Islam dan Demokrasi: Suatu Analisis Teoritis

Primary tabs

Jeremy P. Barker, Zirve University | (Diterjemahkan oleh Ahmad Nabil Amir, Abduh Study Group, IRF)

Persoalan tentang kesejajaran antara Islam dan demokrasi telah berlarutan selama beberapa generasi. Perkembangan terbaru dalam teknologi, pengangkutan dan komunikasi telah memungkinkan interaksi antara negara “demokratik” di Barat dan masyarakat tradisional Islam di Timur Tengah dan Afrika Utara diperkuat dan diangkat. Perkembangan politik, agama dan sosial dari pelbagai budaya kini hanya sejauh capaian televisyen atau internet saja.

Peristiwa terbaru di Timur Tengah, yang dimungkinkan dengan kemajuan teknologi ini, hanya telah mengangkat wacana tentang peranan demokrasi di rantau tersebut. Hasil revolusi ini masih belum jelas dan akan menyediakan suatu kes pengujian yang paling mutakhir dalam pelaksanaan demokrasi di negara majoriti umat Islam.

Sementara keabsahan seluruh tesisnya masih terus dipertengkarkan, telahan Samuel Huntington adalah tepat tatkala beliau mengungkapkan tentang era selepas-Perang Dingin, “dalam politik ketamadunan, rakyat dan kerajaan daripada selain-peradaban Barat tidak lagi menjadi [sic] objek sejarah sebagai sasaran kolonialisme Barat tetapi mereka turut menyertai negara Barat sebagai penggerak dan pencorak sejarah” (Huntington 1993:23). Sementara kuasa Barat, Amerika Syarikat yang paling terkemuka di antaranya, masih menzahirkan pengaruh yang besar dalam ehwal sejagat, namun tujahan pengaruh telah beralih.

Sepertimana dunia telah menjadi semakin “mendatar”, untuk menggunakan ungkapan Thomas Friedman (2007), kesejajaran dalam sistem pemikiran yang bersaing tampil sebagai topik yang lebih kerap diperdebat. Di garis hadapan perdebatan ini adalah kesejajaran antara Islam dan demokrasi. Disebabkan percambahan aliran dan kerencaman penafsiran terhadap kedua ideologi ini, maka perbincangannya cukup masif dan luas.

Bagi mengupayakan kefahaman terhadap topik ini maka skop artikel ini akan meneroka kedua sistem ini bagi memperlihatkan kedua nilai utama dan potensi penghakisannya dan seterusnya menzahirkan senario yang berpotensi lahir daripada realiti ini. Pada akhirnya akan zahir bahawa terdapat titik persamaan yang memungkinkan Islam dan demokrasi berganding dalam keharmonian dan juga terdapat pencabulan yang menerbitkan konflik yang keras.

Demokrasi

Pemakaian kata “demokrasi” menghadirkan pelbagai imej kepada fikiran. Dasar kepada sistem kerajaan ini berakar kepada tatanan negara-kota yang terpasak daripada pemerintahan Yunani kuno. Dalam rangka kontemporer ia boleh merujuk kepada pertengkaran hujah tanpa lunas hukum yang terungkap daripada mesyuarat dewan bandaran atau kepada perwakilan struktur politik yang kompleks daripada kebanyakan negara Barat.

Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan “demokrasi?” Apakah komponennya yang fundamental? Apakah ketempangannya? Dalam rangka untuk menilai sama ada Islam sejajar dengan demokrasi adalah penting untuk menghuraikan apakah sebenarnya yang dimaksudkan oleh terminologi ini.

Demokrasi: Secara Prinsip

Berdasarkan definisi yang mudah, demokrasi adalah sistem kerajaan oleh rakyat berbanding oleh satu individu atau kelompok elit. Ia boleh dimaknakan sebagai kerajaan oleh sokongan populis; suatu bentuk kerajaan yang mana kuasa tertinggi terletak kepada rakyat dan dikendalikan secara langsung oleh mereka atau oleh perwakilan mereka yang dilantik secara bebas.

Pemberian kuasa tertinggi kepada rakyat ini harus tertakluk kepada beberapa semakan supaya tidak mudah terhakis menjadi anarki dan perebutan kuasa di dalam masyarakat itu sendiri. Dalam kebanyakan negara moden demokrasi adalah setanding dengan bentuk kerajaan republik di mana rakyat mempunyai kuasa secara bebas untuk memilih perwakilan yang bertindak di atas kepentingannya yang terbaik.

Mereka memilih perwakilan untuk mentadbir bagi pihak mereka dan dengan itu telah menyerahkan sejumlah kuasa yang dipegang oleh mereka. Dalam gagasan demokrasi, hal ini disempurnakan dengan kerelaan, dan justeru teras penting dalam demokrasi adalah ide tentang pilihanraya yang bebas. Bagaimanapun, ide ini sahaja tidak serupa dengan demokrasi yang sihat. “Pilihanraya yang bebas” tidak semestinya seerti dengan demokrasi.

Terdapat beberapa prinsip asas yang lain dalam demokrasi. Sebagaimana Roger Trigg, dalam karyanya yang mendalam  Religion in Public Life (Agama dalam Kehidupan Awam) (2007: 130) mengungkapkan: “ sebuah negara demoratik adalah negara yang mana kerajaan bertanggungjawab kepada rakyat, dan boleh disingkirkan oleh mereka dalam pilihanraya. Manakala rakyat telah melepaskan beberapa hak, namun mereka masih memegang kuasa tertinggi ke atas pegawai yang dilantik”.

Justeru Trigg merumuskan:

“Pra-syarat daripada pelaksanaan demokrasi tersebut adalah kebebasan individu berasaskan kebijakan bahawa semua rakyat adalah bebas untuk menentukan keputusan tentang apa yang penting, dan untuk mempertahankan kehidupan sepertinya. Sebuah negara di mana rakyat diarah tentang apa yang boleh difikir, atau disyaratkan melalui maklumat yang disaring daripada menerima beberapa perkara sebagai benar, adalah mengawal rakyatnya berbanding dikawal oleh mereka.”

Pemeliharaan dan penyempurnaan kebebasan individu adalah perlu untuk memastikan demokrasi berfungsi dengan berkesan. Prinsip yang fundamental ini mempunyai kesan yang jauh dalam pembentukan sebuah demokrasi. Demokrasi adalah pemerintahan oleh rakyat secara kolektif, tetapi ia harus berpijak daripada kemahuan individu yang bebas yang melahirkan gabungan yang kolektif ini. Pemeliharaan hak dan kebebasan individu membawa kepada pemugaran prinsip dan nuansa demokrasi yang lain.

Pelaksanaan kebebasan individu dalam masyarakat melahirkan beberapa budaya dinamik yang telah menjadi mercu tanda dalam masyarakat demokrasi. Bassam Tibi berulang kali menekankan dua dari dinamisme budaya ini yang bercambah dalam masyarakat demokratik yang sebenar. Beliau mengungkapkan, “andaian saya di sini adalah pluralisme dan perkongsian-kuasa adalah ciri-ciri asas dalam demokrasi. […] saya berpandangan bahawa proses demokratisasi yang terbatas kepada prosedur pengundian bukan suatu proses demokratisasi yang hakiki” (2009: 139).

Dua elemen penting daripada pluralisme dan perkongsian kuasa ini muncul berulang kali sepanjang karya Tibi. Pluralisme adalah hasil yang logik daripada pelaksanaan kebebasan individu. Apabila rakyat dibenarkan untuk berfikir dan bertindak dengan bebas di dalam masyarakat hasilnya adalah bercambahnya kepelbagaian ide, fikiran, dan suara dalam ruang umum. Sebuah demokrasi meraikan perbezaan ide dalam sebuah bangsa.

Nilai penting yang kedua yang dicanangkan Tibi adalah perkongsian kuasa. Dalam demokrasi yang subur pemerintah yang berkuasa tidak hanya dikuasai oleh segmen yang kecil daripada populasi tetapi dikongsi oleh seluruh kelompok rakyat. Kerana itu suara terbanyak (pluralis), kebebasan individu, diwakili tidak hanya dalam masyarakat tetapi juga dalam praktis kuasa oleh pemerintah. Nilai-nilai ini adalah bermakna kepada demokrasi yang sebenar. Justeru dalam membahaskan kesejajaran antara Islam dan demokrasi ia harus menimbangkan sama ada Islam adalah serasi dengan prinsip penting ini. Ia juga harus dibincangkan bagaimana prinsip-prinsip ini diterjemahkan dalam amalan demokrasi yang rancak.

 

Demokrasi: Secara Praktis

Di antara banyak nilai yang dihargakan dalam masyarakat demokratik yang paling utama adalah kebebasan individu, pluralisme, dan perkongsian-kuasa. Apabila nilai-nilai ini dizahirkan dalam praktis ia mempunyai potensi untuk menghasilkan suatu bentuk pentadbiran yang mempertahankan kesamaan dan keadilan dari kerajaan yang manusiawi. Khususnya sepanjang tiga abad yang lampau, kebanyakan masyarakat yang paling bahagia, yang paling produktif, dan yang paling terkehadapan adalah daripada kalangan di mana nilai-nilai pokok ini diangkat dan dihargakan dan diterjemahkan secara tuntas.

Nilai-nilai ini telah direalisasikan dengan sepenuh kebebasan di negara-negara Barat, tetapi turut  diiktiraf dan diraikan oleh masyarakat antarabangsa. Sebagai satu contoh daripada kenyataan ini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 1948 telah menggariskan “Deklarasi Antarabangsa Hak-Hak Kemanusiaan”nya. Dalam menjalankan ide-ide demokratik deklarasi ini menyeru anggotanya untuk “melaksanakan hak-hak kemanusiaan yang menetapkan keutamaan untuk melindungi hak seseorang individu terlebih dahulu daripada matlamat-matlamat lain sesuatu negara itu” (Houeyda, 2004: 230).

Untuk menegakkan polisi yang seperti ini pada logiknya hanya dapat diusahakan dalam masyarakat yang mana kuasa dipegang oleh individu berbanding oleh pimpinan politik. Sungguhpun begitu, ide tentang hak kemanusiaan telah, dan masih, didakap oleh semua negara anggota Bangsa-Bangsa Bersatu. Dalam penelaahan ini akan dirungkai dan diselidik bagaimana realiti ini berinteraksi dengan Islam.

Aspek kedua daripada pelaksanaan nilai demokratik adalah manakala ia dikerah ke tahap yang ekstrim nilai-nilai ini secara logiknya mencipta posisi yang tidak mampan. Contoh yang paling utama daripada hal ini dilihat dalam pluralisme. Ide tentang suara dan ide yang pluralis di dalam masyarakat adalah fundamental terhadap demokrasi yang segar. Namun begitu, pencarian nilai pluralisme tidak harus menjadi matlamat akhir daripada demokrasi.

Apabila hal ini menjadi objektif terakhir ia mencipta suatu budaya di mana mustahil untuk mempertahankan mana-mana kepercayaan kerana menjadi kewajiban ke atas individu untuk menganut semua kepercayaan. Apabila toleransi dihargakan ke atas semua nilai yang lain dan sebarang rupa kebenaran disingkirkan daripada ruang awam, masyarakat mula kehilangan suara yang autentik kerana semua suara mengutarakan ide yang sama.

Tiada ide yang dibenarkan untuk diungkap dengan bebas kerana ia mungkin tidak mewakili kesemua ide. Pada hakikatnya ini melahirkan liberalisme yang dipaksa. Seperti Roger Trigg nyatakan “liberalisme yang dipaksa akan dibantah oleh sebahagian orang, sepertimana golongan liberal pula membantah sikap dogmatik yang tidak toleran” (2007: 139).

Perdebatan tentang sejauh mana “pluraliti” ini harus berkembang sebelum ia mencapai “pluralisme” kini sedang amuk bertiup di Eropah Barat dan Amerika Syarikat. Pendirian yang diambil oleh masyarakat demokratik terhadap isu ini akan menghasilkan kesan yang signifikan terhadap cara ia berinteraksi dengan Islam dan mana-mana sistem kepercayaan.

Pencabulan lain daripada prinsip demokratik adalah ketika masyarakat terbenam dalam relativisme. Di atas nama toleransi atau pluralisme banyak masyarakat demokratik telah mengiystiharkan bahawa kebenaran mutlak tidak-wujud. Untuk menegaskan bahawa sesuatu hal mempunyai nilai kebenaran yang universal merupakan aksi ultimatum yang nyah toleran dan eksklusif.

Dalam rangka untuk menghindari kecenderungan ini maka tiada lagi ruang yang absolut di dalam lapangan awam. Pada akhirnya hal ini akan menyingkirkan sebarang makna daripada mana-mana sistem kepercayaan yang formal. Malah bagi agama monotestik dunia, yakni Islam, Kristian, atau Yahudi, sekiranya mereka ungkapkan tiada sesuatu yang absolut bermakna tiada sesuatu yang mereka ungkapkan sama sekali. Atau diungkapkan dengan cara lain, “kebebasan agama mungkin merupakan keyakinan yang mulia, tetapi tiada makna untuk menyampaikannya, sekiranya tiada sesuatu yang tinggal untuk diyakini lagi” (Trigg, 2007: 139).

Pertempuran melibatkan kebenaran ini – dan dakwaan kebenaran – dalam demokrasi moden tidak dapat dirungkai tetapi akan menzahirkan kesan yang serius terhadap isu kebebasan mengucapkan keyakinan agama dalam tahun-tahun mendatang. Tidak sukar untuk membayangkan seorang da‘i ditahan dan dipenjarakan kerana menyampaikan “ucapan jelek” lantaran beliau membaca halaman daripada Bible yang mengharamkan amalan homoseks atau atlit sekolah tinggi dihukum kerana beliau berdoa ketika acara perlawanan bola sepak. [1]

Apakah ruang keyakinan peribadi dalam sebuah demokrasi? Di atas nama membenarkan setiap orang untuk percaya apa yang mereka pilih mungkin demokrasi telah membuatkan mustahil untuk individu percaya pada apa saja.

Dalam amalan demokrasi adakah wujud ruang yang tinggal untuk meyakini apa yang benar atau adakah upaya untuk mengejar kebebasan individu dan pluraliti telah terhakis kepada pluralisme dan relativisme? Pada prinsipnya terdapat keharmonian antara nilai teras demokrasi dan kebebasan untuk menyempurnakan keyakinan agama seseorang, tetapi secara praktis kebanyakan demokrasi moden melihat pembenturan yang keras antara agama dan demokrasi.

 

Islam

Islam ditemui pada kurun ke 7 Masihi di Semenanjung Arab, dan kini telah berkembang menjadi agama terbesar yang paling terancang di dunia. Hampir satu-perlima dari populasi dunia adalah Muslim. [2] Islam sendiri adalah jauh daripada bersifat monolitik. Pemisahan yang paling ketara adalah antara majoriti Sunni dan minoriti Shi‘ah, tetapi terdapat lebih banyak fragmentasi melangkaui sekadar perpecahan ini. Sebelum menimbangkan apa jua fragmentasi dalam Islam pertamanya harus dihuraikan apakah prinsip utama yang fundamental dalam Islam.

 

Islam: Secara Prinsip

Untuk menghuraikan dengan jelas nilai utama dalam Islam adalah tugas yang mengusutkan. Tulisan ini sama sekali tidak bercadang untuk melakukan penelitian yang menyeluruh tentang prinsip Islam. Justeru bagi menggarap rumusan yang ringkas daripada prinsip ini seseorang mungkin bermula dengan melihat kepada lima “rukun Islam.” Hal ini merujuk pada lima kewajipan terhadap setiap Muslim. Asasnya adalah shahadah[3] atau penyaksian keimanan. Demikian ini adalah pengakuan bahawa “tidak ada Tuhan selain Allah, dan Nabi Muhammad adalah rasul yang diutuskanNya.”

Termasuk dalam pernyataan ini dua konsep yang penting untuk memahami Islam. Pertama, keesaan dan ketauhidan Tuhan terangkum sebagai doktrin Islam yang pokok. Konsep kedua yang diwahyukan dalam hal ini adalah kepentingan Nabi Muhammad kepada umat Islam. Peranan Baginda dalam pembentukan aqidah dan budaya Islam tidak dapat diungkapkan dengan berlebihan, walaupun kini telah melampaui 1300 tahun sejak kewafatan Baginda.

Cara kedua untuk melihat prinsip Islam adalah daripada pengertian ungkapan Islam sendiri. Islam bermaksud “penyerahan” kepada Tuhan. Lantaran itu seorang Muslim adalah “seorang yang tunduk menyerah.” Ia memperlihatkan orientasi seorang Muslim. Ia memandang hidupnya sebagai penyerahan kepada Tuhan dan kemudian cuba untuk hidup sebagai respon terhadap prinsip tersebut. Sumber autoriti bagi seorang Muslim ditemui pertamanya dalam al-Qur’an, kemudian dalam himpunan perkataan dan rakaman sirah kehidupan Nabi Muhammad, dan juga dari pandangan kolektif (ijma‘) komuniti Muslim.

Sebagai seorang yang sujud menyerah kepada Tuhan Muslim dengan itu hidup berdasarkan perintah yang Tuhan telah gariskan kepada mereka. Dalam Surah 2:177 kebaikan bagi Muslim disifatkan sebagai meliputi keduanya kepercayaan kepada Tuhan, kitabNya, dan Nabi-NabiNya, dan juga akhlak Muslim, khususnya yang berkait dengan persaudaraan sesama manusia.

Hal ini diperihalkan sebagai kerelaan menafkahkan harta kepada insan yang lain, penekanan tentang pelayanan yang wajar terhadap kalangan yang miskin dan anak yatim, dan mempertahankan integriti (maruah) kehidupan. Daripada al-Qur’an lahir prinsip kehidupan yang harus ditempuh Muslim. Dengan perkataan lain, daripada aqidah Islam terbit perbuatan yang mempengaruhi cara Muslim berhubung antara sesama mereka dan kepada masyarakat dunia seluruhnya.

Secara prinsipnya Islam adalah agama yang menzahirkan kepada Muslim siapakah Tuhan itu - suatu teologi.[4] Hasil daripada teologi ini melahirkan sistem praktis bagi Muslim sebagaimana ia dizahirkan dalam amalan. Sistem ini mempunyai elemen pokok seperti lima rukun Islam. Ia juga menuntut Muslim untuk didefinisi dengan kebaikan sebagaimana dihuraikan dalam al-Qur’an. Tetapi bagaimanakah yang terlihat daripada prinsip ini apabila ia diamalkan?

 

Islam: Secara Praktis

Apabila Islam, seperti mana-mana sistem kepercayaan atau ideologi, diterjemahkan dalam amalan terdapat pelbagai bentuk pemakaian dan pentafsiran. Selain pemisahan berdasarkan perbezaan teologi/sejarah, yakni pembahagian Sunni dan Shi‘ah, Islam pada saat ini menghadapi divisi yang besar dalam aspek praktis.

Terdapat perdebatan tentang bagaimana prinsip Islam harus diaplikasi. Adakah Islam suatu sistem kepercayaan yang holistik (menyeluruh)? Adakah ia menyentuh seluruh lapangan hidup? Sekiranya ia memang terpakai ke seluruh lapangan kehidupan adakah ini melalui perintah yang spesifik atau hanya bersandarkan prinsip? Cara persoalan ini dijawab memberi indikasi tentang bagaimana Islam akan kelihatan dalam rupa praktis.

Dalam artikelnya yang kritis, Bassam Tibi menggariskan pembahagian terhadap istilah Islam dan Islamisme. Beliau menyebutkan Islam sebagai agama, budaya, dan sumber etika, sementara Islamisme adalah “mobilisasi ideologi agama, yang diwakili oleh gerakan yang melangkaui sempadan bangsa yang tidak hanya terlibat dalam bentuk baru peperangan yang tak menentu tetapi juga, dalam konteks yang lain, secara sinis memutar dan memanipulasi permainan demokrasi” (2009: 136-37).

Beliau menggariskan perbezaan antara kelompok Islamis yang bercorak “institusi” dan “jihadi” tetapi pembahagiannya hanya pada cara dan bukan pada matlamat. Keduanya berkongsi visi politik antarabangsa untuk mencapai Islamisasi sejagat (Tibi, 2009: 155).

Dengan itu sebenarnya terdapat dua wacana yang terpisah yang terjelma. Satu adalah sama ada Islam secara prinsip atau pada dasar teologi adalah tidak sejajar dengan demokrasi. Yang lain adalah sama ada wujud ketidak sejajaran apabila diaplikasi terhadap situasi kini dalam sebuah kumpulan Muslim tertentu yang berkembang dalam demokrasi yang tertentu atau kepada masyarakat Muslim yang berada dalam demokrasi yang sedang bangkit (Minkenberg, 2007).

Wacana pertama memerihalkan Islam sebagai sistem keyakinan, praktis budaya, dan akhlak. Sebagaimana ditinjau dalam seksyen di atas, secara prinsipnya Islam mampu melahirkan manusia yang kukuh berakar dengan akhlaknya melalui keyakinan kepada Tuhan, dan hal ini akan melahirkan kehidupan yang “baik”, yakni kesediaan untuk mengeluarkan nafkah pada yang lain, keprihatinan terhadap yang kurang bernasib baik, integriti dalam hidup, dan bermacam lagi karakteristik yang terpuji. Melalui aplikasi Islam terhadap nilai yang prinsipal ini, maka ia dapat diaplikasi terhadap setiap ruang kehidupan dan masih sejajar dengan pelbagai sistem politik, termasuk demokrasi.

Dalam aplikasi kedua, sekiranya Islam dilihat sebagai “visi holistik” bagi masyarakat yang mendikte tidak hanya bagaimana seorang individu harus kelihatan, tetapi juga apakah budaya itu sendiri, termasuk struktur politik, maka pasti terdapat dalam sejarah peningkatan yang hebat terhadap kemungkinan tercetusnya konflik dan sekatan terhadap kebebasan awam. [5]

Hal ini terserlah sebagai suatu yang benar bagi kelompok Islamis yang mempunyai visi global untuk mencapai Islamisasi berasaskan shari’ah. Walaupun jika objektif ini dituntut melalui seakan saluran demokrasi, sebagaimana golongan Islamis yang berinstitusi seperti dalam analisis Tibi yang lakukan, hal ini sebenarnya tidak mencerminkan masyarakat demokratik yang sebenarnya.

Trigg menimbangkan wacana agama seperti ini dengan mandat tentang bagaimana seluruh kehidupan harus diatur. Beliau menyatakan, “perhatian mereka terhadap kebenaran, dan selanjutnya kesediaan untuk memaksakannya ke atas kelompok yang lain diberikan keutamaan [daripada kebebasan individual].” Hal ini tentunya tidak eksklusif hanya pada Islam, bahkan menurut Trigg, “Gereja Katolik Roman pernah didakwa dalam sejarah kerana tidak menghormati kebebasan beragama, tetapi dalam dunia kontemporer, seringnya Islam yang mencabar ide ‘Barat’ tentang kebebasan dan hak kemanusiaan” (2007: 134).

Untuk melahirkan demokrasi yang tulen dan kebebasan agama ia tidak boleh dipaksa daripada kuasa atasan. Ia harus dipugar dalam budaya kebebasan bagi individu untuk mencapai rumusannya sendiri tentang keyakinan peribadi – dan malah hak untuk merubah keyakinan tersebut – tanpa khuatir terhadap campur tangan pemerintah (Trigg, 2007: 134-36). Bagi gerombolan Islamis, hal ini kelihatan tidak senada dengan aspirasi kesejagatan Islam mereka.


Konklusi

Bagi mengakses isu ini dengan tepat maka prinsip yang dibincangkan harus didefinisikan dengan jelas. Harus juga ditegaskan sama ada perbincangan ini bercorak deskriptif atau preskriptif terhadap isu yang dibangkitkan. Pada dasarnya, adakah artikel ini cuba untuk menghuraikan realiti sekarang atau hanya mengupas ruang lingkup hal yang mungkin atau harus berlaku?

Artikel ini telah cuba mendekati isu tentang kesejajaran antara Islam dan demokrasi berteraskan kedua pendekatan. Ia telah melihat pada keupayaan demokrasi dan kemungkinan untuk atau yang harus terjadi apabila prinsip-prinsip utamanya diaplikasi dengan wajar. Ia juga telah menimbangkan kedudukan Islam apabila diterjemahkan sebagai sistem kepercayaan dan sumber etika.

Tetapi harus disedari bahawa terdapat juga pelanggaran terhadap kedua-dua isu ini. Demokrasi yang dikerah ke tahap ekstrim membawa kepada pluralisme dan relativisme. Islam yang dibawa ke sudut ekstrim menjurus kepada agama paksaan dan opresif oleh kalangan yang mempertahankan pandangan berbeza. Pada akhirnya, hal ini adalah perbincangan yang kompleks dengan pelbagai kemungkinan yang harus diambil kira.

Kesimpulan daripada analisis ini telah menemukan empat senario yang lahir daripada perkaitan antara Islam dan demokrasi. Daripada empat senario ini tiga darinya tidak sejajar dan pasti menjurus kepada konflik.

Pertama adalah sebuah masyarakat di mana nilai demokratik yang pluralis dan kebebasan individu telah dibawa begitu jauh hingga ia membawa kepada pluralisme, di mana tiada sesuatu yang dapat dipercayai kerana setiap suatu harus dipercayai, dan relativisme, di mana tiada sesuatu yang benar kerana akan lahir sesuatu yang salah.

Dalam masyarakat yang seperti ini meskipun bagi seorang Muslim yang melihat Islam cuma pada rangka teologi dan etika saja akan dikecualikan kerana ia mempunyai keyakinan terhadap Tuhan yang tidak dianut oleh kalangan lain dalam masyarakat. Hal ini merupakan kenyataan di mana sebahagian kumpulan Kristian dan Islam sedang depani dalam masyarakat Barat.  Di atas nama mempertahankan kebebasan individu, pengamalan prinsip kebebasan tersebut dihalang. Hal ini tentunya membawa padah kepada rakyat perseorangan yang dicantas daripada menyempurnakan kebebasan individunya.

Senario kedua adalah seperti bentuk masyarakat demokratik ketika ia berhubungan dengan ideologi Islamis yang berusaha menggerakkan dakyah Islamisasi sejagat. Dalam pusingan pertama masyarakat akan menerima ideologi ini kerana ia adalah suara alternatif yang memperkuat ide pluralisme. Bagaimanapun, setelah terbukti bahawa ideologi Islamis sebenarnya tidak bersedia untuk tunduk kepada agenda relativis dan pluralis, maka satu bentuk konflik dan benturan lainnya bakal tercetus. Konflik ini kelihatan akan lahir di negara Eropah Barat yang mempunyai komuniti Islam yang bercambah dan komitmen yang tuntas terhadap pluralisme dan relativisme. Sama ada masyarakat itu akan menerima ideologi tersebut atau akan tercetus pertentangan budaya sebagaimana dua agenda yang berbeza ini bertempur dalam lapangan awam.

Senario ketiga adalah ketika masyarakat demokratik yang mempertahankan nilai kebebasan individu berinteraksi dengan agenda Islamis yang berusaha menyekat hak tersebut. Dalam senario ini akan tercetus pembenturan manakala demokrasi dipaksa mengenakan had ke atas pemenuhan hak seseorang individu kerana niat mereka sebenarnya adalah untuk menghapuskan hak individu yang lain. “Dilemanya adalah bagaimana untuk menyingkirkan relativisme, dan pada masa yang sama tidak terbenam dengan pendekatan autokratik yang melantarkan kebebasan demokrasi menjadi mustahil” (Trigg, 2007: 140). Hal ini adalah kes yang sukar dalam negara di mana demokrasi telah berdiri. Ia sebaliknya adalah faktor yang menghasilkan kesukaran bagi sebuah demokrasi yang kuat untuk bercambah dalam negara majoriti umat Islam. Justeru dalam senario ini zahirnya pembenturan dan ketidak sejajaran antara Islam dan demokrasi.

Di sana terungkap senario terakhir di mana Islam dan demokrasi adalah sejajar. Apabila kerangka ideal daripada keduanya disempurnakan dengan tepat wujud ruang bagi individu Muslim dalam demokrasi yang berfungsi, dan juga ruang untuk demokrasi dalam komuniti Muslim yang sihat. Perlaksanaan kebebasan individu memungkinkan Muslim untuk hidup berdasarkan sistem kepercayaannya. Mereka justeru akan menjadi rakyat yang berfaedah di dalam demokrasi yang disebabkan keyakinannya kepada Tuhan akan mengiktiraf insan lain dalam negaranya, menunjukkan keprihatinan terhadap yang kurang bernasib baik dan mempertahankan kehidupan yang bermaruah.

Kedudukan agama dalam sebuah demokrasi adalah suatu persoalan yang kompleks tetapi ianya patut diserlahkan dengan nyata bahawa terdapat ruang untuk menyempurnakan tidak hanya untuk agama yang dianut rakyat majoriti, tetapi juga realiti kebebasan agama untuk kelompok minoriti (Minkenberg, 2007: 897). Apabila keduanya disempurnakan dengan wajar maka wujud kesejajaran antara Islam dan demokrasi. Kedua ideologi ini dapat berfungsi seiring untuk mencipta budaya yang segar dan rancak.


Bibliografi

Friedman, Thomas. The World is Flat 3.0. New York: Picador, 2007.

Houeyda, Fereydoun. “Democracy and Islam” American Foreign Policy Interests (Vol. 26, 2004): 229-33.

Huntington, Samuel. “The Clash of Civilizations?” Foreign Affairs (Musim Panas 1993): 22-49.

Minkenberg, Michael. “Democracy and Religion: Theoretical and Empirical Observations on the Relationship between Christianity, Islam and Liberal Democracy” Journal of Ethnic and Migration Studies (Vol. 33, 2007): 887-909.

“Muslims More Numerous than Catholics: Vatican.” Reuters. March 30, 2008. Diakses: December 26, 2010.http://uk.reuters.com/article/idUKL3068682420080330.

Tibi, Bassam. “Islamism and Democracy: On the Compatibility of Institutional Islamism and the Political Culture of Democracy.” Totalitarian Movements and Political Religions. (Vol. 10, No. 2, Jun 2009): 135-64.

Trigg, Roger. Religion in Public Life: Must Faith Be Privatized? Oxford: Oxford University Press, 2007.

 


1 Di Amerika Syarikat, Kanada dan Eropah Barat kasus politik yang melibatkan hal ini sedang diperhujah berkait isu seperti ini. Terdapat juga khabar dan laporan berita yang boleh dirujuk bagi menunjukkan bagaimana isu mengaitkan agama dalam kehidupan awam adalah isu yang lantang diperdebat.

2 Ia telah diisytiharkan secara rasmi oleh Vatican pada 2008 bahawa Islam dan anggaran 1.3 bilion penganutnya sekarang, buat pertama kali, telah mengatasi penganut gereja Katolik. Vatican membuat pemisahan yang tepat antaranya, sebuah gereja Ortodoks, dan cabang-cabang Kristian yang lain sebagai entiti yang berlainan. “Muslims More Numerous than Catholics: Vatican.” Reuters. March 30, 2008. Diakses pada Disember 26, 2010. http://uk.reuters.com/article/idUKL3068682420080330.

3 Transliterasi daripada Arab ke Inggeris sering menghasilkan perbezaan ejaan. Kertas ini akan menggunakan versi Anglica yang popular dari perkataan Arab.

Kertas ini tidak berhasrat mengusulkan makalah apologetik atau kritik ke atas teologi (kalam) Islam tetapi lebih menimbangkan bagaimana aqidah ini berinteraksi dan memberi impak dalam ruang kehidupan umatnya. Lihat interaksi Minkenberg dengan kajian mutakhir dalam buku Southern and Eastern Europe (Selatan dan Timur Eropah). Analisisnya adalah agama dengan pandangan yang holistik terhadap masyarakat, seperti Katolik dan Islam, secara tradisionalnya membawa kekangan terhadap kebebasan sivil, khususnya terhadap kumpulan minoriti. Ibid., 889.  Diterbitkan oleh Jurnal “International Relations”.