ISU TUDUNG: PENDUSTA AGAMA MUNCUL LAGI
Oleh: Ustaz Ali Muda
BismiLlah. Ini adalah tulisan kedua saya berkenaan dengan isu tudung atau menutup aurat bagi wanita Islam. Tulisan pertama diberi tajuk Astora Pendusta Agama (siri III) disiarkan di laman-laman web pada 24/10/99 yang lalu. Ianya masih boleh dirujuk di laman http://www.members.tripod.com/mindarakyat2 (Debat Cyber) atau laman http://sedaka.net.tripod.com (E-Debat).
Dalam tulisan pertama berkenaan tudung itu saya telah meranapkan hujah Astora yang berdalilkan wanita-wanita agama yang tidak bertudung untuk mengatakan secara dusta bahawa hukum tidak bertudung sebagai tidak berdosa langsung, seterusnya saya mengemukakan dalil-dalil kewajipan bertudung daripada nas-nas al-Quran dan hadis sahih. Dalam tulisan itu juga saya mencabar Astora supaya menyebutkan siapakah wanita di zaman Sahabat yang berdegil tidak bertudung setelah turunnya ayat memerintahkan wanita Islam supaya menutup seluruh aurat kecuali yang zahir iaitu muka dan kedua pergelangan tangan hingga ke hujung jari. Saya juga mencabar Astora supaya menyebutkan nama kitab dalam mazhab Hanafi dan Maliki yang kononnya menyatakan hukum tidak bertudung itu sebagai tidak berdosa langsung atau berdosa kecil sahaja. Namun sampai ke hari ini cabaran-cabaran itu tidak tersahut dan Astora tidak sanggup menyiarkan tulisan tersebut dalam ruang Debatnya pada hari Jumaat.
Tiba-tiba dalam Mingguan Malaysia 30/4/2000 (sebelas hari sebelum pemilihan Ketua Wanita Umno), Astora muncul lagi dengan pendustaan dalam bentuk yang baru tentang isu tudung dalam ruang Bicara Agama bertajuk Perbahasan mengikut al-Quran dan hadis: Relevansi pakai tudung . Kali ini Astora tidak keseorangan menjaja pendustaannya, kerana beliau dibantu oleh Syed Akbar Ali dalam Berita Minggu pada hari yang sama dengan tulisan bertajuk Apakah bertudung dianggap menutup aurat dalam ruang Komentar Hujung Minggu.
rukhsah
Tidak dapat dinafikan bahawa Astora membawa ayat-ayat al-Quran yang berkenaan dengan kewajipan menutup aurat iaitu ayat 31 dan 60 Surah al-Nur, serta ayat 59 Surah al-Ahzab seperti mana yang telah saya bentangkan sebagai hujah kewajipan bertudung dalam rencana Astora Pendusta Agama (siri III). Tetapi Astora masih mencari ruang untuk merendahkan ilmuan Islam kita dengan mendakwa mereka berhenti setakat dua ayat (al-Nur: 31 dan al-Ahzab: 59) sahaja untuk membuktikan bahawa wanita wajib memakai tudung secara mutlak tanpa merujuk ayat 60 Surah al-Nur yang memberi kelonggaran untuk tidak bertudung bagi wanita tua yang telah tiada keinginan berkahwin. Sedangkan tiada siapa yang cuba menyembunyikan ayat 60 surah al-Nur itu termasuk saya dalam rencana Astora Pendusta Agama (siri III) itu. Cuma perlu diingat bahawa memang benar ayat tersebut memberi kelonggaran (rukhsah), tetapi menyatakan di hujungnya bahawa kekal dengan bertudung itu adalah lebih baik bagi mereka (wanita tua). Jadi apa salahnya kalau tidak memberitahu ayat 60 al-Nur yang memberi pilihan yang kurang baik, sedangkan yang lebih baik itu ialah kehendak ayat 31 al-Nur dan 59 al-Ahzab. Apatah lagi hukum memberitahu perkara wajib dan lebih baik (pemakaian tudung bagi wanita yang ada keinginan berkahwin) itu adalah wajib, sedangkan hukum memberitahu perkara yang kurang baik (harus tidak bertudung bagi wanita tua) itu tidak wajib.
Perlu diperhatikan, walaupun Astora memberi tajuk rencana Bicara Agamanya kali ini sebagai Perbahasan mengikut al-Quran dan hadis: Relevansi pakai tudung, namun tiada satu pun hadis yang dibawa sebagai hujah perbahasannya. Yang ada hanyalah satu perkataan `hadis ketika berkata:
Dalam pada itu berdasarkan kepada hadis dan fakta sejarah kaum wanita terbahagi kepada dua kumpulan pada zaman awal Islam dahulu. Pertama, wanita bebas dan mereka tergolongdaripada kaum wanita yang dituntut memakai tudung seperti disebut dalam kedua-dua ayat di atas. Kedua, wanita yang tidak bebas (hamba dan amah). Wanita golongan ini bukan saja tidak dituntut mereka memakai tudung, tetapi dilarang pun mereka berbuat demikian.
Ini kerana pada zaman itu dibezakan antara wanita Islam yang bebas dengan wanita Islam tidak bebas. Pembezaan ini bukan ditetapkan dalam al-Quran, tetapi ditetapkan oleh adat dan peraturan masyarakat pada zaman itu. Rasululah s.a.w. dan para sahabat melarang wanita Islam yang tidak bebas bertudung kerana tunduk kepada realiti masyarakat pada zaman itu.
Dengan itu tidak hairan jika sesetengah cerdik pandai Islam berpendapat kerana tiada lagi realiti masyarakat zaman itu kerana perhambaan telah terhapus- maka sebab yang membeza-bezakan wanita (bertudung) tidak lagi dianggap relevan dengan zaman ini.
Kita tercari-cari di mana nas atau terjemahan nas hadis yang Astora katakan perbahasannya itu mengikut al-Quran dan hadis. Begitu juga, di mana fakta sejarah yang dimaksudkan (kononnya Nabi s.a.w. dan sahabat menyuruh wanita bebas bertudung kerana tunduk pada realiti zaman itu)? Sedangkan tiada satu pun rujukan kepada kitab-kitab sejarah ditunjukkan. Kalau adapun hanyalah dakwaan ada `cerdik pandai Islam yang berpendapat pemakaian tudung tidak lagi relevan pada zaman ini kerana tuntutan untuk membezakan dua golongan wanita (bebas dan hamba) telah tiada, tanpa menyebutkan siapa `cerdik pandai Islam itu. Selain daripada menganggap dirinya sendiri sebagai `cerdik pandai Islam, saya rasa antara `cerdik pandai yang selalu menjadi rujukan Astora ialah penulis-penulis aliran `ilmaniyah (sekularisme) seperti Muhammad Fadhlullah, Ali al-`Asymawi, Farag Fouda, Jamal al-Banna dan Ahmad Subhi Mansour yang selalu menulis buku-buku bertaraf picisan dan di jual di tepi-tepi jalan di Kaherah. Farag Fouda itu ditakdirkan mati dengan peluru pada awal 1990-an kerana terlalu membuat provokasi terhadap umat Islam Mesir. Walau bagaimanapun Astora tidak menyebutkan nama-nama mereka ini kerana tulisan dan pemikiran mereka sudah tidak laku lagi di Mesir dan sudah bankrap. Oleh itu, Astora tidak berani menyebut mereka sebagai rujukan kerana takut dikatakan membawa pemikiran bankrap yang sudah dilelong, apatah lagi di Malaysia kini ramai bekas penuntut Al-Azhar yang menjadi saksi. Jadi sebagai jalan selamat tidak perlulah menyebut nama mereka itu, cukuplah dengan menyebut istilah persendirian: `cerdik pandai Islam.
`illah
Satu perkara lagi yang perlu diperhatikan ialah Astora menjadikan tuntutan untuk membezakan dua golongan wanita (bebas dan hamba) sebagai `illah (sebab yang pasti dan muktamad) bagi kewajipan bertudung. Bila tiada `illah itu (terhapus perhambaan), maka tiadalah hukum wajib bertudung kerana tiada apa lagi yang perlu dibezakan antara wanita hari ini kerana mereka semua adalah bebas dan merdeka.
Inilah satu lagi pendustaan yang besar atas agama Allah s.w.t. dan Rasul-Nya s.a.w. Oleh sebab itu para ulama mujtahidin amat berhati-hati dalam menyatakan sesuatu `illah kepada sesuatu hukum yang bersumberkan al-Quran dan hadis sahih, kerana hak untuk memberi alasan atau sebab bagi sesuatu hukum Allah itu, pada asalnya hanyalah milik Allah sahaja. Sebarang pencabulan ke atas pemberian `illah itu adalah pencabulan ke atas hak Allah s.w.t. Melainkan bila `illah itu secara pasti tidak dinyatakan atau dinaskan dalam al-Quran ataupun hadis, maka ulama yang cukup syarat ijtihadnya boleh berijtihad untuk mencari `illah dengan syarat yang ketat (ada 24 syarat, menurut Dr. Wahbah al-Zuhayli) termasuk tidak bercanggah dengan maqasid syar`iyyah (tujuan syariat), `illah itu hendaklah zahir (jelas dan nyata) dan mundhabit (pasti dan muktamad, tiada kemungkinan yang lain lagi dan wujud pada setiap tempat dan zaman).
Itu kalau dipastikan `illah itu tidak dinaskan dalam al-Quran atau hadis. Bagaimana pula hukum bertudung ini? Apakah pasti tiada `illah yang dinaskan dalam al-Quran dan hadis, sehingga Astora berani mencabul hak Allah s.w.t. dengan menyatakan kerana hendak membezakan antara wanita bebas dan hambalah maka diwajibkan wanita bebas itu bertudung? Kalau Astora itu jenis manusia yang takutkan Allah s.w.t. maka beliau tidak akan berani untuk berkata begitu, tetapi kerana beliau jenis manusia yang takutkan selain Allah s.w.t. dan menghadapi krisis keimanan, maka mulutnya terlalu celupar!
Sebenarnya `illah wajib bertudung itu ada dinyatakan oleh Allah s.w.t. sendiri dalam ayat 59 Surah al-Ahzab yang bermaksud:
Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan wanita-wanita yang beriman supaya mereka melabuhkan pakaian mereka bagi menutup seluruh tubuh (ketika keluar); cara yang demikian itu lebih senang supaya mereka dikenal (sebagai wanita yang baik-baik) dan agar mereka tidak diganggu atau disakiti
Supaya mereka dikenali sebagai wanita yang baik (solehah) dan terhormat serta tidak diganggu itu adalah `illah yang bersifat zahir dan mundhabit, yang telah dinaskan oleh Allah s.w.t. sendiri, maka tiada siapa yang berhak untuk mencipta `illah yang lain.
Demikianlah disiplin ilmu dalam pengajian Islam (khususnya Usul al-Fiqh), iaitu asal hak untuk menyatakan `illah itu adalah milik Allah s.w.t. sahaja. Sekira hak itu dicabuli, semua hukum boleh rosak dan sesatlah umat Islam seperti sesatnya Yahudi dan Nasrani. Sebagai contoh cuba kita cari apakah `illah bagi pengharaman zina? Jika ada orang Islam yang berlagak sebagai `cerdik pandai hendak berijtihad untuk mengatakan `illah haram zina ialah supaya tidak bercampur keturunan, maka perzinaan dengan perempuan mandul, sedang hamil, belum baligh (tidak subur) atau dengan memakai kondom adalah halal dan tidak haram kerana tiada kemungkinan bercampur keturunan bila berzina dengan perempuan yang keadaannya tidak mungkin menghasilkan anak itu. Ini tidak mustahil berlaku jika disiplin ilmu Astora diguna pakai. Sedangkan `illah yang dinaskan Allah s.w.t. sendiri ialah zina itu adalah fahishah (kotor dan keji) dan jalan yang buruk (berdasarkan Surah al-Isra: 32), tanpa mengira dengan perempuan bagaimana zina itu berlaku.
Sebaliknya terdapat banyak hukum yang memang tidak diketahui `illahnya kerana Allah s.w.t. berhak untuk mensyariatkan apa sahaja hukum tanpa menunggu wujudnya `illah yang munasabah dan rasional bagi manusia. Itu adalah hak mutlak Allah s.w.t. yang tidak boleh dipersoalkan. Dan kalau manusia tidak mengetahui sebarang `illah pun, tidak menjadi kecacatan kepada ketaatan mereka, kerana tidak menjadi kesalahan untuk manusia mentaati Allah dan Rasul-Nya secara membuta tuli tanpa mempedulikan apa orang lain kata. Kita tidak tahu apa `illah solat diwajibkan lima waktu sehari semalam, puasa diwajibkan pada bulan Ramadhan, haji wajib sekali sahaja di Mekah dan tidak ditempat lain dan sebagainya. Manusia boleh meneka dan mengatakannya sebagai hikmat disyariatkan demikian ialah , tetapi tiada yang mengetahuinya secara pasti selain Allah s.w.t. sahaja. Perbahasan lanjut tentang `illah ini boleh didapati dalam Dr. Wahbah al-Zuhayli, Usul al-Fiqh al-Islami, m.s: 646 dan seterusnya dan juga kitab-kitab Usul al-Fiqh yang lain.
tidak relevan
Setelah berfatwa mengatakan pemakaian tudung tidak lagi relevan pada zaman ini kerana sudah tiada perhambaan, di hujung Bicara Agama 30/4/200 itu, Astora memberikan beberapa contoh hukum yang menurutnya tidak lagi relevan pada zaman ini. Beliau dengan berani menulis, Perlu diterangkan bahawa terdapat banyak hukum-hakam yang ada dalam al-Quran tidak lagi dilaksanakan pada zaman ini kerana tidak dianggap relevan seperti hukum berkahwin dengan hamba, pembahagian harta perang (al-ghanimah) dan lain-lain.
Dengan menulis sedemikian, Astora telah memperjudikan keimanannya terhadap al-Quran. Nasib orang berjudi kadang-kadang untung, tetapi selalunya rugi dan bergolok gadai. Apakah maksud sebenar tidak relevan itu? Adakah wujud dalam al-Quran hukum yang tidak relevan dan tidak sesuai? Sedangkan sesiapa yang mengatakan mana-mana hukum al-Quran tidak sesuai pada sesuatu tempat atau zaman boleh terbatal aqidahnya. Tetapi kita masih berbaik sangka dengan Astora dengan menganggap beliau jahil dalam perkara yang beliau tulis. Tetapi jahilnya jahil sombong dan takkabbur, sebab itu beliau banyak tersasar dalam berbicara dan menulis. Apa yang penting baginya ialah tuannya bahagia dengan tulisannya dan beliau boleh hidup `selesa sebagai ganjaran (berdasarkan cakapnya kepada seorang `rakannya di pejabat Utusan).
Bagaimana Astora boleh mendakwa hukum perhambaan (termasuk perkahwinan dengannya) dan pembahagian harta perang sudah tidak relevan lagi pada zaman ini? Sebenarnya pemikiran sebegini muncul daripada anggapan hukum jihad fi sabiliLlah sudah tidak wujud lagi sekarang. Manakala anggapan jihad tidak wujud lagi ini pula muncul daripada manusia yang berpenyakit al-wahn, iaitu penyakit yang ditafsirkan Nabi s.a.w. sebagai hubb al-dunya wa karahiah al-mawt (cinta dunia dan takut mati) dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, yang mana golongan yang takut mati ini telah wujud di kalangan Sahabat Nabi s.a.w. dulu lagi. Pemikiran yang sebegini cetek tentang jihad daripada Astora jelas kelihatan dalam tulisannya bertajuk `Jihad palsu Pas di Sanggang dalam Utusan Malaysia 7/4/2000. Jadi dengan mudah kita mengenali siapa Astora, setelah sekian banyak sifat-sifatnya dikenali pembaca.
Sebenarnya hukum jihad itu terus relevan sebagaimana relevannya al-Quran itu hingga Hari Kiamat. Jika hukum jihad relevan, kenapa pula hukum perhambaan dan pembahagian harta perang tidak relevan? Perlu disebutkan bahawa perhambaan itu disyariatkan untuk menyelamatkan nyawa orang-orang kafir yang tewas perang. Demikianlah mulianya etika peperangan (jihad) dalam Islam, orang kafir yang kalah, tidak bersenjata, wanita, kanak-kanak dan orang yang tidak berdaya lagi tidak dibunuh, sebaliknya ditawan dan dijadikan `hamba (menurut istilah Islam, bukan istilah Barat) yang dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada tuannya, diberi makan apa yang tuannya makan dan diberi pakai apa yang tuannya pakai, tidak seperti sistem perhambaan Barat di zaman Kunta Kinte.
Sebaliknya cuba tayangkan semula episod perang orang Kristian di Andalus lebih lima ratus tahun dahulu, di Bosnia serta Kosovo beberapa tahun lalu dan di Ambon dan Kepulauan Maluku akhir-akhir ini terhadap umat Islam, apakah dibiarkan hidup orang-orang Islam yang tidak berdaya termasuk wanita dan kanak-kanak? Begitu juga episod perang di Palestin oleh Yahudi dan di Kashmir oleh tentera yang dikatakan beragama Hindu. Rakyat Malaysia yang bergama Kristian, Hindu atau Yahudi tidak dapat menafikan hakikat kekejaman tersebut, tanpa menjadikan trajedi menyayat hati itu sebagai kesalahan mereka di sini. Untuk mendapat gambaran sebenar tentang jihad dan perhambaan dalam Islam, sila rujuk hadis-hadis dalam al-Imam al-Nawawi, Riyadhu al-Salihin, Kitab al-Jihad.
Berbalik kepada pendustaan Astora, mengatakan hukum perkahwinan dengan hamba dan pembahagian harta perang sudah tidak relevan adalah satu kejahilan, manakala mendakwa hukum pakai tudung sudah tidak relevan kerana sudah tiada perhambaan pula adalah satu kejahilan lain yang dibina atas kejahilan. Fatwa mengatakan pakai tudung tidak wajib juga adalah fatwa sesat yang dibina atas kesesatan yang nyata. Manakala memuatkannya dalam Bicara Agama adalah merupakan satu iftira wa kizb wa buhtan `ala al-din `izom (pembohongan, pendustaan dan penipuan yang amat besar atas nama agama) dan merupakan dakwah ila al-dhalal wa al-fusuq wa al-`ishyan (seruan kepada kesesatan, kefasikan dan maksiat).
pandangan ulama
Sementara itu dalam Bicara Agama minggu berikutnya (7/5/2000), Astora menulis rencana bertajuk Penganut Kristian dan Yahudi juga berserban: Polemik pakaian Islam yang diakhiri dengan satu kesimpulan yang amat mencemarkan hukum Islam yang bersumberkan al-Quran dan hadis sahih, bukan pandangan ulama semata-mata. Beliau menulis, Dengan itu apa yang orang Islam berpegang berhubung kewajiban memakai tudung kini adalah pandangan ulama saja.
Lihat bagaimana jahatnya tulisan Astora, sedangkan baru seminggu sebelumnya dia sendiri membawa terjemahan ayat 31 Surah al-Nur yang antaranya: . dan hendaklah mereka (wanita-wanita beriman) menutup belahan baju mereka dengan tudung kepala (khumur) mereka
Lihat bagaimana hukum al-Quran yang sebegitu jelas pun dikatakan pandangan ulama saja, maka tidak wajib diikuti kononnya. Kejahatan yang sama berlaku pada tulisan Syed Akbar Ali yang bertajuk `Apakah bertudung dianggap menutup aurat dalam Berita Minggu 30/4/2000 (lihat tarikhnya yang serentak dengan tulisan Astora, seolah-olah satu gerakan kempen untuk calon Ketua Wanita Umno pada pertandingan 11/5/2000). Saya tidak berhasrat membahaskan kebatilan tulisan-tulisan jahat ini kerana saya telah hujahkan dengan panjang lebar dalam rencana Astora Pendusta Agama siri III, rujuklah di situ dan jangan harapkan Astora menyiarkannya dalam ruang Debat Utusan hari Jumaat kerana antara rencana saya dengan rencananya umpama air dengan api. Cuma di sini saya harapkan para pembaca mengerti kejahatan Astora (dan juga Syed Akbar Ali) demi memuaskan hati tuannya tanpa mengira dosa pahala. Bagi saya, Syed Akbar Ali bukan tidak faham makna perkataan khumur itu, yang terjemahan Inggerisnya ialah veils, sedangkan beliau selalu menulis dalam akhbar Inggeris seperti The Sun.
Dalam rencana yang sama (7/5/2000) Astora menyimpulkan bahawa al-Quran tidak menyebutkan batas aurat wanita secara qat`iy al-dilalah (pendalilan yang muktamad, yakin dan pasti) walaupun al-Quran itu sendiri adalah qat`iy al-thubut (pensabitan dari Allah s.w.t. secara muktamad, yakin dan pasti), sebaliknya batas aurat wanita itu disebut sahaja dalam hadis yang zanniy (lawan kepada qat`iy, iaitu tidak muktamad) sifatnya. Tetapi Astora tidak sebutkan pula sama ada hadis-hadis itu zanniy al-dilalah sahaja atau zanniy al-thubut sahaja atau zanniy kedua-duanya sekali atau salah satu daripadanya qat`iy.
Apa yang jelas hadis-hadis tentang aurat wanita itu adalah qat`iy al-dilalah kerana memberi dalil secara jelas, muktamad, yakin dan pasti mengecualikan muka dan kedua pergelangan tangan hingga ke hujung jari daripada aurat yang wajib ditutup, dengan erti kata lain seluruh tubuh selain daripada dua anggota itu adalah wajib ditutup. Setelah pasti dilalahnya qat`iyyah, maka tinggal persoalan apakah thubutnya juga qat`iy atau zanniy sahaja. Baiklah, kita bersetuju ianya zanniy al-thubut kerana ia adalah hadis-hadis ahad (bukan mutawatir). Tetapi apakah hadis ahad itu tidak wajib dipakai dalam bab amalan orang Islam, sedangkan Nabi s.a.w. sendiri mengutuskan wakil-wakilnya untuk berdakwah mengajarkan bab amal ibadat dan akidah secara ahad? Orang Melayu di zaman Kerajaan Melaka juga menerima Islam daripada pendakwah Arab dan India yang bilangannya ahad! Astora juga menerima hukum-hakam Islam pada awalnya secara ahad! Kalau tidak, cuba Astora buktikan bagaimana mutawatirnya hukum-hakam Islam yang mula-mula dia terima! Kalau demikian (hadis sahih ahad tidak layak dipakai), nescaya lebih daripada 90 peratus hadis yang dihimpunkan oleh al-Bukhari, Muslim, al-Tarmizi, al-Nasai, Abu Dawud, Ibn Majah, Malik, Ahmad dan lain-lain itu adalah sia-sia dan harus dibakar atau dicampak ke sungai sahaja.
Saya tidak akan membahaskan kebatilan dan pendustaan tentang persoalan hadis ahad ini di sini kerana ianya telah dibahaskan secara panjang lebar dalam rencana `Awas! Astora anti-hadis dalam laman web yang alamatnya sama seperti di atas. Dalam sebuah seminar hadis yang diadakan di Hotel Seri Malaysia Seremban pada 12 dan 13 Mei 2000 yang lepas, Dr. Abdul Hayei Abdul Sukor (Pensyarah Jabatan al-Quran dan Sunnah, Universiti Malaya) menyatakan beberapa contoh amalan Nabi s.a.w. menghantar para pendakwah secara ahad, seperti yang saya hujahkan dalam rencana `Awas! Astora anti-hadis, yang menunjukkan secara jelas lagi terang tentang kehujahan hadis atau khabar secara ahad. Di seminar yang sama, saya mengemukakan soalan (tanpa mengaitkan dengan nama Astora Jabat) tentang seolah-olah wujud satu gerakan anti-hadis yang berselindung di sebalik slogan `hadis ahad tidak kuat dan harus ditolak dalam media massa perdana hari ini. Selain berhujah dengan amalan Nabi s.a.w. yang tersebut tadi, Dr. Abdul Hayei juga mencadangkan agar saya menjawab tulisan gerakan sedemikian. Cadangan itu mungkin disebabkan Dr Abdul Hayei tidak mengetahui bahawa saya telah menjawab dan menyanggah tulisan Astora sebanyak lebih daripada 13 kali dalam rencana-rencana yang panjang tetapi tidak disiarkan oleh media massa perdana.
Berbalik kepada tulisan Astora pada 7/5/2000, beliau mencadangkan agar kita merujuk buku Arab yang ditulis oleh Syeikh Muhammad Al-Ghazali, Turathuna al-Fikri fi Mizan al-Syar` wa al-`Aql (m.s: 175-179) untuk memahami tentang kedudukan hadis ahad pada pandangan ulama dahulu dan sekarang (ulama al-Azhar). Saya memiliki buku itu, sayangnya ia belum diterjemahkan ke Bahasa Melayu, setakat pengetahuan saya. Berdasarkan pembacaan saya terhadap buku itu dan sebuah lagi bukunya yang bertajuk al-Sunnah al-Nabawiyyah bayna Ahli al-Fiqh wa Ahli al-Hadith, Syeikh al-Ghazali tidak pernah mem`borong hadis ahad sebagai tidak kuat dan harus ditolak walaupun sahih. Beliau cuma mengkritik beberapa hadis yang sahih sanadnya (terutama yang diriwayatkan oleh Imam Muslim) tetapi pada pandangannya mempunyai makna yang bercanggah dengan al-Quran. Sekali lagi diulang: Syeikh al-Ghazali tidak pernah memborong mengatakan hadis ahad tidak boleh dipakai!!!, lagi pun hadis-hadis yang dikritik oleh Syeikh al-Ghazali adalah hadis ahad dalam bab kepercayaan atau pegangan (akidah), bukan hadis ahad yang sahih dalam bab amalan seperti amalan wajib memakai tudung.
Walau bagaimanapun, perbuatan Syeikh al-Ghazali yang dengan mudah mengetepikan hadis ahad yang sahih dengan dakwaan ianya bertentangan dengan al-Quran, dikritik oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Kayfa Nata`amalu ma`a al-Sunnah al-Nabawiyyah (telah diterjemahkan ke B. Melayu oleh Dr. Huda Mohsin dan Dr. Jawiah Dakir dengan tajuk Bagaimana berinteraksi dengan al-Sunnah, ABIM, 1996): Oleh kerana itu saya tawaqquf (mengambil pendirian berkecuali) dahulu terhadap hadis ini (hadis sahih ahad yang dikatakan bertentangan dengan al-Quran) sehingga ternyata pada saya maksud atau tafsiran yang memuaskan. Adapun Syeikh Muhammad al-Ghazali dengan tegas menolak hadis ini kerana ia bertentangan dengan firman Allah s.w.t. .
Pada saya, pendirian Dr. al-Qaradawi ini lebih warak dan tawaddhu` terhadap ulama terdahulu yang meriwayatkan hadis sahih ahad itu berbanding pendirian Syeikh al-Ghazali. Ada kemungkinan seseorang itu melihat dua benda yang berbeza pada hari ini sebagai bertentangan, tetapi keduanya dilihat tidak bertentangan dan ada jalan untuk jama` (menghimpunkan dan menyelaraskannya) pada masa yang lain. Kalau kita seorang yang ada sifat rendah diri dan tidak menganggap kita tahu semuanya, kita akan bertawaqquf dahulu, apatah lagi bila kedua benda itu sahih. Di zaman dahulu ada satu golongan orang Islam yang selalu menolak nas hadis yang sahih atas dakwaan ianya ahad bila dirasakan ianya bercanggah dengan makna al-Quran pada pertimbangan akal mereka, iaitu golongan Muktazilah. Untuk menghadapi golongan ini para ulama Ahlu al-Sunnah bangun menjawab, seperti Imam al-Syafi`ie dengan kitabnya Mukhtalaf al-Hadith, Ibn Qutaybah dengan kitabnya Tawil Mukhtalaf al-Hadith, al-Tahawi dengan kitabnya Musykil al-Athar, dan lain-lain lagi. Tetapi Syeikh al-Ghazali tidaklah sampai ke tahap Muktazilah itu, semoga Allah s.w.t. mengampuni segala dosanya dan membalasnya atas sumbangannya yang amat besar untuk umat Islam. Malangnya perbuatan Astora menempelkan pendustaannya dengan nama Syeikh al-Ghazali amatlah mendukacitakan. Jika Syeikh al-Ghazali masih hidup (beliau meninggal sekitar tahun 1996 kalau tidak silap) dan mengetahui perbuatan jahat Astora ini, saya rasa kalau tidak ditempelengnya pun, paling kurang disekeh kepala Astora itu ataupun diherdik.
syarat sah solat
Astora berhujah dengan hujah selemah pukat labah-labah apabila membawa hadis yang bermaksud: Tidak diterima sembahyang wanita yang sudah baligh kecuali memakai tudung (hadis ini bertaraf hasan, diriwayatkan oleh al-Tarmizi dan lain-lain dengan lafaz yang hampir serupa, lihat al-Zayla`ie, Nasbu al-Rayah, jilid 1, bab Syurut al-Solah) untuk mendakwa wujudnya kalangan wanita Sahabiat yang bebas merdeka tidak memakai tudung. Kata Astora dalam mentafsirkan hadis ini, maka dengan itu baginda (s.a.w.) menyuruh mereka memakai tudung waktu sembahyang.
Lihat perangai Astora, dia tolak hadis atas alasan ianya hadis ahad walaupun sahih bila bercanggah dengan nafsu duniawinya, tetapi dia pakai hadis ahad juga walaupun hasan sahaja (kurang daripada darjat sahih) bila menepati hawa kemaruknya!!! Siapakah Astora ini dalam masyarakat Islam???
Dari aspek lain, ini nampaknya seolah-olah jawapan kepada cabaran saya terhadapnya dalam rencana `Astora Pendusta Agama siri III dahulu supaya beliau buktikan siapakah wanita Sahabiat yang didakwa tidak pakai tudung di zaman Nabi s.a.w. dan apakah nama kitab dalam mazhab Hanafi dan Maliki yang mengatakan tidak pakai tudung itu tidak berdosa langsung atau berdosa kecil sahaja. Namun jawapan serkap jarang dengan menggunakan hadis di atas tidak boleh diterima langsung kerana takwilan atau tafsirannya amat jauh. Apakah dengan pemberitahuan Nabi s.a.w. bahawa solat wanita yang tidak bertudung itu tidak diterima, secara automatik boleh difahami bahawa memang wujud wanita merdeka yang tidak bertudung walaupun selepas turunnya ayat hijab (al-Nur: 31 dan al-Ahzab: 59)? Kenapa begitu jauh sekali takwilan Astora? Kenapa terpaksa melalui jalan yang bengkang-bengkok sedangkan jalan yang lurus terbentang luas? Selalunya orang yang sengaja melalui jalan bengkang-bengkok itu ada sesuatu `niat.
Astora sendiri menyatakan bahawa ada dua golongan wanita di zaman awal Islam, iaitu wanita bebas dan merdeka yang diwajibkan bertudung dan wanita hamba yang tidak diwajibkan bertudung. Demikian realiti sosial ketika itu, yang tidak dapat dinafikan. Tatkala Nabi s.a.w. mewajibkan semua wanita yang baligh bersolat dengan khimar (tudung), kenapa ditakwilkan sebagai ada wanita bebas yang tidak bertudung ketika tidak bersolat? Bukankah hadis itu hanya memberitahu antara syarat sah solat ialah menutup aurat walaupun solat berseorangan, sebagaimana syarat mesti suci daripada kedua-dua hadath dan menghadap kiblat ketika solat? Lagipun hadis ini diletakkan dalam bab syarat solat oleh ulama fiqah seperti al-Marghinani dalam kitab Bidayah al-Mubtadi.
Memang pasti ada wanita yang tidak diwajibkan bertudung iaitu hamba, maka dengan hadis tersebut mereka juga wajib bertudung ketika solat walaupun di luar solat mereka tidak wajib bertudung bahkan dilarang. Memang pasti juga ada wanita merdeka yang tidak bertudung iaitu ketika dalam rumah bersama muhram mereka, maka dengan hadis tersebut mereka juga wajib bertudung ketika solat walaupun dalam rumah yang tiada orang lain selain muhram mereka. Itu sahaja maksud yang hendak dibawa oleh hadis itu. Tetapi adakah wujud wanita merdeka di kalangan Sahabiat yang berdegil tidak bertudung setelah turun ayat hijab? Satu persoalan yang jawapannya ialah pasti tidak wujud. Yang pasti wujud ialah mereka bersegera mencapai apa sahaja kain untuk menutup kepala sebaik sahaja dibacakan ayat hijab oleh Nabi s.a.w. seperti yang diriwayatkan oleh `Aishah r.a. (lihat Astora Pendusta Agama siri III). Kalau didakwa wujud Sahabiat yang tidak bertudung pun, ianya tidak pernah berjaya dibuktikan seperti kegagalan Astora dalam tulisannya membuktikannya lalu membuat takwilan yang jauh menyeleweng.
Baiklah, kalau pun ditakdirkan memang ada segelintir wanita bebas di kalangan Sahabiat yang tidak bertudung (satu andaian yang tidak pernah terbukti), apakah kita boleh berhujah dengannya bahawa wanita kita hari ini tidak perlulah bertudung dan bolehlah mendedahkan aurat mereka? Kalau ini diterima, nescaya tiada hukum dalam Islam sekarang yang tidak boleh dilanggari, kerana generasi Sahabat dan Sahabiat dahulu pun pernah melanggarnya. Di kalangan Sahabat dan Sahabiat dahulu ada yang disahkan berzina, maka bolehkah kita hari ini berfatwa tidak mengapa berzina sekali sekala kerana Sahabat dan Sahabiat dahulu ada yang berzina! Tidak mengapa minum arak sikit-sikit kerana di kalangan Sahabat dahulu ada yang minum arak! Tidak mengapa mencuri kerana di zaman Sahabat dahulu ada seorang wanita ternama ditangkap mencuri seperti termaktub dalam sebuah hadis sahih.
bukan malaikat
Demikianlah rosaknya hukum Islam bila kaedah dan disiplin ilmu Astora diguna pakai. Sebenarnya perlu kita fahami, walaupun generasi awal Islam itu merupakan Sahabat yang mendapat didikan khusus daripada Nabi s.a.w., namun mereka tidak pernah bertukar menjadi para malaikat dan Nabi s.a.w. pun tidak pernah menukar mereka menjadi malaikat sehingga tidak pernah melakukan dosa langsung. Mereka semua berdosa kerana mereka adalah manusia, tetapi mereka menjadi sebaik-baik manusia kerana mereka sentiasa bertaubat daripada keterlanjuran dan dosa mereka. Oleh itu kesalahan yang mereka lakukan dahulu jika ada, tidak menjadi hujah untuk kita hari ini mendakwa kesalahan itu sebagai tidak salah. Ukuran hukum Islam ialah al-Quran dan hadis sahih, bukan perbuatan orang-orang tertentu walaupun semulia mana orang itu. Tetapi kaedah menfatwakan hukum Islam berdasarkan perbuatan orang-orang tertentu ini telah lama dipakai oleh Astora terutamanya persoalan menutup aurat atau bertudung ini.
Dalam jawapannya kepada satu e-mel pembaca yang beralamat cyrex_lynx@anjungcafe.com , jelas Astora menampakkan ketidak selesaannya terhadap orang yang bertudung. Iaitu dengan bersetuju terhadap tulisan e-mel itu yang mendakwa wanita bertudung pun melakukan maksiat yang lebih teruk daripada berdua-duaan. Hal ini telah dijelaskan dalam Astora Pendusta Agama siri III. Astora menambah lagi dengan mengatakan di sebuah negara Arab (agaknya Saudi) yang mewajibkan wanita mengenakan tudung dan menutup seluruh tubuh umpamanya, maksiat tetap ada malah lebih hebat.
Lihat bagaimana kebenciannya terhadap sebuah negara kiblat umat Islam semata-mata kerana negara itu membuat arahan supaya semua wanita menutup aurat, sehingga menfitnah mengatakan maksiatnya lebih hebat. Ini adalah pembohongan yang jelas berdasarkan kebencian terhadap orang-orang yang beriman. Jika dibandingkan jenayah di Arab Saudi yang memperundangkan dan melaksanakan hukum Islam dengan kadar jenayah di Amerika, statistik menunjukkan bilangan jenayah di Amerika dalam sehari sama dengan bilangan jenayah di Arab Saudi untuk tempoh sepuluh tahun. Bagaimana pula jika dibandingkan dengan Malaysia? Tanyalah Bukit Aman. Berkenaan dengan kewujudan jenayah atau maksiat di negara yang mengamalkan hukum Islam, ianya memanglah tidak dapat dinafikan kerana rakyat di negara pengamal hukum Islam itu tidak ditukar menjadi malaikat. Oleh kerana itu para ulama yang memahami konsep hukum Islam sebagai pencegahan berkata: Sesungguhnya Allah s.w.t. menghalang jenayah yang tidak terhalang oleh al-Quran (pengetahuan tentang hukum haram jenayah itu) dengan menghalangnya melalui sultan (kuasa undang-undang Islam).
syukur
Saya sebenarnya rasa bersyukur kerana usaha saya selama ini membuahkan hasil, iaitu ramai pembaca telah mengenali siapa Astora dan apa perangai sebenarnya. Mereka juga telah dapat mengukur sejauh mana keikhlasan Astora dalam mengendalikan tulisan-tulisan yang bercorak keagamaan. Tinggal lagi pembaca yang menyokong Astora ialah yang taksub dengan beliau atas dasar ketotokan terhadap sebuah parti politik, bukan atas dasar keilmuan Islam. Dengan majlis debat atau dialog di P. Pinang tempoh hari pun, para pembaca Utusan dan penonton malam itu dapat mengukur secetek mana ilmu Astora tentang Islam yang digembar-gemburkan dan dijaja kononnya beliau berkelulusan syariah, Ulum al-Quran dan Ulum al-Hadith dari beberapa negara Arab. Daripada kupasannya dalam tulisan atau ucapan, sedikit pun tidak menampakkan beliau cekap dalam ilmu-ilmu tersebut, yang ada hanyalah gendangan tin kosong untuk membingitkan suasana. Berkenaan dengan dakwaan saya bahawa Astora PENDUSTA AGAMA, ada yang bersetuju dengan hujah saya tetapi tidak boleh menerima tuduhan `keras saya itu. Jawapan saya, bahawa saya tidaklah berbid`ah dalam membuah tuduhan itu kerana para ulama dahulu kala terutamanya ulama al-Jurh wa al-Ta`dil selalu menggunakan perkataan al-Kazzab (pendusta besar) terhadap periwayat hadis yang jelas berdusta atas nama Nabi s.a.w. Astora juga daripada kalangan periwayat hadis dusta itu, bahkan lebih teruk lagi kerana mencelupkan kulit keagamaan atas kebatilan dan jahiliyyah ataupun sebaliknya sehingga umat Islam di Malaysia khususnya menjadi bercelaru.
Sekian, wassalam `ala man ittaba`a al-huda.