Alhamdulillah bertemu kembali dalam siri penulisan yang saya namakan ‘Hadith dhaif dalam buku imam-imam hadith?’. Tulisan ini cuba untuk memberikan penjelasan sekadar termampu tentang keadaan atau situasi yang sering ditemui oleh penuntut ilmu hadith iaitu – kewujudan hadith-hadith dhaif dalam buku-buku yang ditulis oleh pakar atau imam hadith terdahulu. Keadaan sebegini jika tidak difahami dengan teliti mungkin akan menimbulkan salah faham dan menjejaskan hasil kajian penuntut ilmu hadith pada masa ini.
Jika dalam tulisan yang lalu kita bersama dengan Imam Abu Daud dan bukunya yang terkenal iaitu Sunan, kali ini kita ingin melihat pula kepada seorang lagi imam yang terkemuka dalam kajian hadith iaitu Imam al-Tirmidzi. Mungkin penulisan tentang Imam al-Tirmidzi akan menyentuh banyak perkara dan tidak dapat dikumpulkan dalam satu artikel. Insya Allah setiap isu berkaitan Imam al-Tirmidzi yang belum disentuh akan dibicarakan dalam tulisan-tulisan akan datang.
Terdapat sebahagian penuntut ilmu hadith yang terjebak dalam salah faham dan salah tanggapan terhadap al-Tirmidzi. Di antara salah faham itu adalah seperti :
a) Menganggap al-Tirmidzi melakukan kecuaian dalam menilai hadith. Contohnya hadith tertentu yang dhaif tetapi kita dapati al-Tirmidzi menilainya sebagai sahih atau hasan.
b) Tidak meletakkan al-Tirmidzi sebaris dengan imam-imam hadith zaman itu seperti al-Bukhari, Muslim dan lain-lain lagi.
c) Sebahagian penuntut ilmu tidak langsung bersusah payah untuk membaca buku al-Jami’ atau Sunan kerana merasakan ia mengelirukan kerana tidak tahu mana yang benar-benar sahih dan mana yang benar dhaif.
d) Menumpukan kajian dan tumpuan mereka kepada Sahih Sunan al-Tirmidzi dan Dhaif Sunan al-Tirmidzi yang telah disusun oleh syeikh al-Albani dan tidak langsung melakukan kajian perbandingan.
Kesemua salah faham dan kekeliruan ini mungkin kerana mereka tidak melakukan proses menuntut ilmu bermula dari bawah. Bermula dari bawah dengan maksud mereka seharusnya ‘berkenalan’ dengan Imam al-Tirmidzi dan mengetahui pula bagaimana metodologi penulisan beliau dalam buku-bukunya yang berbeza.
Mungkin juga salah faham ini berpunca kerana mereka terlalu inginkan kepuasan mengetahui yang mana ‘sahih’ dan yang mana ‘dhaif’ sehinggakan mereka tidak tahu betapa susah dan rumitnya proses untuk mendapatkan natijah kajian tersebut. Adakah mereka menyangka penilaian tentang kesahihan dan kedhaifan yang dibuat oleh imam-imam terdahulu seperti al-Tirmidzi adalah semudah apa yang kita boleh lakukan di zaman ini?
Salah faham ini adakalanya juga berpunca – berdasarkan pengamatan penulis – kerana terdapat sebahagian tokoh yang dianggap berpengaruh dalam hadith yang telah terjebak sendiri dalam salah faham ini lalu mempengaruhi penuntut ilmu hadith yang baru berjinak untuk memahami ilmu ini. Apabila seorang tokoh yang dianggap pakar dalam hadith menyebut – sebagai contoh – bahawa al-Tirmidzi cuai dalam kajian dan kita perlu merujuk kepada syeikh al-Albani, maka pastilah para muridnya juga akan bersikap begitu.
Lalu lahirlah satu sikap yang amat merbahaya iaitu mencari ‘jalan pintas’ untuk menjadi ahli hadith tanpa melalui susah payah dan tangga ilmu dalam menuju matlamat tersebut.
Jalan pintas ini menyebabkan sebahagian mereka tidak lagi membaca buku-buku asal dan cuba memahaminya, tetapi cukup dengan mereka membaca penulisan ringkas yang menceritakan tentang buku tersebut atau tentang seseorang imam hadith. Maka di antara hasilnya ialah salah faham yang disebutkan di atas iaitu berlakunya salah faham terhadap kedudukan Imam al-Tirmidzi dan juga bukunya al-Jami’ atau Sunan.
Apatah lagi jika mereka bertemu dengan hadith-hadith yang mana menurut pengkaji moden ialah ‘dhaif’ atau ‘sangat dhaif’ atau ‘palsu’, dan dalam masa yang sama hadith itu diniyai sahih atau hasan pula oleh Imam al-Tirmidzi! Inilah yang akan menguatkan lagi salah faham yang sedia ada bahawa memang benar Imam al-Tirmidzi dan penilaiannya terhadap hadith tidak dianggap sebagai yang utama dan ilmiah, malah dianggap sebagai kajian yang ‘memerlukan kajian’.
Untuk mengurangkan kekeliruan ini, elok rasanya kita bersama melihat beberapa fakta yang kurang diberikan perhatian berkaitan Imam al-Tirmidzi dan bukunya al-Jami’ atau Sunan. Insya Allah, ianya akan dibicarakan dalam tulisan akan datang. Harap bersabar kerana artikel untuk kali ini bertujuan memperincikan permasalahan dan puncanya manakala artikel seterusnya adalah untuk memperjelaskan dan memberikan penyelesaian.
Adlan Bin Abd. Aziz