Tahukah Anda: Bilangan ayat,perkataan dan huruf al-Quran? 6666 ayat?

Primary tabs

Soalan:

Assalamualaikum.

Berapakah bilangan ayat, perkataan dan huruf yang terdapat di dalam al-Quran?

Sekian.Terima kasih.

Mlar

Posted: Tue Jul 02, 2002 8:48 am

 

Jawab:

Oleh: Ustaz Pendekar

 

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

 

Bismillahir Rahmanir Rahim

Berikut adalah jawapannya, dengan izin dan taufiq daripada Allah Ta’ala , berdasarkan sedikit ilmu mengenai Al-Quran Al-Karim yang dianugerahi kepada kami, Amin.

 

A- Soalan yang saudara kemukakan ini, dan yang seumpama dengannya , tergolong di dalam kategori ilmu yang digelar sebagai “Ulumul Quran” (Ilmu-Ilmu Mengenai Al-Quran), yang biasanya ilmu ini membicarakan mengenai bagaimana caranya untuk menafsirkan Al-Quran menurut disiplin ilmu (bukannya menurut hawa nafsu).

 

Di antara bidang kajian ilmu ini ialah : Ayat yang Nasakh & Mansukh, Cara mengenal Ayat & Surah yang diturunkan di Mekkah Al-Mukarramah ataupun di Madinah Al-Munawwarah, Fadhilat-Fadhilat, Ilmu Kepelbagaian Cara Membaca Al-Quran , Sebab-sebab sesuatu ayat itu diturunkan, Ilmu Pembukuan Al-Quran, Ilmu Penghuraian Al-Quran menurut Kaedah-Kaedah Bahasa Arab, Ilmu Ayat-Ayat Tamsilan di dalam Al-Quran dan berbagai lagi.

 

B- Sebenarnya, pengetahuan mengenai berapakah jumlahnya ayat-ayat Al-Quran, huruf-hurufnya & surah-surahnya , bukanlah merupakan satu kewajipan yang fardhu ‘ain kepada setiap umat Islam. Namun begitu, para ulama’ dari kalangan mufassirin (ahli-ahli Tafsir) sendiri, di dalam mengkaji Al-Quran Al-Karim , mereka tidak terlepas drp menkaji dan membicarakan berkenaan dengan jumlah surah, ayat-ayat, bahkan huruf-huruf di dalam Al-Quran Al-Karim.

 

C- JUMLAH SURAH-SURAH DI DALAM AL-QURAN AL-KARIM :

Para Mufassirin berbeza pendapat di dalam hal ini, satu golongan menyatakan jumlahnya sebanyak 114 surah, manakala satu golongan lagi menyatakan ianya sebanyak 113 surah.

 

Punca Perbezaan pendapat : Golongan pertama menyatakan bahawa Surah Al-Anfal dan Surah At-Taubah (Al-Baraah) merupakan 2 surah yang berasingan. Manakala golongan kedua pula berpendapat kedua-dua surah itu sebenarnya adalah surah yang sama (satu surah). Ini juga disebabkan, tiadanya Basmallah di permulaan Surah At-Taubah, yg menyebabkan ada golongan yang menyangka bahawa Surah At-Taubah itu adalah sambungan Surah Al-Anfal (satu surah).

 

D- JUMLAH AYAT-AYAT DI DALAM AL-QURAN AL-KARIM :

Ini juga merupakan isu khilafiah ( yang diperselisihi keputusannya ) :

 

Menurut atsar (kata-kata sahabat r.a) yang dinisbahkan kepada Ibnu Abbas r.a ialah : 6600 ayat – menurut atsar lain yang juga disandarkan kepadanya r.a , ialah sebanyak : 6666 ayat.

 

Pendapat ke-3 : 6204 ayat.

 

Pendapat ke-4 : 6014 ayat.

 

Pendapat ke-5 : 6019 ayat.

 

Pendapat ke-6 : 6025 ayat.

 

Pendapat ke-7 : 6036 ayat.

 

PUNCA PERBEZAAN PENDAPAT DI DALAM HAL INI :

1- Disebabkan Baginda s.a.w kadang-kadang di dalam membaca Al-Quran, Baginda s.a.w berhenti di setiap pangkal ayat-ayat sebagai satu pengajaran kepada Para Sahabat r.a bahawa di situlah pangkal setiap ayat.

 

2- Kadang-kadang pula, Baginda s.a.w tidak berhenti di setiap pangkal ayat tersebut , setelah Para Sahabat r.a tadi sudah mengetahui di manakah terletaknya setiap pangkal ayat dan dengan tujuan untuk menyempurnakan makna ayat-ayat. Maka, ini menyebabkan satu pihak yang lain drp kalangan sahabat r.a menyangka bahawa ayat-ayat tersebut bersambung di antara satu sama lain.

 

3- Disebabkan sebahagian sahabat r.a sendiri ada yang menganggap bahawa Basmallah itu juga merupakan satu ayat bagi setiap surah (kecuali Surah At-Taubah).

 

Manakala, satu pihak lain drp kalangan sahabat r.a pula menganggap bahawa Basmallah itu bukanlah dikira sebagai satu ayat bagi setiap surah.

 

4- Perbezaan di dalam menghitung huruf-huruf “Muqotto’ah” (terpotong) seperti ‘ ALIF LAM MIM “ , “ YA SIN “, “ KAF HAM YA ‘AIN SOD “ dan seumpamanya. Kerana adanya huruf-huruf muqotto’ah itu dihitung sebagai satu ayat, dan ada pula yang sebaliknya.

 

5- Sesuatu ayat itu dibaca secara bersambung dengan ayat selepasnya. Ini juga menyebabkan ada yang menyangka bahawa kedua-dua ayat itu merupakan ayat yang satu , bukannya ayat-ayat yang berasingan.

 

PERBEZAAN ini tidaklah sama-sekali menjadi satu mudharat kepada umat Islam, SELAGI MANA , ianya tidak meyebabkan adanya sebarang korupsi terhadap ayat-ayat Al-Quran Al-Karim.

 

E- JUMLAH HURUF-HURUF DI DALAM AL-QURAN :

Menurut Ibnu Abbas r.a : 323, 671 huruf.

 

FAEDAH-FAEDAH MENGETAHUI JUMLAH BILANGAN AYAT-AYAT AL-QURAN :

1- Dapat mengetahui bahawa bukan ayat-ayat Al-Quran yang jenis panjang-panjang (At-Tiwal) sahaja yang melambangkan KEMUKJIZATAN AL-QURAN drp sudut sastera Bahasa Arab, tetapi ayat-ayat Al-Quran yang pendek-pendek juga melambangkannya. Dan Allah Ta’ala bukan sahaja pernah mencabar mereka yang tidak mempercayai kemukjizatan Al-Quran agar dapat mereka kemukakan satu karya sastera mereka yang berjumlah seumpama satu surah, bahkan pernah juga dicabar mereka itu untuk mengemukakan satu ayat sahaja !.

 

2- Menurut satu pendapat, berhenti di setiap pangkal ayat merupakan sunnah kerana berdalilkan perbuatan Baginda Rasulullah s.a.w yang berhenti di setiap pangkal ayat-ayat Al-Quran.

 

3- Dapat diketahui kadar ayat yang dibaca selepas Al-Fatihah di dalam solat.

 

4- Dengan mengetahui jumlahnya, melahirkan satu perasaan cinta dan menggesa (motivasi) bagi setiap orang yang menghafal ayat-ayat Al-Quran, untuk meneruskan hafalan mereka setiap kali mereka sudah berjaya menghafal ayat-ayat sebelumnya.

 

Sumber Rujukan :

AL-MIZAN FI ‘ULUMIL-QURAN

Oleh : Prof. Dr. Ahmad Muhammad Siroh

(Profesor Fak. Usuluddin, Universiti Al-Azhar Cawangan Al-Mansoora. Mesir).

 

LAIN-LAIN RUJUKAN:

 Saranan Pembacaan ( Di dalam B. Melayu ) :

‘ULUM AL-QURAN (Tingkatan 6)

Oleh : Ustaz Joni Tamkin Borhan (M.A Syriah U.M)

Dan Ustazah Che Zarina Shaari (M.A Syriah U.M).

Terbitan : Cahaya Pantai Publishing (M_ Sdn. Bhd, K.L.

Cetakan : 1995

Harga : RM 8. 95

 

MENGENAL AL-QURAN

Oleh : Drs. Ruslan Adjun (Pensyarah IAIN Sunan Kalijaga , Yogyakarta).

Terbitan : Pustaka Al-Mizan, Kg. Baru, K.L.

Harga : RM 2. 50

 

TAFSIR AL-FURQAN

Oleh : Kiyai A. Hassan

Terbitan : Pustaka Aman Press

 

Demikanlah sahaja jawapan-jawapannya berdasarkan soalan yang dikemukakan. Walhal Allah Ta’ala Lebih Mengetahui akan hakikat sebenar segala sesuatu.

 

Wassalam.

 

25. Rabi’ul Awwal. 1423 H

6. Julai. 2002 M

Hari Sabtu.