Bahaya Minuman Berkarbonat

Primary tabs

MASSACHUSETTS 13 Mac - Satu gelas minuman berkarbonat setiap hari boleh meningkatkan risiko serangan jantung, menurut sekumpulan penyelidik dari Universiti Harvard.

Kajian yang dilakukan ke atas lebih 40,000 lelaki menunjukkan, minuman yang penuh dengan kandungan gula itu meningkatkan risiko serangan jantung sehingga 20 peratus, termasuk boleh menyebabkan kematian.

Ketua penyelidik Dr. Lawrence de Koning berkata, tubuh akan bertindak mengimbangi pengambilan gula berlebihan dengan menghasilkan lemak simpanan dan sesetengah daripadanya tidak baik untuk jantung.

Menurutnya, ujian dalam sampel darah menunjukkan mereka yang mengambil minuman bergula berpotensi memiliki lemak dan protein yang tinggi dalam darah, yang dikaitkan dengan serangan jantung.

Keadaan ini menyebabkan paras kolestrol baik pula menjadi rendah.

Kajian itu juga menunjukkan lebih banyak minuman manis yang diambil seseorang, termasuk jus buah-buahan diawet yang ditambah gula ketika dihasilkan, ia boleh meningkatkan risiko serangan jantung.

Keadaan itu diburukkan lagi dengan faktor lain seperti amalan merokok, obesiti, pengambilan alkohol dan juga gaya hidup yang tidak aktif.

Pasukan penyelidik membuat kesimpulan tersebut selepas menganalisis maklumat yang disediakan oleh responden melalui soal jawab khas setiap dua tahun, antara 1986 dan 2008.

Dr, de Koning bagaimanapun berkata, kajiannya tidak melibatkan pengambilan minuman diet berkarbonat.

"Air masak, kopi dan teh tanpa gula adalah pilihan terbaik selain susu rendah lemak. Namun, tidak pasti pula sama ada jus buah adalah pengganti terbaik kerana kami tidak melakukan ujian mengenainya," tambahnya. - AGENSI [utusan.com.my]


 

 

Kategori Berita: 

Artikel Berkaitan