Soalan: Isteri saya telah tertinggal puasa pada bulan Ramadhan yang lepas (tahun hijrah 1419) sebanyak 9 hari kerana masalah kesihatan. Sekarang ini sudah masuk bulan Ramadhan 1420 Hijrah. Jadi, bagaimanakah untuk membayar fidyah bagai puasa yang telah ditinggalkan itu.
Bolehkah membayar fidyah dengan menggunakan wang tunai sebagai ganti beras? kalau boleh.. berapakan jumlah bayaran wang tunai bagi membayar fidyah (untuk satu hari, satu cupak beras) Sekian
Jawapan
Assalamualaikum WRH.
Segala puji bagi Allah SWT. dan salawat serta salam ke atas Nabi Muhammad SAW.
Terima kasih atas pertanyaan.
Orang yang sakit dan tidak mampu berpuasa adalah termasuk dalam uzur syar'ie yang diharuskan untuk tidak berpuasa di bulan Ramadhan tetapi wajib ke atasnya menyegerakan qadha pada hari yang lain selepas Ramadhan pada tahun itu setelah sembuh dari sakit.
Perkara ini telah dijelaskan dalam firman Allah menerusi surah al-Baqarah ayat 184. Berhubung dengan masalah isteri saudara, wajiblah ke atasnya menyegerakan mengqadha puasanya yang tertinggal itu dan juga membayar denda (fidyah) kerana lewat qadha hingga melewati Ramadhan berikutnya.
Fidyah yang perlu dibayar ialah pada kadar satu cupak makanan asasi iaitu beras (Di Malaysia) bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan dan tidak diqadha dalam tempoh yang sepatutnya. Jika 9 hari yang belum diqadha maka 9 cupak.Satu cupak menyamai 900 gram. jika 9hari maka 9 * 900 gram = 8100 gram (8 kg 100 gram).
Fidyah ini boleh dibayar dalam bentuk bahan makanan itu sendiri (beras) menurut pendapat Imam Syafi'e.
Namun begitu Imam Hanafi mengharuskan secupak makanan itu dinilai dengan harga tertentu lalu dibayar kepada fakir miskin. Di Malaysia, harga secupak beras hendaklah dinilai dengan harga beras yang biasa dimakan oleh rakyat negara ini.
idyah tersebut perlu diberi kepada fakir miskin di tempat saudara tinggal atau jika tidak diketahui maka bolehlah meminta pertolongan imam atau pegawai syarak yang berkenaan di kawasan saudra untuk mendapatkanya.
Allah Ta'ala lebih mengetahui.
Sekian, wassalam
Sumber: Laman Interaksi Mufti Negeri Melaka