000010-SJ-SOLAT: Masuk waktu Isyak ketika sedang sembahyang

Primary tabs

1 post / 0 new
000010-SJ-SOLAT: Masuk waktu Isyak ketika sedang sembahyang

Quote:
Seorang sedang musafir dan sedang beliau menunaikan solat fardhu Magrib di rakaat yang kedua, terdengar azan Isya' dari masjid. Apakah hukum solat magrib beliau dan apa harus beliau lakukan ?

Jawapan
Semoga Allah merahmati anda. Alhamdulillah, inilah jawapannya:
Sebelum kita pergi kepada jawapan, adalah lebih baik kita melihat dahulu beberapa istilah yang berhubungkait dengannya:

1. Tunai (ada’)
Ada’ ialah ibadah berwaktu yang dikerjakan pada waktu yang diperuntukkan. Contohnya sembahyang Asar. Waktu yang diperuntukkan kepada kita ialah ketika bayang-bayang sama ukuran dengan benda asalnya, dan berkahir apabila terbenam mentari. Jika kita mengerjakan ibadah dalam lingkungan waktu berkenaan, maka sembahyang itu dinamakan sembahyang tunai atau ada’.

Masalah: Bagaimana jika, seseorang itu bersembahyang pada akhir waktu asar (waktu hampir nak habis). Belum sempat dia selesai mengerjakan Asar, waktu maghrib pun masuk?

Jawab: Perlu dilihat… Apakah dia sudah mendapat satu rakaat? Jika dia mendapat satu rakaat, maka sembahyangnya itu dianggap sebagai sembahyang tunai. Jika tidak mendapat satu rakaat, sembahyangnya itu dianggap sebagai qadhak.

Contoh, Ali bersembahyang Asar di akhir waktu. Dia takbir, baca fatihah, surah, rukuk, sujud… seterusnya. Kemudian dia bangkit untuk rakaat kedua. Baru sahaja mahu membaca fatihah, waktu maghrib telahpun masuk… Sembahyang Ali dianggap sebagai sembahyang tunai. Kerana dia memperoleh satu rakaat dalam waktu Asar.

Contoh, Ali bersembahyang di akhir waktu. Dia takbir.. Kemudian, baru sahaja mahu membaca fatihah, waktu maghrib telahpun masuk. Sembahyangnya dianggap sebagai sembahyang qadhak. Kerana dia tidak memperolehi satu rakaat dalam waktu Asar.

Ini adalah pendapat mazhab Syafi’i. Dan, ada dasrnya, Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Barangsiapa yang memperolehi satu rakaat dari sembahyang subuh sebelum terbit matahari, maka sesungguhnya dia telah memperolehi subuh. Dan barangsiapa yang memperolehi satu rakaat dari sembahyang Asar sebelum terbenam mentari, maka sesungguhnya dia telah memperolehi Asar. “ (Muttafaq Alaih)

2. Qadhak
Qadhak pula bermaksud ganti/bayar balik. Iaitu ibadah yang dikerjakan selepas atau diluar waktu yang ditetapkan. Seperti sembahyang Asar tadi. Kita tidak dapat tertinggal sembahyang Asar (samada sengaja ataupun tidak), lalu kita mengerjakan selepas waktu Asar. Ibadah ini dinamakan sebagai qadhak.

3. I’adah
Iaitu mengulang kembali ibadah yang telah dikerjakan dalam waktu yang telah ditetapkan. Seperti Ali bersembahyang Asar pada waktunya secara bersendirian di masjid. Kemudian apabila Abu, Ahmad, Hasan dan Husin datang untuk bersembahyang Asar secara berjamaah, Ali ikut sama. Di sini Ali bersembayang untuk kali kedua. Yang pertama, sembahyangnya sah, tetapi tidak sempurna kerana tidak berjamaah. Kemudian Ali bersembahyang lagi untuk kali kedua. Sembahyang kali kedua inilah yang dinamakan sebagai I’adah.
---------
Kembali kepada soalan:

Soal: Saorang sedang musafir dan sedang beliau menunaikan solat fardhu Maghrib di rakaat yang kedua, terdengar azan Isya' dari masjid. Apakah hukum solat magrib beliau?

Jawab: Dia telah memperoleh rakaat kedua.. Ini bermakna sembahyangnya dianggap sebagai sembahyang tunai. Lihat penjelasan di atas…

Soal: apa harus beliau lakukan ?
Jawab: Teruskan sembahyang maghribnya itu sehingga selesai. Sembahyangnya saha dan dianggap sebagai tunai.

Dan kalau tidak sempat mendapat satu rakaat sudah kedengaran azan Isyak, juga perlu diteruskan . Sembahyangnya sah, tetapi dianggap sebagai sembahyang maghrib qadhak.

Cuma, jika melewat-lewatkan sembahyang dilakukan dengan sengaja adalah haram hukumnya. Maksudnya ialah melewat-lewatkan hingga ke waktu yang sempit. Nak lakukan sepenuhnya pada waktu yang ditetapkan tidak sempat. Seperti masalah yang dikemukakan.

Dalam masalah yg dikemukakan, kalau dia seorang yang bermusafir yang dibenarkan jamak sembahyang. Dia tidak boleh menjamakkan maghrib dengan Isyak lagi. Sebab apa? Bagaimana boleh dia menjamakkan maghrib dengan Isyak, kerana dia sudah berada dalam waktu Isyak! Sembahyang Isyak seperti biasa atau mengqasarkannya.

Kami rasakan ianya sudah jelas dan di fahami. Hubungi kami lagi jika ada kekeliruan. Moga anda dirahmati Allah. Sebarkan…!

Rujukan
Al-Iqna’- al-Khatib al-Syarbini
Usul Feqh al-Islami – Dr. Wahbah al-Zuhaili

zain_ys