SJ-11-0045 : PENTING!!! INSURANS NYAWA!!!

Primary tabs

2 posts / 0 new
Last post
Anonymous (not verified)
SJ-11-0045 : PENTING!!! INSURANS NYAWA!!!

Assalamualaikum warahmatullah....

Ustaz moderator,
Al-Ahkam pernak mengeluarkan artikel mengenai hukum insurans konvensional yang difatwakan haram kerana mengandungi unsur gharar, judi dan riba. Masalahnya, saya terbaca satu artikel yang mengatakan bahawa insurans konvensional tidak mempunyai unsur-unsur tersebut dan fatwa-fatwa pengharamannya didorong oleh salah faham dan kekeliruan teknikal terhadap konsep asas insurans itu sendiri.

Saya mula keliru terutamanya isu gharar yang didakwa tidak wujud dalam insurans konvensional. Saya amat berharap, ustaz-ustaz moderator dapat meleraikan kekeliruan ini bersama-sama hujah-hujah yang bersifat objektif dengan menjelaskan satu-persatu point-point dan hujah-hujah yang diutarakan oleh saudara penulis dalam artikel yang saya sertakan di bawah. Untuk pengetahuan, si penulis adalah seorang perancang kewangan dalam sebuah syarikat insurans di Malaysia.

Sebahagian artikel yang ditulis oleh beliau...

Apa itu Life Insurans sebenarnya?

Jual Beli Nyawa?
Jual Beli Pampasan?

Mengapa Salah Faham terjadi?
Salah faham terjadi kerana pemahaman yang salah mengenai konsep asas insurans. Sejak awal tahun 1970an, industri insurans sudah mula berkembang di Malaysia, tetapi kebanyakan teks dan ilmu mengenai insurans hanya boleh didapati di dalam versi bahasa Inggeris. Bagi orang Melayu pada masa itu, insurans merupakan satu 'benda baru' untuk mereka dan mungkin kerana penguasaan bahasa Inggeris yang lemah, ini telah membuatkan mereka membuat pelbagai tanggapan salah mengenai Life Insurans dengan mengaitkan Life Insurans sebagai satu jual-beli NYAWA atau jual-beli PAMPASAN

Sejauh manakah salah faham ini berlaku di kalangan masyarakat kita?
Pada pemerhatian saya, salah faham ini sudah mencapai di tahap kritikal sekarang kerana wujudnya persaingan tidak sihat dari ejen-ejen insurans tertentu, yang menyalah-gunakan fatwa dan hukum agama, bagi menjual insurans mereka untuk kepentingan mereka sendiri. Perkara sebegini bukan sahaja memberi maklumat yang tidak tepat mengenai Life Insurans, malahan membuatkan masyarakat kita memandang Life Insurans sebagai satu benda negatif, haram dan dikeji.

Adakah benar Life Insurans itu Insurans Nyawa?
Anda tentu sedia maklum bahawa semua insurans perlu dibuat mengikut nilainya. Adakah insurans menilai nyawa seseorang? Tentu tidak! Insurans tidak pernah menilai atau meletak harga ke atas nyawa seseorang. Malahan, anda tidak perlu kehilangan nyawa untuk menerima pampasan insurans. Dalam realiti, pampasan insurans tetap berbayar samada kerana cacat keseluruhan, penyakit kritikal, kemalangan dan rawatan hospital, tanpa anda kehilangan nyawa. Jadi, tidak mungkin ia satu Insurans 'Nyawa'.
Jika seseorang itu memahami konsep asas insurans, dia sepatutnya tahu bahawa perkataan 'Life' memberi banyak makna lain selain nyawa, iaitu makna yang lebih tepat lagi - KEHIDUPAN. Contoh: apabila seseorang berkata "How's Life?", dia bukan maksudkan bagaimana nyawa anda, sebaliknya bertanya khabar bagaimana kehidupan anda?.
Jadi, tidak hairanlah, apabila tafsiran dibuat pada pemahaman yang salah, masyarakat mula mempersoal samada nyawa seseorang itu boleh dijual-beli atau diletakkan harga sehingga menyebabkan keluarnya Fatwa yang kurang tepat mengenai insurans nyawa.

Adakah benar Life Insurans itu satu Muamalah Jual-Beli Pampasan?
Ini satu lagi salah faham mengenai insurans di mana ramai yang menyangka ia sebagai satu urusan jual-beli pampasan. Tidak hairanlah, wujudnya satu lagi fatwa pada tahun 1979 yang mengharamkan Insurans Nyawa kerana ia ditakrifkan sebagai satu muamalah yang 'fasid' (rosak/tidak sah) yang tidak sesuai dengan prinsip-prinsip Islam dari segi aqadnya kerana mengandungi unsur-unsur gharar (tidak ketentuan), maisir (judi) dan riba. Tetapi adakah benar Life Insurans itu satu muamalah jual beli pampasan?
Saya ambil contoh situasi benar yang berlaku apabila seseorang itu membuat pinjaman rumah di bank. Apabila bank meminta anda memastikan bahawa pinjaman anda tetap berbayar walaupun anda mati atau cacat kekal, adakah bank menyuruh anda membeli pampasan dari pihak tertentu? Cuba anda renung perkara ini betul-betul, samada bank menyuruh anda membeli pampasan atau tidak?
Tentu tidak bukan? Apa yang bank mahukan hanyalah satu JAMINAN PERLINDUNGAN atau JAMINAN KEWANGAN di mana, jika anda mati atau cacat kekal, pinjaman rumah anda itu tadi akan dapat dibayar oleh penjamin anda. Siapa yang boleh menjadi penjamin untuk satu jumlah pinjaman yang besar seperti itu? Kawan-kawan? Adik beradik? Ibu bapa? Pinjaman peribadi RM 10,000 pun semua orang takut nak jamin, inikan pula pinjaman rumah yang bernilai ratusan ribu! Jadi ternyata, jaminan seperti ini, tidak mampu dipegang jika diserahkan kepada seseorang.
Dalam industri kewangan, jaminan perlindungan tersebut ada disediakan oleh sebuah institusi kewangan yang dipanggil syarikat insurans dan tugas mereka adalah untuk menyediakan jaminan perlindungan ke atas risiko-risiko asli tertentu sahaja. Syarikat Insurans tidak pernah menjual pampasan, sebaliknya hanyalah memberi jaminan perlindungan.

Jadi, apakah Barang atau Subject Matter di dalam aqad Life Insurans?
Saya berpendapat, barang atau subject matter di dalam aqad Life Insurans adalah [u]JAMINAN PERLINDUNGAN [/u](yang diberi dalam bentuk JAMINAN KEWANGAN) dan POLISI INSURANS kerana hanya dengan membeli insurans sahaja, anda akan menerima jaminan perlindungan dan polisi insurans. Malahan istilah ‘Takaful’ sendiri membawa maksud kepada “jamin-menjamin”, bukan menjual/mengutip pampasan. Buat sumbangan pada anak yatim, anda tidak akan dapat polisi insurans. Begitu juga kalau buat sumbangan kepada masjid mahupun surau atau mana-mana badan kebajikan, anda tidak akan dapat polisi insurans. Belum pernah dalam sejarah industri kewangan, sesiapa yang membuat sumbangan kepada badan kebajikan, akan diberi polisi insurans.
Jaminan perlindungan ini WUJUD dan boleh dibuktikan dengan SOKONGAN POLISI INSURANS. Berbalik kepada isu jaminan kepada bank. Pihak bank tentunya hanya akan percaya, anda sudah ada jaminan perlindungan apabila anda sudah ada polisi insurans. Kalau tidak, pasti pinjaman anda tidak akan diluluskan. Dan polisi insurans ini, anda hanya akan dapat kalau anda menyertai skim insurans yang dikelolakan syarikat insurans, dimana fungsinya adalah untuk melindungi kesemua peserta-peserta di dalam satu kumpulan yang besar.

Adakah patut Jaminan Perlindungan ini diberi secara percuma?
Mungkin anda tertanya-tanya, memandangkan syarikat insurans hanya memberi jaminan perlindungan (dalam bentuk jaminan kewangan ke atas kerugian kewangan yang dialami oleh peserta), mengapa mereka perlu CAJ peserta untuk jaminan tersebut? Bukankah sepatutnya tidak ada caj kerana tidak terima pampasan?

Cuma anda lihat apa terjadi kepada kakitangan kerajaan yang memberi jaminan sebagai penjamin kepada orang yang membuat pinjaman peribadi, khususnya di Bank Rakyat. Apa telah terjadi kepada mereka sekarang ini? Ramai yang terpaksa menanggung hutang yang mereka tidak buat, kerana si peminjam larikan diri, tanpa membayar semula pinjaman mereka. Inilah gara-gara memberi jaminan perlindungan/jaminan kewangan secara percuma. Ia mengundang seribu satu masalah dan bermacam jenis penipuan. Jika anda lihat sekarang, berapa ramai kakitangan kerajaan yang sanggup menjamin pinjaman peribadi orang lain, walaupun kawan baik sendiri? Hampir tiada, betul tak? Lebih-lebih lagi nak jamin seseorang yang kita tidak kenal. Lagilah mustahil nak jumpa penjamin.
Sebab itulah, setiap peserta yang menyertai skim Life insurans perlu dicaj mengikut risiko kehidupan yang mereka bawa. Tidak ada syarikat insurans yang sanggup beri jaminan perlindungan begitu sahaja, tanpa apa-apa caj insurans. Semuanya perlu ditapis terlebih dahulu sebelum penerimaan dibuat oleh syarikat insurans. Ini kerana Life insurans tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Ia hanya boleh dibeli dengan kesihatan. Jika kesihatan anda tidak mengizinkan, duit sejuta ringgit pun tidak akan laku di syarikat insurans.
Di Malaysia, jumlah caj insurans ini dikawal-selia oleh Bank Negara Malaysia, satu-satunya badan kerajaan yang ditugaskan untuk mengawal-selia industri kewangan. Dan struktur caj insurans ini dibuat mengikut standard dan piawaian antarabangsa serta diawasi oleh Akta Insurans 1996.

Apa fungsi Life Insurans sebenarnya?
Ramai orang yang menyangka insurans ini satu skim buat untung. Kalau tidak untung, maka dia pasti akan rugi dan jatuhlah hukum haram.
Kalau anda kaji konsep asas insurans, jaminan perlindungan yang diberikan ini, bukan ke atas nyawa seseorang kerana Life Insurans tidak pernah menilai atau meletak harga ke atas nyawa seseorang. Jaminan perlindungan hanya dibuat berdasarkan kerugian kewangan (financial loss) dan fungsinya bukan untuk membuat keuntungan, sebaliknya untuk menutup kerugian kewangan (indemnity) yang dialami akibat risiko-risiko (musibah) asli tertentu.
Ada orang yang mengatakan, insurans konvensional ini umpama nikah cara sivil, tidak ikut hukum syariah kerana mengikut undang-undang sivil. Apa komen anda?
Pertama, insurans tidak sama dengan nikah kahwin. Ini anda perlu faham dan tidak boleh pandai-pandai buat perumpamaan kalau tidak cukup ilmu insurans. Kedua, Akta Insurans & Akta Takaful, kedua-duanya adalah undang-undang sivil. Akta Takaful mahupun syarikat Takaful tidak pernah di bawah kawalan Majlis Fatwa Kebangsaan mahupun pihak Jabatan Agama Islam. Semua syarikat insurans dan ejen-ejennya, baik konvensional atau Takaful, dikawal-selia oleh Bank Negara Malaysia.
Ketiga, hanya kerana ia satu undang-undang sivil, tidak bermakna sesuatu itu akan pasti menjadi haram. Sebaliknya, saya percaya, jika ia dibuat mengikut prinsip syariah, walaupun ia adalah undang-undang sivil, maka ia tetap sah di dalam Islam. Sebagai contoh: Undang-undang lalu-lintas Malaysia, takkan anda tidak mahu bayar saman, hanya kerana anda orang Islam yang tidak percaya kepada undang-undang sivil?
Satu contoh paling jelas, adalah sijil kahwin saya. Saya bernikah di Golden Mosque, Quiapo, Manila dengan berwali hakim dan 2 saksi petugas masjid. Sijil nikah yang dikeluarkan oleh kerajaan Filipina adalah satu sijil perkahwinan sivil. Tetapi, sekembalinya saya ke Malaysia, pihak JAWI mengesahkan perkahwinan saya sah di sisi syarak kerana semuanya dibuat mengikut hukum Islam dan mereka mengeluarkan surat nikah JAWI untuk memudahkan urusan imigresen isteri saya. Tambahan pula, kebenaran dari pihak JAWI sudah pun saya dapatkan dulu sebelum berangkat ke Manila. Jadi sudah jelas, sijil nikah sivil saya tetap sah dan diterima-pakai oleh pihak JAWI.

Bagaimana pula dengan persoalan berkenaan unsur-unsur gharar (tidak ketentuan)?
Apabila 'subject matter' di dalam Life Insurans ini ditakrifkan sebagai jaminan perlindungan, maka segala persoalan gharar, riba dan maisir (judi) akan terjawab.
Dengan adanya polisi insurans, segala kandungan mengenai Life Insurans sudah pun dinyatakan dengan JELAS, baik dari segi tempoh jaminan, jumlah pampasan yang akan diberi di dalam tempoh jaminan, caj yang dikenakan ke atas jaminan yang diberikan dan bagaimana pampasan boleh dituntut, apabila anda memenuhi syarat-syarat perjanjian amanah di dalam polisi insurans anda. Semua ini dibuat dengan JELAS, mengikut standard piawaian Bank Negara Malaysia dan Akta Insurans 1996.
Jaminan perlindungan dan polisi insurans boleh dibuktikan, baik di mahkamah sivil, mahkamah syariah mahupun di dalam industri perbankan. Mahkamah syariah juga mengesahkan pampasan insurans konvensional adalah suatu harta pusaka yang perlu difaraidkan di kalangan pewaris si mati. Ini bermakna, mereka mengiktiraf bahawa jaminan perlindungan itu WUJUD dan pampasan tersebut perlu dibahagi-bahagikan mengikut sistem pusaka Islam.

Ada lagi sambungannya, tapi elok sekiranya kami menerima penjelasan daripada Ustaz-ustaz moderator tentang hujah-hujah di atas dahulu...

Harap mendapat jawapan segera.... maaf.
Syukran, jazakumullah

SJ-11-0045 : PENTING!!! INSURANS NYAWA!!!

:wassalam

alJawab:

Kami tidak akan mengulas polemik insuran konvensional kerana ia seperti memutar jam kebelakang. Kalau kita kaji kronologi antara debat insuran Islam dan insuran konvensional, ianya telah ditamatkan dengan lulusnya Akta Takaful 1984. Maka dengan lulusnya Akta Takaful ini, maka segala perbahasan susulan utk mengatakan insuran konvensional adalah sama dengan insuran Islam adalah tidak valid.

Maksud insuran konvensional ialah sistem insuran yang ujud dalam negara ini bermodelkan insuran yang berkembang di Barat, ia adalah ruh kapitalis dan dipantau oleh Common Law atau Hukum civil.

Kronologi:

1970: Insuran konvensional khasnya insuran nyawa adalah haram (majlis Fatwa Kebangsaan)

1982: alMarhum Prof Ahmad Ibrahim mengetua AJK Khas untuk merintis jalan membuat draf penubuhan insuran Islam di Malaysia.

1984: Pindaan akta Insuran 1963 diluluskan dan membuka pasaran insuran berasaskan syari'ah di Malaysia

Nov 1984: Penubuhan Takaful Malaysia

1994: MNI Takaful diberi lesen takaful Islam

2000: Syarikat Takaful di senaraikan di BSKL

2004/5: 10 lesen tambahan takaful Islam di luluskan.

Jadi, kami tidak akan memutar jam kebelakang dan membahaskan apakah insuran konvensional sesuai dengan syara' kerana ia tidak membawa sebarang makna dan bercanggah dengan majlis fatwa kebangsaan dan majlis fatwa seluruh dunia di Forum Ekonomi Islam Pertama 1976 di Mekah yang menetapkan insuran konvensional tidak selari dengan nilai syari'ah. (Ruj: Prosiding Seminar Kewangan Islam, 18 Jun 2002, Universiti Malaya) sekian