BAB 4: BENDA PERTAMA YANG DIJADIKAN MENURUT AHLI SUNNAH WA AL-JAMAAH

Primary tabs

BAB 4

BENDA PERTAMA YANG DIJADIKAN MENURUT AHLI SUNNAH WA AL-JAMAAH

Pokok perbincangan kita ialah tentang asal kejadian alam semesta. Dalam masalah ini pegangan Ahli Sunnah Ithnainiyat al-Wujud bercanggah dengan pegangan Wahdat al-Wujud. Bagaimanakah i'tiqad Ahli Sunnah tentang asal kejadian alam semesta ini?

Ahli Sunnah adalah 'aqidah agama yang ditujukan kepada segenap lapisan masyarakat. Maka dalil-dalilnya amat mudah difahami iaitu berasaskan kepada zahir nas-nas al-Qur'an dan Hadith Sahih. Bersumberkan kepada kedua-duanya maka asal kejadian alam semesta yang mula ada adalah 7 atau 8 perkara iaitu:

  1. 'Arasy
  2. Air
  3. Udara
  4. Langit
  5. Bumi.
  6. Laut
  7. Qalam
  8. Setiap benda hidup terjadi daripada air.

Nas-nasnya adalah seperti berikut:

وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ وَكَانَ عَرْشُهُ عَلَى الْمَاءِ (هود: 7)

Terjemahannya: Dan Dialah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa dan adalah Arasy-Nya (sebelum itu) di atas air.

Firman Allah lagi:

وَجَعَلْنَا مِنَ الْمَاءِ كُلَّ شَيْءٍ حَيٍّ (الأنبياء: 30)

Terjemahannya: Dan daripada air Kami jadikan sesuatu yang hidup.

كان الله ولم يكن شيئ غيره وكان عرشه على الماء وكتب في الذكر كل شيئ وخلق السموات والأرض

Terjemahannya: Ada Allah dan tidak ada satu apapun bersama-Nya. Adalah `Arasy-Nya di atas Air, dan Dia tulis di Luh Mahfuz segala-galanya dan Dia jadikan Langit dan Bumi.

'Arasy-Nya di atas Air menunjukkan inilah dua prinsip-wujud alam semesta ini. Kedua-duanya dijadikan sebelum kejadian langit dan bumi, Ini bukan beerti 'Arasy terapung di atas Air. Tetapi bererti 'Arasy di bahagian atas dan Air di bahagian bawah. Sama seperti kita kata langit di atas bumi, bukan bererti langit terletak di atas bumi.

Menurut hadith riwayat Abu Daud, Tarmidzi, dan Ahmad:

إن أول ما خلق الله القلم، قال له اكتب، فجري بما هو كان الي يوم القيامة او اكتب حتى تقوم الساعة

Terjemahannya: Bahawa mula pertama Allah jadikan ialah Qalam. Kemudian Allah berfirman kepadanya, `Tulislah'. Maka berlakulah dengan segala apa yang ada hingga Kiamat." (atau) "Tulislah hingga datang Kiamat.

Zahir daripada nas-nas al-Qur'an dan Hadith tersebut bahawa 'Arasy ialah makhluk (heavenly, bahagian atas) mula pertama dijadikan, dan air ialah awal makhluk kebendaan pertama dijadikan. Selepas dijadikan 'Arasy dan Air maka Allah jadikan langit dan bumi. Menurut zahir hadith dari riwayat Abu Daud, Tarmidzi dan Ahmad, seperti tersebut, bahawa makhluk ma'nawiah (abstract - bukan benda) pertama dijadikan ialah Qalam.

بدء الخلق العرش والماء والهواء وخلقت الأرض من الماء

Terjemahannya: Mula dijadikan makhluk ini ialah Arasy, Air, Udara dan dijadikan bumi daripada Air.

 

Benda Pertama Dijadikan Menurut Wahdat al-Wujud

Dibawakan dalil-dalil Wahdat al-Wujud Martabat Tujuh pula yang berkelok-kelok kerana Wahdat al-Wujud Martabat Tujuh adalah satu falsafah, katakanlah falsafah Agama. Natur falsafah amat sukar difaham terutama oleh orang awam. Dalil al-Qur'annya tidak jelas tetapi lebih merupakan seretan ayat-ayat al-Qur'an kepada idea-idea yang dikehendaki oleh orang Wahdat al-Wujud. Hadithnya pun begitu juga, bukan hadith sahih. (Contoh kedua-duanya akan dibincangkan). Dengan kata lain, idea Wahdat al-Wujud itu sudah ada lebih dahulu, selepas itu dipaksa-paksa ayat-ayat dan ungkapan-ungkapan tertentu yang dikatakan hadith untuk menyokong idea mereka. Wahdat al-Wujud memang diketahui adalah tasawuf falsafah. Benda mula pertama dijadikan seperti yang dikatakan oleh Ahli Sunnah, seperti tersebut di atas, tidak ada dalam Wahdat al-Wujud. Cara Wahdat al-Wujud amat berlainan sekali. Sila ikuti Bab 5 berikut:

 

 


Isikandungan Buku: