Pertolongan Allah Ta’ala dalam perang Badar
Dari Umar bin Khatthab r.a., katanya: “ Pada hari terjadinya perang Badar, Rasulullah saw melihat kaum musyrikin, semuanya berjumlah seribu orang, sedang para sahabat beliau hanya berjumlah tiga ratus sembilan belas orang. Nabi saw menghadap ke kiblat, kemudian beliau tadahkan kedua tangannya ke langit lalu beliau berdoa kepada Tuhannya, (maksud doa) “ Wahai Allah! Tepatilah janji-Mu kepadaku. Wahai Allah! Berilah aku apa yang telah Engkau janjikan kepada ku! Wahai Allah! Jika pasukan Islam yang berjumlah sedikit ini musnah, niscaya tidak ada lagi orang yang akan menyembah-Mu di muka bumi ini.” Demikianlah, beliau senantiasa mendoa kepada Tuhannya, mengangkat kedua tangannya sambil menghadap ke kiblat, sehingga selendang beliau terlepas dari bahunya. Abu Bakar mendatangi Nabi saw., lalu diambilnya selendang beliau dan diletakkannya kembali ke bahu beliau, kemudian dia senantiasa berada dibelakang beliau. Kata Abu Bakar,” Ya NabiyuLlah! Cukuplah kiranya Anda munajat dengan Allah, kerana Dia pasti akan menepati janjiNya kepada Anda. Lalu Allah menurunkan ayat:”Ingatlah ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu, lalu diperkenankanNya bagimu, sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepadamu, seribu malaikat yang datang beriring-iring.” (Al Anfal, 8:9). Jadi Allah membantu Nabi saw dengan seribu orang pasukan malaikat. Kata Abu Zumail, Ibnu Abbas mengabarkan kepadanya bahawa pada hari itu, ketika seorang tentera Islam mengejar tentera musyrikin yang berada di hadapannya, tiba-tiba terdengar olehnya bunyi suara cambuk di atas (kepala si musyrik) dan suara seorang penunggang kuda berkata, “Ayoh,maju Haizum!”(Haizum nama kuda tunggangan malaikat). Tiba-tiba dilihatnya musyrik yang berada di hadapannya telah jatuh, tewas terlentang dengan hidungnya bengkak, mukanya terbelah seperti bekas pukulan cambuk, dan seluruh tubuhnya menghijau. Tentera muslim Anshar itu datang melaporkan peristiwa itu kepada Nabi saw Kata beliau,”ceritamu itu benar belaka. Itu adalah pertolongan Allah dari langit ketiga.” Pada hari itu tentera muslim dapat menewaskan tujuh puluh orang tentera musyrikin dan menawan mereka tujuh puluh orang, Kata Abu Zumail selanjutnya, Ibnu Abbas mengatakan bahawa tatkala tawanan telah mereka tawan, Rasulullah saw. bertanya kepada Abu Bakar dan ‘Umar, “Bagaimana pendapat kalian mengenai para tawanan ini?” Jawab Abu bakar, “Ya NabiyuLlah! Mereka itu adalah anak-anak paman dan famili kita. Aku berpendapat sebaiknya kita pungut tebusan dari mereka. Dengan begitu kita akan bertambah kuat atas orang kafir, semoga Allah menunjuki mereka untuk masuk Islam”. Kemudian RasuluLlah bertanya pula pada Umar, “Bagaimana pendapatmu, hai Ibnu Khaththab ?” Jawabku,” Tidak! Demi Allah, ya RasuluLlah, aku tidak setuju dengan pendapat Abu bakar. Aku berpendapat, supaya Anda memberi kesempatan kepada kami untuk memenggal leher mereka. Berilah kesempatan kepada ‘Ali untuk memenggal leher ‘Uqail, berilah kesempatan kepadaku untuk memenggal leher si Fulan (maksud keluarga ‘Umar sendiri.) Kerana mereka ini adalah para pemimpin kaum kafir dan pembesar-pembesar mereka. RasuluLlah menyetujui pendapat Abu Bakar, tidak menyetujui pendapatku. Besok aku datang menemui Rasulullah saw. Aku dapati beliau sedang duduk menangis berdua dengan Abu bakar. Lalu kataku, “Ceritakanlah kepadaku, apa sebabnya Anda berdua menangis. Jika aku merasa terharu aku akan turut menangis. Jika aku tidak terharu, aku akan menangis juga kerana tangis Anda berdua. “ Jawab Rasulullah saw” Aku menangis kerana tebusan yang dipungut sahabatmu terhadap para tawanan itu, terasa bagiku lebih murah daripada harga kayu ini (sambil beliau menunjukkan sebuah kayu di dekat beliau). Lalu Allah menurunkan ayat:” Tidak pantas bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum dia melumpuhkan musuhnya di muka bumi…..hingga firmannya……maka makanlah olehmu sebagian harta rampasan….” (Al Anfal 8:67-69). Kerana itu Allah Ta’ala menghalalkan harta rampasan bagi mereka.”
alJawab:
Rasanya topik ni tak sesuai dibahaskan di ruangan ini, kerana ini adalah mengenai asbab nuzul ayat dan hukum-hakam dalam peperangan (fiqh qital)
hadith ini adalah menjadi asbab nuzul (sebab turun ayat) 67-69 dari sura alAnfaal. Ia mengisahkan kemenangan tentera Islam di Badar dan Nabi saw telah mendahului wahyu dalam menentukan kedudukan tawanan perang (POWs). Maka turun tiga ayat ini menegur Nabi saw bahawa tindakan mengambil tebusan itu tidak tepat. Nabi saw sepatutnya menunggu wahyu.
sekian