Dua Wajah Islam Literal di Malaysia

Primary tabs

Oleh: Dr Ahmad Farouk Musa |(Diterjemahkan daripada artikel asal “Malaysia’s Two Faces of Literal Islam” oleh Dr Ahmad Nabil Amir, Abduh Study Group, Islamic Renaissance Front)


Dunia Islam dalam rangka idealoginya tidak bersifat monolitik dan terpadu dalam lingkungannya spektrum dan perspektif jamak yang berkisar daripada satu sudut ekstrim kepada sudut yang lain. Era milenium yang baru menyaksikan persaingan antara pelbagai kumpulan idealogi yang mewakili interpretasi berbeza tentang agama Islam. Tanpa mengambil kira kerencaman ideologi dalam mazhab Islamisme, persamaan utama yang dikongsi bersama adalah diskursif politik dan etika yang bertujuan mematahkan wacana yang dilancarkan oleh musuh mereka.


Kebimbangan yang Fundamental: Eropah Sentrik dan Nahdah IslamBobby Sayyid telah berhujah dalam buku ‘A Fundamental Fear: Eurocentrism and the Emergence of Islamism (Kebimbangan yang Fundamental: Eropah Sentrik dan Nahdah Islam) bahawa maqasid terpenting dalam gerakan Islamisasi adalah untuk mengembalikan mandat dan kedudukan Islam sebagai medan rujukan yang sentral dalam seluruh persoalan seni, sosial, budaya, ekonomi dan politik dalam komuniti Islam.


Dalam waktu ketika Islam dilukiskan sebagai ketinggalan zaman dan kehilangan pijakan yang membawa pada situasi mutakhir yang naif dan lembap, ia memberikan ruang buat kelompok Islamis untuk mengenengahkan sistem yang telah dipinggirkan dan diketepikan, tetapi masih positif dan segar daripada dicemari oleh kebejatan arus moderniti. Dan ditambah dengan pengaruh badai globalisasi, golongan Islamis kini berjuang untuk meraih sokongan dhamir dan fikrah umat dalam konstituensinya.

Artikel ini bertujuan membincangkan hanya dua kumpulan Islamis daripada sekian banyak rangkaian jamaah Islam di negara kita. Walaupun terdapat satu persamaan antara mereka, iaitu, pendekatan literal dalam memahami Islam, namun pandangan mereka terhadap politik dan pemerintahan adalah bercanggah sama sekali. Dan disebabkan pendekatan dan metodologinya yang amat mudah, mereka telah berhasil menarik sejumlah pengikut yang signifikan khususnya daripada kalangan mahasiswa dan penuntut universiti yang masih terperangkap dengan idealisme.

Hizb-ut-Tahrir

Walaupun secara umumnya Malaysia berbangga dengan tradisi inklusif dan Islam moderat dengan dukungan ulama Islam yang signifikan terutama daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang memperjuangkan demokrasi yang lebih rancak dan bermakna, masyarakat madani yang segar dan pengiktirafan terhadap hak manusia; namun terdapat sebuah grup penentang yang dikenal sebagai Hizb-ut-Tahrir yang berpandangan bahawa demokrasi bercanggah dengan Islam.

Gerakan ini yang mendakyahkan interpretasi Islam yang literal (zahir) telah memperoleh kekuatan dengan dukungan kelompok muda dan pelajar-pelajar universiti yang naïf. Alasan utama yang mengangkat Hizb-ut-Tahrir sebagai tarikan kepada pemikiran muda adalah pendekatan dan metodologinya yang mudah. Landasan penting daripada manhaj atau metodologi mereka adalah untuk memproklamirkan perjuangan mendaulatkan Khilafah. Apabila Khilafah ditegakkan, maka segala permasalahan lain yang dihadapi oleh ummah seluruhnya dapat dileraikan.

 

Demokrasi

Hizb-ut-Tahrir percaya bahawa demokrasi adalah sistem kuffar atau Nizam-u-kufr yang dipasarkan ke negara umat Islam oleh kafir barat. Demokrasi dikatakan tidak mempunyai kaitan sama sekali dengan Islam. Ia bercanggah dengan dasar Islam, dan idealogi yang lahir daripadanya, fondasi di mana ia berpijak kepadanya, dan idea serta sistem yang ia kemukakan.

Walaupun struktur organisasi gerakan Hizb-ut-Tahrir tidak terpapar secara jelas, dan kemungkinan ia merupakan sebahagian daripada manhaj untuk kekal kabur dan terlindung pada perwatakannya; namun retoriknya yang radikal telah mempengaruhi fikrah golongan muda dan pelajar Islam yang bersemangat yang mencari penyelesaian yang mudah dan ringkas terhadap kekusutan yang melanda ummah.

Taktik yang radikal, pendekatan dan wacana yang digerakkan Hizb-ut-Tahrir dalam mengutarakan agenda negara Islam diperkukuh dengan perundangan Syari’ah dan pendaulatan Khilafah, adalah peralihan kepada lapangan yang lebih eksklusif dan mengundang konfrontasi, khususnya tatkala diskursif dan ruang politik untuk gerakan baru tidak wujud, kerana dikontrol oleh Parti Islam yang lebih ternama.

Bagaimana Hizb-ut-Tahrir merangka untuk mencapai agendanya dalam masyarakat plural di Malaysia di mana umat Islam hanya membentuk majoriti kecil terus menjadi enigma. Tetapi bagi mereka yang berfikiran cetek, persoalan demikian tidak dinilai sebagai persoalan yang penting; samada Hizb-ut-Tahrir dapat menolong mencetuskan satu corak politik yang baru di Malaysia atau sebenarnya kebangkitan Hizb-ut-Tahrir akan lebih menjahanamkan arus politik di Malaysia.


Salafi

Interpretasi Islam yang keras dan bercorak dua-dimensi bukan hanya milik khusus Hizb-ut-Tahrir, tetapi ruhnya turut dikongsi bersama oleh puak Salafi, atau secara sinis dilabel sebagai Wahhabi oleh pendokong utama aliran tradisionalis.  Berkeras bahawa al-Qur’an dan Hadith harus dibaca dan difahami secara literal dan dunia harus difahami dalam kekakuan warna hitam atau putih, mereka mencadangkan untuk mereplikasi dan menghasilkan semula masyarakat yang wujud pada kurun ketujuh Masihi di Madinah atau komuniti as-salafus-soleh yang hidup dalam lingkungan tiga ratus tahun pertama setelah zaman Nabi.      

Sementara Hizb-ut-Tahrir mewar-warkan pembentukan Khilafah sebagai penyelesaian akhir, Salafi pula menganjurkan usaha melahirkan semula komuniti as-salafus-soleh sebagai desakannya yang utama. Period ini menurut Salafi adalah Zaman Keemasan dalam Islam dan harus dikenang sebagai period ‘Islam yang Asli’.


Fahaman Mudah yang Megujakan

Fahaman yang begitu mudah difahami ini, sebagaimana dalam kes Hizb-ut-Tahrir, sangat mengujakan pemuda Muslim terutama yang berlatarkan idealisme Islam kerana banyak buku khususnya kitab Arab yang mencanangkan idea ini telah dipasarkan oleh penajanya yang utama, kerajaan Saudi yang megah lagi angkuh.

Adalah menarik untuk diperhatikan bahawa ‘Islam yang Asli’ ini tidak pernah didefinisi dan apa saja yang mungkin kelihatan pada masyarakat Islam yang asli yang tidak didefinisi ini adalah seakan satu visi yang dikongsi berdasarkan pada sejarah yang juga dikongsi bersama. Suatu andaian dibuat seolah-olah komuniti as-salafus-soleh ini adalah masyarakat yang monolitik yang tidak terdapat sebarang perbezaan pendapat dan pendekatan di dalamnya. Sedangkan kenyataan yang sebenar adalah komuniti yang dipugar di waktu itu adalah begitu rencam dan jama‘i seperti mana situasi yang kita temui pada kurun kedua puluh satu ini.

Tetapi bagi kalangan muda dan minda yang tidak digilap dan dilatih, catatan klasik yang telah lalu, romantisisme rakaman sejarah seperti yang dibayangkan oleh puak Salafi telah menjadi model dalam kehidupan hariannya, dan menjadi pelan tindakan terhadap langkah masa depan. Dan dalam imaginasi Salafi tersebut, faktor yang menghalang pencapaian potensi utopia yang ideal itu adalah apa saja yang asing daripada pemahaman Islamnya termasuk sistem kerajaan yang moden.

Dalam perjuangan merekonstruksi Zaman Emas dalam Islam, Salafisme memulakan projek yang bersifat imaginatif untuk mencipta mitos klasik yang elusif dalam lingkungannya. Dengan mengusahakannya, mereka mencipta sesuatu yang mereka tidak tahu, memperbaiki apa yang mereka hajati tetapi sebenarnya tidak lagi wujud dan membina halangan apa yang kini layak untuk diketengahkan dalam landskap imaginatif “Islam yang Asli’ tersebut.

Salafi banyak digerakkan oleh hasrat untuk menafikan mana-mana amalan yang dianggap asing terhadap budaya Islam daripada menggugat dan mungkin merosakkan identiti Muslim dan kesatuannya. Sebagaimana  Hizb-ut-Tahrir, mereka memandang demokrasi sebagai terpisah daripada Islam dan menganjurkan penolakan yang total terhadap sebarang penyertaan dalam proses demokrasi.


 Hubungan dengan Parti Pemerintah

Sejajar dengan aspirasi kebanyakan ulama Saudi, penggerak Salafi di Malaysia sepenuhnya mendukung cita-cita pemerintah, tanpa mengambil kira sama ada kerajaan tersebut merupakan kerajaan yang korup lagi bersifat otoritarian ataupun yang mempamerkan  cirri-ciri demokrasi. Hal ini adalah bersandarkan keyakinan mereka bahawa ia dipraktikkan oleh as-salafus-salih; dan sebarang upaya menentang pemerintah yang sah, walaupun melalui saluran demokrasi, dianggap tidak Islami.

Justeru, tidaklah menghairankan untuk melihat pertalian yang intim antara puak Salafi dengan beberapa kerat pemimpin parti pemerintah di Malaysia. Ia lebih terserlah setelah segelintir pemimpin Salafi diberi ruang mengulas dalam media arus perdana yang dikawal rapi oleh kerajaan.

Bagi penguasa yang memerintah, demikian ini adalah perhubungan yang paling selesa yang akan memastikan cengkaman kuku besi mereka dipertahankan. Satu-satunya faktor yang menghalang puak Salafi daripada memegang peranan yang lebih besar dalam agensi kerajaan adalah saling berhadap dengan penentangan yang runcing daripada puak tradisionalis yang mempengaruhi hampir keseluruhan jentera kerajaan.


Pencabar Yang Berpotensi

Kita telah melihat dua wajah literal Islam yang berbeza walaupun secara ringkas, yakni gerombolan Hizb Tahrir yang anti-pemerintah dan puak Salafi yang pro-kerajaan. Islamisme yang dicanang oleh Hizb-Tahrir dilihat sebagai cabaran politik yang langsung terhadap negara. Hal ini jelas kerana mereka ingin menzahirkan diri dan parti mereka sebagai alternatif yang berwibawa terhadap pemerintahan sekarang.

Islamisme menurut salafi pula, adalah berteraskan anggapan mitos berkait dengan manhaj ulama’ salaf yang mengharamkan penentangan terhadap penguasa yang memerintah, sungguhpun kedua-duanya memandang sistem hari ini terasing daripada pemahaman Islam mereka.

Kesan dakyah literal Islam yang semakin berkembang belum mencetuskan kesan dalam merobah keseimbangan politik Islam di Malaysia, tetapi sehingga manhaj dan rencana operasi mereka difahami sepenuhnya, mereka kekal sebagai pencabar yang berpotensi dalam menentukan arah diskursif politik di masa hadapan.