Ulama Muda UMNO: Taati pemerintah dalam urusan pelaksanaan solat Jumaat

Primary tabs

Oleh NAWAWI SUBANDI

BARU-BARU ini kita digemparkan dengan sebuah perkhabaran adanya sekumpulan umat Islam yang melaksanakan solat Jumaat berasingan dengan tempat solat (masjid) yang telah ditetapkan oleh pihak jabatan agama.

Mengambil isu perkhabaran tersebut, penulis mengambil inisiatif untuk meneliti beberapa perincian berkaitan kewajipan mentaati pemerintah dalam urusan pelaksanaan solat Jumaat, iaitu bersolat Jumaat bersama-sama dengan pemerintah atau wakilnya di masjid-masjid yang telah mereka tetapkan (wartakan).

Solat Jumaat bersama-sama dengan pemimpin umat Islam sebenarnya telah ditetapkan oleh agama. Solat Jumaat merupakan sebahagian syiar agama yang utama sebagai lambang kesatuan dan perpaduan umat Islam itu sendiri.

Imam al-Hasan al-Bashri rahimahullah (Wafat: 110H) menyebutkan tentang peranan pemimpin dalam menjaga kesatuan masyarakat dengan katanya, "Mereka menguasai (memimpin) kita dalam lima perkara, iaitu solat Jumaat, al-jama'ah (kesatuan umat), hari raya, benteng pertahanan, dan perundangan. Demi Allah, agama ini tidak akan tertegak melainkan dengan kewujudan mereka, walaupun mereka melakukan keburukan dan kezaliman. Demi Allah, Allah menjadikan kebaikan dengan perantaraan mereka lebih banyak berbanding kerosakan dengan sebab mereka. Ketaatan kepada mereka adalah suatu yang terpuji dan memisahkan diri daripada mereka adalah kekufuran." (Ibnul Jauzi, Adab al-Hasan al-Bashri, m/s. 121)

Berdasarkan ini, solat Jumaat tidak boleh dilaksanakan di tempat yang dilarang oleh pihak pemerintah, dan wajib untuk solat bersama-sama dengan pemimpin (atau wakilnya) dan masyarakat di tempat yang dibenarkan melainkan berlakunya uzur yang dibenarkan.

Ibnu Qudamah membahaskan bahawa bolehnya melaksanakan solat Jumaat tanpa izin pemimpin atas beberapa sebab seperti masyarakat yang menetap jauh di pedalaman sehingga terputus hubungan daripada pihak berkuasa, mengalami kesukaran atau halangan mendatangi tempat solat (masjid) yang diwartakan, atau terdapat ancaman bahaya (kekacauan).

Kemudian beliau menukilkan perkataan al-Qadhi, "Berdasarkan keadaan ini, maka izin daripada pemerintah itu berkuat kuasa selagi ia tidak menyulitkan, dan menjadi tidak perlu sekiranya terdapat uzur (kesukaran)." (al-Mughni, 4/169)

Bagi menetapkan tempat solat Jumaat secara khusus yang berasingan dari apa yang telah diwujudkan oleh pihak pemerintah, Syaikh Muhammad Soleh al-'Utsaimin rahimahullah mengatakan, "Bagi mengadakan pelaksanaan solat Jumaat lebih dari satu tempat (yang berasingan) maka ia perlu mendapatkan izin daripada imam (pihak berkuasa)." (asy-Syarhul Mumti' 'ala Zaadil Mustaqni', 5/26)

Selain izin pemerintah, secara umum asalnya solat Jumaat ini memang tidak sepatutnya dilaksanakan lebih dari satu tempat di sesebuah kawasan, wilayah, atau perkampungan melainkan dengan sebab keperluan yang mendesak dan menuntut dilakukan pada tempat selainnya.

Antara sebab contoh membolehnya adalah seperti kerana begitu besarnya wilayah atau perkampungan tersebut, terlalu besar populasi penduduknya, begitu jauh jarak menuju ke masjid, ruang masjid yang sangat terhad, atau kerana adanya ancaman yang membahayakan. Berlakunya bentuk-bentuk ketetapan seperti ini adalah supaya perpaduan umat Islam sentiasa terpelihara dan bagi mengelakkan perpecahan.

Imam Abu Hanifah, Malik, dan asy-Syafi'i menyatakan, "Solat Jumaat tidak boleh dilaksanakan di lebih dari satu tempat di sesebuah wilayah (negeri), kerana Nabi SAW tidak pernah melaksanakannya melainkan pada satu masjid. Demikian juga para khalifah setelah Rasulullah wafat.

Sekiranya perkara tersebut dibenarkan, maka mereka pasti tidak akan membiarkan masjid-masjid (lainnya). Sehinggakan Ibnu 'Umar berkata, "Solat Jumaat tidak dilaksanakan melainkan di masjid utama (masjid besar), di mana para pemimpin melaksanakan solat." (Ibnu Qudamah, al-Mughni, 4/170)

Ibnu Qudamah rahimahullah (Wafat: 620H) berkata, "Secara umumnya, dapat dikatakan bahawa sekiranya sesuatu kawasan itu luas dan besar sehingga menyukarkan penduduknya untuk solat di satu masjid, dan jaraknya terlalu jauh untuk ditempuh, atau disebabkan ruang masjid yang terhad untuk menampung keseluruhan penduduk, maka dibenarkan mengadakan solat Jumaat di tempat-tempat (masjid) yang lainnya." (al-Mughni, 4/175)

Sekiranya sebab-sebab yang mendesak tersebut tiada, mengadakan solat Jumaat secara berasingan lebih dari satu tempat maka ia tidak dibenarkan kerana Nabi SAW tidak pernah mengumpulkan masyarakat (jemaah) melainkan di satu masjid, iaitu masjid baginda di Madinah (Masjid Nabawi).

Selain itu, kita sendiri telah sedia maklum, bagi sesiapa yang tertinggal atau terlewat menunaikan solat Jumaat bersama imam (yang dilantik) di masjid-masjid yang telah diwartakan, maka tiada solat Jumaat baginya. Sebaliknya mereka yang tertinggal atau terlewat tersebut perlu melaksanakan solat Zuhur masing-masing. Iaitu bukan membina jemaah (kumpulan) kedua bagi melaksanakan solat Jumaat yang kedua pula.

Imam Ibnul Mundzir menyatakan dalam kitabnya al-Ijma' (m/s. 39 - Maktabah Syamilah), "Para ulama (ahli ilmu) telah bersepakat (ijma') bahawa solat Jumaat itu dilaksanakan dengan dua rakaat.

Selain itu, mereka juga bersepakat (ijma') bahawa sesiapa dari kalangan orang yang beriman yang tertinggal menunaikan solat Jumaat, hendaklah mereka mengerjakan solat empat rakaat (Zuhur)." [Utusan Online]

Penulis ialah ahli Biro Multimedia & Penerbitan, Sekreatariat Ulama Muda UMNO (ILMU)