SURUH yang paling besar ialah menyuruh kepada mentauhidkan ALLAH, yakni mengajak manusia kepada inti kalimah tauhid, لا اله الا الله, tiada tuhan yang layak disembah melainkan hanya ALLAH!
Hanya ALLAH lah satu-satunya Tuhan yang layak disembah. Hanya ALLAH sahajalah tempat ditujukan ibadah dan permintaan. Hanya ALLAH satu-satunya yang menjaga, mentadbir, mengawasi dan menentukan seluruh makhluq dan alam ini. Dan hanya ALLAH sahajalah yang memiliki nama-nama dan sifat-sifat yang maha baik dan sempurna. Hanya DIA. DIA satu-satunya!
Dan JANGAN yang paling besar ialah jangan syirikkan ALLAH. Perbuatan mensyirikkan ALLAH adalah sebesar-besar perbuatan zalim dan dosa.
Ya, itulah SURUH yang terbesar dan JANGAN yang terbesar.
Mengetahui hakikat ini, maka hendaklah kita berusaha sungguh-sungguh terhadapnya. Jaga ia sungguh-sungguh kerana ia adalah suatu yang paling besar dalam kehidupan kita.
Saya tertarik dengan satu hadith yang apabila membacanya saya tergambar akan besar dan luasnya rahmat ALLAH terhadap sesiapa yang menjaga tauhidnya hanya kepada ALLAH. Berikut hadith yang saya maksudkan:
Dari `Abdullah bin `Amru bin al-`As katanya: Aku mendengar Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:
إِنَّ الله سَيُخَلِّصُ رَجُلاً مِنْ أُمَّتِي عَلَى رُؤُوسِ الْخَلاَئِقِ يَوْمَ القِيَامَةِ، فَيَنْشُرُ عَلَيْهِ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ سِجِلاً، كُلُ سِجِلٍ مِثْلُ مَدِّ البَصَرِ، ثُمَ يَقُولُ: أَتُنْكِرُ مِنْ هَذَا شَيْئَاً ؟ أَظَلَمَكَ كَتَبَتِي الْحافِظُونَ ؟ فيَقُولُ: لا يَا رَب، فَيَقُولُ: أَفَلَكَ عُذْرٌ ؟ فَيَقُولُ: لا يَا رَب، فَيَقُولُ: بَلَى، إنَّ لَكَ عِنْدَنَا حَسَنَةً، فَإِنَهُ لا ظُلْمَ عَلَيْكَ الْيَوْمَ، فَتُخْرَجُ بِطَاقَةٌ فِيهَا أَشْهَدُ أَنْ لا إِلَهَ إلا الله وَأَشْهَدُ أنَّ مُحَمداً عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، فَيَقُولُ: احْضُرْ وَزْنَكَ، فَيَقُولُ: يَا رَب مَا هَذِهِ البِطَاقَةُ مَع هَذِهِ السِجِلاتُ ؟ فَقَالَ: فَإِنَكَ لا تُظْلَمُ، قالَ: فَتُوْضَعُ السِّجِلاتُ فِي كِفَّةٍ وَالِبطَاقَةُ في كِفَّةٍ، فَطَاشَتْ السِّجِلاتُ وَثَقُلَت البِطَاقَةُ، ولا يَثْقُلُ مَعَ اسْمِ الله شَيْءٌ
Maksudnya:
“Sesungguhnya ALLAH akan menyelamatkan seorang lelaki dari ummatku pada Hari Kiamat di hadapan seluruh makhluq. Maka dibentangkan ke atasnya sembilan puluh sembilan buku catatan amal, yang setiap lebarnya sejauh pandangan mata.
Kemudian ALLAH bertanya: ”Adakah engkau mengengkari sesuatu dari ini? Adakah juru tulisKU menganiaya engkau?”
Jawabnya: ”Tidak, wahai TUHANku.”
ALLAH bertanya: ”Adakah engkau mempunyai sebarang alasan?”
Jawabnya: ”Tidak, wahai TUHANku.”
ALLAH Subhanahu wa Ta`ala berfirman: ”Bahkan, sesungguhnya ENGKAU mempunyai suatu kebaikan di sisi KAMI, dan sesungguhnya tidak ada penganiayaan ke atasmu pada Hari ini.”
Maka dikeluarkan satu kad yang bertulis: Aku bersaksi bahawa tiada tuhan selain ALLAH dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan RasulNYA.
ALLAH Subhanahu wa Ta`ala berfirman: ”Hadirkan timbanganmu.”
Katanya: ”Wahai TUHANku, apakah gunanya kad ini berbanding dengan buku-buku besar ini?”
ALLAH Subhanahu wa Ta`ala berfirman: ”Sesungguhnya engkau tidak akan dianiayai.”
Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda: Maka buku-buku amalan itu diletakkan pada satu piringan timbangan dan kad itu diletakkan pada piringan yang lain, lalu ringan timbangan buku-buku itu dan berat timbangan kad, maka tidak ada sesuatu yang lebih berat dari nama ALLAH.”
(HR Ahmad, at-Tirmidzi dan al-Hakim. Al-Albani mengatakannya sahih.)
ALLAHU AKBAR!
Bukankah setelah membaca hadith ini kalian akan berasa betapa pentingnya tauhidkan ALLAH dan jangan syirikkan ALLAH? Sungguh, dengan rahmat dan kasih-sayangNYA, dosa-dosa yang menimbun akan bisa diampunkan ALLAH dengan mudah. Asal sahaja kita jaga sungguh-sungguh akan suruhan terbesar iaitu tauhidkan ALLAH dan jangan syirikkan ALLAH.
Justeru mesej inilah perlu kita war-warkan selalu. Bawalah mesej besar dari dakwah Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam ini kepada seluruh manusia yang kita jumpai. Mesej besar Nabi ialah supaya mentauhidkan ALLAH dan jangan syirikkan ALLAH.
Lain-lain suruhan insyaALLAH akan menyusul dengan mudah sekiranya jiwa manusia sudah murni dengan tauhid. Lain-lain tegahan akan lebih mudah dibenci dan ditinggalkan manusia andai manusia sudah meninggalkan larangan terbesar iaitu larangan mensyirikkan ALLAH.
Betapa besarnya nilai tauhid di sisi ALLAH, sehinggakan dosa yang bertimbun-timbun tidak dapat melawan berat nilai tauhid walau ia hanya sekeping kad seperti yang disampaikan oleh Nabi sallAllahu `alaihi wasallam di dalam hadith di atas.
Bacaan tambahan tentang tauhid dan beriman kepada ALLAH:
- http://ulamajawab.wordpress.com/2011/10/02/maksud-iman-kepada-allah/
- http://ulamajawab.wordpress.com/2011/10/07/syarat-la-ilaha-illa-allah/
Semoga ALLAH memelihara kita semua dengan hidayah dan taufiqNYA, amin…
ALLAHU A`LAM.
Sekadar menyampaikan,
Shahmuzir Nordzahir muzir.wordpress.com 21 Mac 2012*Dipetik: http://muzir.wordpress.com/2012/03/21/99-buku-tebal-penuh-dosa-vs-sekeping-kad-tauhid/