SJ-13-0588 : belajar masak masakan yang tidak halal

Primary tabs

2 posts / 0 new
Last post
Anonymous (not verified)
SJ-13-0588 : belajar masak masakan yang tidak halal

apakah hukum memasak masakan yang tidak halal tetapi untuk tujuan pelajaran semata-mata.??contohnya seperti memasukkan arak ke dalam masakan??tetapi selepas habis belajar seseorang itu tidak mengamalkannya ..

Re: belajar masak masakan yang tidak halal

Wa’alaikumussalam.

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan anda dengan kadar kemampuan yang ada, InSyaAllah.

Arak, secara mutlaknya adalah Haram disini Islam. Baik bekerja sebagai pembuat Iklan (memakai baju sukan berlabel arak), pembawa van arak, yang memikulnya, sehinggalah mereka yang mengambil munafaat keatasnya, semuanya adalah haram. Didalam sebuah hadith, Nabi :saw :-

لعن الخمر وشاربها وبائعها ومشتريها وحاملها والمحمولة إليه وآكل ثمنها وعاصرها ومعتصرها
“melaknati Arak, mereka yang minumnya, menjualnya, membelinya, membawanya, menerima barang yang dibawa, mengambil harga darinya (menjualnya), memerah jusnya dan menerima perahan juz tersebut” (Hadith Riwayat Tirmudzi #1295).

Pendik kata, apa-apa sahaja perkara yang berkisar dengan arak, hukumnya haram, walaupun memasak menggunakan arak/wine.

Menurut kitab al-Mausuu’ah al-Fiqiyyah (25/95) : “Mereka yang memasak arak dengan daging dan memakannya adalah tertakluk kepada hukuman hudud (had), kerana pati arak masih wujud. Begitu juga membuat doh (adunan) dengannya dan memakannya. Ini merupakan nas dari al-Syafie dan al-Hanbali”.

Didalam kes ini, seorang pelajar ‘terpaksa’ mengikuti kelas memasak menggunakan arak buat seketika (sementara) untuk membolehkan dia lulus diploma penyeliaan makanan misalnya, maka keadaan ‘tiada pilihan’ ini membolehkan dia mengikuti kursus tersebut tanpa hati beliau merelakan perkara tersebut, dan pada hari kuliah tersebut dia tidak menghadirkan diri. Perlu dilihat, memasak menggunakan ‘arak’ hanyalah sedikit sahaja dari pelajaran masak memasak didalam silabus kursus tersebut. Ini merupakan selemah-lemah Iman sebagaimana hadith riwayat Abu Saed al-Khudri ra. berkata : telah mendengar dari Rasulullah bersabda :

من رأى منكم منكرا فليغيره بيده ، فإن لم يستطع فبلسانه ، فإن لم يستطع فبقلبه ، وذلك أضعف الإيمان
“Barangsiapa daripada kamu melihat kemungkaran hendaklah dia mencegah dengan tangannya, dan jika dia tidak mampu maka cegahlah dengan lisan, dan jika tidak mampu makan cegahlah didalam hatinya, dan itu adalah selemah-lemah iman” (Hadith Riwayat Muslim).

Perkara yang terbaik untuk dia lakukan adalah, tidak memilih untuk mengikuti kursus penyeliaan masakan di sekolah tersebut dan mencari sekolah lain yang menumpukan kepada masakan yang Halal. Situasi diatas hanya berlaku kepada pelajar yang tidak tahu bahawa sekolah tersebut menawarkan topik memasak menggunakan arak didalam silabusnya. Jika seorang pelajar itu belum lagi mengikuti kursus tersebut, maka hendaklah dia membatalkan niatnya. Moga Allah menyelamatkan kita dari dugaan tersebut. WA.

Sekian, wassalam

خيرالأمين