:salam ,
Yg Dihormati Ustaz-ustaz
Saya ingin menanyakan soalan tentang produk dari bulu babi. Banyak maklumat yang boleh dipercayai didapati bahawa bulu dari berus samada digunakan untuk makanan, pemakaian dan penggunaan harian kebanyakan asal dari bulu babi.
Maklumat itu kebanyakan berdasarkan maklumat am dan bukan spesifik (contoh maklumat : berus mentega, berus cat, dll). Maksud saya tiada pengkhususan dari segi nama jenama atau pengenalan secara terperinci tentang product itu. Kalau ada maklumat pun dari segi negara pengeluar. Tidak tahu yang mana satu berus yang pemaklum maksudkan kerana terdapat banyak berus-berus sebegini di pasaran walaupun dari negara yang dikatakan itu. Dan ada juga maklumat lain mengatakan berus-berus ini dibuat dari binatang lain.
Soalan
(a) Berdasarkan kekaburan pengenalan tentang barang yang mengunakan bulu babi seperti diatas, bolehkah saya berpegang kepada prinsip "masih tidak tahu secara sah" kerana tidak tahu secara terperinci segi jenama atau pengenalan khusus kerana berlandaskan hadis nabi bahawa kalau kita tidak tahu maka dimaafkan.
(b) Atau perlu berpegang pada berlandaskan maklumat am itu (berus cat atau berus mentega) dipercayai memakai bulu babi (untuk menjaga ibadat), maka setiap kali terkena atau terpakai berus cat atau berus mentega maka kena sertu anggota?
(c) kalau saya memilih Ijtihad Imam Syafie mengatakan bahawa bulunya najis, adakah saya perlu menyertu (samak) sekiranya barang tersebut dimakan atau digunakan semasa dalam keadaan "masih tidak tahu secara sah" ini? dan menjadi satu pegangan dalam ibadat seharian?
(d) Bolehkah saya memilih Ijtihad Imam lain seperti Imam Sabiq, Imam Hanafi, Imam Dr Qardhawi dll) yang mengatakan Bulu dan kulit adalah suci bagi kesenangan saya dalam hal ini?
saya memohon maaf sekiranya pernyataan di atas terdapat kesilapan dari segi pemahaman hukum dan berharap pendapat yang akan disampaikan kelak dapat membantu saya dan makluman kepada semua.
:aklam,
Terima Kasih
:wassalam
al-Jawab:
Hukum bulu babi telah dijelaskan sebelum ini, hukumnya suci menurut jumhur kecuali syafi'iyah.
a) Jika anda berpegang dgn kenajisan bulu babi, maka pastikan anda sentiasa membeli barangan makanan yang ada persijilan Halal-Jakim. Ini kerana premis makanan yang ada sijil Halal Jakim, mereka telah diperiksa proses penyediaan makanannya. Jika anda ingin membeli berus cat, pastikan perlabelan jenis bulu yang digunakan. kebanyakan kedai hardware spt Ace Hardware di KL, melabelkan bulu tersebut dari jenis apa.
b) Jika anda ragui mengenai penyediaan makanan, maka pastikan anda hanya makan di restoren muslim atau di premis makanan yang ada persijilan halal Jakim sahaja. Jika anda menggunakan berus cat, pastikan anda membeli berus cat yang dilabel jenis bulunya dari sumber apa.
c) Jika anda berpegang dgn madzhab syafi'iy dan anda telah termakan makanan yang disediakan dari bulu babi atau terguna berus cat dari babi, maka apa yang sudah berlaku tanpa diketahui adalah dima'afkan. Ini berdasarkan kaedah, apa yang ghaib dari kita adalah dima'afkan. Juga berdasarkan hadith Ibn Abbas," diangkat dari umatku jika tersalah, terlupa atau dipaksa" dinilai sahih oleh al-Albani, sahih Ibn Majah (1677)
d) sudah tentu boleh kerana anda tidak pernah diperintahkan berada dalam madzhab syafi'iy sepanjang umur anda. Ini kerana jika anda dipaksa berada dalam madzhab syafi'iy, di manakah Umar al-Khattab berada, dalam madzhab apa?
Yang penting di zaman sekarang ialah anda memilih pendapat fiqh berasaskan dalil bukan madzhab. WA