Salam ya ustaz,
Ana straight to the point,
Lepas akad nikah, undang2 telah menetapkan kita supaya melafazkan taklik kt isteri. antara kandungannya, kalo kita hilang dlm masa 4 bulan, jatuh talak.
so terjadi la kes suami menghilangkan diri tanpa berita selama 5 bulan. si isteri plak sabar menanti.
soalan.
1. bila suami balik semula, apakah status perkahwinan mereka?
Bismillahi wal hamdulillah,
Al-Jawab :
Lafaz taklik sebenarnya akan dikira sah melalui dua perkara utama :
1. Berlaku perkara yang dilafazkan sebagai taklik seperti : “Sekiranya saya meninggalkan isteri saya selama 4 bulan berturut-turut tanpa sebarang nafkah zahir dan batin”………..Iaitu berlakunya perbuatan meninggalkan isteri selama 4 bulan berturut-turut tanpa sebarang nafkah.
2. Isteri tidak redho dengan keadaan tersebut dan telah membuat pengaduan ke pejabat kadi dan apabila sabit perbuatan tersebut ( perbuatan meninggalkan isteri ) maka tertalaklah isteri tersebut dengan talak satu.
Berikut adalah contoh lafaz taklik negeri Selangor :
“Saya mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya (nama isteri) selama empat bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan, dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh yang tersebut pada hal ia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, kemudian ia mengadu kepada mahkamah syariah, dan apabila sabit aduannya di sisi mahkamah syariah, dan ia memberi kepada Mahkamah Syariah, yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalak ia dengan cara talak khuluk.”
contoh lafaz taklik negeri Terengganu :
“Saya dengan sesungguhnya melafazkan bahawa tiap-tiap kali saya tidak bersekedudukan dengan isteri saya (nama isteri) bagi selama tempoh empat bulan dengan tidak putus-putus, sama ada saya meninggal akan dia atau dia meninggal saya dengan ikhtiar atau dengan terpaksa dan tatkala ia mengadu ia kepada kadi dan tatkala sabit pada sisinya di atas ketiadaan sekedudukan selama itu maka tertalaklah isteri saya (nama isteri) itu dengan satu talak.”
Kesimpulannya :
Isteri akan tertalak dengan talak satu apabila si isteri membuat pengaduan.Sekiranya isteri tidak membuat pengaduan dan si isteri tetap setia menunggu kepulangan suaminya , maka pernikahan mereka tetap kekal walaupun telah melebihi 4 bulan.
Maka status pernikahan mereka itu adalah bergantung kepada situasi yang telah disebutkan di atas.
Ringkasnya :
1. Isteri tertalak dengan talak satu jika membuat pengaduan , dan kes tersebut sabit disisi mahkamah.Bila suami pulang selepas daripada itu , maka ianya hendaklah merujuk kembali sekiranya belum tamat ‘iddah.Sekiranya telah habis tempooh ‘iddah , diwajibkan bernikah kembali.
2. isteri masih sah sebagai isteri kepada suami yang menghilangka diri sekiranya isteri redho dan sabar menanti serta tidak membuat pengaduan walaupun telah melebihi tempoh yang disebut dalam teks taklik.
Perlu diingat , bahawa cerai secara taklik ini dibuat adalah bertujuan untuk memberikan pembelaan yang sewajarnya kepada isteri apabila berlaku keadaan si suami meninggalkan isteri tanpa sebarang nafkah dan rasa tanggungjawab.
WA
الراجي رحمة ربه الجوّاد http://aljawhar.wordpress.com