“Setiap tahun masjid saya berdepan dengan masalah yang sama. Jemaah berbalah tentang kaedah terbaik menyelesaikan masalah mengerjakan solat Isyak pada musim panas di Belfast,” saya memulakan bicara.
Saya merujuk kepada Sheikh Solah Abd al-Fattah al-Khalidi tentang krisis yang tidak berkesudahan di Belfast.
Setiap tahun, apabila tiba musim panas akan ada satu tempoh yang tiada waktu Isyak memandangkan kepada kedudukan Belfast yang jauh ke Hemisfera Utara. Ia situasi yang penyelesaiannya berada di dalam lingkungan masalah zanniyyah. Tiada nas yang solid untuk memutuskan secara mutlak tentang satu-satu hukum. Justeru keluarlah beberapa bentuk penyelesaian untuk membantu umat keluar daripada belenggu masalah.
Agama bukan memerangkap manusia di dalam persoalan yang tiada jawapan.
Fungsi agama memang begitu. Membantu membekalkan jawapan dan penyelesaian. Bukan menawarkan Cul-de-sac.
PENYELESAIAN PRAKTIKAL
Ada beberapa pilihan penyelesaian kepada masalah ini.
Namun pilihan yang paling banyak diguna pakai di kebanyakan masjid di lokasi yang terlibat adalah menjamakkan Solat Maghrib dengan Isyak. Selepas solat Maghrib, jemaah terus bangun dan mengerjakan Solat Isyak. Ada sesetengah masjid menjarakkan sedikit sekitar 15 minit sebelum Isyak dikerjakan.
Tetapi di masjid saya, sentiasa ada sekelompok jemaah tetap yang tetap berdegil. Mereka menolak untuk berjemaah sebaliknya menunggu hingga ke jam 11:50 malam untuk mengerjakan jemaah Isyak kedua di masjid. Malah berkempen pula dengan mengedar risalah membantah keputusan imam dan jemaah di masjid.
Saya tidak resah dengan perbezaan pendapat.
Sebagai Imam, apa yang meresahkan saya adalah perpecahan. Iaitu suatu keadaan yang dikeji Tuhan.
REAKSI SHEIKH SOLAH
Sheikh Solah mendiamkan diri.
Sesiapa sahaja pelajar Malaysia di Jordan yang melazimi kuliah dan tarbiyah Sheikh Solah, faham akan ketinggian sikapnya yang sangat menolak sebarang pencemaran kepada AKHLAQ.
Dulu, beliau yang sangat faqih tentang pemikiran Sayyid Qutb dan Tafsir fee Dhilal al-Quran, pernah ditanya tentang pendiriannya berhubung dengan penerbitan buku Qutubisme: Berhati-hatilah! yang dihasilkan oleh seorang tokoh Ulama’ dari Arab Saudi. Kata Sheikh Solah, “beliau mendekatkan diri kepada Allah dengan mencaci Sayyid Qutb. Biarlah aku mendekatkan diri kepada Allah dengan hanya mendiamkan diri.”
Itu Sheikh Solah yang kami kenali.
“Apakah sudah ada fatwa dikeluarkan tentang masalah ini?” tanya Sheikh Solah.
“Sudah ada. Antaranya adalah fatwa European Fatwa Council yang dipimpin oleh Sheikh Yusuf al-Qaradhawi” saya memberitahu.
FATWA BELIAU
“Jika begitu, aku berpesan kepadamu agar balik ke Belfast nanti, usahakanlah dengan apa cara sekali pun agar jemaah di masjid kamu patuh kepada fatwa yang sudah dikeluarkan itu. Wallahi, aku tidak berhak untuk memberikan pandangan setelah para masyaikh yang arif tentang hal ini memberikan pandangan mereka. Aku tidak berhak untuk bersuara!” kata Sheikh Solah.
Saya terdiam.
Seorang ulama besar mengisytiharkan dirinya tidak berhak bersuara?
Saya tahu, Sheikh Solah ada selautan ilmu untuk menghuraikan masalah yang saya ajukan itu berjam-jam hingga saya tenggelam dalam perbahasan yang diharapkan itu. Tetapi Sheikh Solah tidak begitu. Beliau langsung tidak bertanya kepada saya, apakah fatwa yang dikeluarkan. Apa yang ditekankan ialah, “aku tidak berhak untuk bersuara.”
Itulah akhlaq seorang ulama.
Dalam banyak keadaan, bercakap, bercakap dan bercakap itu memang keperluan. Tetapi ada situasi tertentu, hikmah yang besar adalah pada tidak menambah cakap yang sudah dicakap, tatkala perpecahan umat menjadi pertaruhannya.
Teringat saya kepada kata-kata orang sebelah sana, “when the student is ready, the teacher will appear. Knowledge is understanding that tomato is a fruit. Wisdom is not to put it in a fruit salad!”
ISU KALIMAH ALLAH DI THE HERALD
Ketika Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Tuan Guru Dr. Harun Din, YB Khalid Samad, YB Zulkifli Noordin, Prof Wan M Nor Wan Daud, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman dan begitu ramai ilmuan sudah mengenegahkan hujah dan ilmu masing-masing, malang sekali jalan pegangan rupa-rupanya masih gelap.
Malah pertembungan pengikut sesama pengikut lebih kejam daripada permintaan The Herald dan lebih kejam daripada keputusan mahkamah. Pertembungan dan perbalahan ilmu itu sedang mempertaruhkan kesatuan umat yang semakin tidak dipedulikan. Segalanya membaja perpecahan.
Dalam pepatah di atas tadi, mungkin kisahnya ialah, “students are not ready!”
Saya didesak untuk menyertai apa yang telah sedia ada. Berikan pandangan, nyatakan pendirian, jangan tidak berkata, syaitan bisu dilontar sebagai statusnya!
Namun…
Jika seorang ulama besar pernah mengisytiharkan dirinya tidak berhak untuk bersuara, izinkan saya, si ‘murid kecil’ meminjam hikmah yang sama, untuk tidak memanjangkan kata…
Dari Abu Hurairah Abdul Rahman bin Sakhar r.a : ” Bahawa saya mendengar Rasulullah SAW bersabda : ‘ Apa yang aku larang kamu lakukan maka hendaklah kamu tinggalkannya, dan apa yang aku perintahkan kamu lakukan hendaklah kamu lakukan sekadar kemampuan kamu. Sesungguhnya telah binasa umat-umat yang sebelum kamu disebabkan terlalu banyak permasalahan yang ditanya serta pertelingkahan mereka terhadap Nabi-Nabi mereka. [Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Sumber http://saifulislam.com/?p=7371
68000 AMPANG