Nushuz Suami Isteri : Konsep dan Penyelesaiannya Dari Perspektif Hukum

Primary tabs

Oleh Ustaz Abdul Kadir bin Hj. Muhammad

1.0 Pendahuluan
Firman Allah bermaksud, Al-Rum, 20-21
" Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya, bahawa ia menciptakan kamu dari tanah, kamudian kamu menjadi manusia hidup bertaburan di muka bumi. Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya, bahawa ia menciptakan untuk kamu ( laki-laki) isteri-isteri dari kamu sendiri supaya kamu menjadi tenteram ( aman damai ) hidup bersamanya. Dan ia menjadikan antara kamu suami isteri berkasih-kasihan dan belas kasihan. Sesungguhnya demikian itu sebagai tanda ( kebesaran Allah) bagi mereka yang ingin berfikir. "

Firman Allah S.W.T yang bermaksud, Al-Baqarah, 187
" Mereka adalah Pakaian bagimu, dan kamupun adalah Pakaian bagi mereka. "

Itulah hakikat manusia asal kejadiannya adalah dari tanah. Kemudian Allah menjadikan mereka hidup perpasang-pasangan berdasarkan konsep berkasih-kasihan antara satu sama lain. Namun begitu manusia tidak sunyi daipada melakukan kesilapan yang menyentuh hak orang lain. Apabila timbul krisis dalam rumahtangga yang melibatkan suami isteri ia diistilahkan sebagai Nushuz .

Nushuz adalah punca berlakunya krisis atau ketidakstabilan rumah tangga yang kalau tidak dibendung kemungkinan besar membawa kepada perceraian yang termasuk dalam perkara halal yang amat dimurkai Allah. Sebagai jalan keluar bagi menyelesaikan Nushuz secara berpanjangan dan mengelak berlakunya perceraian, maka Islam telah menentukan cara-cara penyelesaiannya..

Perbuatan Nushuz kadangkala berpunca dari isteri dan kadangkala berpunca dari suami dan kadangkala disebabkan oleh kedua-dua belah pihak. Tetapi apa yang berlaku dalam tanggapan masyarakat apabila disebut Nushuz tergambar dalam pemikiran mereka Nushuz hanya berlaku dipihak isteri sahaja, tidak berlaku di pihak suami. Walau apa pun bentuk Nushuz yang berlaku di pihak isteri tidak sama dengan Nushuz yang berlaku dipihak suami.

Dengan itu kaedah penyelesaian pun tidak sama. Berlainan bentuk Nushuz dan berlainan kaedah penyelesaian antara lelaki atau perempuan suatu hakikat yang tidak boleh di nafi kerana ketidaksamaan kejadian lelaki dan perempuan baik dari bentuk fizikal dan emosi. Ini suatu Sunnah Allah bagi menstabilkan kehidupan manusia di dunia.

Bagaimana pun kertas ini akan menghadkan perbincangan kepada bentuk-bentuk Nushuz yang berlaku sama di pihak isteri dan juga di pihak suami serta kaedah penyelesaiannya dari aspek hukum, tidak dari aspek punca atau sebab berlakunya Nushuz. Namun begitu secara umumnya terjadinya Nushuz atau krisis rumahtangga kerana ketidakpatuhan atau tunduk kepada hukum yang ditentukan.

2.0 Pengertian Nushuz

2.1 Pengertian Nushuz Secara Umum.

Nushuz pada pengetian Bahasa, Mengangkat dan Pertelagahan. Pada sudut istilah ialah penolakan taat pasangan suami isteri terhadap satu sama dalam menunaikan hak. Dari pengertian ini jelas Nushuz berlaku di kedua-dua belah pihak.

2.2 Pengertian Nushuz Isteri

Ibn Arabi mengistilahkan Nushuz isteri sebagai al-Imtina` ( menahan ). Isteri menahan dirinya dari melaksana hak suami. Al-Baydawi menjelaskan isteri menarik diri dari mentaati suami Badran Abu al-Aynayn Badran memberi pengertian yang lebih jelas, Nushuz isteri bermaksud sebagai perbuatan isteri tidak mentaati suami, dan termasuklah keluar dari rumah tanpa izin dan tanpa apa-apa alasan yang diharus oleh Syara`.

Dari pengertian di atas dapat difahami apabila dikatakan Nushuz isteri ia bermaksud perlanggaran tanggungjawab oleh isteri terhadap hak-hak suami yang ditetapkan oleh Syara`. Ini memberi erti sebaliknya isteri tidak dikatakan melakukan perbuatan Nushuz sekalipun tidak melaksana hak suami sekiranya mempunyai alasan Syara'.

Kewajipan isteri mentaati suami ialah berasaskan kepada konsep kepimpinan lelaki dalam rumahtangga dan tanggungjawab. Firman Allah, An-Nisa', 34

Laki-laki adalah pemimpin ke atas kaum perempuan dengan apa yang Allah lebihkan setengah kamu ke atas yang lain dan dengan apa yang mereka nafkahkan dari harta mererka itu (laki-laki), perempuan yang salih ialah yang taat kepada Allah …(Lampiran 3)

Ayat ini menjelaskan kewajipan isteri mentaati suami ialah kerana sifat kepimpinan lelaki dan kewajipannya menyediakan segala peruntukan untuk isteri. Oleh kerana hak taat merupakan hak suami, maka suami diberi kuasa menta’dibkan isteri sekiranya berlaku Nushuz.

2.3 Bentuk-bentuk Nushuz Isteri

Isteri dikatakan melakukan perbuatan Nushuz apabila ia melaku perkara berikut :

(i) Keluar Rumah Tanpa Izin .
Isteri disifatkan sebagai melaku perbuatan Nushuz sekiranya ia keluar rumah tanpa mendapat keizinan suami terlebih dahulu kerana asal bagi seseorang perempuan ialah sentiasa berada di rumah suami . Firman Allah, (al-Ahzab : 33)

Hendaklah kamu tetap di rumah-rumah kamu dan jangan sekali-kali kamu keluar sebagaimana orang-orang jahiliah yang dahulu-dahulu. (Lampiran 4)

Ayat ini menjelaskan perempuan di minta supaya sentiasa berada di rumah dan tidak boleh keluar tanpa alasan Syara`.

Dengan itu bererti keluar rumah tanpa izin tidak termasuk dalam perbuatan Nushuz, sekiranya kerana alasan Syara`. Antaranya, seperti rumah yang diduduki tidak sesuai atau tidak terdapat alat keperluan asasi atau kerana gangguan jiran atau sebagainya.

Mengenai keluar rumah kerana menziarahi dua ibu bapa walau pun tanpa izin tidak termasuk dalam perbuatan Nushuz mengikut setengah pandangan, malah mereka berpendapat isteri mempunyai hak menziarahi dua ibu bapa lebih kerap sekiranya dua ibu bapanya sakit dan tidak ada orang lain yang menjaganya. Ini tanpa mengira samada di izin atau tidak oleh suami kerana manusia dituntut oleh Islam membuat kebaikan sedaya yang mampu kepada dua ibu bapa ,samada sebelum atau selepas kahwin dan samada ibu bapa Islam atau tidak.

Hanafi hanya membolehkan isteri menziarahi dua ibu bapa tanpa izin sekirnya mereka sakit sahaja. Dengan lain perkataan menziarahi dua ibu bapa tanpa izin tidak termasuk dalam perbuatan Nushuz sekiranya mereka sakit.

Ada pandangan lain menyatakan makruh suami tidak mengizin isteri menziarahi dua ibu bapanya. Alasannya membuat kebaikan kepada dua ibu bapa dan menghubung tali silaturrahim adalah kewajipan yang dituntut oleh agama. Menghalang mereka menziarahi dua ibu bapa menyebabkan berlaku kerenggangan hubungan dan mendorong mereka melaku perbuatan derhaka. Sedangkan melaku kebaikan dan menghubung silaturrahim adalah satu tuntutan Syara`. Firman Allah, (al-Isra’ : 24), maksudnya

Allah telah memfardukan kepada kamu supaya kamu jangan mengabdikan diri melainkan terhadapNya dan kepada dua ibu bapa hendaklah kamu melaku ihsan. (Lampiran 5)

Hadis Qudsi:

Ertinya, Aku adalah Allah, Aku amat pemurah, Aku jadikan rahim (perhubungan), aku pecahkan namaku baginya (rahim) dari nama Aku, sesiapa yang menyambung tali perhubungan aku akan menyambung tali perhubungannya, dan sesiapa yang memutus tali perhubungan Aku akan memutuskannya.

Dari pendapat di atas ada beberapa pandangan mengenai keluar rumah meziarahi ibu bapa tanpa izin. Pandangan pertama, isteri tidak melaku perbuatan Nushuz sekalipun tidak diizin sama ada sakit atau pun tidak . Pandangan kedua, ziarah ibu bapa semasa sakit tanpa izin sahaja tidak termasuk dalam perbuatan Nushuz dan ketiga menziarahi ibu bapa tanpa izin termasuk dalam perbuatan Nushuz, sama ada sakit atau pun tidak Bagaimana pun makruh suami melarang isteri menziarahi ibu bapa kerana membuat kebaikan kepada mereka adalah tuntutan Syara`

(i) Kedudukan Isteri Keluar Rumah Untuk Bekerja

Isteri keluar untuk bekerja apakah ia tergolong dalam perbuatan Nushuz atau pun tidak. Dalam masalah ini tidak timbul perselisihan pendapat antara ulamak sekiranya mendapat izin suami. Perbuatan itu tidak termasuk dalam perbuatan Nushuz.

Tetapi yang timbul perselisihan sekiranya berlaku penarikan balik izin oleh suami terhadap izin yang diberi. Apakah ia dianggap sebagai melaku perbuatan Nushuz atau pun tidak. Dalam masalah ini ada dua pandangan berbeza.

Pendapat pertama, sebahagian besar ulamak samada ulamak yang terdahulu atau semasa berpendapat setelah berlaku penarikan balik izin dan sekiranya isteri masih lagi keluar untuk bekerja sedangkan segala kemudahan telah disedia suami maka perbuatan itu adalah sebagai perbuatan Nushuz.

Ibn Abidin menyatakan :

Sekiranya ditegah bertenun dan ingkar, keluar tanpa izin suami, maka ia dikira sebagai Nushuz selama mana ia keluar dan sekiranya ia tidak menegah dari keluar maka ia tidak dikira sebagai Nushuz..

Muhammad Abu Zuhrah memberi pendapat yang sama :

Perempuan bekerja apabila diminta berada di rumah, tidak berhak mendapat nafkah apabila ia tidak mematuhi permintaan tersebut. Perbuatan demikian (izin bekerja) dikira sebagai penyerahan tidak sempurna. Suami berhak meminta isteri menyerah diri secara penuh. Enggan mematuhi permintaan suami ia dianggap sebagai melaku perbuatan Nushuz.

Pendapat yang sama dinyatakan oleh Abd al-Rahman Taj, dalam kitabnya al-Shariat al-Islamiyah fi al-Ahwal al-Sakhsiyah dan Umar Abdullah dalam kiatabnya Ahkam al-Shari'at al-Islamiyah fi al-Ahwal al-Sakhsiyah, h.340.

Pendapat Kedua, Menyatakan suami tidak lagi mempunyai hak untuk menarik balik izin sekiranya suami telah memberi keizinan. Ini berdasarkan kepada keputusan oleh Mahkamah Rendah Kaherah, tahun 1956, keputusan Mahkamah Rendah Iskandariah, 1964 Mesir.

Hak untuk tidak boleh menarik balik izin juga sebagaimana dinyatakan oleh Muawwab Abd al-Tawwab. Bagaimana pun ia terikat dengan syarat-syarat di bawah,
Pertama, Apabila disyarat semasa akad pengekalan isteri untuk bekerja atau memberi hak untuk bekerja.
Kedua, Apabila suami mengetahui yang isterinya bekerja sebelum berlaku akad.
Ketiga, Apabila isteri bekerja selepas akad tetapi sebelum dukhul dan suami redha dengan kerja tersebut sama ada keredhaan itu secara terang atau secara tersirat.
Keempat, Apabila isteri bekerja selepas dukhul dan suami redha dengan kerja tersebut, sama ada secara jelas atau tersirat.

Keluar dalam keadaan di atas setelah dipersetujui oleh suami, maka tidak ada hak lagi baginya untuk menghalang dan sekiranya isteri keluar maka ia tidak dianggap sebagai melakukan Nushuz dan tidak menggugur nafkahnya.
Kelima, Apabila isteri terpaksa keluar rumah untuk bekerja kerana kepentingan atau keperluan bagi menambah pendapatan kerana keluar dalam keadaan ini dikira sebagai daruri dan tidak mengugurkan nafkah.

Berhubung dengan pendapat di atas pembentang lebih bersetuju dengan pendapat pertama. kerana hak berada dirumah adalah hak ihtibas al-kamil bagi suami. Ketika ia izin isteri keluar bererti ia redha dengan ikhtibas al-naqis. Tetapi apabila ia menarik balik izin bererti ia tidak lagi redha dengan ikhtibas al-naqis. Dengan itu hak izin suami tidak gugur walaupun keizinan itu telah diberi.

Bagaimana pun Akta Keganasan Rumah Tangga, Akta 524, Sek 2 memperuntukan suami tidak ada hak melarang isteri keluar rumah tanpa kerelaannya. Berasaskan kepada peruntukan ini suami boleh dituduh sebagai melaku perbuatan jenayah sekiranya isteri tidak bersetuju dengan larangan tersebut. Peruntukan ini nampaknya bercanggah dengan hak yang diberi Syara` untuk menegah isteri keluar rumah.. Akta ini dikuatkuasakan sama ada kepada orang Islam dan bukan Islam

Cara Penentuan Izin Bekerja.

Sudah dijelaskan sebahagian besar ulamak dan pendapat yang rajih isteri bekerja di luar rumah dengan izin suami berhak mendapat nafkah. Izin itu boleh dita'birkan dengan beberapa cara. Antaranya, dengan menggunakan lafaz yang sarih (jelas), seperti suami berkata kepada isteri aku izin kamu bekerja atau cara kelakuan, seperti keluar bersama-sama ke tempat kerja ataupun dengan diam yang tidak ada reaksi melarang isteri kerja. Walaupun pada asalnya diam bukan menggambarkan sebagai izin, namun begitu dalam keadaan tertentu diam boleh digambarkan sebagai izin. Ini seperti sebelum berkahwin laki-laki mengetahui yang bakal isterinya bekerja atau sedang memohon pekerjaan dan selepas berkahwin tidak melarang isterinya bekerja atau menghalang hasrat isterinya, maka diam itu boleh dikira sebagai izin.

(ii) Keengganan isteri berpindah rumah bersama suami.

Keenganan isteri berpindah rumah mengikuti suami dikira sebagai perbuatan Nushuz sekiranya rumah yang disediakan itu sesuai. Firma Allah, At-Talaq, 6
tempatkan mereka itu (isteri) dimana kamu bertempat tinggal dan jangan sekali-kali, memudaratkan mereka itu. (Lampiran 6)

Rumah atau tempat tinggal yang sesuai mestilah dapat memenuhi ciri-ciri berikut:
i. Rumah yang disedia sesuai untuk mereka tinggal bersama dan mempunyai keperluan asasi yang sesuai, berdasarkan kepada keadaan dan kemampuan kewangan suami.
ii. Rumah adalah dikhas untuk mereka berdua sahaja kecualilah anak-anak suami dari isteri yang terdahulu yang belum mumayyiz. Tinggal bersama orang lain kadang-kadang menyusah dan menyempitkan mereka.
iii. Rumah yang disediakan dapat menjamin keselamatan terhadap jiwa dan harta isteri.
Berdasarkan syarat-syarat di atas keengganan isteri berpindah mengikuti suami kerana rumah tidak memenuhi syarat maka keengganan itu tidak tergolong dalam perbuatan Nushuz. Begitu juga keengganan berpindah kerana suami tidak menyegerakan pembayaran mahar yang dipersetujui atau berdasarkan adat.

(iii) Keengganan Musafir Bersama Suami.

Keengganan musafir mengikuti suami juga termasuk dalam perbuatan Nushuz dan sekiranya musafir yang dicadangkan itu memenuhi syarat-syarat berikut:
i. Suami dapat memberi jaminan keselamatan kepada diri dan hartanya semasa musafir
ii. Musafir bukan bertujuan menipu atau menyusahkan isteri
iii. Musafir kerana kepentingan, seperti untuk urusan perniagaan, menuntut ilmu atau pun kerana tugas dan sebagainya.

(iv) Menghalang Suami Masuk Ke Rumah Milik Isteri Selepas Di Izin.

Ini sekiranya isteri telah mengizinkan suami tinggal bersama di rumahnya dan suami tidak diberi tempoh yang sesuai mencari rumah lain dan berpindah terlebih dahulu, maka menghalang atau melarang suami masuk ke rumahnya dikira sebagai melaku perbuatan Nushuz . Tetapi apabila diberi peluang keengganan isteri membenar suaminya masuk ke rumah beliau tidak dianggap sebagai Nushuz kerana rumah itu adalah hak miliknya. Pada asasnya bukan menjadi tanggung jawab isteri menyediakan rumah untuk mereka tinggal bersama. Suami mesti menyediakan tempat tinggal. Keizinan isteri untuk suami tinggal bersamanya samada rumah miliknya atau disewa hanya berasas kepada kerjasama, tolak ansur bukan satu kewajipan sekalipun ketika ikatan perkahwinan masih kekal.

(v) Menghalang Suami Beristimta` .

Istimta’ itu adalah hak suami dan sekiranya isteri menghalang beristimta` tanpa apa-apa hak, maka halangan itu adalah termasuk dalam perbuatan Nushuz sekiranya tanpa apa-apa hak atau apa-apa keuzuran. Abu Hurairah meriwayatkan dari Rasulullah S.A.W bermaksud :

Ertinya, Apabila seorang laki-laki mengajak isterinya ke tempat tidur, tetapi ia enggan, malaikat akan melaknatnya sehingga waktu subuh.

Lagi sabdanya , apabila perempuan berpindah dari tempat tidur suaminya, maka dilaknat oleh malaikat sehingga waktu subuh .

Halangan Kerana Uzur atau Alasan Syarak

Halangan istimta` itu kerana hak atau uzur, maka tidak boleh disifatkan sebagai Nushuz. Halangan kerana hak, antaranya menghalang beristimta` kerana menuntut disegerakan mas kahwin berdasarkan persetujuan atau uruf. Halangan itu tidak tidak boleh dikategorikan sebagai Nushuz kerana mas kahwin itu adalah haknya yang ditentu oleh Syara’.

Halangan kerana uzur tidak juga termasuk dalam perbuatan Nushuz, seperti isteri sakit, berada dalam haid, nifas, atau lain-lain keuzuran Syara'. Alasannya melaku jima` dalam keadaan tersebut boleh menimbulkan kemudaratan kepada isteri. Sabda Rasulullah, jangan melakukan mudarat dan dimudaratkan. Selain dari itu hubungan dalam keadaan haid dan nifas jelas bertentangan dengan Syara`. Firman Allah maksudnya, An-Nisa', 222 :

hendaklah kamu menjauhi perempuan semasa mereka berada dalam haid. (Lampiran 7)

(vi) Meninggalkan fardu-fardu atau tuntutan agama yang diwajibkan oleh Allah S.W.T. Bukan sahaja melaku Nushuz terhadap suami malah termasuk dalam perbuatan maksiat.

2.4 Kaedah Menyelesai Nushuz Isteri

Sebagaimana disebut dalam pendahuluan tadi sistem perkahwinan dalam Islam ialah untuk mewujudkan keharmonian, kasih mengasihani antara pasangan suami isteri dan mengelak perceraian. Sebab itu langkah menta'dib diambil terlebih dahulu sebagaimana berikut :

(i) Memberi Nasihat.

Suami hendaklah mengguna perkataan yang lemah lembut dan bersopan, seperti takutlah kepada Allah dengan melaksana hak saya yang wajib di atas engkau atau lain-lain perkataan yang baik. Moga-moga dengan itu isteri berlembut hati dan kembali taat. Firman Allah, maksudnya, An-Nisa', 34:

" Apabila diketahui Nushuz isteri (kerana melakukan perkara-perkara di atas) nasihtakan mereka. "
Langkah ini di ambil sebelum langkah pemulauan tempat tidur atau pukul secara ta`dib di ambil.

(ii) Berpindah Dari Tempat Tidur
Langkah kedua ini diambil setelah langkah pertama tidak memberi kesan. Firman Allah, maksudnya "Berpindahlah dari tempat tidur mereka". Nabi pernah memulau tempat tidur para isterinya selama sebulan. Bagaimanapun semasa pemulauan tersebut dilarang dari tidak bercakap dengan isteri lebih dari tiga hari. Sabda Rasulullah S.A.W. Maksudnya, tidak halal bagi seseorang Islam tidak bercakap dengan saudaranya lebih dari tiga hari.

(iii) Pukul
Sekiranya Nushuz masih berkekalan suami dibolehkan memukul isteri sebagai pukulan pengajaran untuk menjernihkan kembali rumah tangga yang terganggu, bukan pukulan meluka, mencedera, atau mencacatkan isteri. Pukulan adalah sebagai pilihan terakhir dalam keadaan terdesak. Diriwayatkan dari Aishah (R.A) maksudnya,

Rasulullah tidak pernah memukul isterinya, khadamnya dan tidak memukul dengan tangannya melainkan kerana berjuang pada jalan Allah, atau mereka yang menceroboh perkara yang diharam oleh Allah, maka ia menuntut bela kerana Allah.

Oleh kerana pukulan sebagai pukulan pengajaran, maka suami tidak diboleh memukul isteri dibahagian-bahagian yang sensitif seperti muka, perut, tempat-tempat yang kemungkinan membawa kepada maut.

(iv) Perlantikan Hakim

Sebagai penyelesaian terakhir ialah melalui perlantikan hakim. Firman Allah, Surah Al-Nisa`, ayat 35, maksudnya,

" Sekiranya kamu bimbang berlaku perpecahan antara kamu berdua lantiklah hakim ( orang tengah ) seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan , sekiranya kedua-dua itu mahu mencari perdamaian nescaya Allah akan mempertemukan mereka secara baik. "

Mengikut al-Shafii dan Hanbali hakim tidak ada kuasa mencerai atau pun tebus talak tanpa mendapat mandat dari suami. Tetapi Maliki berpendapat sebaliknya, hakim mempunyai kuasa penuh sama ada hendak mencerai atau tidak tanpa mendapat izin suami atau pun kebenaran hakim .Hanafi pula berpendapat hakim perlu melaporkan perkara tersebut dan hakim mempunyai kuasa sama ada hendak menceraikan atau pun tidak .

3.0 Nushuz Suami dan Bentuknya

Kalau terjadinya Nushuz di pihak isteri, maka demikian juga Nushuz terjadi di pihak suami. Firman Allah maksudnya, An-Nisa', 128

" Sekirannya isteri bimbang dengan Nushuz suaminya atau berlaku keingkaran maka tidak ada apa-apa halangan kamu melakukan tebus talak. "

Secara umumnya Nushuz suami bermaksud suami tidak melaksana hak-hak isteri yang ditentukan Syara`. Dengan ini jelas Nushuz juga berlaku di kalangan suami, sebagaimana ia berlaku di pihak isteri. Cuma bentuk Nushuz dan tindakan yang boleh diambil sahaja berlainan.

Suami diwajibkan menanggung nafkah isteri dan melaksana giliran yang adil. Nafkah dan giliran yang adil adalah hak isteri yang ditentukan berdasarkan nas-nas Syara'. Kegagalan melaksana hak-hak tersebut bererti suami melaku perbuatan Nushuz. Begitu juga Syara` membolehkan suami memukul isteri bertujuan menta`dibkannya. Tetapi sekiranya pukulan berlebihan mendatangkan kemudaratan maka perbuatan itu dikira sebagai Nushuz kerana melanggar hak yang diberi oleh Syara`.

Dengan itu terjadinya Nushuz suami kerana dua perkara, pertama kerana tidak melaksanakan hak dan kedua penyalahgunaan hak.

Tidak melaksanakan hak dijelaskan dalam Majmu` Shar al-Muhazzab seperti berikut :

Apabila ternyata berlaku Nushuz dari suami, seperti ia menghalang sesuatu yang di wajib kepada isteri, seperti nafkah, pakaian, giliran yang adil dan sebagainya hendaklah hakim menempatkan isteri berhampiran mereka yang boleh dipercayai dan adil.

Menyalah guna hak dinyatakan oleh Dr. Harun Din seperti berikut :

Apabila suami berkekalan Nushuz-nya dan tidak mahu berdamai, seperti berpindah tempat tidur atau memukul atau mencaci yang memudaratkan maka isteri berhak melapor perkara tersebut kepada Kadi. Berpindah atau meninggalkan isteri akan menimbul kesukaran yang amat besar kepadanya

Perkara ini telah dinyatakan oleh para ulamak silam, antaranya Mazhab Hanafi :

Apabila suami berkekalan (Nushuz) terhadap isterinya seperti memukul atau menyakiti samada dengan perkataan atau perbuatan, diangkat urusannya kepada Kadi supaya diberi amaran dan untuk menegahnya (suami) dari melaku kemerbahayaan terhadap isteri.

Demikian juga dengan pandangan mazhab Maliki :

Dengan melaku perbuatan terhadap isteri seperti memukul dengan pukulan yang tidak berdasarkan Syara` atau mencela dan seumpamanya … hendaklah hakim menghalang dengan nasihat …

Dari kenyataan di atas di atas ternyata Nushuz berlaku juga di pihak suami sebagaimana berlaku Nushuz di pihak isteri, cuma bentuk Nushuz sahaja berlaianan dengan Nushuz yang dilaku isteri.

3.1 Penyelesaian Nushuz

Setiap permasalahan terdapat penyelesaian. Tindakan-tindakan berikut boleh diambil bagi meyelesai masalah Nushuz yang dilaku oleh suami:

(i) berdamai secara baik.
Langkah aman atau langkah penyelesaian secara baik mesti diutamakan sebelum langkah lain di ambil. Fiman Allah, An-Nisa', 128

Sekiranya isteri bimbang dengan Nushuz suaminya atau berlaku keingkaran maka tidak ada apa-apa halangan mereka berdamai antara mereka berdua dan berdamai itu adalah jalan yang terbaik. (Lampiran 11)

(ii) membuat aduan kepada Kadi

Untuk kali pertama Kadi hendaklah menasihati suami supaya tidak menyakiti atau memukul isteri. Sekiranya suami masih menerus perbuatan itu bolehlah Kadi menta`zir untuk menghalang ia bertindak demikain.

(iii) Berpisah
Sebagai langkah terakhir bolehlah mereka berpisah samada dengan talak atau tebus talak atau pun dengan Fasakh. Untuk langkah ketiga ini perlu ada syarat-syarat tertentu.

4.0 Penutup

Dari perbincangan di atas, Islam menentukan bentuk-bentuk Nushuz, samada dari pihak isteri ataupun suami. Bagi menjamin keharmonian rumahtangga, Islam menentukan kaedah penyelesaian jika berlakunya Nushuz.

Di harap agar seminar ini dapat menghasilkan sesuatu yang berharga dalam usaha pembinaan ikatan keluarga yang mantap dan harmoni.

Sumber: http://www.kias.edu.my/nushus.htm