadith tertentu kerana ia sering disebut. Namun apa yang saya maksudkan ialah kita benar-benar menyelidiki siapakah penulis buku tersebut. Di kurun manakah dia berada? Siapakah guru-gurunya? Siapakah pula murid-muridnya? Sejauh mana kehebatannya dalam ilmu-ilmu hadith? Adakah terdapat ulama hadith lain yang memujinya? Bagaimanakah cara beliau menuntut ilmu dan lain-lain lagi.

Kenapa ini penting? Kerana inilah yang akan mencorakkan pemikiran kita ketika kita membaca hasil penulisannya. Segala natijah dan kesimpulan yang dibuat oleh penulis akan lebih mudah difahami dan diterima sekiranya kita kenal siapakah beliau dan sejauh mana keilmuannya.

Saya percaya ramai peminat ilmu hadith yang pernah melalui situasi di mana mereka melihat buku tertentu tetapi tidak mahu membelinya malah tidak terlintas untuk membuka helaiannya hanya kerana satu perkara – tidak kenal siapakah penulisnya.

Begitu juga saya pernah temui peminat ilmu hadith yang tidak mahu menerima sesuatu kesimpulan atau ketetapan hanya kerana dia tidak kenal kehebatan orang yang mengungkapkannya atau penulisnya.

Di sana juga ada yang tidak mahu menerima penilaian tentang sesuatu hadith hanya kerana dia tidak kenal latar belakang ulama hadith yang memberikan penilaian tersebut.

Terdapat satu lagi kebaikan apabila kita menyelidiki biodata atau latar belakang seseorang ulama hadith – kita akan memperolehi ilmu dan juga semangat berdasarkan pengalaman ulama tersebut serta pengorbanannya untuk ilmu. Tidak ramai orang menyedari kepentingan membaca riwayat dan kisah hidup para ulama terdahulu. Suatu masa, guru dan sahabat saya – Ustaz Anwaruddin, penasihat Jabatan Hadith AAN – berusaha menyuruh saya membaca kisah-kisah ulama yang dikumpulkan oleh Imam al-Zahabi dalam bukunya Siyar A’lam al-Nubala’. Pada awalnya saya tidak nampak apakah kelebihan membaca buku seperti itu. Tetapi akhirnya apabila saya mula membuka helaian demi helaian, barulah nampak jelas faedah dan manfaat yang cukup banyak kita akan perolehi dengan membaca kisah para ulama!

Amat benar kata pepatah – tak kenal maka tak cinta!


Akan datang – Perkara asas yang kedua sebelum membaca buku hadith.