SJ-13-0350 : Masalah perkahwinan

Primary tabs

2 posts / 0 new
Last post
Anonymous (not verified)
SJ-13-0350 : Masalah perkahwinan

Assalamualaikum,

Saya ada persoalan yang ingin ditanyakan iaitu :
Baru-baru ini telah berlaku perselisihan faham di antara saya dan suami menyebabkan kami tidak bertegur sapa selama beberapa hari disebabkan keegoan suami. Dalam tempoh itu saya pernah berusaha untuk berdamai tetapi tidak dilayan menyebabkan saya terasa hati dan marah. Selepas itu tanpa saya duga suami saya telah memberi kata dua kepada saya iaitu samada saya hendak mengikut rentaknya dan meneruskan perkahwinan ini atau bercerai. Dia telah memberi saya tempoh tiga hari untuk berfikir. Saya amat terkejut dengan keputusannya dan demi anak-anak saya bersetuju untuk teruskan perkahwinan. Tetapi disebabkan oleh kejadian itu rasa hormat saya kepada dia sebagai suami telah hilang dan kini saya memaksa diri untuk bertahan demi anak-anak. Kemusykilan saya ialah :
1. Suami ada menyatakan lebih kurang begini " selepas ni kita tengok samada boleh teruskan atau tak. Kalau boleh teruskan, teruskan. Kalau tidak boleh ikut rentak saya kita bercerai ". Adakah ini termasuk dalam cerai taklik ?

2. Sekiranya pada masa akan datang saya tidak dapat mengikut rentaknya iaitu menurut segala kemahuannya kerana antara kami terdapat perbezaan sikap dan fikiran adakah penceraian akan berlaku ?

3. Suami saya juga telah lama tidak memberi nafkah batin kepada saya menyebabkan saya merasa amat sedih dan tertekan. Sebelum ini dia memberikan alasan penat dan masa tidak sesuai. Tetapi setelah berlaku krisis baru-baru ini dia menyatakan alasannya tidak memberikan nafkah batin adalah untuk mengajar saya. Saya betul-betul sedih dan keliru kerana kenyataannya itu seolah-olah saya telah melakukan kesalahan yang amat besar sehingga dia memberi hukuman sebegitu. Selama ini jika ada sesuatu yang dia tidak berpuashati dia hanya akan berdiam diri begitu juga dengan saya. Dia katakan saya akan menjawab sekiranya dia menegur salah saya. Saya akui saya banyak kelemahan dan saya boleh terima jika dia menegur dengan cara yang baik dan lemah lembut. Tetapi saya merasa amat sedih dan terluka kerana sejak dari awal perkahwinan cara suami menegur adalah kasar dan selalu mengungkit keburukan saya bahkan dia pernah menghina keluarga saya. Bukan tujuan saya untuk memburuk-burukkan suami tetapi saya amat tertekan dan tidak ada tempat hendak mengadu. Suami saya juga telah menceritakan keburukan saya kepada keluarganya sedangkan selama ini saya sedikit pun tidak pernah menceritakan perihal sikap dan keburukan dia kepada keluarga saya. Semuanya saya telan dan pendam sendirian. Dalam hal ini apakah pandangan Ustaz ?

4. Suami saya ini berpendidikan tinggi dan dia juga mengibaratkan hubungan suami isteri adalah seperti bos dan pekerja di pejabat dan perlu ada rasa hormat dan takut seperti pekerja melaksanakan arahan bos. Adakah perkara ini terdapat dalam ajaran Islam ?
Setahu saya yang cetek ilmu ini suami dan isteri perlu ada rasa hormat diantara satu sama lain, bertimbang rasa, bertolak-ansur, tolong-menolong dan faham-memahami.

Harap Ustaz dapat menjelaskan persoalan ini. Terima kasih.

Re: Masalah perkahwinan

:salam

Apa yang dapat kami sebutkan disini secara ringkasnya adalah seperti berikut :

1. Apa yang disebut oleh suami pun itu tidaklah termasuk dalam cerai ta’liq kerana cerai ta’liq mestilah dilafazkan seperti : “Jika awak tidak ikut rentak saya @ tidak mengikut perintah saya dalam apa jua keadaan ,maka gugurlah talak satu.” Walaupun begitu , perceraian sebegini perlulah dirujuk dan disahkan oleh mahkamah Syariah berdasarkan bukti-bukti dan keterangan Puan serta pengakuan suami sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 50 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) yang memperuntukan bahawa perceraian dibawah taklik hendaklah disahkan oleh Mahkamah Syariah di Wilayah Persekutuan.

2. Kehidupan suami isteri yang didasari dengan sikap saling hormat menghormati , saling memahami , bertolak ansur antara satu sama lain , berkasih sayang dan sebagainya akan melahirkan suasana rumahtangga yang aman dan bahagia.Berbeza dengan keadaan jika si suami menganggap dirinya ibarat ‘BOSS’ atau ‘TUAN BESAR’ , manakala isterinya pula dianggap sebagai ‘PEKERJA’ atau ‘KULI’ yang mesti mengikut segala arahan dan kehendaknya dalam apa jua keadaan sehingga menimbulkan suasana rumah tangga yang kacau bilau , huru hara , takut , sedih , tidak mesra dan sebagainya.

Secara asasnya , Isteri wajib mentaati suami dalam apa jua keadaan dan apa jua suruhan selagi mana ianya tidak bercanggah dengan perintah dan peraturan Allah swt.Ini kerana syurga isteri terletak diatas keredhaan suaminya sebagaimana maksud hadis Rasulullah saw :

“Apabila seorang isteri mengerjakan shalat yang lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, menjaga kemaluannya (menjaga kehormatannya) , dan taat kepada suaminya, niscaya ia akan masuk Surga dari pintu mana saja yang dikehendakinya”

[Hadits hasan shahih: Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban (no. 1296 al-Mawaarid)]

Walaubagaimana pun , ianya bukanlah satu kesempatan buat suami untuk melakukan sewenang-wenangnya kepada si isteri.Ini kerana ketaatan kepada suami tersebut bukanlah merupakan suatu ketaatan yang mutlak sehingga boleh mengenepikan perintah dan tuntutan syarak.Apabila berlaku pertembungan antara perintah dan suruhan suami dengan perintah dan ketetapan Allah ‘Azza Wajalla , maka si isteri WAJIB melaksanakan perntah dan tuntutan daripada Allah swt walaupun ianya bertentangan dengan kehendak suami.

لا طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةِ اللَّهِ إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ

“Tidak ada ketaatan kepada perkara-perkara maksiat (ingkar) kepada Allah swt.Sesungguhnya ketaatan itu hanyalah pada perkara-perkara yang ma’ruf (baik).”

[Hadis riwayat Muslim : 3424]

Apa yang dapat kami simpulkan disini ialah , Puan carilah jalan yang terbaik untuk menyelamatkan rumahtangga yang telah dibina agar ianya terus kekal sebagaimana yang diinginkan.Sentiasalah berdoa kepada Allah swt agar dibukakan pintu hati suami Puan untuk sama-sama memperbaiki hubungan yang hampir musnah ini disamping puan juga mestilah berusaha dan terus berusaha dengan bersungguh-sungguh tanpa berputus asa untuk memperbaiki segala kelemahan diri yang mungkin menjadi penyebab perubahan sikap suami.

Antara cara lain yang disarankan oleh Islam , ialah dengan melantik orang tengah yang disegani atau dipercayai oleh suami untuk berbincang dan menasihati suami puan.Semoga dipermudahkan Allah swt…..in sya Allah..

Kami juga menyarankan agar Puan pergi ke mana-mana Pejabat Agama Islam yang terdekat untuk mendapatkan khidmat Perundingan yang lebih baik dan terperinci mengikut lunas-lunas Undang-undang yang terdapat dalam peruntukan.

WA

الراجي رحمة ربه الجوّاد http://aljawhar.wordpress.com