Mungkin tak perlu saya huraikan tentang kelebihan menghafaz hadith-hadith Rasulullah SAW. Itu amat diketahui oleh sesiapa yangb erfikir dan membaca. Apa yang ingin saya kongsi bersama ialah bagaimana ingin memaksimumkan kemampuan kita menghafaz hadith. Pasti ramai yang rasa kagum dengan kisah para ulama hadith terdahulu seperti al-Bukhari, guru-gurunya sebelumnya dan juga murid-murid beliau selepasnya menghafaz beribu-ribu hadith. Ada yang kagum sampai ke tahap 'macam tak percayalah'. Tapi ada juga yang percaya tapi tengah berfikir bagaimana caranya? Apakah ada langkah-langkah tertentu yang praktikal untuk dicontohi? Jawapannya ada.
Namun rasanya tidak ada yang lebih patut untuk menceritakan bagaimana caranya menghafaz beribu-ribu hadith ini melainkan - ulama hadith zaman awal yang sememangnya terbukti telah berjaya melakukannya. Setuju? Mari kita lihat kata-kata mereka dalam menceritakan pengalaman mereka dalam melakukan perkara yang mulia ini. Saya mulakan kali ini di bawah tajuk 'Sedikit demi sedikit'. Tulisan kali ini - dan tulisan-tulisan akan datang insya Allah - bertujuan untuk menegaskan bahawa ulama hadith terdahulu tidaklah secara 'tiba-tiba' atau secara 'ajaib' menguasai kajian hadith. Namun mereka melakukan segala yang termampu berdasarkan usaha yang gigih dan teknik-teknik yang berkesan lagi praktikal.
Kita akan bersama beberapa orang tokoh besar dalam hadith di kurun awal Islam, tokoh-tokoh yang lebih awal daripada al-Bukhari, Muslim dan yang sezaman dengannya...
Qatadah Bin Di'amah ( wafat 118H) dan Ibn Syihab al-Zuhri (wafat 124H) menjelaskan bahawa: Sesiapa yang menuntut hadith sekaligus, maka akan hilanglah ia sekaligus. Mereka menjelaskan bahawa hadith dihafaz sekadar satu ataudua hadith.
Syu'bah Bin al-Hajjaj (wafat 160H): Aku dahulunya datang kepada Qatadah lalu aku bertanya kepadanya sekadar dua hadith lalu dia mengajarnya kepadaku. Kemudian dia berkata: 'ingin aku tambahkan kepadamu?'. Maka aku menjawab: 'Tidak, kecuali setelah aku menghafaz kedua hadith ini dan mahir padanya'.
Syu'bah juga pernah menceritakan bahawa dia menghadiri pengajian hadith daripada Amr Bin Dinar (wafat 126H) sebanyak lima ratus kali tetapi dalam tempoh itu dia hanya mengambil dan menghafaz 100 hadith sahaja. Satu hadith dalam setiap lima kali pengajian.
Abu Qilabah (106H) ketika mengajarkan hadith (untuk dihafaz dan disalin) dia hanya mengajarkan 3 hadith dan dia akan berkata: 'aku telah menyebut banyak hadith'.
Sufyan al-Thauri (161H) menceritakan bahawa ketika dia hadir majlis hadith yang diadakan oleh al-A'masy ( 148H) dan Mansur Bin al-Mu'tamir ( 133H) ,beliau akan mengambil 4 hadith lalu akan beredar dari majlis tersebut.Katanya: 'Aku bimbang hadith akan menjadi banyak dan ia akan hilang dariku'.
Amru Bin al-Harith ( 148H) - yang dipuji kerana kekuatannya menghafaz banyak hadith -menghafaz setiap hari hanya 3 hadith.
Itulah sebahagian daripada nasihat dan pengalaman para tokoh hadith zaman awal menghafaz hadith. Terdapat banyak lagi kisah-kisah dan nasihat sebegini di dalam buku-buku yang mengumpulkan kisah para ulama hadith contohnya seperti buku Siyar A'lam al-Nubala' - al-Dzahabi, al-Jami' Li Akhlaq al-Rawi - al-Khatib al-Baghdadi dan lain-lain lagi. Maklumat di atas saya ringkaskan daripada hasil himpunan Ahmad Bin Faris al-Salum dalam bukunya 'Hifzullah al-Sunnah' - cetakan Dar al-Basyaair al-Islamiyyah,m/surat 195-197. .
Semoga kita bertemu lagi dalam tulisan akan datang untuk mengenali dengan lebih dekat bagaimanakah caranya mereka berjaya menghafaz hadith. Diharap ia membangkitkan rasa dalam diri kita untuk menghafaz hadith, kalau tak dapat banyak, sedikit pun sudah amat baik dan berfaedah.
alitantawi