* Ini adalah sambungan kepada siri penulisan Manhaj Kajian Hadith Ulama Terdahulu @ al-Mutaqaddimun. Perkara yang akan dihuraikan ialah berkaitan ciri keempat iaitu tentang kehebatan kajian ulama hadith al-Mutaqaddimun. Artikel kali ini adalah pendahuluan kepada huraian ciri keempat tersebut. Fokus artikel ini ialah - sorotan sepintas lalu tentang sejarah perkembangan kajian hadith. Ia perlu diketahui dan difahami bersama. Insya Allah, artikel seterusnya akan menghuraikan ciri keempat dengan lebih panjang. Selamat membaca.
SEPINTAS LALU SEJARAH PERKEMBANGAN HADITH DAN KAJIANNYA
(sebahagian besar maklumat di dalam artikel ini diringkaskan daripada buku al-Manhaj al-Muqtarah Li Fahmi al-Mustolah karya Dr. Hatim al-Syarif al-Auni. Maklumat lain ditambah oleh penulis sendiri. )
PERMULAAN .
Tidak syak lagi bahawa permulaan ilmu hadith telah berlaku sejak dahulu ketika mana wahyu pertama diturunkan ke atas Rasulullah SAW. Bermulalah ilmu periwayatan hadith ketika mana Rasulullah SAW menceritakan kepada isterinya Khadijah apa yang telah beliau terima daripada malaikat Jibril alaihissalaam dalam gua Hira. Kisah ini telah dicatatkan dalam buku-buku hadith utama antaranya Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim.
Sejak hari itu, berkembanglah apa yang dinamakan sebagai sunnah atau hadith serentak dengan percambahan cahaya hidayah yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Bermulalah juga pertarungan di antara kebenaran dan kebatilan yang berlangsung sepanjang hayat Baginda bersama para sahabat. Umat Islam ketika itu telah yakin dengan sepenuhnya bahawa keredhaan Allah SWT akan diperolehi sekiranya mereka mentaati Al-Quran dan hadith serta beramal dengan keduanya.
PARA SAHABAT YANG BERJASA...
Tidak ada sebarang ajaran daripada Rasulullah SAW sama ada Al-Quran atau huraiannya (hadith) yang terlepas daripada perhatian para sahabat. Baginda adalah sebaik-baik contoh untuk mereka. Mengikuti ajaran Baginda telah menjadi matlamat utama sepanjang hidup mereka bersama manusia terbaik yang diutuskan kepada seluruh alam. Rasa cinta kepada Baginda meresap ke seluruh tubuh mereka dan tidak ada yang paling penting dalam hidup mereka selain mengikuti panduan dan ajaran Baginda SAW.
Ketika Baginda masih hidup, para sahabat telah dididik dengan sikap berhati-hati dalam menyampaikan apa sahaja maklumat tentang diri Nabi SAW. Contohnya, ketika seorang sahabat memberitahu Umar Ibn al-Khattab bahawa Rasulullah SAW telah menceraikan isteri-isterinya, Umar telah bergegas menemui Baginda SAW untuk mendapat kepastian. Rupa-rupanya perkara itu tidak berlaku. Ini menunjukkan bahawa proses kajian hadith telah berlaku sejak Rasulullah SAW masih hidup. Bukanlah maksud Umar bahawa dia tidak mempercayai apa yang disebutkan oleh sahabatnya itu kerana sahabatnya itu penipu, tidak sama sekali! Namun disebabkan manusia adakalanya tersalah dengar atau tersilap cakap, maka Umar telah pergi bertemu Rasulullah SAW untuk mendapat kepastian. Apatah lagi berita penceraian isteri-isteri Rasulullah SAW adalah satu berita yang besar dan penting. Ditambah pula salah seorang isteri Baginda SAW adalah anak Umar sendiri iaitu Hafsah. Kisah ini ada disebutkan antaranya di dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim. Ini adalah sekadar satu contoh betapa sahabat amat berhati-hati dalam menyampaikan sesuatu hadith atau sunnah kerana ia berkaitan dengan diri manusia yang paling mulia iaitu Rasulullah SAW.
WAFATNYA RASUL TERCINTA...
Setelah bersusah payah bermandi keringat menegakkan Islam di muka bumi, tiba masa Baginda SAW kembali menghadap Penciptanya. Maka selesailah segala ajaran Baginda dan lengkaplah segala panduan daripada Allah SWT. Oleh itu kita amat yakin bahawa dengan tamatnya kehidupan Baginda yang penuh berkat itu, tamatlah proses menerima sunnah. Sudah pasti ajaran Baginda telah sempurna Al-Quran telah lengkap, huraiannya (sunnah) juga telah sempurna) dan para sahabat yang ramai telah pun selesai menghimpunkan sunnah dalam cara mereka masing-masing. Ada yang menulis, ramai juga yang menghafaz. Tidak mungkin ada lagi sunnah yang muncul selepas kewafatan Rasulullah SAW. Mungkin ada sahabat yang tidak mampu mengumpulkan semua hadith, tetapi dia dilengkapkan oleh sahabat-sahabat yang lain. Namun untuk menyatakan bahawa ada sunnah atau hadith yang terlepas daripada semua sahabat...pasti ia adalah khayalan semata-mata!
BEBAN DAN AMANAH DIPIKUL SERENTAK
Setelah kewafatan Rasulullah SAW, para sahabat merasakan beban amanah yang mereka pikul amat besar. Di dalam hati mereka sentiasa memikirkan dua perkara pertama, kewajipan menyampaikan ajaran Rasulullah SAW (Hendaklah yang hadir menyampaikan kepada yang tidak hadir Riwayat al-Bukhari). Kedua, rasa bimbang kalau-kalau tersilap dalam menyampaikan sesuatu sunnah, lalu mereka akan memikul dosa yang amat besar (Sesiapa yang berbohong dengan namaku, dia akan merasai api neraka Riwayat al-Bukhari)! Namun demi menyampaikan ajaran Islam kepada umat, mereka teruskan jua kesinambungan ajaran sunnah yang merupakan huraian kepada Al-Quran.
Berpandukan ajaran Al-Quran, mereka telah mengerah seluruh tenaga dan fikiran dalam memelihara amanah ini agar sunnah dapat disampaikan tanpa sebarang penambahan atau kekurangan. Semoga Allah SWT menambahkan kemuliaan mereka! Sesungguhnya mereka telah menunaikan amanah itu dengan penuh tanggungjawab tanpa mengharap balasan duniawi. Hati menjadi sayu dan pilu mengenangkan kesungguhan mereka menyampaikan ilmu dan mendidik umat. Bagaimanakah tergamaknya sebahagian umat zaman ini mengkafirkan, menghina, memfitnah dan memburukkan sahabat? Semoga Allah SWT membalas perbuatan mereka dengan balasan yang setimpal. Madu yang diberi oleh para sahabat, racun yang dibalas oleh pemaki hamun sahabat. Semoga Allah melindungi diri kita daripada kejahilan dan akhlak yang buruk.
CONTOH SIKAP SAHABAT DALAM MENYEBUT HADITH
Di antara contoh sikap berhati-hati para sahabat setelah kewafatan Rasulullah SAW ialah peristiwa di mana Abu Musa al-Asyari (sahabat) telah mengetuk rumah Umar Ibn al-Khattab tetapi Umar tidak menjawab. Setelah mengetuk dan memberi salam sebanyak tiga kali tanpa jawapan, Abu Musa beredar pergi dari rumah Umar. Keesokan harinya, Abu Musa telah bertemu Umar lalu Umar menyatakan bahawa sewaktu rumahnya diketuk, beliau sedang sibuk. Umar bertanya kepada Abu Musa: Kenapa tidak kamu terus meminta izin sehingga kamu diizinkan?. Abu Musa menjawab: Aku meminta izin seperti yang aku dengar daripada Rasulullah SAW. Umar terus marah dan bertegas bahawa Abu Musa perlu membawa saksi agar terbukti ia memang ajaran Rasulullah SAW. Ini bermakna Umar tidak tahu tentang cara meminta izin masuk sebanyak tiga kali yang dilakukan oleh Abu Musa itu adalah sunnah daripada Rasulullah SAW. Lalu Abu Musa telah meminta bantuan sahabat-sahabat lain yang pernah mendengar hadith itu untuk memberikan sokongan agar Umar mempercayainya. Maka Abu Said al-Khudri telah menyatakan kesanggupannya lalu mereka berdua telah pergi menemui Umar untuk mengesahkan tentang hadith itu. Hadith ini diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Persitiwa ini tidak bermakna Umar tidak mempercayai Abu Said kerana beliau tidak benar. Tetapi sikap Umar itu adalah sikap seorang sahabat yang inginkan kepastian agar sesuatu itu benar-benar disahkan sebagai sunnah sebelum diambil atau diamalkan. Semoga Allah SWT merahmati para sahabat yang terlalu berhati-hati dan ini menyebabkan sunnah terpelihara tanpa tambahan atau pengurangan.
Bahkan Umar pernah memberi amaran agar sahabat-sahabat yang ingin menyampaikan hadith agar berhati-hati. Begitu juga pesanan itu diteruskan oleh sahabat-sahabat yang lain setelah kewafatan Umar. Bahkan al-Tohawi dalam bukunya Bayan Musykil Ahadith al-Rasul telah menyatakan bahawa sikap Umar itu telah pun dilakukan oleh Abu Bakr al-Siddiq sebelumnya.
Seorang tabii (murid para sahabat) bernama Abd. Rahman Ibn Abi Laila pernah mengungkapkan: Aku telah bertemu dengan seratus dua puluh orang sahabat Nabi SAW. Tidak ada seorang pun dari mereka yang menyebut sesuatu hadith melainkan dia berharap telah ada sahabatnya menyebut hadith itu. (disebut oleh Ibn Abd. Barr dalam Jami Bayan al-Ilm). Inilah sikap yang amat kita kagumi daripada mereka.
Malah pernah Abdullah Ibn al-Zubair (salah seorang sahabat yang muda umurnya) bertanya kepada ayahnya yang merupakan seorang sahabat yang terkenal iaitu al-Zubair Ibn al-Awwam : Saya tidak mendengar ayah menyebutkan hadith daripada Rasulullah SAW sebagaimana orang itu dan orang itu (sahabat yang lain). Ayahnya menjawab: Ada pun aku tidak pernah berpisah dengan Baginda sejak aku memeluk Islam. Kedudukan aku di sisinya juga tinggi. Aku takut aku menambah atau mengurangkan (hadith). Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang berbohong ke atas ku, maka tempahlah tempatnya di neraka. Kisah ini dan hadith ini ada di dalam buku Sahih al-Bukhari.
Ini juga adalah sikap yang pernah disebut oleh Anas Ibn Malik yang merupakan di antara sahabat yang paling hampir dengan Rasulullah SAW. Anas telah berkata: Kalaulah tidak kerana aku takut melakukan kesilapan, pasti aku akan menceritakan kepada kamu hadith-hadith yang aku dengar daripada Rasulullah SAW. Itu adalah kerana aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang berbohong ke atas ku dengan sengaja, tempahlah tempatnya di neraka. Kisah ini dan hadith ini ada di dalam buku al-Musnad karya Imam Ahmad.
SIKAP YANG SAMA SEBELUM DAN SELEPAS FITNAH
Perlu diingat, bahawa sikap berhati-hati ini telah pun berlaku sebelum berlakunya peristiwa-peristiwa hitam bermula dengan pembunuhan Uthman Ibn Affan. Pembunuhan itu telah menimbulkan perpecahan dan munculnya hadith-hadith yang tidak ada asal usulnya. Ini menandakan bahawa sikap berhati-hati dalam meriwayatkan hadith telah berlaku dan terus berlaku sepanjang zaman sama ada zaman itu penuh dengan kebaikan atau mula dicemari kejahatan. Seolah-olah kita boleh mengatakan dengan penuh yakin biarlah apa pun yang berlaku, biarlah bila pun masa dan waktu, pasti akan ada segolongan ulama (seperti para sahabat) yang akan membersihkan sunnah dan hadith daripada sebarang penambahan dan pengurangan. Alhamdulillah!
Sistem kajian yang diwariskan oleh para sahabat kepada para tabiin diibaratkan seperti ubat yang mampu mengawal penyakit merbahaya daripada merebak penyakit penambahan dan pengurangan hadith atau sunnah. Para tabiin telah menjadi murid yang amat patuh dan memelihara sistem penjagaan sunnah sehinggakan ia menjadi satu tabiat yang tidak dapat dipisahkan daripada akhlak mereka dan agama mereka.
ZAMAN TABIIN PERJUANGAN DITERUSKAN!
Walaupun zaman tabiin menyaksikan mereka kehilangan sumber rujukan utama dengan wafatnya para sahabat, ia tidak menghalang mereka untuk meneruskan perjuangan memelihara dan menyampaikan sunnah kepada generasi seterusnya yang tidak sempat bertemu sahabat Nabi SAW. Tidak dinafikan bahawa pada zaman tabiin cabaran makin hebat dan bahaya makin bertambah kerana masyarakat Islam tidak lagi seperti di zaman awal Islam. Munculnya pencipta hadith yang semakin bertambah, berlakunya sikap sambil lewa dalam masyarakat tentang hadith, kesilapan dalam bentuk ingatan yang lemah serta kesilapan catatan makin tinggi dan lain-lain lagi adalah bentuk masalah yang dihadapi oleh para tabiin pengkaji hadith. Sanad-sanad hadith juga makin panjang dan semakin banyak hadith yang mengandungi periwayat yang ramai untuk sampai kepada teks hadith daripada Rasulullah SAW.
Seperti yang dijangka, ini semua tidak melemahkan semangat para pengkaji hadith malah ia menjadi pendorong untuk mereka berjihad memastikan hadith dan sunnah terpelihara tanpa sebarang tokok-tambah atau pengurangan. Sehinggakan salah seorang tokoh hadith terkemuka tabiin telah menyeru dengan seruan yang amat bermakna: Sesungguhnya ilmu ini adalah agama. Maka lihatlah daripada siapa kamu mengambil agamamu. (Diambil daripada pendahuluan buku Sahih Muslim).
Kata-kata ini menjadi satu motto atau syiar dalam memelihara kesucian sunnah sepanjang zaman sehinggalah hari kiamat. Para ulama sejak zaman tabiin telah berusaha sedaya upaya dengan segala bentuk usaha ke arah matlamat yang satu iaitu pemeliharaan sunnah dan menyampaikannya kepada generasi berikutnya.
Walaupun sunnah telah mula ditulis di zaman Rasulullah SAW dan selepas itu di zaman sahabat, ia sebenarnya telah benar-benar berkembang sebagai satu asas utama pemeliharaan sunnah pada zaman tabiin. Ia dimulakan dengan rasmi setelah satu perintah dikeluarkan oleh salah seorang pemimpin agung umat Islam iaitu Khalifah Umar Ibn Abd. Aziz (101H). Beliau telah memerintahkan pakar-pakar hadith di zamannya agar memelihara sunnah dengan cara menulis kembali sebagai simpanan rasmi. Ini tidak bermaksud sunnah itu tidak ditulis sebelum perintah Umar Ibn Abd. Aziz. Perintah Umar sebenarnya adalah satu bentuk dorongan daripada pemerintah agar sunnah terus ditulis dengan lebih rancak dan lebih tersusun.
Serentak dengan penulisan hadith, proses pemeliharaan hadith daripada ditokok tambah juga berkembang. Jangan ada yang menyangka bahawa ulama hadith di zaman itu hanya tahu menulis dan menyalin sahaja. Tetapi mereka juga melakukan satu bentuk penapisan agar terzahir hadith yang sahih dan juga hadith yang tidak sahih. Penapisan yang ketat ini telah pun kita tahu bermula sejak zaman Rasulullah SAW dan ia menjadi semakin rumit pada zaman tabiin dan selepas mereka. Para pakar hadith mula memberikan garis panduan tentang bagaimana hadith perlu diterima dan disampaikan dengan segala ketelitian dan sikap berhati-hati. Maka lahirlah pelbagai ilmu berkaitan kajian hadith yang kemudiannya dibukukan oleh ulama zaman berzaman.
PERJUANGAN BELUM SELESAI...
Sikap para tabiin diteruskan di zaman selepas mereka yang dinamakan sebagai Atba al-Tabiin atau Tabiu al-Tabiin. Para pakar hadith zaman sebelumnya (Tabiin) seperti yang dijangka telah menunaikan amanah dengan mewariskan kehebatan kajian mereka dan umat terdahulu (sahabat) kepada umat selepas mereka. Ini sebenarnya adalah tanda pemeliharaan Allah SWT terhadap hadith sebagaimana ia berkait rapat dengan pemeliharaan Allah SWT terhadap Al-Quran. Allah SWT sememangnya memelihara keduanya (Al-Quran dan hadith) kerana hadith adalah huraian dan contoh praktikal terhadap hukum-hakam di dalam Al-Quran.
Pada zaman Atba al-Tabiin, masalah dan cabaran yang dihadapi oleh pakar hadith semakin rumit. Namun ia tidak menghalang mereka untuk menghadapinya dengan penuh kesabaran dan kesungguhan. Di samping memastikan hadith dicatat secara berterusan dan dihafaz, mereka juga memastikan agar sistem penapisan hadith sahih dan hadith yang tidak sahih disambung dan tidak berhenti separuh jalan. Oleh itu kita melihat ulama di zaman ini mula mempelbagaikan penulisan mereka berkaitan hadith dan ilmu kajian hadith.
Pada zaman ini muncul penulisan yang lebih menumpukan kepada susunan hadith mengikut kaedah tertentu seperti buku-buku berbentuk Sunan yang menumpukan kepada penyusunan hadith dalam bentuk perbincangan fiqh seperti bersuci, solat dan seterusnya. Contohnya buku al-Sunan karya Abd. Malik Ibn Abd. Aziz Ibn Juraij (150H). Begitu juga muncul penulisan berbentuk al-Jami yang mengumpulkan hadith dalam bab-bab yang lebih luas daripada bab fiqh seperti karya Mamar Ibn Rasyid (153H). Muncul juga buku-buku lain seperti al-Musnad karya Abdullah Ibn al-Mubarak (181H), al-Muwattto karya Imam Malik (179H) dan sebagainya.
Ditambah pula di zaman ini adalah zaman hidupnya imam-imam pakar hadith terkenal seperti yang telah disebutkan di atas dan ditambah lagi dengan imam-imam lain seperti : al-Syafie (204H), Yahya al-Qattan (198H), Abd. Rahman Ibn Mahdi (198H) dan sebagainya.
Penapisan hadith sudah semakin berkembang dan muncul istilah-istilah kajian yang mula digunakan dengan meluas seperti istilah Sahih, Dhaif, Mursal, Munkar, Tadlis dan sebagainya yang telah diketahui oleh kita terutamanya penuntut ilmu hadith. Bahkan kajian hadith secara teori juga telah cuba dihuraikan sebahagiannya oleh al-Syafie dalam bukunya yang terkenal iaitu al-Risalah.
Penulisan dan penapisan serta ilmu kajian hadith telah berkembang dengan pesat di zaman ini dan sudah pasti ia akan diwarisi oleh generasi selepas mereka yang digelar zaman keemasan kajian hadith. Apakah itu zaman keemasan kajian hadith?
ZAMAN KEEMASAN KAJIAN HADITH
Dengan kita melihat sepintas lalu apa yang telah berlaku dan dilakukan di zaman sebelumnya (Zaman Rasulullah SAW, para sahabat dan tabiin), maka kita sudah menjangkakan bahawa zaman seterusnya adalah zaman yang lebih mencabar. Cabaran ini sudah pasti mewujudkan segolongan pakar hadith yang tidak mengenal penat dan lelah untuk terus berjuang mempertahankan sunnah daripada sebarang penambahan dan pengurangan. Inilah zaman kegemilangan sunnah, inilah zaman keemasan kajian hadith yang menjadi petanda pemeliharaan Allah SWT terhadap agamaNya! Seharusnya kita menadah tangan menyatakan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah SWT di atas pemeliharaanNya ini. Tanpa golongan ahli hadith, pasti kita akan hilang panduan. Benar seperti kata salah seorang tokoh hadith di kurun keempat Hijrah, Ibn Hibban al-Busti (354H) yang telah menulis kata-kata indah di dalam bukunya al-Majruhin ..Kalaulah tidak kerana mereka, pasti hadith akan hilang dan lenyap. Kalaulah tidak kerana mereka, pasti ahli kesesatan dan hawa nafsu akan bermaharajalela dan pasti ahli bidah dan kejahilan akan berkuasa.
KITA TERHUTANG BUDI DENGAN MEREKA...
Bayangkan kesungguhan mereka di zaman itu beramai-ramai merantau di padang pasir, berhijrah dari satu bandar ke bandar yang lain (dekat dan jauh) untuk mencari hadith dan bertemu para ulama hadith. Bayangkan bekalan makanan dan minuman yang mereka bawa. Bayangkan keletihan mereka merantau di padang pasir yang panas terik di siang hari, sejuk yang amat sangat di malam hari. Tidur ketika mengantuk tidak kira di mana sahaja. Cukup dengan apa yang ada, tidak peduli soal harta dan kemewahan. Ya Allah, hati mana yang tidak tersentuh ketika membaca kisah mereka berhijrah dengan jarak yang jauh hanya untuk mencari satu atau dua potong hadith! Hati mana yang tidak sedih membaca kisah imam hadith yang habis segala harta untuk merantau mengumpulkan hadith dan bertemu ulama hadith untuk menuntut ilmu darinya. Mata mana yang mampu menahan air matanya ketika membaca kisah hidup ahli hadith zaman itu dan membandingkannya dengan kehidupan orang-orang kaya di zaman yang sama. Harta mereka hanyalah pena dan kertas. Makanan mereka hanyalah makanan yang paling asasi, itupun sekiranya ada! Bacalah dan renungkanlah kisah mereka dalam buku-buku seperti pendahuluan al-Jarh wa al-Tadil karya Ibnu Abi Hatim dan buku al-Rihlah Fi Tolab al-Hadith karya al-Khatib al-Baghdadi (463H). Insya Allah, sekiranya berkesempatan, saya akan cuba mengumpulkan beberapa kisah kegigihan ahli hadith terdahulu agar dapat direnungkan bersama. Saya juga menggalakkan para pembaca yang mampu agar menulis tentang perkara yang sama agar pembaca yang tidak tahu akan mengetahui kehebatan ahli hadith terdahulu.
Sesungguhnya kita terhutang budi dengan mereka. Sedar atau tidak, kita sebenarnya tidak mengenali mereka dan tidak menghargai jasa mereka. Sebahagian kita yang menuntut ilmu hadith lebih mengagungkan ulama moden masa kini sedangkan apalah ilmu yang ada pada ulama moden tanpa ilmu yang telah dikumpulkan dan disusun oleh ulama zaman silam? Marilah kita mengenali mereka kembali terutama ulama di zaman keemasan periwayatan dan kajian hadith iaitu sekitar kurun kedua dan ketiga Hijrah. Marilah kita hargai jasa mereka dan contohi kajian mereka. Itulah kajian terbaik, terhebat dan paling tepat berdasarkan mereka adalah pewaris kajian terdahulu.
ULAMA TERKEMUKA ZAMAN KEEMASAN..
Siapakah mereka? Mereka bukan sekadar nama, tetapi mereka adalah lambang kehebatan dan kegemilangan kajian hadith zaman berzaman. Nama-nama seperti:
Ahmad Ibn Hanbal
Yahya Ibn Main
Ali Ibn al-Madini
Abdullah Ibn al-Zubair al-Humaidi
Abu Bakr Ibn Abi Syaibah
Ishaq Ibn Rahuyah / Rahawaih
Abdullah Ibn Abd. Rahman al-Darimi
Muhammad Ibn Ismail al-Bukhari
Muslim Ibn al-Hajjaj
Abu Zurah al-Razi
Abu Hatim al-Razi
Yaqub Ibn Syaibah
Abu Daud
Al-Tirmidzi
Yaqub al-Fasawi
Abu Zurah al-Dimasyqi
Al-Nasaaei
Ibn Abi Hatim al-Razi
......dan senarainya akan berpanjangan. Namun inilah di antara tokoh-tokoh utama di zaman kegemilangan dan zaman keemasan kajian hadith. Setiap seorang daripada mereka memenuhi ciri-ciri pengkaji yang amat hebat dan menyerupai pengkaji-pengkaji hadith di zaman sebelum mereka.
Di antara ciri atau sifat mereka ialah:
- Agama dan akhlak yang tinggi
- Kekuatan hafazan
- Kesungguhan dalam merantau dan mencari ilmu
- Ketelitian dalam penapisan hadith antara sahih dan tidak sahih
- Amanah dalam memikul ilmu dan menyampaikannya
- Berdakwah dalam mengembangkan ilmu
- Menulis buku-buku berfaedah untuk umat di masa hadapan
- Sentiasa berbincang dan bermuzakarah bersama ulama hadith lain
Kalaulah kita meluangkan sedikit masa untuk membaca kisah hidup salah seorang (bukan semua) daripada mereka, pasti kita akan melihat satu kehidupan yang amat berkat, amat padat, amat sibuk dan kita pasti akan mengucapkan...subhanallah ...Allahu akbar...kerana mengkagumi kegigihan mereka. Membaca kisah mereka memberikan pelbagai pengajaran dan panduan. Oleh itu ramai ulama yang mencadangkan untuk seorang penuntut ilmu agar membaca kisah-kisah dan riwayat hidup para ulama terdahulu agar dapat memberikan dorongan dan semangat terhadap diri.
Mari kita bandingkan mereka dengan ulama hadith pada zaman selepas mereka atau dengan ulama hadith pada zaman ini? Adakah mereka sama? Adakah mereka hampir sama? Tidak sama sekali...saya yakin, tidak sama sekali akan menyamai atau menghampiri apatah lagi akan menandingi dan mengalahkan mereka!
Pada zaman keemasan ini juga wujud beberapa penulisan yang cuba meringkaskan dan memberikan kesimpulan terhadap cara kajian yang berlaku di zaman itu. Contohnya dalam buku yang ditulis oleh Abdullah Ibn al-Zubair al-Humaidi (219H). Walaupun buku itu tidak ditemui pada zaman ini, kita dapat membaca isi kandungannya kerana ia telah dinukilkan oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam bukunya al-Kifayah.
Begitu juga kita dapati beberapa ringkasan kajian hadith telah dimuatkan oleh Imam Muslim dalam pendahuluan bukunya Sahih Muslim. Perkara yang sama boleh kita dapati dalam surat Abu Daud yang ditulis untuk ulama Mekah atau apa yang dikenali dengan nama Risalah Abu Daud Ila Ahl Makkah. Beberapa perkara penting tentang kajian juga boleh kita dapati daripada tulisan al-Tirmidzi iaitu al-Ilal yang ada pada hujung Sunan al-Tirmidzi atau al-Jami.
Walaupun penulisan sebegini tidak banyak, namun satu hakikat yang perlu kita tahu ialah kajian hadith secara praktikal pada zaman keemasan kajian ini telah mencapai kemuncaknya dan ia tidak dapat ditandingi lagi oleh umat selepas mereka. Apa yang ada ialah kesimpulan yang boleh dibuat atau ringkasan terhadap apa yang mereka telah kaji.
SELEPAS ZAMAN KEEMASAN...
Setelah zaman itu berlalu, kajian hadith tetap diteruskan. Namun apa yang sebenarnya berlaku ialah tidak ada lagi pakar-pakar hadith yang setaraf dengan nama-nama besar yang ada di zaman keemasan kajian hadith. Apa yang ada ialah ulama-ulama hadith yang juga hebat tetapi mereka tidak dapat menandingi ulama hadith sebelumnya. Maka apakah kajian hadith juga turut lemah dengan lemahnya ulama hadith?
Tidak. Kajian hadith yang telah mencapai tahap keagungannya di zaman keemasan sebenarnya terus dipelihara oleh ulama-ulama di zaman selepas mereka. Walaupun ulama-ulama hadith di zaman terkemudian tidak lagi mampu melakukan apa yang telah dilakukan oleh ulama terdahulu, mereka sebenarnya telah menumpukan usaha mereka kepada satu lagi bentuk kajian iaitu: memelihara kajian ulama terdahulu agar ia diwariskan kepada ulama dan masyarakat akan datang. Inilah kerja utama mereka.
Ia tetap menjadi satu tugas yang berat dan amat sukar dilakukan kecuali oleh pakar hadith di zaman itu. Mereka memelihara kajian yang amat bernilai dan mereka terus menyampaikannya kepada umat. Inilah yang dapat kita lihat dilakukan oleh sebahagian ulama seperti al-Hakim (405H) dalam bukunya Marifat Ulum al-Hadith dan juga seperti yang diterangkan oleh al-Khatib al-Baghdadi (463H) dalam bukunya al-Kifayah serta buku-buku lain. Artikel ini akan bersambung...insya Allah.
Alitantawi