Muhammad Nazreen Jaafar | Intern, Islamic Renaissance Front
Dalam beberapa pertanyaan penting terhadap kepimpinan yang berkesan, sudah tentulah ide utama ialah peri-pentingnya sifat kepimpinan yang mendekatkan kita dengan kemaslahatan sejagat terpaut dalam pembentukan pemimpin yang ideal. Jadi, sejauh manakah syarat yang harus diresapi lapisan kepimpinan era ini dapat membentuk siasah yang sempurna?
Keadaan mudahnya begini – seorang doktor yang berjaya adalah doktor yang memahami psikologi pesakitnya. Seorang arkitek yang berjaya adalah mereka yang menjalinkan struktur arkitektur dengan hubungan terhadap keharmonian masyarakat dan alam. Seorang pensyarah yang berjaya tentulah pula golongan cendiakawan yang menyampaikan syarahannya dengan penuh manfaat. Tetapi, apa pula telahan kita dalam menentukan watak kepimpinan yang berjaya.
Di sini, kebenturan struktur pemimpin yang menepati arus kewargaan yang baik perlu memiliki cita sempurna tentang matlamat dan gagasan yang menaungi kesejahteraan rakyat. Sebagaimana Islam mewahyukan seruan terhadap amanah kepimpinan murni sebagai “rahmatan lil ‘alamin”' – rahmat bagi sekelian alam - lantas, ciri-ciri pemimpin yang ideal adalah pemimpin yang menunggangi keperluan warganya dengan nilai “rahmatan lil alamin”.
Kepimpinan Abad Kini
Konsep ini sendiri sudah menggariskan perkongsian kesejagatan (universalism) yang melangkaui batas-batas dan norma keagamaan (dalam soal siyasah misalnya) dan perilaku adat semata-mata. Dan di dalam erti kata lain, kemaslahatan yang berada di atas neraca kosmopolitanisme iaitu nilai perkongsian ummah manusia sebagai warga dunia yang berkongsi komunalisme, tanpa perlu ada rasa sangsi dalam persoalan individualisme mahupun kolektivisme.
Tokoh cemerlang yang mewarnai corak kepemimpinan cita sempurna sedari awal harus menyedari bahawa di dalam komuniti dunia yang begitu rencam dan terpencar, wacana tentang konsep pluraliti dan kerencaman wajar ditekuni dengan persoalan yang lebih mendalam. Mereka juga harus akur bahawa dunia kini tidak lagi seperti dahulu kala setelah gelombang globalisasi sudah pun berlabuh di setiap pelusuk dunia. Jadi, tidak harus diragukan lagi bahawa kerencaman dan multikulturalisme semakin mendapat tempat di nurani masyarakat.
Yang paling penting adalah, kepimpinan sempurna yang berkesan perlu meramahi budaya toleransi dan keterbukaan malah pada tempoh yang sama pula akur dengan penerimaan batas-batas perbezaan dalam meliputi pelbagai sisi. Hal sama yang tuntas untuk diambil kira adalah peranan pemimpin ini dalam meraikan pentas demokrasi dengan menyantuni nilai humanisme yang tinggi; soal kebebasan, kesetaraan dan kesaksamaan dari setiap sudut.
Di dalam weltanschauung (worldview - pandangan sarwa) yang bertujuan untuk mencapai masyarakat sempurna, peranan golongan pemimpin adalah laras utama yang menujahkan hala tuju yang membutuhkan kecermatan yang amat tinggi supaya cita ini selaras dengan kehendak sejagat. Namun begitu, ciri-ciri kepimpinan yang mempamerkan ideologi bertujuan untuk menyemai kesejahteraan kala ini bukanlah sesuatu kepastian mutlak untuk kepimpinan mereka yang terlalu beridealisme.
Malah sebaliknya, idealisme utopia inilah yang memangkin kerosakan seterusnya. Hal ini adalah sepertimana dasar kenegaraan liberal kapitalisme, komunisme (marxisme-leninisme atau maoisme), sosialisme dan teologisme
pernah ditonjolkan sebagai anutan pentadbiran yang baik tetapi apa yang sebaliknya telah berlaku. Meletakkan sebarang bentuk ideologi mahupun kekerasan faham agama sekalipun, tidak semestinya menjamin mereka mempunyai ciri-ciri pemimpin yang ideal. Contoh jelas adalah konsep pemerintahan berasaskan “vilayat-e-faqih” atau “kepimpinan ulama’” yang kemudiannya bertukar rupa menjadi pemerintahan autoritarian.
Malah, jika ditekuni perjalanan sejarah lampau di dalam mana-mana zaman sekalipun, pemimpin yang cuba menghiasi suasana warga dengan aturan ideologi, maka lahirlah kebobrokan yang sering kali beralasankan ideologi yang mereka pegang sebagai sahih dan mutlak - maka, demikian itu jugalah cita sempurna masyarakat terabai. Ranah totaliranisme juga bermula dengan kemendapan penguasa dalam membanalkan tindakan dan reaksi masyarakat (Hannah Arendt; Banality of Evil).
Tindakan ini diperkukuhkan lagi dengan menitipkan hujah kudus agama tidak pernah terlepas dalam hal ini – demikian untuk menutup keraguan terhadap falsafah kepimpinan mereka. Demikian juga ia turut menganjurkankan bagaimana ritual alami yang sakral dan tidak profan penting dalam memastikan survival politik mereka terbatas hanya dengan buah fikir primordialisme.
Natijahnya, kita juga menyaksikan keruntuhan mana-mana tamadun di dunia ini adalah akibat daripada kemunduran pemimpin dalam memastikan mereka berupaya mengadaptasi pendekatan mereka berdasarkan zaman yang senantiasa berubah sambil menegaskan komitmen terhadap tiga persoalan yang tunjang: Moral, Kuasa dan Pengetahuan.
Malah, menurut ahli falsafah seperti Michel Foucault di dalam 'Madness and Civilisation: “analisis keruntuhan moral di dalam masyarakat moden dinaungi oleh 'kejahatan' mentafsirkan moral dan pengetahuan terhadap kekuasaan (baca: autoriti) tanpa ada acuan daripada sentrik masyarakat yang rata-rata berbeza dari segi normatifnya”. Hal ini diyakinkan lagi dengan ketajaman beliau mengkritik kepimpinan yang melakukan praktis atau tindakan yang bertindan dalam pemaksaan moral sebagai bentuk dekonstruktif terhadap
acuan masyarakat yang harmoni.
Konsep Tatakelola yang Baik (Good Governance)
Di dalam misalan sejarah Islam yang umum sedia ketahui, ciri-ciri kepimpinan yang baik haruslah mencakupi tatakelola yang baik berinspirasikan sentrik Islam dimana aspek yang wajar diambil kira sebagai rumusan awal menstrukturkan kepimpinan ideal menerusi Tauhid, Amanah, Keadilan dan Ihsan juga Syura.
Tauhid
Merangkumkan gagasan 'Tauhid' daripada sentrik epistemologi mengikut runut yang dikerangkakan sebagai 'pandangan sarwa’ (worldview) di dalam korpus lingkungan tersendiri, umat Islam perlu memberi alternatif baru dalam menanggapi persoalan-persoalan yang mendepani zaman. Konsep tauhid ini meletakkan hubungan Allah sebagai tuhan, manusia sebagai makhluk, dan sebagai makhluk ciptaan Allah. Manusia punya tanggungjawab menjalankan perintah yang diberatkan kepada mereka.
Allah berfirman dalam surah Ali Imran: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada
segala perkara yang mungkar (buruk dan keji), serta kamu pula beriman dengan Allah (dengan sebenar-benar iman)”. [3: 144]
Jadi, jalan ketauhidan kepada Allah sebagai Tuhan yang Esa haruslah dihubung-kait dengan perkara-perkara yang berfaedah buat umat manusia keseluruhannya. Hak di dalam agama perlu digunakan untuk memastikan setiap manusia beroleh faedah dengan sebaiknya.
Jadi, Tauhid yang dikira menurut kerangka tatakelola ialah segala usaha untuk menentang kemungkaran di setiap lapis peringkat samada individu ataupun masyarakat seperti rasuah, pecah amanah, kezaliman, kediktatoran, pencabulan hak asasi, salah guna kuasa dan sepertinya (Abdul Tawwab; Qawa’id al-Ahkam – Islamic Legal Maxims). Tugas seorang pemimpin yang bercita sempurna adalah mereka yang menjadikan teras menentang kemungkaran sebagai maslahah (public interest) di setiap baris kepimpinan mereka.
Amanah
Semenjak Allah menabalkan Adam sebagai khalifah pertama di mukabumi, maka semenjak detik itulah manusia terpikul dengan amanah di bahu mereka. Dua tanggungjawab utama; untuk mengabdikan diri (' ibadah) kepada Allah dan juga untuk membangunkan (imarah) politik dunia: “iqamatud-din wa-siyasatid-dunya” (Ibnu Khaldun; Muqaddimah - Prolegomena).
Maka manusia diberikan petunjuk di sepanjang zaman agar sentiasa ingat dan menjalankan amanah mereka. Kesedaran ini penting bagi menghasilkan konsensus bahawa sebarang keputusan pemimpin supaya meletakkan sandaran keputusan kepemimpinan mestilah menuruti kepentingan rakyat. Para fuqaha’ kerana itu kemudiannya menyimpulkan “tasafur al-ra'iyy 'ala maslahat al-ra'iyaa” (keputusan pemerintah berdasarkan kepentingan rakyat].
Dalam prosedur perlaksanaan baik dituruti penyampaian pemimpin dengan nilai “itqan” (efisien) supaya rakyatlah yang punya hak untuk mendominasi tindakan kerajaan atau kepemimpinan.
Keadilan dan Ihsan
Tema utama di dalam kerangka syari’at Islam sifatnya difahami secara menyeluruh (aqidah, syari’ah, akhlaq) adalah pencirian yang tercenderung dengan keadilan ('adalah atau adl'). Hal ini berturutan dengan firman Allah di dalam Surah an-Nisa: ' Allah telah memerintahkan kamu agar menunaikan amanat mereka kepada yang berhak, dan apabila kamu menghukum antara manusia, berhukumlah dengan adil ' [4: 58].
Manifestasi terbesar di dalam ajaran tauhid menegaskan Allah selaku pencipta alam telah pun terlebih dahulu melaksanakan keadilan dan memerintahkan manusia untuk melaksanakannya dalam kehidupan mereka. Malah, setiap nabi dan rasul yang diutuskan terhadap umat mereka ditugaskan membawa panji yang menciptakan keadilan dan memerintahkan manusia untuk melaksanakan kehidupan mereka.
Konsep al-adl wal ihsan merupakan setiap tugas setiap individu Muslim di dalam ruang lingkup kehidupan tersendiri. Hal ini tentulah sama sekali dirangkumkan sebagai cara hidup yang menyeluruh, mencakupi segala hal keduniaan seperti urus tadbir kenegaraan, pengagihan ekonomi yang sama rata, badan politik yang berwibawa yang meraikan pluralisme, kehakiman yang bebas, telus lagi adil, keadilan dan kesamarataan gender; yang semuanya merupakan suatu kewajiban umum.
Di dalam kerangka politik Islam, menurut Rachid Ghannouchi; setiap satu ijtihad baru yang membuka ruang kelonggaran dalam sistem pentadbiran terutamanya apabila wujud pergeseran dengan kesan modeniti seperti demokrasi atau asas kedaulatan undang-undang (rule of law) perlu dianggap menepati ciri-ciri 'Maqasid Syari’ah'.
Jadi, tidak perlu timbul prasangka bahawa hanya dengan kerangka negara Islam sahaja yang mampu melaksanakan cita-cita syari’at (maqasid asy-syari’ah). Akan tetapi kesalahfahaman golongan tertentu dengan konsep 'fiqh siyasi', yang sebenarnya bukanlah bermatlamat mengkehadapankan agama, tetapi ia lebih bersifat bentuk yang berupaya meninjau kekuasaan dan kebijaksanaan politik demi kepentingan massa.
Syura
Di dalam konteks tatakelolaan, syura tergolong di dalam struktur partisipasi rakyat dan pemimpin bersama dalam membuat keputusan siyasah yang penting untuk kesejahteraan bersama. Nilai utama di dalam konteks politik Islam dilatari konsep syura (hal yang sebenarnya tidak punya perbezaan yang ketara dengan demokrasi).
Malah al-Qur’an memuji konsep ini sepertimana diperjelaskan di dalam surah Ali Imran [3: 159]; dan asy-Syura [42: 38]. Fakhruddin Al-Razi berpendapat bahawa Allah telah mengajar manusia erti syura melalui dialog dengan para malaikat ketika Allah memberitahu para malaikat akan kehendakNya dalam mencipta manusia.
Muhammad Imarah, ahli Akademi Penyelidikan Islam al-Azhar, di dalam merungkai permasalahan kelompok fundamentalis dan konservatif yang teraruh daripada realiti zaman yang berbeza-beza pendekatannya terhadap penyalahertian konsep syura ini ditanggapi dengan tafsiran beliau terhadap surah An-Nisa ayat 59 yang menyuruh umat Islam mentaati Allah, Rasul dan Ulil Amri (pemerintah) yang sebenarnya menunjukkan pengertian terhadap konsep syura.
Perkataan 'min kum’ (telah kamu pilih daripada kamu) menjelaskan bahawa kalangan mereka 'ulil amri min kum' haruslah bersandarkan konsep pemilihan muafakat terhadap kepimpinan yang bertindak sebagai badan eksekutif. Jika 'ulil amri' gagal melaksanakan amanah yang diberikan, mereka layak untuk tidak ditaati dan dipatuhi.
Perjuangan Menegakkan Keadilan dan Kesamarataan
Proses ini memerlukan jangka masa yang agak lama dan perlu kepada menggagaskan perilaku autentik para pemimpin secara perlahan-lahan tetapi berkesan. Konsep cita sempurna ini diterangkan oleh sejarahwan Amerika bernama Ralph Waldo Emerson memisalkan contoh dalam dunia ini bagaimana semangat untuk mencapai kejayaan dan kekuasaan dalam sejarah; yang paling penting ialah tidak bermimpi dengan dilema romantisisme zaman lampau sehingga memimpikan kemunculannya semula pada hari ini.
Berkenaan hak asasi seseorang manusia pula, saya kira kita perlu merujuk kembali dokumen penting yang ditinggalkan; iaitu surat perintah Saidina Ali kepada Malik Ashtar yang telah dilantik sebagai gabenor Mesir. Namun demikian, Malik Ashtar tidak sempat untuk menunaikan amanah tersebut kerana meninggal dunia pada tahun 659M dalam perjalanan ke Mesir, dipercayai akibat diracun atas perintah Muawiyah.
Hak asasi manusia yang timbul daripada Revolusi Amerika 1776 dan Revolusi Perancis 1789, yang sekarang sedang meluas di merata dunia adalah sambungan hak asasi yang dipertahankan Saidina Ali daripada pengaruh yang cuba merosakkannya, dalam sejarah masyarakat Islam. Di dalam suratnya kepada Malik Ashtar, Saidina Ali menasihatkan beliau supaya “tidak menggunakan kekuasaannya untuk memaksa pendapat”.
Panduan yang paling utama dalam melaksanakan keadilan terutamanya di dalam hal mendesak golongan pemerintah yang paling tidak suka menerima layanan yang sama dengan rakyat kerana merasakan mereka lebih eksklusif daripada yang lain, dan yang paling kurang menghargai penjelasan berakal sewaktu ditolak permintaan.
Hal ini bagi memastikan setiap yang hidup itu perlulah menerima layanan saksama dalam menghadapi segala bentuk kemungkinan sekalipun. Dua jenis hak asasi yang dibangkitkan Saidina Ali dan selepasnya pejuang-pejuang kemanusiaan barat di kurun ke -18 dan seterusnya adalah hak layanan adil daripada pemerintah yakni kerajaan, dan hak ilmu berpengetahuan seperti yang disyarahkan oleh Syed Husin al-Attas di dalam Citra Sempurna Warisan Sejarah .
Kata Saidina Ali kepada Malik Ashtar: “Janganlah tingginya pangkat seseorang menyebabkan perbuatan kecilnya menjadi besar dan sebaliknya janganlah pangkat yang rendah menjadikan perbuatan besarnya menjadi kecil”.
Kenyataannya ini saya kira sangat relevan untuk kita semua renungi semula dengan fikiran yang terbuka dan menghayati kebijaksanaan Saidina Ali dalam memahami konsep pentadbiran dan aturan-aturannya demi kepentingan rakyat.
Dasar-dasar pemikiran Saidina Ali memang bersumber daripada Islam yang diamalkan oleh ar-Rasul. Saidina Ali merupakan orang yang pertama menyimpulkannya dalam sebuah dokumen asas pemerintahan, dikaitkan dengan suasana dan keadaan, dalam bentuk falsafah pentadbiran.
Kesimpulan
Kembali kepada hak asasi manusia yang dikemukakan Revolusi Peranchis, dari segi dasar mutlaknya adalah bersesuaian dengan tuntutan Islam. Jadi perlu diingat bahawa nilai-nilai universalisme ini adalah dasar yang membentuk kesempurnaan keadaan masyarakat dan bukannya menganggap ia sebagai satu unsur akidah.
Soal ini sangat berkait rapat dengan ajaran Islam yang sifatnya 'rahmatan lil alamin' dan menjamin setiap manusia mendapat hak keadilan yang sewajarnya. Saya percaya bahawa Islam begitu menekankan hak yang saksama untuk sekelain manusia dan begitu selari dengan konteks hak asasi yang bersifat universal.
Firman Tuhan: “Dan Kami telah muliakan sekelian anak Adam…” Surah Bani Isra’il [17: 70].